Peringatan kali ini, bisikan hati?

Alhamdulillah, telah selesai satu kertas peperiksaan (bukan hari ini, semalam.). Semoga dikurniakan oleh Allah kejayaan jua buat kertas peperiksaan yang seterusnya. Amin

Hari ini ada sedikit kelapangan masa. Tak banyak, sedikit sahaja. Tergerak hati ingin menulis. Menulis tentang peringatan dari ayat2 kebenaran, al-Qur’an dan hadith-hadith yang disampaikan.

Tak sempat ingin membuat telahan atau huraian sendiri dengan lebih lanjut, hanya sempat meng’qoute’ dari buku himpunan hadith pilihan karya Maulana Yusuff al-Kandahlawi rah.

Semoga beliau sentiasa menerima rahmat dan keberkatan dari ilmu yang disampaikan, sekaligus ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh di sana. InsyaAllah.

Dari Shahdat ibn Aus meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda: orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa menghisab (memperbaiki) akan dirinya dan beramal dengan amalan yang dibawa selepas mati. Dan orang yang bodoh itu ialah orang yang sentiasa mengikut keinginan hawa nafsunya dan berangan-angan mendapat (pengampunan) Allah. (HR. Tirmidzi)

Dari Ibnu Umar r.a berkata: Aku datang kepada Nabi s.a.w bersama-sama sepuluh orang sahabat yang lain. Salah seorang daripada Ansar bangun bertanya: wahai nabi Allah, siapakah orang yang paling bijaksana dan tegas? Baginda menjawab: mereka ialah orang yang banyak mengingati mati,dan membuat persiapan dengan amal untuk dibawa mati sebelum datangnya kematian. Mereka itulah orang yang pergi dengan kemuliaan dunia dan mendapat penghormatan akhirat.  (HR. Tabrani)

Dari Abdullah r.a meriwayatkan ketika baginda Rasulullah s.a.w membuat garisan berbentuk segi empat. Kemudian baginda melukiskan satu garisan sehingga keluar dari rajah empat segi tersebut. Baginda juga melukiskan garisan-garisan kecil di dalam rajah di antara garisan tengah. Para ulama’ telah melukiskannya dengan berbagai bentuk di antaranya ialah seperti ini:

Kemudian baginda bersabda: garisan tengah ini ialah manusia, dan garisan empat segi ialah ajal mautnya yang mana manusia tidak boleh lari darinya. Garisan yang terkeluar ini ialah angan-angannya yang lebih panjang dari kehidupannya. Garis kecil di dalam rajah ialah kejadian dan ranjau-ranjau kehidupannya. Jika dia terlepas dari satu kejadian, kejadian lain pula memerangkapnya.                     (HR. Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: seorang mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya terdapat kebaikan. (Ingatlah) apa-apa perkara yang memberi manfaat kepada kamu hendaklah kamu merasa tamak dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan kamu berputus asa. Jika sesuatu (kerugian) menimpa kamu, jangalah kamu berkata; kalau saya berbuat begini atau begini, pastinya perkara itu tidak akan terjadi. Akan tetapi katakanlah, ini kerana ketentuan Allah, maka apa yang dikehendaki pasti akan terjadi. Kerana sesungguhnya perkataan “kalau” membuka pintu bagi syaitan bekerja.   (HR. Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan: satu hari aku sedang duduk di belakang Rasulullah s.a.w (di atas kenderaan), baginda s.a.w bersabda: wahai anakku, aku ajarkan kepada kamu beberapa kalimat: peliharalah (hukum-hukum) Allah, Dia akan menjaga kamu. Peliharalah hak-hak Allah, kamu akan memperolehi bantuan dariNya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon pertolongan, mintalah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawasanya, sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya tidak boleh memberi manfaat kecuali apa yang ditakdirkan Allah kepada kamu dan sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu mudharat kepada kamu, nescaya tidak boleh memudaratkan kamu kecuali apa yang telah ditakdirkan oleh Allah kepada kamu. Pena (untuk menulis takdir) telah diangkat dan dakwat (selepas menuliskan takdir di kertas) telah kering. (satu keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah sedikit pun tidak mungkin akan berubah.   (HR. Tirmidzi)

Ini pula peringatan dari diri sendiri…

Dalam melalui ranjau kehidupan di dunia ini, kita, manusia tidak akan pernah terlepas dari perkara yang realiti berlaku depan mata, dan juga apa-apa yang tidak wujud depan mata. Perkara yang jelas dan jua perkara yang tidak nampak (ghaib).

Perkara yang jelas seperti apa yang kita dapat gengam dan diperoleh. Wang, pangkat, harta, anak, isteri, suami, kawan, rumah, dan sebagainya.

Perkara yang ghaib seperti Allah, qada’ dan qadar, malaikat, pahala, dosa, syurga, neraka, jin, syaitan, peredaran masa dan sebagainya.

Di sebalik perkara yang nampak berlaku sama ada dalam diri dan sekeliling kita, mungkin tidak disedari akan perkara yang ghaib turut berlaku dalam diri dan berada di sekeliling kita.

Contohnya, siapa boleh nampak rupa bentuk akal? Di manakah letaknya akal? Siapa kenal rupa dan bentuk nafsu? Kenapa percaya adanya nafsu?

Bilakah seorang anak boleh wujud dalam kandungan ibunya? Siapakah yang memelihara dan memberikan perlindungan dan nilai kehidupan sebelum kelahiran  anak dalam kandungan rahim ibu ke dunia?

Apakah yang berlaku pada peredaran masa ketika masa hadapan? Bagaimana masih berlaku berlaku bencana alam, sedangkan makhluk Allah di dunia ini puas sudah mengkaji dan berusaha meleraikan atau mencari jalan penyelesaian dari berlakunya kejadian?

Kenapa orang tidak mampu melarikan diri dari kematian sedangkan sudah tahu akan berlaku perkara tidak baik seperti taufan, tsunami atau letusan gunung berapi?

Untuk peringatan kali ini ingin bercerita tentang perkara yang tidak dapat dikesan dan dilihat dengan pancaraindera aka perkara ghaib. Kewujudan bisikan di sebalik hati.

[Cuma, kalau tidak mampu nak faham, buat-buat faham kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi lebih dari professor universiti 🙂 ]

BISIKAN DAN NALURI HATI -TERSURAT DAN TERSIRAT

Semua orang tahu hati itu wujud dan boleh dilihat. Hati pasti ada pada setiap manusia yang disempurnakan penciptaannya. Jadi hati boleh nampak dan mampu diberikan pada orang lain yang memerlukan seperti melalui pembedahan.

Tetapi, bisikan pada hati manusia tidak mampu dilihat dan difahami keberadaannya. Ia perkara yang ghaib dan tidak mampu dibidik oleh akal fikiran. Dari mana ia muncul, bagaimana ia boleh terjadi?

Bisikan pada hati bukan cerita naluri atau fitrah insani, atau turut dikenali sebagai ‘sense’. Contohnya terasa seperti ada perkara buruk akan berlaku, atau tahu ada kehadiran tetamu. Antara lain seperti apa yang dipanggil orang sebagai ‘naluri ibu’ pada anak-anaknya.

Ini cerita bisikan. Bisikan yang tidak dikesan oleh pancaindera ini boleh terbahagi pada dua, bisikan dari Tuhan, Allah Azza wajalla dan bisikan dari Iblis dan syaitan laknatullah.

ALLAH PENCIPTA BISIKAN

Bisikan dari Allah ialah bisikan yang hadir membawa makna mengingati dan taqarrub pada-Nya. Bisikan ini boleh dikategorikan juga pada cabang-cabang ilham, cabang-cabang iman, dan percambahan fikiran dan zikirullah akan kuasa dan kebesaran Allah s.w.t.

Tentu sahaja bisikan ini membawa erti dan makna kebaikan. Timbulnya seperti mengajak ke arah kebaikan dan menegaskan pada diri menghindari dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.

Ia datang bukan dipinta. Ia datang bukan manusia itu yang ingin atau menyatakan kehendaknya.

Hadir tanpa diketahui mana asal-usulnya. Hadir dan pergi tiada siapa sedar kewujudan dan kehilangannya.

Sebagai contoh, pernah dengar solat istikharah? Mimpi yang hadir setelah istikharah jua antara bisikan Tuhan. Sekiranya ada yang ‘hadir’ melalui kata hati atau kejadian setelah melakukan istikharah itu jua dalam kategori bisikan Tuhan.

Antara contoh yang lain, seseorang yang mengingati seseorang yang lain, seperti teman atau sesiapa, lantas ingatan kembali kembali kepada Allah s.w.t yang menjadikan dan menciptakan. Ingatan pada teman atau seseorang tersebut membawa landas mengingati Allah. Itu turut berada pada kategori bisikan Tuhan. (Asalkan tidak berlandaskan keinginan atau kehendak perasaan). Hanya, ingatan tersebut sebagai medium, atau asbab sebuah peringatan akan Allah s.w.t. Sedangkan Allah yang menciptakan dan menentukan segala-galanya.

Kendatipun, bisikan dari Ilahi tentu sahaja membawa diri kembali mengingati akan kekuasaan dan kebesaran-Nya. Merasakan setiap yang dilalui di dunia ini telah lama wujud dalam ilmu dan pengetahuan-Nya. Merasakan jua Dia Maha Mengetahui akan setiap isi hati hamba-hamba-Nya.

SYAITAN ITU PENYEBAR BISIKAN

Bagaimana pula hasutan, bisikan dan godaan iblis dan syaitan laknatullah?

Godaan atau bisikan syaitan berunsurkan kejahatan dan kemungkaran. Bisikan syaitan mengajak ke arah kerosakan hati dan kemaksiatan.

Bisikan yang menarik ke arah  memandang kemaksiatan yang wujud dan berlaku di sana-sini. Di mana-mana. Sama ada depan mata atau di hujung jari sahaja.

“Wahh… kau lihat itu Amin. Cantiklah awek itu. Seksi. Terliur aku tengok lama-lama. Tapi, jangan salahkan aku seorang naa. Dia yang bagi extra free nak tayang, aku tengok saja,” jeling Fo pada awek seksi yang duduk di hadapannya.

Namun, bisikan syaitan juga boleh berbentuk ajakan ke arah kebaikan. Tetapi perlaksanaannya adalah penuh nista dan kemungkaran.

Membantu untuk mengaut keuntungan dari orang lain. Berbuat baik agar orang tak sedar muslihatnya yang lain.

Talam sepuluh muka.

Tetapi, sekiranya seseorang itu sentiasa mentaati perintah Allah s.w.t dan menjauhi larangan-Nya, iblis dan syaitan tidak mampu mendekati dan menyesatkan hamba Allah ini.

Misalnya kisah nabi Ayyub a.s yang diuji Allah dengan ujian yang berat. Beliau sentiasa mengingati setiap ujian itu dari Allah dan dia redha dengan ujian Allah. Beliau bersabar akannya. Maka, syaitan dan iblis tidak mampu mendekati dan menggoyahkan iman Nabi Ayyub a.s.

Lalu, dia membisikkan kejahatan atau kesesatan pada orang yang dekat atau berada di sekeliling nabi Ayyub A.s. Harta dan anak-anak nabi Ayyub a.s. dilenyapkan. Isteri nabi Ayyub menjadi sasaran syaitan untuk melemahkan Nabi Ayyub a.s dari terus berada dalam keimanan dan ketakwaannya pada Allah s.w.t.

MANUSIA DAN KEHIDUPAN

Begitulah jua kehidupan manusia dalam mengharungi kehidupan. Sekiranya iblis dan syaitan tidak boleh mendekati atau menggoda seseorang hamba Allah untuk melakukan kemungkaran atau kemaksiatan, dia menggoda atau membisik pada orang yang lain yang berada di sekeliling hamba tersebut untuk melemahkan dia dari mentaati perintah Allah s.w.t dan menjauhi larangan-Nya.

Dihasut menteri agar putar belit fakta dan kebenaran pada pemimpin yang adil dan mentaati Allah.

Dihasut si isteri untuk menyesatkan atau memesongkan hati dan iman suami dari terus mentaati perintah Allah.

Anak-anak, pangkat, harta, rakan-rakan, adik beradik dan wang ringgit menjadi alasan utama atau bahan untuk iblis dan syaitan memesongkan hati hamba-Nya dari mentaati Allah dan menjauhi larangan-Nya.

“Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut – campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”. Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”

“Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).”

(Al-Isra’ :64-65)

Jika terganggu di fikiran atau hati akan bisikan syaitan pada diri, maka ajarkanlah doa untuk dijauhkan dari perkara ini pada mereka yang terdekat dan terutama pada diri sendiri.

“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan”

“Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.

(Al-Mukminun :97-98)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: