Ketenangan dan Kemuliaan

Kadang-kadang melalui ranjau kehidupan ini kita sering mengharapkan pada bentuk nikmat dan kelebihan yang sementara. Nikmat yang berbentuk harta, pangkat mahupun darjat. Nikmat berbentuk kesihatan dan kekayaan.

Ada manusia yang mengenali nikmat ini yang akan memberikan kebaikan serta ketenangan. Kerana butanya mata hati, kerana tamaknya nafsu duniawi, kerana lupanya suatu hari nanti pasti akan mati, djkejarnya nikmat yang sementara bagi memenuhi apa sahaja pada dunia.

Walau terpaksa berkorban sanak saudara,

Walau terpaksa jatuh bangun meminum darah manusia, lapar keinginan pada harta, wanita dan dunia.

Ketenangan yang kononnya akan kekal buat selama-lamanya. Lupa akan mati dan ajal mungkin pada esok lusa.

Tertipu dengan ketenangan ciptaan Iblis dan Syaitan laknatullah. Berdiri takut walau menghadap dunia, kerana pasti ada rasa yang tidak senang dan risau gelisah jika suatu hari nanti ada yang menyelongkar dan mengaut keuntungan yang telah menjadi miliknya.

Ketenangan material sifatnya  hanyalah sementara. Tetapi ketenangan hati itu adalah lahir dan wujud dari pemilik-Nya…

Hati yang tenang ialah hati yang sentiasa hadir dan wujud untuk beribadah kerana Allah s.w.t. Allah yang Maha Menciptakan segala-galanya, yang Maha Mengetahui setiap perbuatan dan isi hati hamba-hambaNya.

Hati yang tenang bukanlah tidak pernah terlepas dari diuji dan menghadapi dugaan dalam kehidupan, Tetapi, walau sebagaimanapun masalah yang hadir dan yang mendatangi, dia kembali mengingati yang semua masalah, ujian itu datang daripada-Nya. Penyelesaian ada pada-Nya, hanya upaya manusia yang memerlukan pencarian dan penyelesaian bagi memenuhi keperluan serta fitrah kehidupan.

Hati yang tenang itu sentiasa mengingati dan lancar lidahnya dengan ucapan kebaikan dan zikrullah. Zikir munajat yang walaupun pendek, meresap dan menjiwai pada patah bait buat Tuhan yang Maha Esa, Maha Besar, dan Maha Berkuasa.

Hati yang tenang itu sentiasa mengalirkan kata juang pada jalan keredhaan-Nya. Mengalirkan kata juang akan jalan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Hati yang tenang itu mengetahui betapa jauhnya peribadi dan diri dari meneladani sirah Rasulullah s.a.w., sang kekasih Allah. Malah mungkin masih jauh lagi dari mengenang peribadi dan kemuliaan yang dimiliki para siddiqin, aulia’ dan para sahabat yang lebih mulia di sisi Allah.

Hati yang tenang itu sedar dalam ranjau ini pasti akan teruji dan diuji. Diuji dengan erti kesabaran, diuji dengan erti ketakwaan.

Hati yang tenang itu memikul beratnya ujian kesabaran dan ketabahan dalam melalui ranjau-ranjau kehidupan. Sabar menanti dan memiliki kebaikan, sabar akan dugaan dan ujian yang menguji buat iman dan ketakwaan.

Hati yang tenang itu akan resah dan gelisah dengan kemurkaan dan kedurhakaan pada dunia. Resah dengan pelbagai kemaksiatan. Gelisah dengan pelbagai kemungkaran. Resah dengan hati yang ingin bergelumang dengan dunia, dosa dan kemaksiatan. Gelisah dengan berpenyakitnya hati pada ujub, riak  dan hasad yang menyimpang jauh dari jalan keredaan Tuhan.

Hati yang tenang jua bertemu dan berpisah buat sementara adalah kerana-Nya. Mereka bertemu tanpa dirancang, mahupun diri sendiri yang menentukan. Sebaliknya adalah kerana Dia yang Maha Merancang dan Maha Menentukan. Dia Maha Merancang sebuah pertemuan agar diberi dan dilimpahkan kebaikan. Dia memisahkan buat sementara jua bukan atas ketentuan dan perancangan, sebaliknya kerana semua telah tercatat dan direkod di Lauh Mahfuz sana, yang ternyata ada tersiratnya hikmah dan kelebihan dari bimbingan Tuhan.

Hati yang tenang itu hadir kerana banyak kebaikan dan hikmah yang ditentukan pada-Nya. Hati yang tenang itu berpisah buat sementara kerana wujud jua kebaikan  walau tak nampak dek mata, tak didengar dek telinga.

Hati yang tenang itu sentiasa memelihara diri dan yang berada di hatinya dari terbuka buat laluan Iblis dan syaitan laknatullah. Kaedah makhluk laknat ini ada pelbagai, merasuk jiwa dan hati manusia yang serba kelemahan dan kekurangan. Dihasut melakukan kebaikan tetapi penuh dengan kelalaian dan kealpaan. Digoda untuk memenuhi kehendak nafsu yang tidak pernah mengenal erti ketenangan yang sebenar sebaliknya dengan erti tamak, degil dan kecelakaan. Maka sentiasa mencari dan memohon perlindungan di sebalik nama Yang Maha Melindungi, yang Maha Memelihara, dan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Hati yang tenang itu sentiasa mengalirkan doa buat diri, keluarga dan yang berada di hatinya. Doa yang luhur dan ikhlas, bukan kerana nafsu mahupun buat kebahagiaan yang sementara. Tetapi, buat kebahagiaan yang hakiki di atas jalan yang diredhai-Nya. Mencari jalan untuk memberi, di atas jalan yag dirahmati dan diredhai. Dia Maha Melihat setiap isi hati, Dia Maha Mendengar akan setiap degupan nadi, Dia Maha Mengetahui akan setiap yang dilafazkan dalam kalimah-kalimah yang suci.

Hati yang tenang itu sentiasa meyakini akan janji-janji-Nya. Janji-janji-Nya itu bukan wujud buat dunia yang sementara, tetapi mencari syurga dan kebahagiaan yang hakiki buat dunia dan akhirat yang kekal di sana. Buat nikmat dan kemuliaan yang sentiasa wujud dan terus bertambah. Tiada lagi resah dan gelisah. Tiada lagi ujian, bala dan musibah. Mencari dan meyakini ketetapan dari-Nya tidak bisa goyah dek nafsu manusia dan dunia, memegang teguh erat, padu dan jitu pada jalan yang halal lagi suci dari sisi-Nya. Bukan sahaja pada emosi mahupun keperluan jasmani, sebaliknya semua yang Allah ciptakan pada diri dan keperluan manusia seperti rohani, jasmani,semangat,emosi,taqarrub Ilallah, takluk diri kerana Allah. Menyekat dan mempertahankan dengan keupayaan diri dan pertolongan Ilahi pada masa yang dirahmati dan diredhai. Segala-galanya buat masa yang dijanjikan dan dikurniakan kebaikan yang diredhai dari sisi-Nya.

Hadirnya hamba ini di atas muka bumi-Mu untuk menjadi khalifah.

Hadirnya hamba ini di atas muka bumi-Mu untuk beribadah kepada-Mu, ya Allah…

Bimbinglah daku, bimbinglah daku, bimbinglah daku

Peliharalah kami, lindungi kami, rahmatilah kami, ya Allah…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: