Wasiat terakhir Rasulullah s.a.w

Mencari ketenangan dalam lambaian iman.

Pernah suatu ketika dulu terkenangkan suatu kisah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w yang direka  cipta dalam bentuk animasi dan kisah teladan perjuangan Islam disampaikan kepada umat Islam di sekitar Makkah Mukarramah dan Madinah al- Munawwarah.

Kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabat menyebarkan Islam secara sulit dan terang-terangan, hijrah Rasulullah ke kota Madinah dan sambutan oleh para Ansar, peperangan dengan puak Kuffar dan lain-lain lagi diadaptasi dalam sebuah karya animasi.

Garapan animasi ini sangat baik. Kepada sesiapa yang menyayangi Rasul-Nya dan ingin mengetahui sejarah perjuangan Islam ketika pertama kali disebarkan, adalah amat digalakkan untuk menonton siri animasi ini. Semua peringkat umur adalah wajar untuk menontonnya. Sejarah kegemilangan iman dan Islam adalah tidak sepatutnya luput dari fikiran dan perkara untuk dilupakan.

Animasi tersebut jika ingin diperolehnya pada masa sekarang, mungkin ada lagi dalam youtube. Ada 12 video yang dipertontonkan dalam you tube.

Kini, Nabi Muhammad s.a.w semakin jauh meninggalkan umatnya. Semakin jauh dari terus berada di hati para muslimin amnya. Kehidupan kini jua jauh dari teladan dan sunnah baginda.Sirahnya dahulu yanya tinggal sejarah dan sipi-sipi sekali manusia yang mengenang dan mencintai Rasul yang mulia ini.

Maka, renungilah wasiat terakhir Baginda Nabi s.a.w sebelum wafatnya baginda dan kembali kepada pencintanya yang Maha Esa. Pesanan baginda ini adalah pesanan untuk sekalian ummatnya. Dari zaman para sahabat sehingga ke umat akhir zaman. Wasiat baginda adalah untuk ummah, bukan untuk masyarakat setempat atau sesuatu keadaan.

Moga-moga ia menjadi suatu renungan yang mendalam dalam mengharungi kehidupan kini yang penuh dengan rencah fitnah dan mehnah. Jua, menjadi pengajaran kepada mereka yang mengharapkan pertemuan dengannya di sana.

Amin.

Khutbah terakhir Nabi Muhammad s.a.w

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah

Tahun 10 Hijriyyah
Di Lembah Uranah, Gunung Arafah

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu,dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.”

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak, janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah, sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti akan membuat perhitungan di atas amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.”

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka, berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.”

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan, dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah, setiap muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam  taqwa dan beramal soleh.”

“Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.”

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Qur’an dan sunnahku.”

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Telah ku cuba menyampaikan pesanan darimu. Semoga daku menjadi salah seorang yang ingin mencintai dan bertemu denganmu…

One response

  1. Sesungguhnya, tiada siapa yang mampu menandingi keperibadian Rasulullah SAW yang mulia sehingga ke saat akhir hayat Baginda ingatkan kita…Mampukah kita ingatkan dirinya pada zaman kini…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: