Kisah kebenaran al-Qur’an

Teringat beberapa hari yang lepas ada menulis ingin menceritakan kebenaran di sebalik kisah al-Qur’an.

Perkara ini perlu disedari oleh semua umat Islam betapa bertuahnya kita dikurniakan ad-Din yang redhai Allah, dan petunjuk yang sentiasa bertepatan dengan maksud hidup manusia di dunia ini sehingga ke akhir zaman.

Ia adalah kalamullah

Ia adalah milik dan hak Allah

Datang atau hadirnya ia diasbabkan kepada seorang nabi dan ada malaikat yang menyampaikan. Bukannya seperti si penulis ini menulis dengan senang hati sahaja dalam blog, bila-bila masa nak menulis dia menulis, atau si penulis buku ingin meluahkan perasaan atau pandangan melalui cara penulisan.

Maka, al- Qur’an ini bukanlah buku-buku biasa yang boleh dibeli di tepi jalan, boleh tukar-tukar tangan, bawa pergi mana-mana, atau buat tidak tentu hala.

Ia mukjizat Allah.

Ia mengandungi bukti yang jelas, nyata dan terang. Segala sesuatu itu adalah datang daripada-Nya.

Kenapa berkata begini?

Yang pertama, sememangnya ia yang wajib setiap umat Islam meyakini. Al-Qur’an merupakan rukun iman yang ketiga melengkapkan aspek diri sebagai muslim.

Yang kedua, pelbagai kisah dan pengajaran berada di dalamnya. Sama ada dekat atau tidak, semuanya dalam pengetahuan-Nya. Hebat. Kisah kehidupan masyarakat terdahulu sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w semuanya telah terkandung dan dikisahkan dalam al-Qur’an. Kisah para nabi seperti Nuh, Hud, Adam, Isa, Musa, dan yang lain berserta dengan para umatnya ada terkandung dalam al-Qur’an.

Dari kisah umat-umat yang diberikan kelebihan lebih dari umat akhir zaman, akhirnya mati dalam keadaan mengaibkan kerana kemungkaran dan kedurhakaan mereka kepada Tuhan.

Mereka bukannya lemah. Boleh mencipta tiang, rumah, bangunan, kapal, dan sebagainya dengan begitu kritis dan inovasi tanpa memerlukan bantuan teknologi seperti yang diagung-agungkan kita zaman sekarang. Hanya menggunakan tenaga badan!

Siapa zaman sekarang masih mampu mencipta piramid?

Siapa zaman sekarang mampu mencipta rumah berlandaskan air?

Musykil bukan?

Rasulullah dilahirkan dengan ummi, tidak tahu menulis dan membaca. Tidak pernah belajar dari para pendeta atau masyarakat ajam mengenai nabi-nabi mereka. Tetapi, Rasulullah lebih mengetahui sedangkan mustahil Baginda akan mengetahui.

Terbukti jelas ia bukan karya Rasulullah. Ia adalah Kalamullah.

Disampaikan melalui utusan-Nya yang mulia. Muhammad s.a.w ibnu Abdullah. Kebenaran al-Qur’an melalui perutusan baginda bukanlah satu rekaan yang mampu ditokok tambah oleh baginda dari semasa ke semasa. Tetapi melalui wahyu yang disampaikan berdasarkan ketika dan kejadian yang mengakui kebenaran telah diciptakan sebelum berlakunya setiap kejadian.

Khawlah yang mengadu dizihar oleh suaminya, didengar oleh yang Maha Mendengar, diberitakan kembali melalui wahyuNya, al-Qur’an. (al-Mujadalah :1-4)

Apakah bukti al-Qur’an itu diperakui kebenaran tanpa tokok tambah oleh baginda s.a.w?

“wamaa yantiqu ‘anil hawa in huwa illa wahyun yuuha “

Siapa pula yang boleh mengingkari apabila Rasulullah membenarkan 10 orang sahabat baginda dijanjikan akan dimasukkan ke Jannah (syurga)? Sedangkan ketika itu para sahabat yang merupakan ahli syurga masih lagi hidup di dunia. Mereka yang mendengar boleh sahaja berpaling tadah dan menidakkan hadis tersebut jika diingini, sedangkan mengapa tidak berlaku? Kerana itu adalah wahyu Tuhan, bukti kebenaran lisan dan kerasulan. Syurga itu telah sedia wujud dalam keperibadian, keislaman dan keimanan 10 orang para sahabat r.ah.

Yakin dengan kerasulan baginda s.a.w.

Beriman dengan kebenaran wahyu Allah s.w.t.

Itu wahyu Allah, membenarkan setiap kalam wahyu yang lahir dari lisan Rasulullah s.aw., walau ini ialah hadis, bukan kalam al-Qur’an.

Al-Qur’an dan hadis adalah satu pertalian

Sebagaimana hubungan kekasih Allah dengan Tuhan semesta alam, mencipta setiap kejadian dan kehidupan.

Setiap penciptaan di dunia yang telah lama tercatat dan direkodkan di lauh mahfuz sana. Berita penciptaan-Nya keberitakan kembali melalui kalam-Nya.

“ dan ini sesungguhnya kitab yang mulia. Dalam kitab yang terpelihara (lauh mahfuz). Tiada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan semesta alam. Apakah kamu menganggap remeh berita ini (al-Qur’an)?”    (al-Waqiah :77-81)

Yang ketiga, kisah-kisah masa hadapan dan kelemahan manusia untuk menandingi ciptaan-Nya.

Mengapa berkata begini?

Sehingga pada abad 20, baru lahirnya saintis yang berjaya mengkaji bagaimana kejadian embrio, atau janin, bagaimana cara ia boleh hidup di dalam rahim si ibu, dan sebagainya. Beliau sendiri terkejut akan peristiwa ini telah lama tercatat dalam kitab suci al-Qur’an sedangkan ketika itu amat mustahil ada mikroskop yang lebih canggi telah dicipta untuk mengetahui kewujudan dan proses kejadian kehidupan manusia di alam rahim.

Itu belum temasuk kisah hujan, awan, planet, bintang, bulan, matahari, dan sebagainya.

Petir yang menyambar bumi.

Peredaran bulan,planet  dan matahari pada paksinya.

Hujan yang turun setelah awan yang mendung kelihatan di penjuru langit.

Pasang surutnya air di lautan.

Tiada percampuran air tawar dan masin walau bertemu di suatu titik pertemuan.

Semua keagungan ciptaan Tuhan. Tiada manusia yang mampu manandinginya.

Semua pengetahuan yang manusia baru nak cari dan memperolehi, sudah lama tercatat dalam al-Qur’an.

Kisah empayar kaisar Rom yang megah dengan kekuatan dan kekuasaannya, tetap tersungkur kalah pada tentera Parsi sebelum kembali bangkit menetang musuhnya dan mencapai kemenangan dicatatkan telah lama dalam al-Qur’an. Sewaktu berlakunya perang, sehingga sebelum tersingkapnya peluang dalam kemenangan dalam perang dengan Rom,tiada sesiapa mengetahui kebenarannya. Malah, musyrikin mempersenda akan dalil ini sedangkan ketika itu Rom sedang mengalami kekalahan dan mustahil sama sekali akan kembali mencapai kemenangan. Hanya selepas 7 tahun wahyu itu diturunkan, barulah Rom kembali bangkit mencapai kemenangan ke atas Parsi dan membuktikan akan kebenaran wahyu al-Qur’an. Ketika itu para orang beriman bergembira akan kebenaran al-Qur’an dan mereka adalah orang yang mencapai kejayaan.

Alif, Laam, Miim.

Orang-orang Rom telah dikalahkan

Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya

Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira

Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(surah Rom: 1-6)

Kalah dan menang seperti yang dijanjikan. Terbukti kisah kebenaran wahyu dan mukjizat al-Qur’an.

Yang keempat: syurga neraka

Bagaimana pula dengan kewujudan kisah kehidupan alam akhirat? Adakah ia hanya kiasan minda dan khayalan semata-mata?

Ambil pendekatan mudah. Ada manusia yang hidup dalam keadaan miskin dan sengsara. Ada manusia yang diberikan nikmat dan kekayaan di dunia. Yang miskin dihina, yang kaya menindas atau melupakan mereka yang memerlukan.

Apabila berada di penghujung usia, si kaya tetap dengan kekayaanNya, si miskin terus dengan kesengsaraannya. Seorang mati dalam kereta mewah, seorang meninggal dalam tong sampah. Jadi, di mana wujud keadilan Tuhan bagi setiap makhluk dan kehidupan?

Maka, mereka yang beroleh kekurangan di dunia ini, diberikan ujian yang berat, atau kesusahan di dunia ini, sekiranya beriman pada Allah, dan berperibadi muslim, dengan rahmat dari-Nya, dia beroleh kebahagian di syurga.

Syurga yang penuh dengan kenikmatan. Yang pastinya bukan cerita dogengan bayangan manusia. Bukan dongengan cerita nafsu persamaan dengan dunia.

Nikmat yang berpanjangan, berkekalan, dan sentiasa ada peningkatan. Yang pstinya tiada satupun kekurangan bak kisah kehidupan sementara di dunia!

Siapa yang kuffar, tidak mentaati perintahNya, derhaka pada-Nya, cinta akan dunia, dan setia melakukan kemaksiatan dan kemungkaran, walau diberikan kemewahan dan kenikmatan yang pelbagai di dunia, akan menempah tiket ke neraka Allah Azza Wajalla. Nauzubillah.

Penuh dengan azab, seksa dan sengsara. Terus diseksa dan diseksa. Air nanah dan menggelegak dijadikan santapan. Daging saudara dijadikan hidangan. Yang makan harta anak yatim membusung bakar perutnya dengan api yang sentiasa menyala-nyala. Tubuh membakar sehingga mendidih otak, makan buah neraka dan sebagainya. Ada manusia yang begitu jahil menempah tiket ke neraka sedangkan api lilin yang kecil pun tidak sanggup nak hadapi bila membakar di hujung jari?

Jika ingin terus disingkap dan diselosori akan kebenaran al-Qur’an, manusia tidak akan mampu mencatatkannya satu persatu walau diberi dakwat seluas lautan. Hal ini kerana kebenaran al-Qur’an bukanlah kisah wahyu sezaman, ia merangkumi kisah kehidupan, sejak dari lahir nabi Adam a.s sehinggalah pada peristiwa kiamat. Dari sebelum ditiupkan roh untuk manusia menerima nyawa dan kehidupan, sehinggalah diambil kembali roh dari jasad. Dari cerita segala nikmat sehingga kesengsaraan azab semua diberitakan dalam al-Qur’an.

Terlalu banyak kebenaran pada al-Qur’an. Dari soal akidah, syariah, akhlak, kehidupan yang sementara di dunia sehinggalah kehidupan di akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

Malah, jika ada makhluknya yang berani mencabar kebenaran al-Qur’an, dengan lintas dan pantas dicabar sesiapa yang punya keinginan. Buatlah jika mampu. Sepuluh surah semirip al-Qur’an. Tidak mampu juga, buat satu surah semirip al-Qur’an. Tidak mampu juga? Buat satu ayat semirip al-Qur’an. Bukan dicanang buat umat akhir zaman sahaja, sejak kerasulan Muhammad s.a.w sehingga kewafatannya, tiada seorang makhluk pun ada idea dalam kepala menandingi al-Qur’an!

Al-Qur’an bukanlah seperti kisah rekaan atau fiksyen manusia.

Ia kalam kebenaran. Dia akan membuktikan kebenaran kalam-Nya.

“al-Qur’an ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”   (al- Jasiyah: 20)

“(al-Qur’an) ini adalah bukti-bukti yang nyata daripada Tuhanmu, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”    (al-A’raf:203)

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah ditulis dalam kitab (lauh mahfuz)sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, demikian itu mudah bagi Allah.”  (al-Hadid: 22)

“Kitab al-Qur’an yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka menghayati ayat-ayatNya agar orang-orang yang berakal mendapat pengajaran.”    (Sad: 29)

“Allah berfirman,maka yang benar (adalah sumpahKu) ,dan hanya kebenaran itulah yang Aku katakan.”    (Sad:84)

“mereka berkata, wahai kaum kami! Sungguh, kami telah mendengar kitab (al-Qur’an) yang diturunkan setelah Musa, membenarkan (kitab-kitab) yang datang sebelumnya, membimbing kepada kebenaran, dan kepada jalan yang lurus.”   (al-Ahqaf :30)

”katakanlah; bagaimana pendapatmu jika (al-Qur’an) itu datang dari sisi Allah, kemudian kamu mengingkarinya. Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang selalu berada di persimpangan yang jauh (dari kebenaran)?”     (Fussilat :52)

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Qur’an itu adalah benar. Tidak cukupkah bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”   (Fussilat: 53)

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: