Selamat Tahun Baru!!!

Selamat Tahun Baru!

Alhamdulillah, segala pujian yang hanya wujud kepada Allah, Tuhan yang Maha Menciptakan sekalian alam.

Hari ini, merupakan episod yang baru dalam tahun diari hidupku.. Menjalani kisah dan pengalaman yang baru dalam perjalanan menyelusuri kehidupan  ini.

Menyambut kelahiran seorang bayi, ketika umurnya baru satu hari sehinggalah ke dewasa ini, mengenangkan betapa susah payahnya ibu dan ayahku mendidik, mengasuh, membimbing anaknya ini mengalami situasi yang berbeza dari kecil, sehingga dewasa. Kuterkenangkan waktu itu, melalui nukilan ini.

Waktu kecilku, penuh dengan ragam dan cara. Suka bermain, melompat, merajuk, menangis, ketawa, dan menghiburkan hati orang lain, menjadi sebahagian dari kisah hidupku. Diriku menjalani situasi yang pelbagai untuk memenuhi kisah perjalanan sebuah kehidupan.

Bagi bermulanya kisah kelahiranku yang baru ini, molek rasanya daku menghasilkan ‘interview’ pengalamanku siapa kedua orang tuaku (tak banyak, sikit sangat ni..).

Ketika daku masih kecil lagi, ayahku sudah mengajarkan mengenal huruf2 al-Qur’an. Ayahku seorang yang tegas, berhati mulia dan patuh pada agama. Beliau sentiasa hadir ke masjid, membaca al-Qur’an, dan mendengar kuliah pengajian yang sentiasa diadakan di masjid sana. Malah, ketika menyambut Ramadhan ini, ayahku tidak pernah terkecuali dari  menjadi bilal tarawikh, solat 20 rakaat tarawikh, bertadarus sehingga ke 12 malam, dan bersahur bersama-sama keluarga. Mungkin daku boleh mengatakan ayahku khatam satu dua juzuk setiap hari, disebabkan asyiknya beliau membaca al-Qur’an selesai solat Subuh, Asar, Zuhur, Maghrib dan Isyak. Malah, di bulan Ramadhan ini, ketikaku masih kecil, daku sentiasa bersama-sama dengan ayah pergi ke masjid untuk bertadarus bersama-sama dengan pakcik yang lain, sehingga lewat 11.30 sehingga 12.00 malam. Seronok, sebab masa kecil, daku teringat yang paling seronok ialah ketika akhir Ramadhan. Pengurusi masjid memberikan penghargaan kepada para pentadarus al-Qur’an. Maka, daku dengan gembiranya berjaya mengumpul RM60.00-RM70.00 sepanjang Ramadhan dengan bertadarus bersama-sama dengan ayah. (Hihihi… bila terkenangkan, tadarus untuk cari duit pula. Tak ikhlas.. ish, ish, ish…)

Ketika daku masih kecil, baru seusia 4-5 tahun, beliau telah mengenalkan daku bagaimana membaca iqra’. Mengenal alif, ba, ta, tha, dan sebagainya. Tak pernah beliau mengenal erti penat dan lelah. Beliau akan sentiasa mengajar mengenal huruf-huruf al-Qur’an ini kepadaku bersama adik beradik yang lain pada sebelah petang, dan waktu maghrib pada setiap hari. Ketika beliau mengajar, ketegasan beliau mengajar kami sentiasa wujud di depan mata  (boleh dikatakan focus dan serius pada sesi pengajaran). Namun, boleh sahaja beliau membuatkan kami ketawa bersama-sama dengan lawak spontan dan kisah kehidupan beliau, ketika waktu yang lain.. Banyak kisahnya, dari cerita orang-orang kampung, sahabat beliau, dan zaman beliau semasa remaja ke dewasa sentiasa terselit diceritakan kepada kami ketika bersama-sama dengan beliau.

Hasilnya dari tunjuk ajar ayahku, segala puji Tuhan yang Maha Menciptakan dan Memberi kefahaman kepada hambaMu ini, menjadikan daku sentiasa teguh dan utuh membaca al-Qur’an sehingga kini. Malah, kini daku sentiasa rasa dahagakan nur Al-Qur’an. Tidak cukup sekadar membaca, daku cuba memahami bait ayat-ayatnya dan mentadabburinya. Sungguh, bertambah rasa inginku terus bersama al-Qur’an, penuh dengan pengajaran, doa, kisah, dan pengetahuan yang tidak pernah terfikir dek akal yang lemah ini.

Ibuku pula seorang yang tabah dan penyayang. Beliau penuh dengan rasa kasih, tak jemu-jemu melaksanakan tugas2 tugas di rumah. Dari pagi sehingga ke malam. Beliaulah yang paling awal bangun di antara kami. Malah, beliau juga yang paling awal tidur daripada kami. Sekitar pukul 300-4.00 pagi, beliau sudah membasuh muka, menghadap wajah ke dunia. Bukan nak bangun basuh baju, tetapi nak menjahit baju. Seorang suri rumah sepenuh masa, dengan mengambil upah menjahit baju orang lain. Banyak tempahannya, malah di bulan yang mulia ini, lagi banyak. Tak menang tangan. Sampai kadang2 (boleh dikatakan banyak kali…) baju raya kami pun tak siap lagi di pagi raya (dah lihat baju melayuku pada setiap hari? Cantik bukan? Itu semua ibuku yang buatkan. Tak pernah beli satu pun. Hihihi….)

Teringat lagi, ketika larut malam mahupun petang beliau menjahit baju, kadang2 itu, sampai tersengguk-sengguk mengadap mesin jahit. Air kopi pula sentiasa ada di atas meja. Kadang-kadang bila beliau terlelap, daku pergi sergah beliau. Kadang-kadang adikku yang lain pula usik beliau (“tidur ya? Nanti tak siap baju…”). Tersenyum sahaja beliau bila kami kejutkan. Lepas itu, terus sahaja maju balik tangan, jahit baju orang. Sungguh gigih usaha beliau. Malah, ketika dahulu, daku ada juga bersama adik beradikku yang lain turut membantu ibuku. Bertambah semangatnya kami menjahit kerana beliau beri upah setiap baju yang dijahit. Hasilnya, kini, daku dah pandai menjahit, atau menyembat seluar sendiri. Hihhihi….

Terharunya bila kubaitkan kembali pengalaman semasa dengan beliau, beliau merasai tidak pernah kenalnya beliau akan erti penat lelah pengorbanan sebagai seorang ibu, dan bertugas sebagai suri rumah sepenuh masa. Kain baju kami, makan minum kami, pakaian kami, bilik kami, dan sebagainya, sentiasa di bawah perhatian dan peranan beliau. Tak pernah letih dan keluh atas tugasan beliau yang setiap hari dilakukan.

(Begitulah pengorbanan seorang ibuku. Sungguh, nukilan ini hanya seciput buat kasih sayang dan pengorbananmu… )

Beliau juga tidak banyak bercakap sebenarnya. Lebih banyak mendengar kisah dan cakap orang yang lain. Tetapi, bila berjumpa dengan kenalan yang rapat, tak pula mengenal reti lupa nak berkata-kata. Suka pula berborak ceritanya. (Kadang-kadang sampai lupa pula nak masak. Hihihi….) Ini diakui oleh beliau sendiri. Kalau sudah kenal dan rapat, mulut yang tertutup rapat, tak nampak mana kunci nak kacipnya kembali. Beliau juga seorang yang penyabar. Sabar dengan kerenah kami. Sabar dengan ragam anak-anaknya yang penuh ‘huha-huha’. Kami ini macam-macam perangai. Ada yang buat beliau ketawa, gembira, sedih, marah, kecewa, dan macam-macam la…(Nak cerita lagi, tak menang tangan ni…). Namun, untuk terus memberikan didikan yang terbaik buat kami, tegur dan marah itu menjadi perkara biasa agar kami sentiasa menjadi anak yang patuh dan rajin pergi ke sekolah setiap hari. (Kadang-kadang, terasa juga diriku ini, banyak menyambut sifat ibuku yang kukasihi)

Itu hanya sedikit sahaja kisah mengenai ibu dan ayahku yang kukasihi, yang tidak pernah kenal erti penat jerih, membimbing daku dan adik beradikku yang lain, sehingga menyambut usia dan tahun kelahiranku terkini. Sungguh, jasamu, dan kebertanggungjawabzn dirimu mendidik daku tidak dapat diganti walau sebanyak manapun wang dan harta yang kuberi kembali kepada kalian. Hanya Allah yang Maha Pemurah, mampu merahmati dan mengurniakan tempat kemuliaan buat kalian.

“Ampunilah ibu bapaku ya Rahman, kasihanilah mereka ya Rahim. Tempatkanlah kami di tempat para solehin dan mukminin. Amin. “

Kini, daku telah menginjak usia 22 tahun. Alhamdulillah, masih bernafas, cerdas, dan cergas mengayuh langkah, memacu diri menghadap dunia. Mencipta dan mengecapi kejayaan. Beroleh kebaikan dan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Malah, kini lagi daku semakin sedar dunia sifatnya sementara. Suatu hari nanti, dunia tidak akan bersama-sama denganku menghadap Allah s.w.t. Maka, amalanku menjadi sebahagian dari petunjuk jalan buat kebahagiaan ukhrawi, kini kusedar menjadi topik utama.

Sebagai manusia, yang sering alpa dan leka, untuk sentiasa berada dan tidak lupa akan-Nya, daku akan berusaha mencari dan sentiasa mendampingi peringatan dan rakan yang sentiasa ringan mulut memberi kata nasihat, serta sama-sama beramal soleh hanya kepada-Nya. Supaya daku tidak akan lupa dan alpa, bahawa daku ada misi yang perlu dilaksanakan sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini di samping terus menyelusuri kehidupan duniawi ini.

Sebagai permulaan kelahiranku yang baru juga, daku akan sentiasa memperbaharui azamku untuk teruskan perjuangan, dengan masa yang tidak sia-sia lagi digunakan. Tekad yang teguh untuk berada pada kalimah Allah s.w.t.  ketika mengharungi kehidupan dan beroleh ketenangan dan kebahagiaan.

Dengan ini, daku ceritakan serba sedikit azamku yang baharu, demi masa depanku yang perlu daku rencanakan, supaya daku tidak lupa yang daku ada pilihan, Dia sahaja yang Maha Menentukan.

Perkara pertama dan utama,

Ini mungkin ramai manusia mengatakan, “apalah buat benda ini, tak banyak faedahnya.” Namun, biar sahaja mereka berkata-kata, setiap manusia ada mulut, dan cara masing-masing. Apa yang penting, (kerjasama!) perkara yang dilaksanakan adalah mendatangkan kebaikan. Walaupun bukan masa sekarang, tetapi buat masa hadapan. Long Term Thinking is better than short term thinking, without any changes and achievement (pepatah omputih, reka sendiri).

Inilah dia, memperkenalkan, e-book

Hihihi….

Sebenarnya, makhluk ini sudah lama wujud dan terperap dalam laptop ini. Tapi, disebabkan banyak masa yang digunakan dan tidak lupa yang dibazirkan pada melihat file-file yang lain, softcopy yang lain, e-book ini terpinggir dan tidak berjaya diselak untuk terus mendalami dan memahaminya.

Entah macamana, pada 2-3 hari lepas, dengan kebesaran Allah s.w.t, Dia membuka seluas-luasnya pintu hatiku, melapangkan dadaku dan sanubariku untuk membuka file ini, membeleknya, sekaligus mencetaknya kembali.

Buat e-book ini, daku tidak pernah menafikan, kandungannya antara yang terbaik pernah daku lihat, walaupun tidak sampai sepenuhnya membaca setiap muka surat e-book ini. Ayat dan perkataannya seperti ‘dekat’, informasinya begitu luas, praktikalnya mudah, dan kaedah yang dipaparkan bukanlah abstrak dan melankolik untuk dipraktikkan . Daku sebenarnya memang tertarik membacanya sejak pertama kali. Tetapi, disebabkan kelemahan dan kekuranganku, tidak berjaya juga khatam dan membaca sepenuhnya. Sehingga kini, dengan kudrat yang dikurniakan Allah s.w.t., daku berjaya juga mencetaknya, (selain lebih mudah melihat kerana terang-terang di depan mata) untuk sentiasa daku fahami dan mendalaminya kembali.

Atas jua petunjuk dan nur dari Ilahi, daku mencetakkannya dengan penuh kecantikan dan kekemasan (rasanya…. ini antara buku dan kertas yang penuh kesungguhan menghasilkan cetakan yang terbaik). Sungguh, banyak kertas yang telah ranap, rosak dan penuh dengan kesilapan ketika daku ingin menghasilkan sendiri hard copy untuk e-book ini. Sekejap kertas ‘jam’, ‘makan’ dan salah muka surat, printer buat hal, ink habis, menyukarkan daku untuk menghasilkan karya yang nampak kemas dan cantik ini.

Tetapi daku tahu, untuk mencapai sesuatu perkara, bukanlah semuanya menjadi mudah dan senang untuk menghasilkannya. Tidak rasa nak berputus asa, dan tidak peduli kertas yang telah rugi (kerana itu tidak layak untuk di’claim’kan walau sedikitpun), dari pukul 3.00 petang sehingga ke 8.30 malam, baru hardcopy ini berjaya dihasilkan.

Keesokannya, terus pergi kedai Encik Cina untuk buat cover dan tidak lupa binding comb, agar nampak semakin cantik, menarik, kemas, dan bergaya sekali. (kalau tidak puas hati, boleh buka mata luas-luas mmelihat dan memerhati hasil karyaku ini).

Oleh itu, tidak lupa disini nak mengucapkan terima kasih kepada penulis e-book ini, Encik M. Jaafar dan Puan Azlina Sidek. Semoga ilmu yang kalian curahkan ini menjadi saham kalian buat anak bangsa dan juga saham kalian buat di sana, kerana bersama-sama berkongsi ilmu kaedah meraih anak yang pintar, cemerlang dan soleh, yang menjadi keutamaan. Jadi, di sini, daku me’link’kan blog kalian, agar orang lain mendapat turut terkesan dan beroleh manfaatnya. Website: rahsia anak pintar

Dan, lagi tidak lupa dariku untuk ucapan terima kasihku kepada yang sudi mencurah idea dan informasi, serta meniup puting beliung semangat untukku ketika itu, bagi membeli dan perlu membaca e-book ini. Sungguh,  daku merasai dan melihat akan kesungguhannya menanam keinginan dan keyakinan untuk membeli, sehingga daku tidak dapat menolaknya, malah mengatakan, “ya, e-book ini perlu daku beli, memahami dan mendalaminya.” (tambahan: nanti, dengan keizinan Ilahi, bila sampai masanya, akan dipraktikkan pula. Hihihi…)

Tidak perlu kuolah lebih lanjut dan lebih mendalam lagi tentang e-book ini. Kerana dasarnya sudah sedia ada. Hanya usaha, dan keinginan untuk terus dan terus menelaah sahaja yang perlu kucurahkan (ya Allah, berikanlahku kekuatan. Amin.) Dan, perlu kembali kuingatkan, usiaku tidak akan kembali ke belakang, mengenang zaman permainan dan cerita “Barney and friends” dan “Sesame Street”, sebaliknya, usiaku terus menginjak ke hadapan dan daku akan berdepan dengan suasana yang semakin berbeza, rencam, cabaran zaman, dan keluarga yang akan menjadi kebertangungjawaban.

Oleh yang demikian, perkara utama ini bukanlah azamku yang boleh diambil mudah dan dipermain-mainkan. Kerana, ini merupakan persediaan awal berhadapan dengan realiti yang tidak tahu bagaimana perlu kubermula, tetapi sememangnya akan daku hadapi dan kembali disoal oleh Allah s.w.t.

Semoga daku berjaya menjadi hamba-Mu yang dengar dan taat, serta menjadi pemimpin yang Engkau redhai, terutamanya kepada ahli keluargaku kelak. Membimbing mereka menjadi contoh teladan, anak yang soleh dan solehah, menjauhi kemerosotan akhlak dan agama di akhir zaman, dan bepegang teguh dengan ajaran-Mu, ya Rahman. Kerana, telah termaktub dalam janji pada firman-Mu dalam surah At-Tahrim, ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaga-penjaganya malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Semoga hamba-Mu dan kami sekaliannya, sentiasa dinaungi rahmat dan hidayah dari-Mu, mengecapi nikmat dan kemuliaan syurga-Mu yang hakiki dan abadi.

Perkara kedua dan ketiga,

Hanyalah perkara sampingan, kerana minat dan kemudahan yang telah diperoleh.

Main-main dengan kamera dan teruskan menulis dan menulis. Mengorak langkah lebih maju, menghasilkan karya yang lebih baik dan sentiasa mempunyai peningkatan.

Menulis memenuhi kelapangan. Menulis sebagai peringatan kepada diri sendiri terutamanya dan kepada yang lain sekaliannya.

Kamera hanya digunakan bila diperlukan dan memerlukan. Sekarang, sudah ada rakan sekaki. Jadi, boleh sama-sama mengambil gambar sekali. Belajar pegang DSLR, belajar mengambil gambar.

Antara yang foto yang berjaya dihasilkan dihasilkan:

(sabahagian dari foto sekitar convex hari itu sahaja ni…)

Semuanya hanya adalah azamku untuk mengisi masa kelapangan. Kebanyakan kelapanganku melalui pembaziran kerana kegagalan menguruskan masa dengan lebih baik. Malah, dalam keadaan begini, ada sahaja pelbagai urusan ada secara rasmi dan tak rasmi. Dalam dan luar universiti. Pelajaran yang sentiasa perlu diulangkaji, ilmu perlu sentiasa dimiliki.

Oleh itu, perjuangan menuntut ilmu sentiasa perlu diteruskan. Tak boleh rasa lemah, walaupun itu merupakan kebiasaan dalam sebuah perjuangan.

Serta azamku yang terus menerus kewujudannya, untuk sentiasa ingin menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini.

“Teruskan berjuang wahai syabab, kerana dirimu mengorak langkah ummah”

. Teruskan!

“Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk dan berilah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memberi.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: