Kebenaran itu Hak Allah

Daku cuba meleraikan persoalan diri sendiri…

Kadang-kadang wujud suatu keadaan yang mana memerlukan diri ini menyampaikan suatu kalimah atau kalam kebenaran. Khusus dari jiwa yang mencari nilai dan cahaya Islam, menolak kepada pengharapan pada manusia atau sekaliannya.

Sebagai manusia biasa, di mana-mana, di seketika mana,

Pasti wujud manusia yang suka mengagungkan dunia dan manusia. Kononnya, duit adalah segala-galanya, harta yang melimpah ruah adalah matlamat utama, pangkat dan darjat menjadi topik utama.

Kerana duit, orang sanggup menipu orang lain. Hanya kerana nilai RM500, RM1000, dan sebagainya, pada pandangan mata manusia, itulah segala-galanya. Tanpanya, tidak boleh hidup, tak mampu lagi nak bernyawa. Tipu manusia sana sini, buat-buat jujur, buat-buat baik, alih-alih ada niat tersendiri.

“Biar duit dan harta dia aku pungut, bukan siapapun yang tahu.”

Begitu juga pada pangkat, darjat, dan harta. Kerana semua inilah manusia sanggup bersengkang mata, membelek-belek wajah dunia. Tak pernah puas. Tak pernah kenal letih lelah inginkan dunia.

Kemudian, tinggal segala perintah utama. Solat, zakat, sedekah, dakwah dan sebagainya hilang entah ke mana.

Dicampak masuk dalam tong sampah seperti sampah sahaja dianggapnya perintah dan larangan Tuhan.

Kepada pengejar-pengejar dunia, dipersilakan melancarkan tipu helah, muslihat, dan strategi anda. Kalian sememangnya mahir tentang perkara ini, tiada siapa boleh nafi.

Jika terjadi perkara ini pada daku, dengan kekuatan daripada Allah s.w.t, daku hanya boleh katakan, “I’m sorry, boleh jalanlah. Aku bukan nak harta, pangkat, atau duit anda. Aku ada yang kaya lebih dari yang terkaya. Aku ada yang mulia lebih dari pangkat dan harta yang wujud di dunia.”

“Jika kalian masih ingin bermuslihat, buat baik-baik pada manusia kerana duit dan harta yang secotek itu, silalah ambil. Rebutlah sebanyak mana yang kamu mahu. Kautlah selagi diri rasa tamak dan kepingin dengan kertas yang tertulis nilai itu.”

“Aku hanya boleh bagi peringatan. Sudah ditegur, pulangkan pada pemiliknya kembali. Yang tipu duit kerana ingin berhutang, pulang pada pemiutang. Yang buat khianat pijak kepala nak naik pangkat, minta maaf dan kenakan diat yang yang patut sebagai pembalasan.”

“Tetapi, kalau tidak mahu ikut, terpulang. Bukan aku yang menciptakan kebenaran dan hidayah Tuhan. Bukan aku yang boleh beri, catat anda buat dosa atau beroleh pahala. Bukan aku yang mencipta syurga atau neraka.”

“Rezekiku bukan pada harta dan kekayaan. Rezekiku bukan pada nilai-nilai kewangan. Rezekiku datangnya dari Tuhan. Sihat, makan, melihat, mendengar, dan sebagainya, semua itu rezeki yang paling tak ternilai dari Tuhan. Dialah yang Maha Kaya dan Dia Maha Pemberi Rezeki pada sekalian makhluk dan ciptaan alam.”

Cukup dulu peringatan tentang kisah manusia dan dunia. Tak boleh tulis panjang-panjang, sebab tak pernah berkesudahan dan tak pernah ada perkataan muktamad pada penyelesaian.

Sampai kiamat baru manusia teringat, “oh, aku selama ini tertipu dengan dunia!”

Sedarkan diri dahulu sebelum terlambat.

KEBENARAN DARI TUHAN

Musahabah buat diri sendiri.

Topik utama risalah kali ini ialah kebenaran. Kebenaran yang lahir dan wujud hanya dari pemilik kebenaran, al-Haqq, Allah s.w.t.

Mungkin ramai manusia menganggap remeh perkara ini. Sebab utama, hati tidak pernah kenal siapa Raja, siapa hamba. Terpaut kukuh pada tipu daya dan permainan dunia, sehingga lupa akan kewujudan dan tetap kekal wujudnya sang Pencipta.

Allah Azza wa Jalla.

Mari merenung dalam-dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. dalam mengenali Tuhan. Siapakah yang patut disembah? Apakah bukti kewujudan Tuhan?

“Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang” Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)””.   (Al-An’am:76-79)

Allah s.w.t dengan kebesaran ,limpah rahmat dan petunjuk dari-Nya, mengenalkan kepada Nabi Allah Ibrahim a.s. bagaimana mengenal-Nya dengan memerhatikan setiap kejadian dan penciptaan alam semesta. Semuanya dalam aturan dan penuh tertib serta susunan. Tiada satupun bercanggah sehingga wujud dari nabi Ibrahim a.s. akan ada suatu kuasa yang Maha Hebat yang mengawal semua kejadian dan pergerakan setiap ciptaan alam semesta. Segala-galanya.

Dia mencipta kebenaran pada naluri dan hati Nabi Ibrahim a.s. Dia memberitahu kepada Nabi Ibrahim a.s. wujudnya kebenaran Dialah Tuhan, yang menciptakan sekalian alam.

“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.”  (Al-An’am:75)

JANJI YANG BENAR

Perkara ini mungkin memerlukan sedikit penekanan dan perhatian. Terutamanya pada zaman kemelesetan ummah, yang seperti buih-buih di lautan.

Malah, sejak akhir-akhir ini, pelbagai perkara yang berlaku di luar kawalan. Tsunami, gunung berapi, dan banjir di negeri-negeri yang tiada wujud istilah banjir sebelum ini, semakin menjadi-jadi.Belum kisah kerosakan hasil tangan manusia, yang lebih berganda sampai tak cukup jari nak mengira.

Namun, semuanya adalah wujud dari janji-janji Allah. Dia timpakan musibah pada suatu ummah, sama ada bersedia atau tidak mereka ingin menerima. Dan, Dia tidak menimpakan musibah melainkan kerana kerosakan yang wujud dalam ummat itu sendiri.

Itu mengenai janji Allah pada ummat yang tidak mentaati perintahnya.

Ini pula tentang janji Allah buat hubungan antara manusia dengan manusia di dunia.

Mungkin perkara ini agak kurang dan janggal untuk diperkatakan dalam laman ini tetapi sentiasa menjadi bualan manusia atau orang ramai. Kadang-kadang wujud keinginan pada manusia yang inginkan Allah memenuhi janji antara manusia dengan manusia. Terutamanya pada istilah jodoh antara manusia.

Sejak diciptakan seorang manusia dan lahir ke dunia, tiada satupun ada titik perubahan pada ketetapan dan janji-Nya mengenai jodoh dan pertemuan antara manusia dengan manusia.

Walau pusing arah, pergi ke mana-mana benua sekalipun,

Jika telah itu Allah menetapkan jodoh buatnya, tiada satupun makhluk Allah yang mampu nak mengubahnya.

Hanya, sedaya paya sebagai manusia, ada istilah berusaha dan berdoa. Itu sahaja.

Manusia yang buta ialah manusia yang menurut hawa nafsu dalam menilai janji-janji Tuhan. Mereka percaya (kerana tertipu dengan syaitan) yang suatu kehilangan yang dialami hanyalah bersifat sementara, esok atau bila-bila masa pasti akan kembali kepadanya. (Sekali lagi, kerana nafsu yang menilai pada rasa kasih akan manusia yang berlebihan dari kenal dan rasa Rahman dan Rahimnya Allah s.w.t. Mereka mencari sepotong ayat yang sepadan dan sesuai suasana mereka, maka diambil ayat itu sebagai dalil, padahal nafsu yang mengharap padanya. Bukan petunjuk atau memohon keredhaan dari-Nya. Nauzubillahi min zalik.)

Maka, ketika kekasih lari , orang yang disayangi dirampas, isteri berpisah, suami kahwin lain, orang yang dicintai meninggal dunia, perpisahan orang-orang yang terpenting dalam hidupnya, mula terdetik dalam hati mereka akan hasutan syaitan ingin kembali pada asal kejadian, dan tidak boleh terima hakikat yang telah berlaku. Dalam hati dan fikiran mula terbit perkataan, “kalau aku buat itu, kalau aku buat ini…” Semua adalah karut dan hina. Hanya membuka pintu untuk syaitan memperdaya manusia.

Sesungguhnya,

Ketahuilah, manusia hanya mampu berusaha dan berdoa. Lain-lain perkara, terserah kepada ketentuan yang Maha Esa.

Kita manusia. Kita hanyalah hamba.

Kita semua wujud kerana-Nya. Suatu hari nanti kita akan kembali semula kepada-Nya.

Lupakan dan berhenti berfikir menilai akan janji-janji Tuhan antara manusia dengan manusia; pertemuan, jodoh, kahwin,cerai, dan lain-lain. Tak perlu diungkit pada kepala sekiranya hati yang sering berbolak balik ini tidak pernah bertanya, berfikir dan menilai janji-janji Tuhan yang lebih nampak dan terkesan di hadapan mata.

Janji Allah pada kiamat yang pasti akan berlaku

“Dan mereka berkata, “bilakah janji itu (akan datang), jika kamu orang yang benar?””   (Al-Anbiya’: 38)

“Sebenarnya (hari kiamat) itu akan datang kepada mereka secara tiba-tiba, lalu mereka menjadi panik, maka mereka tidak sanggup menolaknya dan tidak (pula) diberi penangguhan (waktu).”  (Al-Anbiya’: 40)

Janji Allah pada kematian yang pasti dilalui oleh setiap manusia.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”  (Al-anbiya’ : 35)

Janji Allah pada kebaikan yang dibalas dengan kebaikan, keburukan dibalas dengan keburukan.

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh, (bahwa) mereka akan mendapat ampunan dan pahala yang besar.”  (Al-Maidah: 9)

Ini lebih utama dan perlu diberi perhatian. Kerana tiada satupun yang terkecuali sedang dan pasti akan berada dalam peristiwa atau situasi ini.

Oleh itu, sebagai hamba Allah yang sentiasa cuba muhasabah diri, memberi peringatan pada diri sendiri, mencari jalan dan mengharap keredhaan Ilahi, mohon dijauhkan dari hati dan kemungkaran di sana sini, diri ini melihat setiap kejadian ada hikmahnya. Siapa yang paling berkuasa, siapa yang hanya sekadar mampu berjuang dan berusaha.

Sesungguhnya,

Janji tuhan itu adalah milik Tuhan. Bukan manusia yang boleh menilai dan buat penyaksian.

Itu adalah hak Allah. Semuanya dalam ketentuan dan ketetapan Allah.

Ia adalah qada’ dan qadar Allah.

Ia adalah rahsia-rahsia Allah.

Yang kini adalah kini. Yang di hadapan tiada siapa yang mengetahui.

Stop think about it for better life.

TIPU DAYA SYAITAN

“Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”  (al-Hajj: 52)

(Syaitan akan membisikkan keinginan jahat pada hati manusia, supaya melakukan perbuatan yang tercela dan hina di sisi Alla s.w.t. Jauh dari keredhaan-Nya.)

Jangan termakan dengan bisikan dan hasutan Iblis dan syaitan laknatullah. Hal ini antara lain berlaku kerana kerapnya diri menilai, mendengar dan berkata tentang kisah manusia dan dunia, sehingga terlupa ingin bertawajjuh, memuja memuji kebesaran Allah taala.

Terlupa setiap manusia itu hakikatnya tidak lebih hanyalah makhluk Allah, tak akan ada daya dan upaya melainkan keizinan dan rahmat dari-Nya.

Tipu daya syaitan bukan sahaja datang untuk mengajak manusia melakukan kejahatan, malah diajaknya juga manusia melakukan kebaikan.

Kejahatan sudah memang jelas kelihatan. Tetapi, kebaikan itulah yang paling sukar untuk dinilai dari arah mana syaitan itu sedang melakukan tipu dayanya pada manusia.

Maka, jika bukan kerana ada keburukan di sebalik kebaikan seperti kisah di atas tadi, pasti akan wujud keburukan jua pada kebaikan yang dilakukan dengan munculnya sifat-sifatnya mazmumah dalam hati.

Mula bongkak dan sombong pada kebaikan yang dilakukan. Timbul sifat ujub, riya’ dan sum’ah dengan apa-apa yang dimiliki.

Justeru, jangan sesekali tunduk pada kehendak nafsu. Kerana nafsu adalah senjata paling ampuh Iblis dan syaitan laknatulllah untuk menyesatkan manusia dari mentaati perintah Allah s.w.t.

Beringatlah, sifat nafsu itu tidak pernah puas. Nafsu juga degil dan buta. Walau diberi segala jenis keseronokan dunia sehingga seluas lautan, tiada erti kepuasan pada nafsu. Terutama sekali pada nafsu syahwat yang menjalar-jalar boleh sahaja berlaku di sana-sini.

Peliharalah segala-galanya pada diri.

Berlindunglah kepada-Nya sekiranya wujud bisikan dan keinginan nafsu dalam diri.

Didiklah nafsu dengan iman. Kemanisan iman tidak akan terasa sekiranya hanya menghadap depan komputer mahupun menelaah ilmu di perpustakaan.

Serapkanlah nilai iman dan takwa yang tidak berbelah bagi pada Allah s.w.t.

Kemanisan iman hanya akan dirasai dan terbina hanya apabila segala yang mewujudkan nilai-nilai iman diamalkan dan disampaikan kepada manusia lain yang memerlukan.

InsyaAllah.

Kerana manusia itu tidak akan mungkin terlepas dari sifat kasih sayang, rasa ingin disayangi dan dikasihi, mungkin diri ini akan cuba berkongsi akan perkara ini. Mengasihi diri yang lain tanpa syarat, batasan atau sempadan.

Jika dikurniakan kekuatan dan ilham dari-Nya, diri ini akan menghuraikan mengenai perkara ini di bawah penulisan Jiwa dan Jasad: Syarat Cinta Tanpa Syarat. InsyaAllah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: