Kematian itu suatu kehidupan

Sebahagian dari penulisan ini ialah kesinambungan dari peringatan yang lepas. Kesinambungan sebuah perjalanan yang tiada siapa mengetahui di mana perhentian. Namun, apa yang pasti, pasti dan pasti tetap akan sampai pada perhentian, kematian.

Ramai manusia yang enggan untuk berkata tentang mati. Bagi manusia, mati itu suatu cerita orang-orang tua, yang dah lama hidup dan jemu dengan kehidupan duniawi. Tinggal rumah kata pergi, kubur kata mari.

Tetapi, kini zaman sudah berubah. Dari zaman tuk kaduk, poh yeh-yeh, dangdut, rock kapak, sehinggalah ke zaman ini, yang tua-tua makin ramai yang tidak sedar diri. Asalkan berduit, tinggal jauh kisah anak bini. Ligat pula cari amoi-amoi, GRO mahupun gigolo yang sedia menanti!

Itu cerita orang kini. Bukan nak cakap kosong, cerita pompang-pompang kedai kopi. Ia kisah benar. Kehidupan moden zaman sekarang. Buka sahaja akhbar atau turut dikenali newspaper, pasti ada cerita ceriti kisah manusia yang tidak ingat tentang mati.

“Alah, apa kes cerita mati. Gerun I la! Kita enjoy la dulu. Esok lusa boleh lagi pakai tudung seludup kepala ini,” senda Mak Datin apabila dengar kisah mati.

“Hang kalau sikit-sikit cakap tentang mati, tok sah la mai kedai sembang kat sini. Nu.. pi dok kat masjid lama-lama. Tak dak sapa nak kacau. Sikit-sikit mati, sikit-sikit mati. Macam dah tak ada benda lain nak sebut. Aku bukan tak tau waktu sembahyang bila la, Mat!” pedih telinga Pak Mail dengar Pak Mat tegur buat amal sikit. Sedarkan diri yang dia dah cukup tua.

Itu cerita orang tua-tua, yang masih tak sedar diri. Belum lagi cerita orang muda-muda. Punah…

“Kita nak cakap pasal mati, tak sedap la nak dengar kan. Tetapi, demi tanggungan anak bini kita masa depan, kita perlu ada juga persediaan untuk mereka. Pilihlah mana pakej di sini yang berkenan,” pelawa seorang businessman bila nak tawar menawar insuran atau khairat kematian. (Boleh pula cerita mati buat bisnes. Ish-ish…)

“Kau sikit-sikit cakap mati. Sikit-sikit nak ajak pergi karaoke ke, lepak ke, alasan utama tak mahu ikut mesti ‘apa yang akan jadi bila tiba-tiba aku mati’. Rileks  la Jang, kita muda lagi la beb! Kahwin pun tak lagi. Enjoy la dulu. Bila lagi nak bergembira dan ketawa!” pelawa dunia istimewa dari Razif kepada kawannya yang takut akan masa menemui kematian, Razman.

Yang muda fikir boleh hidup 20-30 tahun lagi. Yang tua masih lagi tak sedar-sedar diri. Hakikatnya, siapakah yang menciptakan manusia di dunia? Siapa pula yang boleh menentukan ajal maut bila boleh tiba?

Agi idup agi ngelaban. Kata orang Sarawak.

Hidup ini tidak berpanjangan. Tetapi jangan pula kerana ketidakkepanjangan hidup ini menjadi manusia yang biul kepala berfikir tentang masa depan, menolak segala perancangan dan membuat keputusan demi anak cucu, saudara mara, teman rapat yang mungkin lebih memerlukan.

“Serahkan saja pada takdir. Dia lebih mengetahui.”

Itu kata-kata orang tak percayakan Allah itu Maha Kuasa. Kata-kata orang berputus asa. Kata-kata orang jahil, tak menuntut ilmu. Kalau macam itu, tak payah cari kerja, makan, dan minum. Berserah saja, nanti dia datang sendiri. Boleh?

Jangan disesatkan oleh nafsu dan syaitan. Bunyi baik tapi natijah keburukan.

Oleh itu, perlu disedari, kematian itu adalah pasti. Tiada siapa boleh mengjangkau bila masa ia akan tiba, bila nafas ini akan kembali. Namun, selagi ada nafas yang masih menghela, berdegup jantung menandakan masih lagi bernyawa, setiap amal perbuatan, lidah yang menuturkan, mata yang melihat, telinga yang mendengar, dan tangan serta kaki yang digunakan, semua akan dipersoalkan dan dipertangungjawabkan.

Gunakan masa untuk kehidupan di dunia bagi menyempurnakan amal kebajikan. Ada yang masih memerlukan, yang masih mendambakan.

Bajailah, semaikanlah, dan taburkanlah benih-benih amalan buat masa yang akan berkekalan.

Kucoretkan puisi DUNIA YANG BERPISAH, bagi tatapan dan peringatan akan siapakah pemilik sebenar diri manusia yang masih berada di dunia…

Hari itu,

Berduyun-duyun manusia

Berpusu-pusu, bergelandangan

Tangisan, jeritan, igauan, pekikan

Segalanya kedengaran

Tiada siapa peduli

Siapa pula yang ingin mengerti

 

Hari itu,

Panas, lelah, haus

Keringat membanjiri tubuh

Mentari di jengkal ufuk kepala

Dekat, padat,sesak,

Terseksa

Hanya manusia dan amalannya

Tiada siapa pedulikan

Tiada siapa pedulikan

 

Dulu

Ketawa, gembira

Ejekan, cacian, kejian

Umpatan menjadi mainan

Bidas dan cantas

Tak kira lisan atau anggota badan melakukan

Selagi muda dan ada kekuatan

Berharta dan mewah dengan kekayaan

Kapitalis dalam kepala

Buli dan tindas mereka yang tiada keupayaan

 

Kini

Segalanya dihisab

Mizan menimbang tara

Berterbangan buku-buku amalan

Hitam dan putih

Kiri dan kanan

Gentar dan bimbang

Semua dicatat dan dihitung

Tiada seincipun dilepaskan

Siratulmustaqim memandang manusia

Siapa bakal melepasi

Siapa bakal jatuh terhina

 

Syurga

Tiada lintasan dalam fikiran

Keluasan, kenikmatan, kehidupan, dan keabadian

Ciptaan agung Tuhan

Buat iman, takwa

Sabar, dan kebaikan

Hadapi ujian dan rintangan fana’ si dunia

Dipan-dipan yang indah

Permata yaakut dan marjan

Istana dan taman idaman

Sungai lazat yang mengalir

Sang bidadari dan para pelayan

Cangkir emas dan sutera

Susu, arak, dan manisan

Pelbagai rasa dan kelebihan

Bukan lagi igauan dan impian

Bak ukaz yang penuh kemeriahan

Tanda kemenangan,

Nikmat teragung dari Allah s.w.t

Buat hamba-Nya yang beriman

 

Neraka,

Pedih, azab dan seksa

Tiada siulan ketawa

Segalanya sengsara dan derita

Nafsu yang dulu dijulang

Kini hancur lebur dibakar dipanggang

Bertambah-bertambah mengazabkan

Batu dan manusia

Pembakar utama

Darah, nanah, air panas, dan zaqqum

Hidangan istimewa buat ahli nar

Sungai darah manusia

Hempapan batu pemecah kepala

Cerai perut, bunuh diri, bakar sendiri

Bergelojak api neraka

Seksa demi seksa

Tiada satu perhentian

Jeritan dan lolongan

Meminta ampun dan pertolongan

Terlambat

Pembengis Malik membantai

Tanpa belas kasihan

Tiada simpati dan empati

Tiada keperikemanusiaan

Tiada takut dan taat

Tugas utama penjaga neraka yang dijadikan

 

Nilai Dunia yang Berpisah

Yang pasti adalah pasti

Akan tiba suatu ketika nanti

Jauhkanlah dari azab nerakaMu, ya Allah

Kurniakanlah kebahagiaan syurgaMu, ya Allah.

 

Wahai diri

Carilah mata kesedaran

Peringatkanlah diri pada kematian

Hiasilah diri buat amal kebajikan

Selagi termampu

Selagi termampu

Tiada siapa boleh mengubah

Walau selindung  sebalik jeriji besi

Izrail tetap 70 kali mengintip diri

Walau kini di fana’ dunia

Teruskan menghela kata juang

Hargailah segala nikmat yang diberikan

Hargailah setiap masa yang sentiasa meninggalkan

Semuanya kurniaan dari Tuhan

 

Ketika sulit dan perit

Tidak terkecuali ada senyuman pipit

Titisan air mata

Ada gembira di sebalik duka

Buat jiwa yang dipelihara

Laksanakanlah didikan asuhan

Teguran,nasihat dan hukuman

Tarbiyah mendidik bukan menakutkan

Pemeri doa

Pelindung api neraka

Penyinar bahagianya syurga

Penyuluh teruggul di barzakh sana

 

Wahai diri

Laman itu

Jangan dikesalkan

Karya dan perkembangan

Ilmu yang disampaikan

Hikmah kisah kehidupan

Teguran dan peringatan

Sebarkanlah

Masih ramai yang tidur lena

Bantal yang gebu, tilam yang empuk

Dibuai mimpi-mimpi indah

Menanti tangisan-tangisan kesedaran

Macam tak tahu

Ada yang memerhatikan

 

Buat diri ini

Doa yang disampaikan

Tidak merasai bersendirian

Menjadi kekuatan dan kelebihan

Di sebalik kelemahan dan kekurangan

Jiwa yang dikurnia

Jasad yang dicipta

Aturan kisah dan peringatan

Wujud kerana Dia Pencipta

Adalah milik dan pemberian dari-Nya

Semua dalam genggaman si Maha Agung

Pemilik semesta alam, kehidupan dan kejadian

 

“Mukmin yang sejati bukanlah hanya hidup menunggu mati. Mereka hidup untuk mati.”

“Mukmin yang sejati, apabila mengingatkan kematian, semakin meningkat iman dan amalnya. Bekalan perlu ditambah. Dosa perlu dijauhkan. Amal simbolik kepada setiap persoalan. Iman penentu harga dan nilai sebenar kejayaan.”

 

-mengenai jiwa dan jasad, ada kesinambungan karya. Sedang berusaha. Mengkaji, meneliti, menganalisis. Cuba menghurai bukan dalam artikel, mungkin seperti sebuah buku. Doakan diberi kekuatan dan semangat yang berterusan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: