Bahaya Lidah

Dalam benak antara yang paling dalam diri ini,

Daku berhajat akan sesuatu. Berhajatkan sesuatu kebaikan yang makin sukar bila mengira keadaan zaman.

Yang manusia makin hilang mengharapkannya…. makin jauh dari mendekatinya.

Namun, daku tetap meyakini akan kekuasaan Allah s.w.t. Tiada daya manusia untuk mengubah keadaan yang telah dipelihara dan dikehendaki-Nya. Maka, kepada-Nyalah harapanku moga-moga Dia akan sentiasa memelihara dan memakbulkan.

Hajatku, setiap manusia yang melihat laman boleh mengambil pelajaran dan pengajaran akan apa-apa yang berlaku kini. Mengubah hati ramai yang mencintai akan dunia yang akan pergi, kepada akhirat yang kekal abadi. Terutama sekali, agar hati semakin mendekati dan merasai kekuasaan Allah s.w.t yang manusia semakin leka dari mengenali-Nya.

Khususnya,

Buat mereka yang mengenaliku. Mereka yang memahami jiwa dan jasadku.

Sekiranya peringatan ini untuk diri sendiri, insya-Allah daku boleh membawa diri mengikut alunan hati mencari keredhaan Ilahi. Tetapi, apabila memikirkan jiwa dan hati manusia yang lain, maka usaha dari semasa ke semasa diperlukan, moga-moga Allah s.w.t. menunjuki jalan yang lurus dan benar, serta mudah kembali kepada-Nya.

Insya-ALLAH.

“Ya Allah, aku tidak mampu mengubah hati-hati manusia, melainkan Engkau yang Maha Berkuasa ke atas hati-hati mereka.”

“Moga Engkau menetapkan iman kami dan memandu kami di atas jalan-Mu yang benar.”

Amin.

***********************

Bahaya Lidah.

Nampak kecil, tetapi sebenarnya

Sungguh bahaya!!!

Walaupun tiada tulangnya lidah, tetapi ramai orang yang makin menghampiri kedahsyatan api neraka diasbabkan olehnya!

Nauzubillah….

Mengawal lidah juga bererti tidak bercakap perkara yang sia-sia dan disalah gunakan untuk perkara yang tercela. Misalnya, mengumpat, bercakap sia-sia, berkata tanpa keperluan, tidak berhati-hati berkata-kata,berkata tidak elok, melaknat manusia atau haiwan, menghabiskan masa dalam bersyair, memecahkan rahsia, berjanji dan bersumpah palsu, memuji tanpa sebab dan bertanya tanpa asbab (Kitab Ittihad).

Sememangnya lidah ini tiada tulang, lembut dan mudah untuk melontarkan kata-kata. Namun, tanpa tidak disedari jua, kadang-kadang kata-kata itu membuahkan penghinaan, pedas dan kesat, berbaur provokasi dan permusuhan, dan bermacam-macam lagi perkara buruk dilontarkan.

Memecahkan belahkan hubungan sesama manusia, menjadi api permusuhan yang tidak mudah padam.

Dari Abu Hurairah r.a. meriwatkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda: barangsiapa yang telah diselamatkan oleh Allah dari kejahatan anggota-anggota yang ada di antara dua tulang rahang dan di celah dua kakinya (lidah dan kemaluannya) maka dia akan masuk ke dalam syurga.  (HR. Tirmidzi)

Suatu kisah.

Ia kisah benar. Berlaku kepada seorang kenalan.

Suatu hari, dia bermimpi. Mimpi yang pelik sehingga menjadi ikhtibar apabila terjaga. Terus berdoa keampunan dan bacaan yaasin kepada apa yang berlaku dalam mimpinya.

Benar atau tidak, wallahua’lam. Tetapi, ambillah pengajaran kerana sememagnya amalan buruk akan ditimpa azab yang buruk jua.

Bagiku, ini suatu pengajaran dari Ilahi. Walaupun tidak dapat dijangka kebenaran dan kepastian, tetapi ambillah ia sebagai teladan agar sentiasa mengingati bahawasanya ada hari yang pasti berlaku dan akan meninggalkan apa-apa yang ada di sini.

Dalam mimpinya, dia bersua dengan saudaranya yang baharu sahaja meninggal dunia. Meninggal dalam tahun ini, Sekitar dua tiga bulan yang lepas.

Diceritakan, dia bermimpi pergi ke majlis kematian jenazah saudaranya. Ramai orang yang datang ke majlis tersebut. Kedatangan dia bersama dengan saudaranya yang lain.

Ketika menghampiri tempat jenazah saudaranya diletakkan, tiba-tiba dia melihat ramai orang tiba-tiba berlari keluar. Dia merasa pelik. Kenapa pula dilihatnya orang berlari keluar. Apakah yang telah berlaku?

Dalam keadaan terpinga-pinga itu, beberapa orang telah mengusung jenazah saudaranya keluar dan dia sendiri melihatnya. Apabila dia sendiri melihatnya……Allahuakbar!

Dia sendiri ketakutan. Sungguh! Betapa perit dan sadis apa yang berlaku kepada jenazah saudaranya itu!

Orang yang bertanggungjawab ketika itu meminta untuk untuk mengasingkan jenazah itu kepada tempat lain kerana begitu banyak ULAT dan ULAR dalam tempat pengusungan beliau. Tiada seorang pun berani mengalihkannya, tiada seorang yang mahu mengalihkan jenazah itu. Malah mereka melarikan diri.

Dalam keadaan kucar kacir itu,  tiba-tiba dia menangis… Dia menangis melihat apa yang telah terjadi. Kenapa sehingga begitu Allah s.w.t. membuka keaiban beliau. Apakah yang telah dilakukan oleh saudaranya itu sepanjang hayatnya…

Dalam tangisannya itu, dia hanya mampu menyebut, “Allah…Allah… Allah….”

Dengan tidak semena-mena, suatu kekuatan datang dalam jasadnya. Dicapai sekujur kaku jenazah yang telah berkain putih itu dan diletakkan dengan segera ke tempat yang telah disediakan. Tangannya hanya mampu memegang dan meletakkannya kembali ke tempat lain, itu sahaja.

Setelah menyelesaikan situasi dan keadaan itu, dia bersama saudaranya berjalan pulang. Dalam benaknya berfikir, mengapakah manusia hanya mampu melihat, kenapa dia sesiapa yang mahu menolongnya jenazah saudaranya itu? Dan yang paling utama, apakah yang menyebabkan Allah membuka aib saudaranya itu di khalayak ramai? Apakah dosanya?

Dalam perjalanan pulang menaiki kenderaan, tiba-tiba pemandu kenderaan itu berkata, saudaranya itu selalu menjadi ‘link’ kepada orang lain (mengumpat)….

Apabila terjaga, mimpi  itu terngiang-ngiang dalam mindanya. Mungkin ia datang dari syaitan laknatullah untuk menghantar mesej buruk melalui mimpi. Maka dia membuat isyarat ludah 3 kali setelah tersedar ke arah kiri.

Tetapi sekiranya itu datangnya daripada sumber yang lain, mungkin mimpoi itu sebagai petanda dan pengajaran. Pengajaran atas dosa yang berlaku dan akan dibalas di akhirat kelak. Jika tidak di sana, kubur akan menjadi perhentian pertama sebelum menerima azab di sana.

Nauzubiliminzalik.

Dia menyedari, kemungkinan dalam hanya saudaranya itu,, telah menjadi kebiasaan untuk menjadi ‘link’ (mengumpat) kepada orang lain. Jika tidak, dia memohon keampunan atas mimpi yang tercela.

Apa-apapun, dia segera berdoa kepada Allah. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampunkan segala dosa-dosanya di alam sana. Kenalan itu segera  mencari waktu untuk sedekahkan bacaan Yasin kepada beliau moga-moga Allah mengampuni segala dosa-dosa yang telah berlaku.

Peliharalah ia…

Sementara kehidupan ini bernilai dan diberikan peluang untuk menambah amalan, marilah sama-sama bermuhasabah diri dan menjauhkan sifat-sifat yang tercela. Kembali kepada fitrah yang mengharapkan kebaikan, toleransi, keamanan, kedamaian dan kasih sayang.

Lidah ini adalah anugerah Ilahi yang tiada bandingan. Kerana sepotong lidah, Rasul yang mulia boleh menyampaikan perintah dan seruan Allah kepada umat manusia. Kerana sepotong lidah, sesuatu negara boleh diterajui, pimpinan negara mampu utuh berdiri. Kerana sepotong lidah, ungkapan mesra dan menghiburkan hati dapat diluahkan.

Tetapi, kadang-kadang lidah jua menjadi hamba Allah yangtercela. Kebanyakannya dari kalangan wanita kerana mereka lebih banyak berkata-kata dan meluahkan perasaan melalui perkataan berbanding lelaki. Sedar atau tidak, emosi itu mengandungi kata-kata yang kesat, sehinggalah binasalah segala amalan kebaikan.

Oleh itu, untuk mengawal keadaan yang wujud seperti laser mulut memuntahkan peluru, Rasulullah s.a.w. telah mengajar sahabatnya untuk mengawal ia apabila perlu.

“Dari Huzaifah r.a. berkata bahawa lidahku terlalu tajam kepada ahli keluargaku kerana aku selalu memaki mereka. Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w. : ‘ya Rasulullah! Aku khuatir lidahku ini akan memasukkan aku ke neraka. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘ke manakah istighfarmu? (mengapakah kamu tidak beristighhfar yang dengannya lidah kamu dapat diperbetulkan). Aku sendiri beristighfar sebanyak seratus kali setiap hari.”  (HR. Musnad Ahmad)

Maka, beristighfarlah. Istighfar bukan sahaja kerana memohon keampunan kerana ketelanjuran, malah ubat mujarab akan asbab lidah yang keras dan pedas meluahkan perkataan.

Ketika terhambur kata-kata kesat menghina orang lain, beristighfarlah. Ketika, marah dan mulut ingin mengeji orang lain, beristighfarlah.

Insya-Allah, akan terjaga lidah kerana memohon keampunan Allah. Bukan sahaja menambah pahala, tetapi turut terapi yang tiada doktor boleh merawatnya.

Dengan keizinan daripada-Nya, lidah yang tajam itu akan hilang kekejamannya malah menjadi penawar hati manusia yang berduka sekiranya lafaz intighfar sentiasa menjadi buah di mulut dan hati. Hebatnya istighfar pemberian Allah, terapi yang berkesan tetapi manusia lupa nak mengkaji dan menjadikan amalan (Rasulullah yang mulia pun istighfar 100 kali setiap hari, inikan pula diri sendiri yang banyak dosa ini….).

Banyakkanlah berbuat kebaikan dan kurangkan percakapan sia-sia (diam). Melakukan kebaikan kerana Allah s.a.w menjadikan manusia merendah diri dan mengharapkan kelebihan dari Allah s.w.t. Diam membantu melenyapkan keceluparan mulut dan memadam api permusuhan. Sungguhpun berada di jalan benar, tetapi sekiranya diam adalah lebih baik, maka berdiamlah diri. Bersabarlah akan keadaan yang menimpa, carilah ketenangan hati dengan mengakui banyak kesilapan yang dilakukan selama ini. Moga Allah s.w.t. melimpahkan ganjaran yang lebih baik atas kesabaran yang dilakukan.

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan  bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.a.w. dan hari akhirat, maka hendaklah mengatakan kebaikan atau diam.”  (HR. Bukhari)

Dari Anas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bertemu Abu Zar r.a. Baginda s.a.w telah bersabda: “Abu Zar! Mahukah aku khabarkan kepadamu dua perkara yang mana mengamalkannya adalah terlalu mudah dan sangat berat pada neraca timbangan berbanding amalan-amalan yang lain? Abu Zar r.a. telah bersabda: Biasakan diri untuk berakhlak mulia dan berdiam diri. Demi zat yang jiwa Muhammad s.a.w. berada di dalam genggaman-Nya! Tidak ada amalan yang dilakukan oleh semua makhluk yang sebaik-baik kedua-dua  amalan ini.   (HR. Baihaqi)

“Dari Imran bin Hatthon r.a. meriwayatkan bahawa aku jumpa Abu Zar r.a. maka aku dapati beliau sedang duduk di masjid seorang diri dalam  keadaan berselubung dengan sehelai selendang hitam. Aku telah bertanya: wahai Abu Zar! Kenapa kamu berseorangan (berpisah dan menyendiri dari orang ramai)? Beliau berkata: bahawa aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘bersendirian adalah lebih baik dari duduk bersama teman yang jahat. Duduk bersama teman yang baik adalah lebih baik dari bersendirian. Mengatakan sesuatu yang baik kepada seseorang adalah lebih baik daripada berdiam diri. Berdiam diri adalah lebih baik daripada berkata sesuatu perkara yang tidak baik.”  (HR. Baihaqi).

Pelihara dan jagalah ia. Moga-moga Allah s.w.t. membalas dengan sebaik-baik ganjaran dengan syurga yang mulia dan keredhaan khusus dari-Nya.

Dari Abu Juhaifah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyoal para sahabat: “Apakah amalan yang disukai di sisi Allah? Semua sahabat r.anhum diam dan tiada sesiapa pun yang telah memberikan jawapan. Maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: amalan yang paling disukai Allah ialah menjaga lidah.”  (HR. Baihaqi)

Kepada-Nya aku mengadu

Kepada-Nya aku memohon pertolongan

-kadang-kadang mata di hati merasai sesuatu…. Tetapi entahlah… tidak diketahui dari pintu mana ingin mengatakan benar atau tidak. Biarlah Allah s.w.t yang Maha Mengetahui segala-galanya menentukan ia.

-apa-apapun, semoga Allah sentiasa memelihara, mengurniakan kebaikan, kemudahan, dan memberikan pertolongan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: