Doa: Manifestasi Janji Allah

Suatu ketika dulu, artikel ini pernah dinukil di laman ini.

Kini, artikel ini digarap kembali apabila melihat ada kesesuaian dan baik  untuk dihayati.

Moga Allah sentiasa merahmati dan mengurniakan kekuatan iman dan takwa di sebalik perjuangan dan kehidupan.

Belajar dan belajar lagi kerana Allah SWT.

Kali ini menulis tentang suatu kalimah, iaitu doa yang tercipta menjadi janji buat sang Pencipta. Doa yang biasa dilafazkan oleh setiap muslim adalah menjadi janji yang utuh buat pesanan Allah s.w.t.

Dalam menilai doa sebagai janji dari Allah, alangkah indah dan baiknya diketahui janji apakah yang menjadi pertolongan dan perlaksanaan oleh-Nya.

Allah s.w.t telah menukilkan dalam al-Qur’an akan janji-Nya yang pelbagai pada orang beriman dan sekalian umat sehingga ke ahkir zaman. Dari kisah kejadian manusia, penciptaan alam semesta, kisah syurga dan neraka, balasan amal kebaikan dan amal kejahatan, dan peristiwa akhir zaman, semuanya tercatat dari kalam-Nya yang mulia, al-Qur’anul karim, serta sabdaan kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w.

Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah:

“Janganlah sekali-kali kamu berasa ragu atas janji Allah yang telah dijanjikan-Nya, sedangkan waktunya sudah pasti (akan datang), tetapi ia belum datang, agar keraguan kamu itu tidak akan mengotori basirah (pandangan batin) dan tidak memadamkan cahaya  nuranimu.”

Antara janji Allah ialah akan mengabulkan doa hamba-hamba-Nya. Berdoa ialah termasuk dalam salah satu ibadah, bahkan ia juga merupakan senjata bagi orang mukmin. Ketika seseorang manusia memerlukan sesuatu, baik kepentingan ukhrawi mahu pun duniawi, berdoalah dahulu kepada Allah, agar sesuatu yang diingini itu akan dikabulkan-Nya.

“Dan apabila bertanya hamba-hamba-Ku kepada engkau tentang Aku, maka (katakanlah), ‘sesungguhnya Aku adalah  Maha Dekat. Aku memperkenankan  permohonan orang yang berdoa jika dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memperkenankan (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka sentiasa dalam kebenaran.”  (Surah al-Baqarah: 186)

Demikianlah apa yang telah dijanjikan oleh Allah Taala. Setiap manusia yang beriman kepada-Nya, berharap dan memohon kepada-Nya, Allah berjanji akan mengabulkan doa buat hamba-hamba-Nya.

Namun, adakalanya doa itu tidak hadir seperti yang diharapkan. Apabila suatu doa belum dikabulkan, bukan bermakna Dia tidak menepati janji-Nya. Bukanlah Dia bersifat seperti ciptaan-Nya. Dia Maha Menepati Janji.

Janganlah  kerana berlakunya keadaan yang tidak memihak kepada orang yang berdoa menyebabkan dia ragu-ragu  akan janji-Nya. Apabila telah datang keraguan pada hati manusia, maka akan reduplah cahaya iman yang menerangi pandangan mata hati manusia.

Perhatikanlah firman Allah yang bermaksud bahawa Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya. (Yunus:63). Kalam Allah ini dapat dijadikan sebagai pegangan agar hati tidak ragu-ragu dan tidak berputus asa dari terus menadahkan tangan dan berdoa kepada-Nya.

Hal ini bersesuaian dengan janji Allah, tiada suatu pun yang tidak akan dikabulkan oleh-Nya, apabila hamba-Nya memohon kepada-Nya, bergantung kepada masa dan ketika yang sesuai yang sudah pasti ditentukan oleh Allah kepada hamba-Nya.

“Janganlah kerana  terlambatnya pemberian Allah itu  walaupun engkau telah berdoa bersungguh-sungguh menyebabkan engkau berputus asa. Ketahuilah, bahawa Allah telah menjamin untuk memperkenankan segala permintaanmu berdasarkan yang telah dipilihkan-Nya  untuk engkau, bukan atas apa yang engkau pilih untuk dirimu, dan pada waktu yang sudah dikehendaki-Nya untuk engkau, bukan  pada waktu yang engkau kehendaki.” (Ibnu ‘Athaillah)

Ketahuilah, bahawa adakalanya Allah s.w.t memperkenankan  doa hamba-Nya dengan segera, tetapi ada pula yang dilambatkan oleh-Nya. Bahkan ada doa para hamba-Nya ketika di dunia ini tidak dikabulkan, tetapi dikabulkan jua di akhirat kelak, dan inilah sebaik-baik waktu untuk dipenuhi oleh permintaan seseorang.

Sekiranya hamba yang berdoa itu mengerti bahawa doa yang dikabulkan di akhirat kelak lebih mulia dan baik dari diperkenankan ketika hidupnya di dunia, nescaya mereka akan berharap agar semua doanya itu akan diperkenankan di akhirat kelak.

Gerangan ketentuan Allah bilakah masa yang sesuai untuk dimakbulkan doa hamba-Nya membuktikan manusia tidak pernah mempunyai kuasa walaupun sedikit, yang boleh memaksa Allah agar Dia segera memperkenankan doa makhluk-Nya. Soal cepat atau lambat bergantung kepada kemurahan dan iradah-Nya, bukan mengikut apa yang hamba-Nya kehendaki. Sekiranya Allah sudah berkehendak, tiada seorang juapun yang mampu menghalang dan mencegahnya.

Sesungguhnya semestinya manusia itu bersyukur, kerana apa yang telah ditentukan kepada setiap manusia itu adalah apa yang terbaik buatnya, walau kadang kala yang datang itu kurang menyenangkan. Mungkin ada hikmah dan teladan di sebalik kejadian.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia amat baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu,sedangkan ia adalah amat buruk kepadamu. Dan Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”  (Surah al-Baqarah: 216)

Hadith Rasulullah s.a.w:

“Tiada seseorang pun yang berdoa melainkan Allah pasti akan mengabulkan doanya atau dihindarkan bahaya daripadanya atau diampuninya sebahagian dari dosanya selama dia tidak berdoa untuk sesuatu yang mengarah kepada kemaksiatan atau untuk memutuskan hubungan silaturrahim.”

Athsar sahabat r.a:

“Sesungguhnya seorang hamba Allah berdoa kepada  Tuhan Azza wa Jalla, maka berkatalah Allah kepada malaikat-Nya, ‘perkenankanlah kemahuan hamba-Ku itu, tetapi janganlah diberikan dengan segera. Tahan seberapa ketika, kerana Aku sangat suka mendengar doanya.”

Jasad yang menuju jauh ke pelusuk dunia

Jiwa dekat dirasai menghampiri tangan dan genggaman

Jiwa tidak sirna di bawah takluk Tuhan

Allah knows the best

Allah ya’lamu wa antum la ta’lamun

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: