Menjauhi Sifat Riya’ dan Ujub.

Hari ini, adalah perkara biasa manusia untuk berbicara semasa mereka. Berbicara tentang pekerjaan, pengalaman, sukan, minat, kejayaan, keluarga, muamalat, mesyuarat, dan pelbagai lagi kisah dan agenda sering menjadi perbualan.

Perbualan ini bukanlah suatu yang jarang-jarang sekali diadakan. Tetapi, merupakan rutin harian dan sudah menjadi kebiasaan. Sukar sekiranya melihat seseorang yang tidak berkata-kata mengenai perkara ini melainkan dia seorang yang pelik dan bukan hidup di atas dunia ini.

Tetapi, sekiranya kebiasaan yang atas landasan fitrah kejadian ini dibualkan secara berlebihan, maka timbullah kecintaan dan angan-angan. Kecintaan ini yang merosakkan dan mengkhayalkan. Cinta akan sesuatu yang pasti binasa dan pergi selama-lamanya, tetapi nampak indah dan mempersona kerana dapat dilihat, didengar dan dirasai dengan pancaindera. Kecintaan itu yang menimbulkan penyakit wahan (cintakan dunia takut akan kematian) dan lupa akan kedatangan pemutus nikmat, iaitu kematian.

Angan-angan pada keduniaan mengakibatkan terasa hidup ini panjang dan tidak akan terhenti selagi tidak mencapai impian. Angan-angan jua adalah buah daripada hasutan syaitan.Syaitan laknatullah tidak dapat menipu daya manusia sekiranya mereka sentiasa mengimpikan hidup akhirat  yang tiada noktah.

Soalan: Adakah zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak ada sifat keduniaan seperti zaman ini?

Jawapan: Ada. Bukti kewujudan dan kebesaran Allah tidak tertakluk pada masa dan ketika. Zaman itu dan zmaan kini adalah sama. Cuma bentuk dan material sahaja yang berbeza. Kekuasaan, pangkat, darjat, harta, dan sebagainya lagi kemewahan semuanya sama. Sejarah mencatatkan Rom dan Parsi terkenal dengan kebesaran dan kemewahan kerajaan mereka. Begitu juga kerajaan Greece, Yunani, mesopotamia, India, dan lain-lain lagi. Zaman dahulu sudah bertamadun,bukan hanya pada zaman kini.

Bezanya, Rasulullah tidak menghidupkan pada zaman baginda  dalam peribadi para sahabat akan kecintaan dan angan-angan pada dunia, tetapi Baginda s.a.w sentiasa menghidupkan para sahabat dengan kecintaan kepada akhirat dan impian untuk kekal abadi selama-lamanya di sana.

Kaedahnya, dengan seruan dan dakwah untuk sentiasa mengingatkan akan kebesaran Allah, kesan pada amalan, kisah-kisah umat dan Nabi terdahulu, kewujudan hari akhirat dan sebagainya lagi menolak kecintaan pada dunia yang sementara. Apabila sentiasa dihidupkan suasana sebegini, maka keyakinan sahabat akan berubah, dari dunia kepada akhirat yang kekal selama-lamanya.

Kesannya, kebesaran dunia jatuh di bawah tapak kaki mereka. Mereka yang mengawal dan mentadbir kerajaan dunia. Tetapi, Akhirat sentiasa dijunjung dan menjadi matlamat mereka.

Tamadun Islam wujud atas dasar mengerakkan akhirat, dan meninggalkan kemewahan dunia. Inilah tamadun paling janggal dan tidak pernah wujud oleh mana-mana negara. Tetapi, tamadun ini yang paling bertahan lama dan ditabik spring oleh para sejarawan dan pemikir dunia.

Jika ditanya, adakah keyakinan dan suasana sebegini masih wujud di zaman ini?

Tidak mustahil. Sekiranya manusia kembali menyampaikan dan menyeru sebagai mana seruan dan pengorbanan Rasulullah s.a.w dan sahabat r.a ajmain. Tetapi yang pastinya, keyakinan para perkara sam’iyyat antara manusia zaman ini dengan para sahabat tetap jauh sekali.

***************************

Menjauhi Sifat, Mendekati Sifat

Kali ini ingin menulis secara question and answer (Q&A). Lain sikit daripada nukilan sebelum ini.

Soalan:

Apakah sifat riya’? Apakah sifat ujub?

Jawapan:

Riya’ ialah melakukan sesuatu amalan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Ujub pula ialah melakukan sesuatu amalan dengan merasa besar diri dan hebat berbanding orang lain.

Amalan yang dilakukan dengan mempunyai kedua-dua sifat ini adalah ditolak oleh Allah s.w.t. sama sekali.

Soalan:

Apakah lawan kepada sifat riya’ dan ujub?

Jawapan:

Lawan kepada sifat riya’ ialah ikhlash, iaitu melakukan sesuatu amalan hanyasanya kerana Allah s.w.t. Lawan bagi sifat ujub pula ialah tawadu’/khudu’, iaitu melakukan sesuatu amalan dengan rendah hati apabila mengingatkan pertolongan Allah yang memberikan segala sesuatu kelebihan kepada diri.

Soalan:

Mengapakah ujub dan riya’ menjadi halangan dari meraih sifat ikhlash dan rendah diri?

Jawapan:

Kerana kebesaran dan harapan pada sesama makhluk (manusia) masih terbayang di depan mata. Dilakukan kerana ada merasakan makhluk yang melihatnya, bukan Allah s.w.t. yang sentiasa melihatnya.

Soalan:

Bagaimana untuk membersihkan amalan supaya hanya kepada-Nya?

Jawapan:

Dengan sentiasa dimulakan setiap amalan dengan mengingati Allah s.w.t. Niat hanya kepada-Nya. Kemudian, istiqamah dalam amalan tersebut. Walau sedikit, jangan sesekali ditinggalkan. Ketika sibuk dan sulit, jangan sesekali  diabaikan. Apabila terdetik dalam hati akan sifat riya’ dan ujub, istighfar dengan segera. Mohon perlindungan daripada bisikan syaitan. Akhir sekali, tawakal kepada Allah mohon keredhaan-Nya akan amalan yang dilakukan hanyasanya kerana-Nya.

Soalan:

Bagaimana ingin mengetahui amalan itu kerana Allah atau manusia?

Jawapan:

Wallahua’lam. Manusia tidak dapat meneka amalan itu kerana Allah atau manusia. Ia tertakluk pada hati, dan hati hanya wujud dan dimilik oleh Allah s.w.t. Hanya Dia yang mengetahui amalan itu kerana-Nya atau kerana manusia.

Tetapi, secara dasarnya, kita boleh melihat kesan kepada amalan tersebut, sama ada dilakukan kerana manusia atau kerana Allah s.w.t.

Apabila sesuatu amalan dilakukan kerana manusia, maka seseorang yang bersifat mazmumah ini akan melakukan yang terbaik apabila manusia melihatnya. Apabila tiada orang, maka dia bermalasan untuk melakukan amalan tersebut. Dia akan merasa gah atau besar diri apabila ada orang memujinya. Dia akan berbuat baik kepada mereka yang rapat dan memuji kepadanya. Wajah dan kata-katanya hanya nampak pada hal keduniaan, tidak terungkai untuk pengabdian kepada amalan untuk akhirat. Kata-katanya tidak kembali kepada Allah, dan kembali kepada situasi dirinya dan kehidupan sesama manusia.

Apabila seseorang itu melakukan amalan kerana Allah, maka lahir pada lisan dan tangannya kepada Tuhannya. Dia tidak kira sesiapa yang berada di hadapannya. Dipuji atau dikeji, sama sahaja. Lebih suka melakukan amalan secara sembunyi-sembunyi, sekiranya tidak dapat tetap dilakukan di khalayak ramai, tetapi jarang sekali. Amalannya sentiasa istiqamah, walau masa sempit dan sukar. Jika tidak sempat dilakukan, bertaubat dan beristighfar kepada Allah, mohon keampunan atas kelemahan dirinya.

Soalan:

Adakah benar keikhlashan orang yang berkata, ‘saya ikhlash menderma ini kerana Allah, bukan kerana anda’?

Jawapan:

Banyak orang yang bertanya tentang perkara seumpama ini. Berbuat sesuatu amalan kepada orang lain dengan menterjemahkan kepada perkataan ikhlash dan sebagainya. Wallahua’lam. Soal niat dan kehendak hati hanya Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui. Tetapi, kembalilah kepada sifat dan kesan kepada diri orang tersebut berdasarkan apa-apa yang telah dibincangkan.

Kebiasaannya, orang yang ikhlash dan merendah diri bukan suka menonjolkan amalan kepada orang lain. Jika tetap ingin dilakukan kebaikan, maka dia akan sembunyi tangan dan buat sesuka hatinya tanpa perlu dipinta.

Buat kerana Allah, kenapa perlu berkata kepada manusia? Sedangkan Allah s.w.t yang sebaik-baik penerima dan pemberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya.

Pendek kata, orang baik tidak pernah mengaku dirinya baik. Orang jahat lagi tidak mengaku dia berbuat jahat.

Soalan:

Begitu sulit ya melakukan amalan yang ikhlash ini.

Jawapan:

Ya. Ia bagai semut hitam yang berjalan di celah-celah batu hitam di kegelapan malam. Namun, inilah amalan yang hanya sampai dan diterima oleh Allah s.w.t.

Renungkanlah akan hadith ini. Moga-moga mempunyai pedoman untuk menghindari amalan sifat riya’ dan ujub, melakukan secara ikhlash dan tawadu’ kerana Allah s.w.t.

Telah diceritakan oleh Ibnu al-Mubarak tentang seorang laki-laki yang bernama Khalid bin Ma’dan, dimana ia pernah bertanya kepada Mu’adz bin Jabal ra., salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw.

“Wahai Mu’adz! Ceritakanlah kepadaku suatu hadits yang telah engkau dengar langsung dari Rasulullah saw., suatu hadits yang engkau hafal dan selalu engkau ingat setiap harinya disebabkan oleh sangat kerasnya hadits tersebut, sangat halus dan mendalamnya hadits tersebut. Hadits yang manakah yang menurut engkau yang paling penting?”

Kemudian, Khalid bin Ma’dan menggambarkan keadaan Mu’adz sesaat setelah ia mendengar permintaan tersebut, “Mu’adz tiba-tiba saja menangis sedemikian rupa sehingga aku menduga bahwa beliau tidak akan pernah berhenti dari menangisnya. Kemudian, setelah beliau berhenti dari menangis, berkatalah Mu’adz: Baiklah aku akan menceritakannya, aduh betapa rinduku kepada Rasulullah, ingin rasanya aku segera bersua dengan beliau”

Selanjutnya Mu’adz bin Jabal ra. mengisahkan sebagai berikut, “Ketika aku mendatangi Rasulullah saw., beliau sedang menunggangi unta dan beliau menyuruhku untuk naik di belakang beliau. Maka berangkatlah aku bersama beliau dengan mengendarai unta tersebut. Sesaat kemudian beliau berkata : “Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang memberikan ketentuan (qadha) atas segenap makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, ya Mu’adz!”.

Aku menjawab, “Labbaik yaa Sayyidal Mursaliin”.

“Wahai Mu’adz! Sekarang akan aku beritakan kepadamu suatu hadits yang jika engkau mengingat dan tetap menjaganya maka (hadits) ini akan memberi manfaat kepadamu di hadhirat Allah, dan jika engkau melalaikan dan tidak menjaga (hadits) ini maka kelak di Hari Qiyamah hujjahmu akan terputus di hadhirat Allah Ta’ala!”

“Wahai Mu’adz! Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala telah menciptakan tujuh Malaikat sebelum Dia menciptakan tujuh lelangit dan bumi. Pada setiap langit tersebut ada satu Malaikat yang menjaga khazanah, dan setiap pintu dari pintu-pintu lelangit tersebut dijaga oleh seorang Malaikat penjaga, sesuai dengan kadar dan keagungan (jalaalah) pintu tersebut.

Maka naiklah al-Hafadzah (malaikat-malaikat penjaga insan) dengan membawa amal perbuatan seorang hamba yang telah ia lakukan semenjak subuh hari hingga petang hari. Amal perbuatan tersebut tampak bersinar dan menyala-nyala bagaikan sinar matahari, sehingga ketika al-Hafadzah membawa naik amal perbuatan tersebut hingga ke Langit Dunia mereka melipat gandakan dan mensucikan amal tersebut. Dan ketika mereka sampai di pintu Langit Pertama, berkatalah Malaikat penjaga pintu kepada al-Hafadzah: “Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya! Akulah ‘Shaahibul Ghiibah’, yang mengawasi perbuatan ghiibah (menggunjing/ mengumpat orang), aku telah diperintah oleh Rabb-ku untuk tidak membiarkan amal ini melewatiku untuk menuju ke langit yang berikutnya!”

Kemudian naiklah pula al-Hafadzah yang lain dengan membawa amal shalih diantara amal-amal perbuatan seorang hamba. Amal shalih itu bersinar sehingga mereka melipat-gandakan dan mensucikannya. Sehingga ketika amal tersebut sampai di pintu Langit Kedua, berkatalah Malaikat penjaga pintu kepada al-Hafadzah: “Berhentilah kalian! Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya, karena ia dengan amalannya ini hanyalah menghendaki kemanfaatan duniawi belaka! Akulah ‘Malakal Fakhr’, malaikat pengawas kemegahan, aku telah diperintah Rabb-ku untuk tidak membiarkan amal perbuatan ini melewatiku menuju ke langit berikutnya, sesungguhnya orang tersebut senantiasa memegahkan dirinya terhadap manusia sesamanya di lingkungan mereka!”. Maka seluruh malaikat melaknat orang tersebut hingga petang hari.

Dan naiklah al-Hafadzah dengan membawa amal seorang hamba yang lain. Amal tersebut demikian memuaskan dan memancarkan cahaya yang jernih, berupa amal-amal shadaqah, shalat, shaum, dan berbagai amal bakti (al-birr) yang lainnya. Kecemerlangan amal tersebut telah membuat al-Hafadzah takjub melihatnya, mereka pun melipat-gandakan amal tersebut dan mensucikannya, mereka diizinkan untuk membawanya. Hingga sampailah mereka di pintu Langit Ketiga, maka berkatalah Malaikat penjaga pintu kepada al-Hafadzah: “Berhentilah kalian! Pukulkanlah amal ini ke wajah pemiliknya! Akulah ‘Shaahibil Kibr’, malaikat pengawas kesombongan, aku telah diperintah oleh Rabb-ku untuk tidak membiarkan amal perbuatan seperti ini lewat dihadapanku menuju ke langit berikutnya! Sesungguhnya pemilik amal ini telah berbuat takabbur di hadapan manusia di lingkungan (majelis) mereka!”

Kemudian naiklah al-Hafadzah yang lainnya dengan membawa amal seorang hamba yang sedemikian cemerlang dan terang benderang bagaikan bintang-bintang yang gemerlapan, bagaikan kaukab yang diterpa cahaya. Kegemerlapan amal tersebut berasal dari tasbih, shalat, shaum, haji dan umrah. Diangkatlah amalan tersebut hingga ke pintu Langit Keempat, dan berkatalah Malaikat penjaga pintu langit kepada al-Hafadzah:

“Berhentilah kalian! Pukulkanlah amal ini ke wajah, punggung, dan perut dari si pemiliknya! Akulah ‘Shaahibul Ujbi’, malaikat pengawas ‘ujub (mentakjubi diri sendiri), aku telah diperintah oleh Rabb-ku untuk tidak membiarkan amalan seperti ini melewatiku menuju ke langit berikutnya! Sesungguhnya si pemilik amal ini jika mengerjakan suatu amal perbuatan maka terdapat ‘ujub (takjub diri) didalamnya!”

Kemudian naiklah al-Hafadzah dengan membawa amal seorang hamba hingga mencapai ke Langit Kelima, amalan tersebut bagaikan pengantin putri yang sedang diiringi menuju ke suaminya. Begitu sampai ke pintu Langit Kelima, amalan yang demikian baik berupa jihad, haji dan umrah yang cahayanya menyala-nyala bagaikan sinar matahari. Maka berkatalah malaikat penjaga pintu kepada al-Hafadzah: “Berhentilah kalian! Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya dan pikulkanlah pada pundaknya! Akulah ‘Shaahibul Hasad’, malaikat pengawas hasad (dengki), sesungguhnya pemilik amal ini senantiasa menaruh rasa dengki (hasad) dan iri hati terhadap sesama yang sedang menuntut ilmu, dan terhadap sesama yang sedang beramal yang serupa dengan amalannya, dan ia pun juga senantiasa hasad kepada siapapun yang berhasil meraih fadhilah-fadhilah tertentu dari suatu ibadah dengan berusaha mencari-cari kesalahannya! Aku telah diperintah oleh Rabb-ku untuk tidak membiarkan amalan seperti ini melewatiku untuk menuju ke langit berikutnya!”

Kemudian naiklah al-Hafadzah dengan membawa amal perbuatan seorang hamba yang memancarkan cahaya yang terang benderang seperti cahaya matahari, yang berasal dari amalan menyempurnakan wudhu, shalat yang banyak, zakat, haji, umrah, jihad, dan shaum. Amal perbuatan ini mereka angkat hingga mencapai pintu Langit Keenam. Maka berkatalah malaikat penjaga pintu ini kepada al-Hafadzah: “Berhentilah kalian! Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya, sesungguhnya sedikitpun ia tidak berbelas kasih kepada hamba-hamba Allah yang sedang ditimpa musibah (balaa’) atau ditimpa sakit, bahkan ia merasa senang dengan hal tersebut! Akulah ‘Shaahibur-Rahmah’, malaikat pengawas sifat rahmah (kasih sayang), aku telah diperintahkan Rabb-ku untuk tidak membiarkan amal perbuatan seperti ini melewatiku menuju ke langit berikutnya!”

Dan naiklah al-Hafadzah dengan membawa amal perbuatan seorang hamba yang lain, amal-amal berupa shaum, shalat, nafaqah, jihad, dan wara’ (memelihara diri dari perkara-perkara yang haram dan subhat/meragukan). Amalan tersebut mendengung seperti dengungan suara lebah, dan bersinar seperti sinar matahari. Dengan diiringi oleh tiga ribu malaikat, diangkatlah amalan tersebut hingga mencapai pintu Langit Ketujuh.

Maka berkatalah malaikat penjaga pintu kepada al-Hafadzah:

“Berhentilah kalian! Pukulkanlah amalan ini ke wajah pemiliknya, pukullah anggota badannya dan siksalah hatinya dengan amal perbuatannya ini! Akulah ‘Shaahibudz-Dzikr’, malaikat pengawas perbuatan mencari nama-diri (ingin disebut-sebut namanya), yakni sum’ah (ingin termashur). Akulah yang akan menghijab dari Rabb-ku segala amal perbuatan yang dikerjakan tidak demi mengharap Wajah Rabb-ku! Sesungguhnya orang itu dengan amal perbuatannya ini lebih mengharapkan yang selain Allah Ta’ala, ia dengan amalannya ini lebih mengharapkan ketinggian posisi (status) di kalangan para fuqaha (para ahli), lebih mengharapkan penyebutan-penyebutan (pujian-pujian) di kalangan para ulama, dan lebih mengharapkan nama baik di masyarakat umum! Aku telah diperintah oleh Rabb-ku untuk tidak membiarkan amalan seperti ini lewat dihadapanku! Setiap amal perbuatan yang tidak dilakukan dengan ikhlash karena Allah Ta’ala adalah suatu perbuatan riya’, dan Allah tidak akan menerima segala amal perbuatan orang yang riya’!”

Kemudian naiklah al-Hafadzah dengan membawa amal perbuatan seorang hamba berupa shalat, zakat, shaum, haji, umrah, berakhlak baik, diam, dan dzikrullah Ta’ala. Seluruh malaikat langit yang tujuh mengumandang-kumandangkan pujian atas amal perbuatan tersebut, dan diangkatlah amalan tersebut dengan melampaui seluruh hijab menuju ke hadhirat Allah Ta’ala. Hingga sampailah dihadhirat-Nya, dan para malaikat memberi kesaksian kepada-Nya bahwa ini merupakan amal shalih yang dikerjakan secara ikhlash karena Allah Ta’ala.

Maka berkatalah Allah Ta’ala kepada al-Hafadzah :

“Kalian adalah para penjaga atas segala amal perbuatan hamba-Ku, sedangkan Aku adalah Ar-Raqiib, Yang Maha Mengawasi atas segenap lapisan hati sanubarinya! Sesungguhnya ia dengan amalannya ini tidaklah menginginkan Aku dan tidaklah mengikhlashkannya untuk-Ku! Amal perbuatan ini ia kerjakan semata-mata demi mengharap sesuatu yang selain Aku! Aku yang lebih mengetahui ihwal apa yang diharapkan dengan amalannya ini! Maka baginya laknat-Ku, karena ini telah menipu orang lain dan telah menipu kalian, tapi tidakklah ini dapat menipu Aku!

Akulah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib, Maha Melihat segala apa yang ada di dalam hati, tidak akan samar bagi-Ku setiap apa pun yang tersamar, tidak akan tersembunyi bagi-Ku setiap apa pun yang bersembunyi! Pengetahuan-Ku atas segala apa yang akan terjadi adalah sama dengan Pengetahuan-Ku atas segala yang baqa (kekal), Pengetahuan-Ku tentang yang awal adalah sama dengan Pengetahuan-Ku tentang yang akhir! Aku lebih mengetahui perkara-perkara yang rahasia dan lebih halus, maka bagaimana Aku dapat tertipu oleh hamba-Ku dengan ilmunya? Bisa saja ia menipu segenap makhluk-Ku yang tidak mengetahui, tetapi Aku Maha Mengetahui Yang Ghaib, maka baginya laknat-Ku!”

Maka berkatalah malaikat yang tujuh dan 3000 malaikat yang mengiringi, “Yaa Rabbana, tetaplah laknat-Mu baginya dan laknat kami semua atasnya!”, maka langit yang tujuh beserta seluruh penghuninya menjatuhkan laknat kepadanya.

Setelah mendengar semua itu dari lisan Rasulullah saw. maka menangislah Mu’adz dengan terisak-isak, dan berkata, “Wahai Rasulullah! Engkau adalah utusan Allah sedangkan aku hanyalah seorang Mu’adz, bagaimana aku dapat selamat dan terhindar dari apa yang telah engkau sampaikan ini?”

Berkatalah Rasulullah saw., “Wahai Mu’adz! Ikutilah Nabi-mu ini dalam soal keyakinan sekalipun dalam amal perbuatanmu terdapat kekurangan. Wahai Mu’adz! Jagalah lisanmu dari kebinasaan dengan meng-ghiibah manusia dan meng-ghiibah saudara-saudaramu para pemikul Al-Qur’aan. Tahanlah dirimu dari keinginan menjatuhkan manusia dengan apa-apa yang kamu ketahui ihwal aibnya! Janganlah engkau mensucikan dirimu dengan jalan menjelek-jelekan saudara-saudaramu! Janganlah engkau meninggikan dirimu dengan cara merendahkan saudara-saudaramu! Pikullah sendiri aib-aibmu dan jangan engkau bebankan kepada orang lain”

“Wahai Mu’adz! Janganlah engkau masuk kedalam perkara duniamu dengan mengorbankan urusan akhiratmu! Janganlah berbuat riya’ dengan amal-amalmu agar diketahui oleh orang lain dan janganlah engkau bersikap takabbur di majelismu sehingga manusia takut dengan sikap burukmu!”

“Janganlah engkau berbisik-bisik dengan seseorang sementara di hadapanmu ada orang lain! Janganlah engkau mengagung-agungkan dirimu dihadapan manusia, karena akibatnya engkau akan terputus dari kebaikan dunia dan akhirat! Janganlah engkau berkata kasar di majlismu dan janganlah engkau merobek-robek manusia dengan lisanmu, sebab akibatnya di Hari Qiyamah kelak tubuhmu akan dirobek-robek oleh anjing-anjing neraka Jahannam!”

“Wahai Mu’adz! Apakah engkau memahami makna Firman Allah Ta’ala: ‘Wa naasyithaati nasythan!’ (‘Demi yang mencabut/menguraikan dengan sehalus-halusnya!’, An-Naazi’aat [79]:2)?

Aku berkata, “Demi bapakku, engkau, dan ibuku! Apakah itu wahai Rasulullah?”

Rasulullah saw. bersabda, “Anjing-anjing di dalam Neraka yang mengunyah-ngunyah daging manusia hingga terlepas dari tulangnya!”

Aku berkata, “Demi bapakku, engkau, dan ibuku! Ya Rasulullah, siapakah manusia yang bisa memenuhi seruanmu ini sehingga terhindar dari kebinasaan?”

Rasulullah saw. menjawab, “Wahai Mu’adz, sesungguhnya hal demikian itu sangat mudah bagi siapa saja yang diberi kemudahan oleh Allah Ta’ala! Dan untuk memenuhi hal tersebut, maka cukuplah engkau senantiasa berharap agar orang lain dapat meraih sesuatu yang engkau sendiri mendambakan untuk dapat meraihnya bagi dirimu, dan membenci orang lain ditimpa oleh sesuatu sebagaimana engkau benci jika hal itu menimpa dirimu sendiri! Maka dengan ini wahai Mu’adz engkau akan selamat, dan pasti dirimu akan terhindar!”

Khalid bin Ma’dan berkata, “Sayyidina Mu’adz bin Jabal ra. sangat sering membaca hadits ini sebagaimana seringnya beliau membaca Al-Qur’aan, dan sering mempelajari hadits ini sebagaimana seringnya beliau mempelajari Al-Qur’aan di dalam majlisnya”.

Akhir kata, muhasabahlah sentiasa diri sendiri. Lakukanlah amalan dengan istiqamah kerana Allah s.w.t, ikhlash dan merendah diri kepada-Nya.

Walau sehebat mana pun kita, kita hanyalah hamba Allah dan umat Nabi Muhammad s.a.w. selama-lamanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: