Prinsip Cinta Tanpa Syarat.

Lumrah dalam kehidupan manusia sentiasa wujud kehendak untuk berpasangan dan saling kasih mengasihi. Kelangsungan lumrah penciptaan ini mewujudkan sifat bertanggungjawab, prihatin, saling bertoleransi dan saling melengkapi.

Umpama wanita yang diberikan kelebihan dari segi emosi dan perasaan melengkapi prinsip kehidupan lelaki yang bersifat tegas dan kepimpinan. Lelaki yang diberikan kelebihan kekuatan dan keupayaan, melengkapi sifat wanita yang diciptakan lemah dan sentiasa memerlukan perlindungan.

Manusia menjalinkan hubungan cinta dan kasih sayang bermula sejak dari dalam rahim ibu lagi. Sejak belum sempat menatap wajah dunia ini lagi.

Kelahiran bayi yang kecil dan comel dalam teriakan dan tangisan, tetap mampu membuahkan senyuman buat si ibu tanda gembira dan penuh kasih sayang walau dia yang lebih menanggung derita. Tangannya yang pucat memeluk erat si anak, mengucupnya dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang, serta menyusukankannya sebagai bukti pemberian yang tidak berbelah bagi oleh ibu buat anak kesayangan.

Sayup dan sayu suara ayah melaungkan kalimah azan dan iqamat menandakan kecintaan ayah pada anaknya, moga-moga menjadi anak yang soleh dan solehah apabila membesarnya dia. Tanggungjawab mendidik keluarga, menanggung nafkah, malah memerah segala keringat yang ada tidak pernah dihiraukan oleh seorang ayah demi sifat memberi dan memelihara nilai cinta dan kasih sayang buat keluarga tercinta.

Hakikat kejadian penciptaan fitrah untuk saling mengasihi dan menyayangi ini adalah suatu lumrah dan fitrah setiap insan dalam kehidupan.

Cinta memberi pengharapan pada manusia

Cinta jua memberi nilai kebahagiaan pada manusia.

Ikatan cinta ini adalah cinta yang bersifat semulajadi dan norma untuk kejadian manusia. Cinta ini lahir kerana Rahman dan Rahim-Nya Allah s.w.t pada setiap kehidupan manusia dengan hadirnya jasad untuk memberi dan menjalinkan hubungan.

KONSEP CINTA

Sememangnya tidak pernah dinafikan kewujudan sepasang kekasih atau suami isteri yang terjalin dengan ikatan cinta adalah memenuhi tuntutan cinta yang wujud kerana Allah s.w.t. Namun konsep cinta ini hanya lahir demi Allah yang menciptakan jasad setiap kejadian.

Cinta pada peringkat ini memerlukan jasad untuk menyayangi, memerlukan jasad untuk memberi, dan memerlukan jasad dalam menyampaikan setiap kalam bicara, sentuhan rasa, dan belaian kasih mesra.

Maka, disayangi jasad kekasih hati kerana Allah

Disayangi jasad isteri kerana Allah

Disayangi jasad suami dan anak-anak kerana Allah

Itu ialah konsep cinta yang lumrah dan memenuhi fitrah kehidupan. Tetapi konsep cinta tanpa syarat adalah berlainan. Dari segi keadaan dan keberadaannya juga ternyata berbeza.

Konsep cinta tanpa syarat tidak tertakluk dengan kehadiran jasad. Ia boleh berlaku sebelum jasad dilahirkan, atau selepas jasad itu dipertemukan. Konsep cinta pada peringkat ini hanya melalui kehadiran jiwa dalam menyatakan mereka saling bercinta. Jiwa yang lahir untuk mencintai itu adalah luhur dan kembali pada pemiliknya, Allah s.w.t.

Jiwa yang mencintai kerana Allah adalah jiwa yang tertinggi dalam penilaian cinta antara manusia. Jiwanya penuh dengan sifat ikhlas, tawajjuh, dan tawakkal yang tidak berbelah bagi buat pencipta kisah cinta kepada manusia, Allah s.w.t.

Ia tidak sama dan tidak boleh dibandingkan dengan fitrah cinta manusia. Ia tersendiri dan teristimewa, teragung dan mulia, yang merupakan anugerah Tuhan buat hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sahaja.

Cinta fitrah insani wujud atas dasar hubungan antara manusia dengan manusia.

Cinta tanpa syarat pula wujud kerana hubungan antara hamba dengan hamba, menyulam kukuh nilai iman dan takwa, yang berpaksikan sepenuhnya pada pemilik cinta, Allah Azza waJalla.

Ia tiada batasan mahupun sempadan.

Ia tiada noktah dan titik penghujungnya.

Ia terabadi dengan lindungan Allah s.w.t, dan kekal abadan abada.

SYARAT CINTAI JIWA

Syaratnya mudah.

Sifirnya lagi mudah. Jiwa- jasad +Ikhlas = ALLAH.

Ikhlas.

Ikhlaskan hati dan niat dalam meraih cinta jiwa, hakikat cinta tanpa syarat. Ramai manusia boleh berbicara tentang ikhlas, apatah lagi ingin menyebutnya. Tetapi, hakikat sebenar meraih ikhlas hanya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui.

Ikhlas itu diibaratkan seekor semut hitam yang merayap di waktu malam yang gelap gulita, di celah batu-batu hitam. Ia seperti mutiara yang berkualiti, bersinar dan berkilauan, tetapi terselindung di sebalik tiram-tiram yang lusuh dan kusam, tenggelam rapat-rapat di dasar lautan.

Sifat orang yang ikhlas terlepas dari mempunyai keinginan dan pengharapan. Orang yang ikhlas adalah orang yang sentiasa ingin memberi, tetapi tidak pernah terlintas di hati bermaksud ingin meminta atau menerima kembali habuan dari setiap pemberiannya.

Hati mereka ikhlas mencintai kerana Allah sebagai puncak utama pemeri cinta.

Lisan mereka ikhlas menyatakan kalimah cinta yang membesarkan dan mengagungkan Allah, pencipta cinta.

Tangan mereka ringan mencari dan memberi semata-mata kerana Allah. Keredhaan sentiasa terpaut pada setiap pemberian yang wujud itu kerana Allah.

Kemudian, seseorang yang ingin meraih cinta tanpa syarat bukanlah seorang yang membuat 1001 pengharapan dan keinginan pada sifat jasad. Antara contoh sifat jasad ialah kecantikan, ketampanan, kuasa, pangkat, usia,status, jantina dan harta.

Hakikatnya, untuk merebut hakikat cinta tanpa syarat, jiwa hendaklah bersih dari kebergantungan pada dunia dan jasad.

Hati dan jiwa itu telah berpaling sepenuhnya penglibatan dan keinginan pada jasad.

Jiwa itu terhindar sepenuhnya dari pengharapan pada jasad.

Diri yang mencintai tanpa syarat tidak akan gelisah dan bimbang sekiranya jasad itu pergi berjauhan, melalui episod-episod perpisahan, mahupun pada peristiwa kematian. Perkara ini tidak menggugah prinsip cinta tanpa syarat.Hal ini kerana telah wujud hakikat dalam diri mengerti erti cinta yang hakiki dan terabadi, bukan wujud buat dunia yang fana’ ini.

Kekosongan yang dirasai kerana kehilangan jasad terisi dengan doa yang tidak putus-putus menharapkan kesejahteraan dan kebaikan dengan kebangkitan nilai iman. Iman yang hidup dalam setiap bait doa melahirkan diri yang sentiasa bersyukur dengan setiap detik-detik pemberian-Nya, melahirkan sifat redha dengan erti-erti perpisahan di bawah ketentuanNya.

Namun, sekiranya terdetik di jiwa akan penglihatan pada jasad, hanya kalimah istighfar dan doa yang luhur dan berpanjangan yang sentiasa menjadi ungkapan.

Doa adalah pelengkap cinta tanpa syarat. Doa yang ikhlas menjadi tali penghubung yang utuh pada ikatan cinta tanpa syarat. Malah, doa luhur dan tulus yang disampaikan pada Allah s.w.t, dengan keizinan dari-Nya, wujud pada diri empunya pencinta jiwa, cinta tanpa syarat.

Lupakan diri mengenali dan menginginkan pada ‘wajah’ jasad, sekiranya ingin menerima hakikat cinta tanpa syarat!

PENCINTA TANPA SYARAT

Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Tidak kira usia, darjat, status diri mahupun jantina milik manusia.

Pencinta tanpa syarat boleh wujud antara seorang saudara dengan saudaranya yang lain.

Malah, pencinta tanpa syarat berupaya wujud antara seorang wanita dengan lelaki yang lain.

Mungkin jua pencinta tanpa syarat hanya wujud buat Dia sahaja, tanpa ada wajah jasad untuk melaungkan kata cinta.

Mereka wujud sebagai manusia. Bezanya, mereka lebih mengenali jiwa bukannya jasad.

Antara pemilik cinta tanpa syarat ialah utusan yang teragung mulia, murabbi cinta teladan ummatnya, Rasulullah s.a.w.

Ia adalah milik wali Allah yang tertinggi martabat cinta, Rabiatul Adawiyah.

Ia adalah milik dan anugerah pencipta kasih sayang dan cinta kepada hamba-hamab pilihan-Nya, Allah s.w.t

Cintanya Rasulullah pada umatnya di akhir zaman, tidak pernah kenal dan mengetahui siapa di sebalik wajah, sikap, dan martabat umatnya. Cinta baginda luhur. Baginda terlalu ingin bertemu dengan ummat baginda yang dikasihi,malah menjadi saudara baginda s.a.w sendiri. Malah, ketika di akhirat kelak, baginda yang ingin memberi syafaat kepada ummat baginda walau tidak pernah bersua dan dikenali ini.

Tidak kenal erti jantina, tua, muda, miskin, kaya, ilmuan, mahupun dermawan, semuanya bagi Rarulullah s.a.w hanya satu, ummatku. Betapa tinggi kerinduan dan kecintaan baginda pada ummatnya, sehingga ke peghujung hayat baginda masih menyebut, “ummati.. ummati…”.

Rabiatul adawiyah, tokoh sufi dan wali Allah, tidak pernah meletakkan sebarang pengharapan dan keinginan nikmat dari yang dicintainya, Allah yang Maha Esa. Tiada satupun pengharapan pada nikmat syurga, tiada satupun keinginan moga-moga dijauhkan dari azab api neraka. Cintanya hanya ikhlas hanya kerana yang satu, Allah s.w.t

Dia tidak pernah melihat siapa Allah, dan tidak pernh mengenali zat-zat Allah. Meskipun begitu, dalam peribadi Rabiah, hanya wujud sifat-sifat Allah, nama-nama Allah dan kebesaran-kebesaran Allah.

Kebergantungannya hanya pada yang satu, Allah…. Allah… Allah….

KELEBIHAN

Tidak semua manusia mampu tergolong dalam kategori ini. Tidak ramai orang yang sanggup menggadaikan harapan dan keinginan pada manusia yang lain untuk meraih erti cinta dalam kehidupan ini.Malah, sekiranya sifat keduniaan itu memenuhi dan jasad, konsep cinta tanpa syarat hanya dianggap mainan di bibir setelah mengalami kekecewaan dalam kehidupan ini.

Realitinya, cinta tanpa syarat merupakan cinta yang sememangnya wujud dalam penciptaan Allah s.w.t. Ia adalah peringkat cinta yang tinggi nilai martabatnya, darjatnya dan anugerah dari Allah s.w.t kepada hamba-hamba hyang dikehendaki-Nya. Hatta, sekiranya sepelusuk harta dan perhiasan dunia sekalipun, tidak mampu dibandingkan dengan kelebihan pada pencinta cinta tanpa syarat.

Mereka bertemu kerana Allah

Mereka berpisah kerana Allah

Mereka bercinta kerana iman dan takwa sebagai tali penghubung hubungan dengan Allah

Hakikat pertemuan kerana keredhaan dan ketetapan Allah

Hakikat perpisahan jua kerana ketentuan dan ketetapan Allah

Walau jasad hamba-hamba Allah ini telah  berpisah, namun jiwa mereka tidak pernah berpisah. Jiwa itu sentiasa kekal mencintai dan kembali kepada milik Tuhan, pemilik segala penciptaan jiwa-jiwa manusia di alam ini.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: orang yang mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah akan berada di bawah arasy Allah di mana tidak ada naungan pada hari itu (hari kiamat), kecuali naungan Arasy. Mereka akan diiri hati kerana kedudukannya yang istimewa di kalangan pada nabi dan syuhada’”.  (HR. Ibnu Hibban)

“Dari Abi Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: wahai manusia! Dengarlah dan fahamkanlah baik-baik! Ketahuilah bahawasanya terdapat di kalangan hamba Allah yang bukan dari para nabi, dan bukan dari para syuhada’ akan didudukkan di makam yang paling istimewa. Kerana kedudukannya yang paling hampir di sisi Allah, para nabi dan syuhada’ beriri hati kepada mereka. Seorang badwi yang datang dari kampung pendalaman dari Madinah yang mendengar dengan penuh tawajjuh mengisyaratkan tangannya lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w: ya Rasulullah! Segolongan manusia yang bukan dari kalangan para nabi dan syuhada’ akan duduk di makam yang paling istimewa dan hampir dengan Allah s.w.t, yang menjadikan para nabi beriri hati dengan mereka? Terangkanlah kepada kami keadaan mereka yakni sifat-sifat mereka! Pertanyaan badwi itu menyebabkan wajah baginda berubah menunjukkan kegembiraannya, lalu baginda s.aw. menjawab: mereka terdiri dari orang yang biasa sahaja yang tidak dikenali, mereka terdiri dari kabilah yang berlainan dan tidak mempunyai hubungan kerabat atau persaudaran namun kerana berkasih sayang, cinta- mencintai antara satu sama lain semata-mata kerana Allah. Pada hari kiamat kelak mereka akan didudukkan di atas mimbar-mimbar cahaya, wajah mereka bercahaya kemudian Allah akan memakaikan mereka dengan pakaian yang bercahaya. Hari kiamat yang penuh manusia dengan ketakutan mereka tidak merasai kebimbangan itu. Dia adalah kekasih Allah yang tidak merasai takut dan tidak merasai kebimbangan.”  (Musnad Ahmad)

Mampukah untuk mendakap hikmah dan nikmat cinta teragung ini?

“Ya Allah, kurniakanlah padaku hakikat cinta ini… hambaMu ini mendambakannya wahai Rabbi…”

*Jiwa dan Jasad :cinta*

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: