Belajar dari Hati

Nampaknya tahun baru kini telah bermula. Tahun baru 1432 H telah menjelma.

Bila difikirkan kembali, setiap hari setiap bulan, setiap tahun, pasti perkara yang dilakukan oleh manusia adalah seperti kebiasaan. Boleh dilihat dari kaca mata manusia, tiada apa yang berbeza keseluruhannya.

Mengenangkan tahun baru telah menjelma, masa yang semakin berlalu, dan usia yang semakin meningkat, diri ini perlu melakukan suatu perubahan. Tidak banyak. Hanya sedikit.

Jika dulu hanya membaca al-Qur’an, kini kena lebih memahami, malah menambah baik ingatan dan hafalan dalam al-Qur’an. Jika dulu tiada sistematik dalam langkah dan pengurusan, kini mencari jalan menambah baik masa, dan berfikir kebaikan buat masa yang akan datang.

Pernah dulu ketika terdengar kata-kata (entah siapa), biarlah ilmu yang dipelajari itu sedikit, tetapi mampu diamalkan dan dimanfaatkan di kemudian hari. Itu lebih baik dari ilmu yang dipelajari banyak, tetapi tiada satupun mampu memberi manfaat dan diamalkan dalam diri.

Yang penting ada azam, disusuli dengan perlaksanaan.

Belajar ke peringkat tertinggi, agar boleh dimanfaatkan dan berbakti di kemudian hari. Biiznillah.

**********************

Kadang-kadang terfikir, dalam banyak-banyak penciptaan dalam tubuh badan ini, yang manakah  paling istimewa, yang manakah paling mempunyai kelebihan dalam penciptaannya?

Melihat kepada sistem tubuh dalam badan yang sentiasa bekerja tidak pernah berhenti walau sesaat, terasa kagum kepada tubuh yang diciptakan. Cuba bayangkan, sekiranya sistem tubuh yang bermula dari degupan jantung, aliran darah, dan paru-paru yang mengecap darah ke seluruh tubuh badan salah satunya berhenti dari bekerja, apa agaknya yang akan berlaku kepada manusia?

“Mak, adik ‘mati’ sekejap. Jantung dia berhenti berdenyut untuk satu jam.”

“Encik, kami terpaksa memberhentikan aliran darah encik untuk 2 jam darah perlu berehat setelah penat bekerja tiap-tiap hari,” kata Dr. Cheng kepada pesakitnya.

Mengambil kata logik dari perbualan ini, sekiranya satu sistem dalam tubuh berhenti, adakah sistem tubuh yang lain akan berfungsi dengan sempurna? Boleh berjalan dengan baik tanpa memerlukan sebarang pertolongan dari pihak lain?

Tentu sahaja boleh dikatakan mustahil. Malah, mungkin tidak sampai 1 hari, dah ada orang yang tolong membacakan yaasin dan talkin.

Untuk lebih memahami sistem tubuh yang begitu sistematik lagi canggih yang sampai sekarang manusia tidak boleh menciptakannya sebagai pengganti, lihat sahaja kehidupan di sekeliling atau lebih mudah, dalam organisasi yang perlu penglibatan diri. Tanpa seorang pengurus besar, tanpa seorang bendahari, atau tanpa seseorang setiausaha, sudah tentu kelam kabut dan kacau bilau organisasi syarikat tersebut.  Dari kerja yang mudah, menjadi susah dan terbengkalai, dan mungkin bangkrap kerana seorang sahaja tidak wujud dalam syarikat tersebut, pengurus segala urusan!

Tetapi, sekiranya sistem luar tubuh yang di luar pula mengalami kehilangan atau kesukaran, tidak bermakna seseorang itu tidak mampu menjalani kehidupan harian. Malah, mungkin kehilangan yang wujud akan beroleh kelebihan yang lain. Contohnya, kaki capek, tetapi beroleh rezeki yang melimpah ruah dalam perniagaan. Buta mata, tetapi beroleh keberkatan dari Tuhan dalam kehidupan.

Hanya sama ada benar-benar sedar akan kelebihan tersebut atau tidak. Itu sahaja.

Begitulah kehidupan seharian. Mungkin kita mempunyai kekurangan dari segi luaran, sama ada masalah kewangan, rakan, mahupun suasana persekitaran, itu tidak bermakna kita tidak mampu untuk meneruskan kehidupan yang lain dengan sebaiknya. Mungkin hari ini kita mengalami kekurangan dan kesempitan, tetapi esok lusa mungkin kita lebih baik dan dimurahkan rezeki oleh Tuhan.

Hakikatnya, sistem dalam masih boleh berfungsi dengan baik sekiranya sistem luaran mengalami masalah. Namun, sekiranya sistem dalaman yang mengalami masalah, alamatnya tiada jalan penyelesaian, dunia rasa sia-sia, wang dan harta dan tiada nilai baginya!

Begitulah jua dalam peribadi jasad dan jiwa. Jiwa yang baik akan membentuk jasad yang baik. Sebaliknya, jiwa yang buruk membentuk jasad yang lebih ‘buruk’!

Maka, kebersihan dalaman adalah lebih mulia dari kecantikan luaran.

Berbalik pada soalan tadi. Dalam banyak-banyak sistem dan penciptaan manusia, di manakah penciptaan yang paling unik dan istimewa?

Jantung?

Paru-paru?

Limpa?

Jawapannya, HATI.

UNIKNYA HATI

Firman Allah s.w.t:

“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”  (Al-Mukminun:14)

Allah s.w.t menciptakan hati sebagai antara organ yang pertama diciptakan dalam kejadian manusia. Bersama-sama jantung,limpa, saraf, dan lain-lain yang merupakan organ dalaman mengalami perkembangan terlebih dahulu sebelum diciptakan bahagian luaran tubuh manusia. Maka, hati yang serba kecil dan merah itu Allah letakkan fungsi dan utama dalam sistem tubuh badan manusia.

Itu yang  bersifat jasmani,iaitu yang boleh dilihat dan diketahui melalui pancaindera. Tetapi, yang paling unik dalam penciptaan hati adalah sifatnya yang kedua, iaitu hati rohani.

Hati yang diselaputi dengan sifat-sifat mahmudah.

Hati yang dikotori dengan lumpur-lumpur mazmumah.

Seorang penyair pernah mengumandangkan syairnya yang berbunyi:

Hati itu adalah raja

Hati itu yang menentukan segala kisah dan diri manusia

Hati rohani mampu membentuk sifat dan peribadi manusia. Hati rohani melahirkan manusia itu dalam kategori beriman atau tergolong dari kalangan fasiq dan munafiq. Hati rohani jua yang membentuk peribadi manusia itu dalam ketenangan (mutmainnah) atau kegelisahan (amarah).

Maka, kesempurnaan jiwa itu bermula dari hati. Hati yang bersih membentuk jiwa yang mulia. Hati yang bersih melahirkan jasad yang suka melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Hati yang bersih mampu melihat sesuatu yang manusia lain tidak mampu dicapai melalui akal fikiran dan teknologi yang dibangga-banggakan.

Teknologi dan kepintaran manusia hanya boleh berfungsi untuk perkara-perkara yang ia nampak. Ingin mencipta radio dalam kereta, perlu ada material atau body kereta yang telah diciptakan. Ingin menambah baik fungsi komputer, maka perlu material komputer yang telah tersedia.

Malangnya, kepintaran dibangga-banggakan ini tidak mampu membongkar rahsia sekeping hati.

Kerana hati rohani tidak nampak dan mampu dikesan oleh pancaindera. Hanya, mampu dinilai melalui perbuatan dan tingkah laku manusia.

“Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)

PENYUCIAN HATI

Bagaimana untuk menyucikannya?

Hati rohani adalah antara perkara tidak mampu dikesan, dinilai dan diketahui melalui pancaindera manusia. Disebabkan faktor ini, tiada kepakaran dan kecanggihan teknologi yang mampu menyucikan hati.

Tiada mesin didiagnosis untuk hati nurani, air suling bagi menyucikan, atau wayar berbirat-birat bagi mengembalikan ketenangan dan kesucian hati.

Oleh itu, merawat kesakitan hati rohani perlu kembali kepada pengenalan kepada diri sendiri; siapakah yang menciptakan hati pada setiap kehidupan di dunia ini?

Allah Subhanahu wa Taala.

Daripada Dia sahaja yang menciptakan rawatan dan penyembuhnya.

Bermula dari kekurangan dalaman, tiada kesempurnaan penyucian tanpa persediaan dari luaran. Mata menghindari dari melihat kemaksiatan, telinga yang pekak dari umpatan, mulut yang bisu dari melahirkan kata kesat dan sia-sia, dan tangan yang mudah menadah untuk berdoa, antara kaedah keutaman untuk mencipta jalan bagi mencapai hati yang bersih dan sentiasa mentaati perintah Allah s.w.t.

Seterusnya, hati itu dihiasi dan diberi makan dengan doa-doa yang mustajab, makanan yang halal dan bersih, zikir-zikir memuja dan memuji Ilahi, serta Al-Qur’an dan hadith sebagai pendinding diri. Semua makanan luaran ini akan memberikan pengaruh yang amat besar dalam penciptaan nur hati rohani.

Jauhkan diri dari maksiat dan prasangka.

Hidupkan hati dengan doa.

Sucikan lagi dengan sentiasa mengingati dan berkata kebesaran Allah s.w.t.

Dari Anas, ia berkata: Adalah Rasulullah SAW banyak membaca doa Yaa muqollibal quluubi tsabbit qolbii ‘alaa diinik (Ya Allah yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku atas agama-Mu)”. Lalu aku (Anas) bertanya, “Wahai Nabi Allah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, apakah engkau mengkhawatirkan atas kami?”. Beliau SAW menjawab, “Ya, sesungguhnya hati itu diantara dua jari-jari Allah. Dia membolak-balikkannya sesuai yang dikehendaki-Nya”.

(HR. Tirmidzi, juz 3, hal. 304)

Semua perkara dalam dunia ini bermula dari hati. Semua perkara yang dinilai oleh Allah di akhirat kelak jua bermula dari hati.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Jiwa itu tegak utuh dengan kebersihan hati rohani. Jasad itu lahir kerana penciptaan hati jasmani.

Rabbanaa laa tuzikh quluu banaa ba’da’ith hadzaitanaa wahablanaa milladzunkarahmah innaka antal wahhaab

“Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau jadikan hati Kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada Kami, dan kurniakanlah kepada Kami rahmat dari sisi Engkau; karena Sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (karunia)”.   (Qs. Al Imran: 8)

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: