Peringatan pada hati yang alpa dan leka

Hari ini telah melalui jalan yang bermula pada hari yang semalam. Hari yang menjanjikan sesuatu yang tidak daku ketahui malah mungkin berbeza dari pengetahuan dan perancangan. Perangkaan manusia sentiasa melalui, perangkaan Allah s.w.t tiada siapa yang ketahui.

Manusia sentiasa meniti kisah dalam kehidupan dengan pelbagai sifat dan perancangan. Penuh dengan perancangan. Demi memenuhi hakikat, diri ini hanyalah mampu merancang. Dia yang MAHA MENENTUKAN.

Rancangan-Nya menaungi segenap penjuru alam. Menaungi setiap perancangan manusia, yang sememangnya bersifat lemah lagi tidak berdaya.

Sekiranya perancangan itu mengalami kesulitan, ketahuilah, manusia itu sememangnya tidak pernah sempurna dalam melakukan perancangan dalam setiap perbuatan.

Apabila perancangan manusia itu membuahkan kemudahan, ketahuilah perancangan itu bukan milik manusia itu menentukan, sebaliknya telah tercatat lagi direkodkan di lauh mahfuz sana.

Dia telah menentukan segala-galanya. Walau hamba-Nya yang diciptakan di muka bumi ini bersifat engkar dan alpa, rahmat dan pengetahuan-Nya tidak pernah terkurang walau secubitpun.

Allah Maha Menyaksikan segala-gala-Nya.

Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dan tersurat dalam hati dan jiwa manusia.

Rahmat dari-Nya Maha Luas. Tidak mengira sesiapa dan di mana-mana. Sentiasa diberikan kepada segenap makhluk dan penjuru alam. Dialah Maha Memberi lagi Maha Merahmati.

Hidup adalah kerana-Nya. Suatu ketika pasti akan kembali pada-Nya.

Daku sentiasa ingin dan kembali mencari kebahagiaan hakiki. Kerana ia, lebih bernilai dari dunia serta seisinya. Kerana ia, mengingati daku hanyalah layak bergelar hamba, walau punya pangkat bahkan harta. Kerana ia, menjamin keredhaan Ilahi, menuju syurga yang abadi.

Tiada apa yang perlu diungkapkan. Sekadar satu perkongsian. Sebagai peringatan dan pengetahuan.

Ketika Iblis dan syaitan laknatullah itu kembali berlegar setelah terlerai belenggu pada ketika Ramadhan yang diberkati, ramai manusia dan makhluk Allah akan kembali terlihat bukti kesepahan mahluk-makhluk laknatullah ini menghasut dan menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran. Maksiat dan kemungkaran yang dilaksanakan bukan suatu yang berada pada tepian, sebaliknya menjadi kebanggaan, kebiasaan dan kemegahan.

“Hei, awek kau tak call ke hari ini? Tengok buah hati aku, cantik tak? Dia salam sayang kat aku tiap-tiap hari tau!” sinis si Raimi pada Tenku suatu hari. Ketawa gembira lagi bertepuk tangan syaitan dan iblis meraikan seorang pengikut mula mendabik dada.

“ Lina, hensemlah boyfriend kamu ini. Bersih wajahnya, tersenyum manis. Segak pula tu. Hish, macamanalah dia boleh terpikat dengan kamu. Kalaulah aku dapat, sah2 esok buat laki.” Seronok si Lina dengar Hani memuji boyfriendnya. Tersenyum saja syaitan dan Iblis lihat reaksi anak muda ini, memuja dan memuji makhluk Allah dari penciptaNya sendiri.

“Din, kamu tak pergi dating dengan Yani ke ari ni? Hari cantik, cuaca baik. Kalau aku dah tentu ajak pi tepi tasik, bergurau senda berpegang tangan. Wahhh… bahagianya!” Berangan Puad  sambil merenung gambar gelifriendnya atas katil. (Sah satu rekod disiplin baik punya tercatat dalam tangan Iblis. Satu lagi pengikutku….)

Hakikatnya, pelbagai lagi reaksi manusia, ramaja remaji, muda mudi, malah yang tua bangka pun ada, suka lagi berkepinginan untuk menjalin hubungan yang sah-sah haram di sisi Islam, dan membuahkan kemurkaan Tuhan. (Wahai dunia, mengapa manusia tidak pernah sedar akan sifatmu hanyalah fana’ wa sementara?)

Itu hanya mukadimah, belum lagi episod murka dan api neraka yang menjadikan manusia sebagai bahan bakarannya. Memancing-mancing bala Allah, menghitung hari datangnya murka Allah.

Nauzubillahiminzalik….

Ketika ini, hanya lahir segelintir umat manusia yang begitu mengenal dosa pahala, mengenal iman atau binasa, dan  mengenal redha atau murka.

Mereka takut untuk berkata besar kepada dunia. Takut setiap langkah atau titipan kata penuh dengan nafsu, penuh dengan kehendak duniawi.

Mereka bukanlah tidak pernah melakukan dosa, mereka bukanlah tergolong manusia yang sempurna.Mereka juga ada kekurangan dan cacat cela. Tetapi, mereka ialah orang yang mengharapkan redha Ilahi, ingin mencari jalan yang halal lagi suci. Tiada bukti dan kepingin jika ada perkara yang hendak diberikan buat dunia yang sementara ini.

Mereka, tidak terletak pada janggut yang panjang, jubah yang lebar, atau serban yang sentiasa ada di kepala. Mereka jua bukan tergolong kalangan yang sebegitu ilmuan, sebegitu hebat untuk menyampaikan, sebegitu lantang menyatakan kelebihan atau kebenaran. Sebaliknya, mereka cuma ada hati yang sekelumit menyatakan dan membenarkan Allah itu Maha Berkuasa, Maha Esa, Maha Mengetahui segala-galanya.

Buat diri yang sentiasa alpa dan leka… daku sentiasa berpesan pada diri sendiri, agar berpada-pada dalam melakukan sesuatu atau menyampaikan sesuatu. Kerana, telah diketahui. Apa yang akan terpampang di depan mata, bukan itu kebenaran pada hati dan kemahuan manusia.

Walau nampak sahaja baik di mata, tersenyum manis di wajah, bermuka seri ketika menyapa, belum tentu baik jua dalam pemikiran atau hatinya.

Sungguhpun Islam tidak mengajar umatnya untuk menilai setiap perbuatan dengan menilai hati-hati manusia, tetapi, daku lebih lagi kenali perkataan waspada dan berhati-hati, kerana menjauhi kalanya ada sebarang titipan yang mendatangkan kemurkaan dan menjauhi dari keredhaan Tuhan. Perkara ini bertambah khususnya pada bukan dari kaumku. Ikhtilat syar’ie yang menjadi batasan, bukan sahaja atas pergaulan, malah turut dalam setiap penyampaian.

Itu pesanan dari Rasulku. Itu perintah Allah buat hamba-hamba-Nyadi dunia ini. (An-nur:30-31)

Bak kata pepatah melayu, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Think in the end of mind

Fikirkan mudarat dahulu lebih baik dari nikmat yang berada di tepian.

Ketahuilah… sesungguhnya diciptakan setiap manusia itu telah ada ketetapannya di lauh mahfuz sana.. Hanya ketikanya, diciptakan pula musibah dan nikmat, melihat setakat mana hamba-Nya menyatakan iman dan takwa dalam dada.

Ketika perjalanan ini terus menerus melalui ranjau kehidupan, adakalanya diri akan diberikan nikmat dan kelebihan. Kelebihan itu sentiasa manusia mencapai erti leka dan alpa sehingga menjauhkan diri dari mengingati pemberi sebenar nikmat kepada manusia

Ketika manusia itu dikurniakan nikmat, manusia lupa untuk mencari nilai taubat. Bergerak hati melihat setiap musibah yang lalu seperti hurungan lalat, sekejap dia datang, dihalau dengan readsect dia pergi tak kembali. Musibah yang telah lalu biar dilupakan pergi, terlupa setiap perjalanan kehidupan ini ada sesuatu hikmah yang ingin diberi dan diperolehi.

Ketika manusia dikurniakan sedikit kelebihan dan kesenangan, manusia terlupa mengucapkan syukur kepada yang Maha Memberikan. Laungan kegembiraan dan keceriaan di wajah, terlupa yang suatu ketika dahulu sering keluh kesah dan mengadu akan lemah dan lelah. Senyum, ketawa dan gembira, teralpa yang suatu ketika Tuhan yang menjadi tempat pengaduan dan pertolongan hamba yang sering lemah dan tiada upaya.

Ketika manusia diberikan sedikit kelebihan, mula rasa ingin mendabik dada, menunjuk diri siapakah dia di mata dunia. Mula menghadap muka di kaca mata manusia, mencari pujian yang selama ini didambakan menjadi miliknya. Menggunung tinggi harapan daripada manusia, bukan dari siapa dia diciptakan, bila pula masa dia akan dikembalikan.

Teralpa yang suatu ketika hanya kepadaNya tempat dia mengharap.

Teralpa dan leka suatu ketika dahulu kepadaNya sahaja mengadu kisah dan tempat mencari kekuatan dan pertolongan.

Sekiranya kaki ini terlepas atau tersasar melangkah di atas jalan yang lurus, berpeganglah kembali pada tali Allah yang sentiasa luas dan menerima setiap hamba-hambaNya yang ingin kepadaNya. Dia tidak pernah malah mustahil alpa dan leka pada setiap kejadian dan ciptaanNya. Kerana dia yang menciptakan dunia, Dia lagi mengetahui bila masa ada waktu pengakhirannya.

Sebagai peringatan supaya diri ini tidak alpa dan leka.

Sungguh, hati ini merasai kewujudan dan mengingatinya. Hati ini sentiasa meyakini setiap janji-janjiNya. Tidak kira apa-apa kisah, kehidupan, mahupun kematian yang bukan satu mimpi atau igauan manusia. Malah, hati ini tidak sesekali menafikan kebenaran dari-Nya kerana Dia…. Innakala tukhliful mi’ad (Ali Imran:195)

Wahai Tuhan, kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu. Lindungilah kami dari hasutan dan bisikan Iblis dan syaitan laknatullah, yang tidak pernah alpa dan leka walau sesaatpun menggoda manusia.

“Ya Allah, walau 1001 ujian menimpa hambaMu ini, aku yakin semuanya ada dalam ketetapanMu. Namun, ya Allah, janganlah Engkau membebankan aku dengan ujian dan beban yang yang tidak mampu aku, hamba yang sentiasa serba kelemahan dan kekurangan ini dari memikulnya.”

“Ya Allah, walau pebagai dugaan dan ujian Engkau timpakan buat kami, janganlah sesekali Engkau menjauhkan kami dari mendekatiMu. Ya Allah, sekiranya ada hati ini menafsirkan bukan atas keredhaanMu, hancurkanlah ia daripada kami. Ya Allah, hubungkanlah hati ini kepada yang telah ditetapkan buat kami, dijauhkan kami dari dugaan, fitnah, dan mehnah dunia, wanita, manusia dan seisinya.”

“Ya Allah, aku memohon keampunan atas dosa-dosa hambaMu ini yang banyak lagi tak terkira. Aku mohon keampunan jua buat ibu bapaku, yang sentiasa mendidik daku dan mengasihiku semenjak dariku kecil lagi. Aku jua memohon keampunan buat orang yang sentiasa aku kasihi dan mereka yang mengasihiku agar tergolong dalam kalangan hambaMu yang diredhai. Naungilah kami, ya Allah. Atas rahmatmu yang menjulang tinggi.”

“Janganlah Engkau memesongkan hati kami setelah Engkau memberikan petunjuk kepada kami dan berikan kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Memberi.”

“…(Al-Qur’an) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”  (Yusuf:111)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: