Antara nikmat dan musibah

Kemuliaan, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta tabi’dan tabi’ tabiin, yang bangun memperjuangkan kalimah ALLAH agar teguh gah dan mekar di muka bumi ini.

Islam yang terbangun bukan dalam masa sehari, memupuk 1001 pengorbanan para umara’, para ulama’, para dai’e, syuhada’, dan para salafussoleh bersatu hati, memaku diri dan kaki, tegak berdiri memperjuangkan kembali, mengagungkan kalimah suci, Lailahaillah, Muhammadurrasulullah di muka bumi Allah ini. Alhamdulillah…

Semoga kalian akan kutemui di sana. Semoga kalian menjadi penyanjung jiwa ini untuk terus berjuang tegak, dan kukuh berdiri mengutip mutiara ilmu dari para ilmuan dan cendekiawan di muka bumi ini, sementara nyawa dipinjam dari-Nya.

Ilmu yang kutimba adalah berharga. Ilmu yang kuterima adalah mulia.

Ia adalah nur. Ia memenuhi hati yang bersih dan suci, menghormati dan memuliakan martabat ilmu, terletak di hati dan sanubari, bukan di atas buku sahaja, rujukan bila ingin ditemui.

Semoga ilmu yang kuterima ini, kembali kusampaikan dan kulafazkan pada mereka yang memerlukan. Semoga setiap didikan dan tunjuk ajar dari murabbiku, para ilmuan yang kutemui, cendekiawan yang sentiasa berkongsi, dimuliakan oleh Allah, dan penuhi diri dengan kerahmatan dari-Nya. Amin.

Wahai diri dan sanubari, kubangun melangkah kaki, menjejak kaki, menagih hati,

Menyampaikan peringatan ini. Agar sentiasa modifikasi kembali jiwa, yang dahagakan peringatan dan penyucian jiwa bahawasanya dunia ini sifatnya sementara, perjalanan sebuah permusafiran, sentiasa memerlukan bekalan dan penghayatan, agar tidak rugi dan kecewa ketika tibanya kaki dan langkah di sana…

Semoga bermanfaat…

Antara nikmat dan musibah.

Ingatlah.

Ia sentiasa silih berganti dan berganti-ganti. Ia datang tanpa dipinta, ia datang tanpa sesiapapun menadah tangan mempersilakannya.

Ia adalah aturan Allah s.w.t. Melihat ke dalam setiap diri hambaNya, apakah mereka sedar siapa mereka, dan di manakah aturan dan perancangan mereka.

Allah melahirkan nikmat, adakah hambaNya mengerti erti bersyukur…

Allah menimpakan musibah, melihat adakah hambaNya mengerti erti iman di dalam dada…

Nikmat itu adakalanya adalah pemberian rahmat dari Allah s.w.t

Namun, adakalanya ia adalah ujian dari Allah s.w.t

Rahmat setelah ujian yang menimpa, diberikan nikmat sementara di dunia, agar mengerti pada hati, diri seorang hamba, bahawasanya, Dia Maha Mengerti, Mengetahui, dan Maha Mendengar setiap rintihan dan rayuan hambaNya di dunia ini…

Namun, ujian menimpa bila itu adalah istidraj dariNya. Nikmat yang melimpah ruah, sentiasa bertambah, untuk melihat sejauh mana hambaNya mengerti semua pemberian itu adalah dariNya, suatu hari nanti pasti kembali kepadaNya.

Nikmat jua menjadi ujian pada hambaNya, apabila diberikan nikmat untuk melihat sejauh mana hambaNya mengerti erti bersyukur kembali hambaNya kepadaNya. Malah, menjadi suatu ujian, apabila Dia ingin menguji takwa, iman, kesetiaan, kepercayaan, dan keyakinan hambaNya akan janji yang telah ditetapkan buat hambaNya suatu ketika nanti.

Ia ibarat suatu perjalanan yang menuju ke sebuah destinasi. Lebih mudah sebuah jalan yang menuju ke penghujung. Tetapi, dalam perjalanan melalui jalan tersebut, walaupun lurus, pasti ada simpang siurnya, lalu lintas yang merbahaya, haiwan buas yang menerkam bila-bila masa, dan sebagainya. Bak kata, pasti ada sesuatu yang tidak diduga, diciptakan pada hambaNya, menguji di mana hati dan jiwa hambaNya, ketika ujian itu menimpa.

Ia tetap menuju ke pengakhiran. Tetapi, bagaimanakah kita, sebagai manusia dan hamba menghadapinya. Jika terlupa akan kewujudan kita di dunia ini hanyalah melalui sebuah perjalanan, untuk sentiasa memuja memuji namaNya, dan beribadah hanya untukNya, mungkin sahaja pengakhiran yang kita tuju adalah sesuatu yang tidak diduga, dan menyatakan natijah yang sukar diterima. Nauzubillahiminzalik…

Mudahnya, seperti perjalanan dalam kehidupan, yang pastinya ada kematian di pengakhiran. Sekiranya kita terlupa akan hakikat kita sebagai hamba untuk beribadah kepadaNya, melakukan perkara yang mungkar dan maksiat, menjadi hamba yang tidak taat, dan mati dalam keadaan hina, maka suul khatimah mungkin padaNya. Nauzubillahiminzalik…

Begitu jua urusan yang lain. Pintu dan jalan ke hadapan sentiasa terbuka. Namun, jangan disangka tiada onak dan duri di sepanjang perjalanan, mengharapkan kebaikan dan ujian.

Maka, ketika nikmat itu diibaratkan ujian, ujian dari Allah s.w.t melihat keimanan dan ketakwaaan hambaNya, bagaimanakah keyakinan hamba itu akan janji yang telah dijanjikan pada hambaNya itu. Bagaimana si hamba menerima hakikat nikmat itu hanyalah ujian, dalam sebuah perjalanan. Dia menguji, kerana hambaNya itu sememangnya layak diuji. Bukankah Allah telah menyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 286;

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Oleh itu, sekiranya nikmat itu diibaratkan sebagai ujian, maka kembalilah hati, jiwa dan diri kita kepada Pemiliknya. Kembalikan setiap penjuru hati kita, menafikan kehebatan dan kuasa makhluk yang lemah dan kerdil, dengan Maha Kuasa Allah, Maha Hebat Allah mencipta sekalian makhluk dan semesta Alam. Menafikan setiap kalam memuja upayanya makhluk yang diciptakan oleh khalik.

Ketika itu, senjata yang kita ada adalah iman dan takwa yang ghaib, tidak mampu dipandang oleh pancaindera dalam sanubari. Tetapi, iman dan takwa mampu diukur dan dikenal pasti dengan kembalinya hati kita kepada Pemilik TerAgung. Terasa manisnya iman, tenangnya tenaga kehidupan (walaupun penuh sana sini kemaksiatan dan kemungkaran), dan terasa taqarrub hati ini, menyembah dan mengagungkan Tuhan, Allah s.w.t.

Perisai kita adalah doa. Sungguh, ketahuilah doa itu sememangnya senjata pada mukmin dan solehin. Senjata yang menembus hati dan sanubari pada mereka yang sentiasa didoakan selama ini. Meresapnya, meleraikan setiap ikatan nafi yang pernah wujud selama ini. Doa itu senjata agung yang bukan boleh dijual beli. Tetapi, ia adalah perisai dan senjata yang hanya muncul apabila kita mengenal siapa yang didoakan, dan siapakah yang memakbulkan setiap doa yang dipanjatkan.

“Berdoalah kepadaKu, pasti akan Aku kabulkan”

“Sesungguhnya Aku lagi dekat dari urat lehermu.”

Perhatikanlah, betapa mustajabnya doa ibu kepada anaknya, betapa makbulnya doa orang yang dizalimi kepada penzalimnya.

Sekiranya tidak on the spot, pasti berlaku di kemudian hari.

Buat diri dan si hati kecil pula, sediakanlah ia dengan sentiasa memenuhi tanggungjawab dan bebanan yang telah diperintahkan olehNya. Banyakkanlah beribadah, bersyukur, dan bangun pada sebahagian malam, untuk hanya Mengesakan Dia, Yang Maha Berkuasa. Dia Maha Melihat setiap apa yang kita kerjakan. Maka Dia Membenarkan jiwa yang melaksanakan perintah dan menghindari setiap laranganNya. Hanya, syarat utamanya, HANYALAH UNTUKNYA. Hadirkan hati dan diri ini dengan IKHLAS, mencari redhaNya, dan meyakini akan rahmat hanya milik esa dariNya.

Begitu jua kepada musibah. Adakalanya musibah dijatuhkan sebagai hukuman atau kaffarah. Kerana bongkak, angkuh, dan sombongnya hamba untuk mengabdikan diri kepadaNya.

Adakalanya, musibah ditimpakan sebagai ujian buat hambaNya, melihat sejauh mana iman dan takwa yang masih terbekal di dalam jiwa.

Dan adakalanya, musibah terjadi kerana ingin dibenarkan kembali hati dan diri, siapa Khalik, siapa Makhluk. Membenarkan hikmah di sebalik musibah, agar dididik hati untuk kembali memuja dan memuji Pemilik yang Maha Agung, Dia layak memberikan rahmat, Dia yang layak menguji hamba-hambaNya. Dia adalah yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui setiap isi hati hamba-hambaNya. Setiap tangis dan rintihan hati yang mengadu akan musibah yang diciptakan, Dia Maha Mengetahui, dan Dia menghapuskan dosa-dosa hambaNya yang telah lalu. Sekiranya, hati dan jiwa hamba itu sentiasa redha dan meyakini setiap musibah, pasti ada hikmah. Mereka ingin menimba pengajaran dan pedoman dari Rabbi, yang sentiasa disampaikan tanpa disedari.

Bekalan mengawal diri ditimpa musibah seperti halnya menerima rahmat dari sisi Tuhan. Doa yang dipanjatkan, jiwa yang taat melaksanakan perintah dan ibadah, serta hati yang kembali mengagungkan Dia ialah Maha Pencipta, Maha Menentukan segala-galanya. Dia sahaja yang layak menguji, kerana Dia yang Maha Berkuasa. Hati itu kembali mengagungkan Khalik, kerana kepadanNya setiap diri akan kembali.

Sungguh, sesiapa yang tinggi kesabarannya, merekalah yang lebih dimuliakan. Mereka tidak pernah rugi. Malah mereka bertambah ganjaran pahala, dan melupuskan bekalan dosa, tanpa diketahui.

“Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.”

Langkahku masih jauh,

Pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuhi

Pelbagai pengorbanan yang dirasai akan dilaungkan

Sekian dahulu peringatan buat diri terutamanya kali ini…

Dan, Salam Ramadhan, sudah 8 hari ia berlalu.

Kurindui rahmat dariMu, kurindui hati yang mengasihi hambaMu

Kulafazkan kasih hanya milikMu. Kuyakini akan setiap janji yang telah tetapkan buat hamba-hambaMu.

Bimbinglah daku, bimbinglah daku, bimbinglah daku…

Ajarkanlah apa yang aku perlu dan tidak kuketahui, kerana Engkaulah yang Maha Mengetahui.

Lindungi dan peliharalah hati-hati ini, kurniakanlah kami di bawah naungan rahmat dan hidayah dari sisiMu, membawa erti syurga itu yang abadi…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: