Taqwa: Antara Dua Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. Bersyukur dengan nikmat Allah masih diberikan nilai nyawa dan Islam dalam diri hamba-Nya yang kerdil dan lemah ini. Semoga hari ini menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini.

Hujan pagi yang hening mendoakan suatu rahmat di hari ini. Semua titisan-titisan embun pagi sentiasa membawa ketenangan pada jiwa ini.

Suasana pagi yang sejuk dan mendamaikan, sering kali terungkap di fikiran, “ya Allah, apakah hari ini aku masih sentiasa mengabdikan diriku kepada-Mu? Apakah hari ini jadual perjalannaku masih sentiasa dalam dambaan cinta-Mu?”

Mengkoreksi diri. Semoga diri ini sentiasa berada di atas jalan-Nya, dijauhkan dari ketidakredhaan-Nya.

Hari ini tergerak hati untuk merungkai penulisan bawah topik jiwa dan jasad: pakaian. Tetapi, tidak mampu untuk diselesaikan lagi, kerana ada kesilapan teknikal dan elektrik tak stabil berlaku secara tiba-tiba.

Sering kali blog ini menjadi rujukan. Pengkoreksian diri, dekat dengan suasana, dan banyak unsur nasihat dan pengajaran untuk berada di landasan Allah dan Rasul-Nya menjadi tarikan utama diri ini sudi menghadap blog isteri ustaz zaharuddin ini.

Malah, info yang pelbagai tentang tatacara Islam dalam kekeluargaan, pergaulan dan pakaian bagus dijasikan sandaran. Penulisannya jua mudah difahami, dan diselitkan unsur dakwah berdasarkan al-Qur’an dan hadith baik untuk dijadikan sebagai panduan.

Semoga tukang tulis blog dan sekeluarga dirahmati Allah. Amin…

Jadi, sempena penilaian dan mencari buah fikiran sendiri dalam mengungkap kata, bermadah bicara merungkai pakaian dan peribadi diri di sebalik pakaian, artikel dari blog ummuhusna dicopy pastekan di sini.

Selamat membaca dan ambil pengajaran seadanya.

**********************

ANTARA DUA CINTA

“ Ish..banyak tu. Macam-macam warna ada, “ tiba-tiba suara ayah menyapa dari belakang. Saya yang sedang asyik mengemas beg sebelum bertolak pulang ke kampus, menoleh dan melemparkan senyum malu-malu. Faham dengan sapaan ayah..apa yang dimaksudkannya banyak dan berwarna.

“ Mana ada banyak ayah. Tiga helai tudung lama, dua je yang masih baru“ saya menjawab ramah. Saya mengesot sedikit ke tepi dinding untuk memberi ruang ayah duduk bersila.

“ Baru atau lama tak penting. Yang utama tahu apa tujuan dan niat pemakainya. Bimbang tak terjawab nanti di akhirat sana, “ nasihat ayah. Masih sempat ayah menitip sepatah dua peringatan diri, walau nampak remeh tapi besar jika difikir jernih.

WARNA-WARNI DOSA

Entah kali keberapa saya menggeleng kepala begitu. Gelengan kesal berbaur hiba. Kesal kerana yang putih semakin kelam, berubah kelabu warnanya. Hiba dek mengenang masa depan anak-anak yang kian membesar di depan mata. Bagaimana agaknya corak dunia mereka bila dewasa.

Hari ini saya menggeleng kepala lagi. Gambar-gambar yang tertera berwarna-warni memang indah bila nafsu yang beraja di mata. Akan tetapi, jika diguna kacamata Iman dan ilmu yang sedikit dalam dada, bukan itu sepatutnya yang bertakhta.

Di hadapan, saya menatap wajah-wajah model dengan pelbagai gaya digunakan untuk mengiklan pakaian yang dilabel sebagai ‘fesyen Islami’ atau nama lainnya ‘busana muslimah’. Gelengan pertama kerana model-modelnya yang tampil dengan gaya menggoda. Dan gelengan kedua, ketiga dan seterusnya pula kerana bentuk pakaiannya. Lebih-lebih lagi iklan yang dipapar itu kemungkinan besar dibaca oleh ramai wanita di luar sana, baik bekerja mahu pun suri rumahtangga. Akhbar arus perdana, tentu liputannya luas melata.

Kalau dulu ‘fesyen islami’ dipandang sepi, tapi kini munculnya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di siang hari. Banyak dan merata. Bagaimana wanita Islam tidak rambang mata. Koleksi pakaian yang tersedia semuanya diilhamkan dari keindahan peribadi seorang perempuan. Pelbagai elemen disuaipadan, gaya tradisi bercampur ranggi, motif songket disulam butiran manik sebagai penyeri, malah ada yang berkilau dengan taburan mutiara dan bermacam-macam lagi. Dikatakan dengan adanya elemen-elemen tersebut, mampu mengindahkan lagi koleksi busana rebutan wanita masa kini. Tudung pula dinaiktaraf dengan menggunakan nama-nama besar industri muzik dan lakonan tanahair. Semuanya menampilkan tema yang serupa, iaitu walau bertudung tapi tetap mampu tampil mempesona.

Inilah hakikat Muslimah akhir zaman. Menutup aurat (kata mereka), tapi pakaian masih ketat menampakkan susuk indah tubuh mereka. Berpakaian sopan, tapi dengan warna dan perhiasan yang menarik pandangan. Memakai tudung tapi nipis dan jarang, yang panjang dililit pendek hanya melepasi bawah leher. Jelasnya, busana muslimah yang wujud kini sudah banyak disalaherti.

GOLONGAN AGAMA YANG ‘KELIRU’

“ Terkejut akak, Ina…,” kata Cikgu N, sebaik duduk di kerusi sebelah saya. Dia baru sahaja pulang dari majlis penganugerahan khidmat cemerlang di Shah Alam.

“ Kenapa, kak ? terkejut sebab ramai guru yang terima anugerah ke ?,” saya tersenyum membalas sambil cuba berjenaka.

“ Bukan.. akak terkejut sebab ada beberapa orang ustazah yang juga menerima anugerah, tapi gaya..fuh! kalah kami guru-guru biasa. Tudung berjurai-jurai dengan ‘brooch’ dua tiga, berkilat-kilat lagi. Baju agak ketat, bersolek pula lagak selebriti, “ Cikgu N bercerita sambil menggeleng kepala. Saya yang mendengar rasa kecewa dan hampa. Golongan agama yang diharap mampu menjadi contoh, tapi tampil dengan watak sebaliknya. Mereka keliru dan mengelirukan orang lain pula.

Saya sering bertanya sendiri, apa agaknya yang ingin dibuktikan oleh golongan agama seperti ini. Adakah mereka mahu menunjukkan kepada ramai, walaupun mereka bergelar ‘ustazah’ namun mereka boleh mengikut arus fesyen semasa. Atau mereka ingin meningkatkan keyakinan diri untuk berdepan dengan wanita-wanita bergaya agar mudah diajak kepada agama.
Hakikatnya mereka tertipu dengan pesona dunia, juga masih tidak berdaya menolak bisikan nafsu yang beraja dijiwa.

Lantas mereka menampilkan diri sebagai golongan agama mengikut acuan dan kehendak diri mereka. Syari’at agama bukan lagi sebagai neraca yang menentukan salah dan benar bagi rupa dan gaya, tetapi hanya sebagai daya penarik untuk lebih dikagumi dan dihormati pada pandangan manusia. Kesampingkan dulu ciri-ciri pakaian yang sebenar dituntut agama. Pedulikan saja kata-kata ulama’ terdahulu tentang pakaian wanita ketika berada di luar rumahtangga. “ Kami golongan agama yang mengikut peredaran masa, kami beragama tapi kami juga boleh menawan mata, “ mungkinkah itu bisikan hati mereka ?

“ Apa pandangan Ina tentang Ustazah begini? “ Cikgu N masih belum berganjak dari tajuk bicara.

“ Itu tandanya mereka juga manusia biasa, “ saya menjawab bukan untuk membela, tapi sebagai membuka mata dan jiwa bahawa seorang manusia walau siapa pun dia, tetap tidak lari dari berbuat dosa.

“ Walaupun begitu, saya tetap berpendapat tidak wajar golongan yang memiliki kefahaman lebih tentang agama ini, berpenampilan jauh dari landasan sebenarnya. Mereka yang diharap menjadi penyuluh dari kegelapan, namun menyebar asap yang makin menjerebukan pandangan.Kerana itu, tidak hairan kalau hari ini semakin ramai wanita bertudung tapi jauh dari akhlak Islam, dari remaja sekolah hingga wanita dewasa. Menutup aurat tapi mulut becok mengata. Menutup aurat tapi berpelukan dengan pasangannya dan berbagai lagi. Akhirnya, jadilah ‘orang yang bertudung’ seperti ini menambah fitnah kepada agama bukan membantu menzahirkan indah dan cantik Islam di mata manusia, “ saya meluahkan sesak di dada.

“Bukan semua golongan agama boleh menghayati sebaiknya ajaran agama. Jadi, ambillah yang baik dari kata-kata dan tindakan mereka dan tinggalkan apa yang bertentangan dengannya. Manusia seperti saya dan mereka yang bergelar ustazah bukan hujjah untuk menentukan benar atau salah sesuatu perkara, tapi kembalilah kepada al Quran dan sunnah. Hanya dua neraca ini yang boleh menyelamatkan manusia dari sesat di dunia, “ saya berhenti memberi ruang kepadanya berfikir.

PERINGATAN DARI DUA NERACA

Sebaik-baik pakaian ialah pakaian taqwa. Justeru, hanya dengan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah, menjadikan seseorang itu redha untuk tunduk kepada setiap suruhan dan laranganNya. Tubuh yang cantik dan indah bukan tiket untuk meraih perhatian manusia, tetapi sebagai ujian ketaatan selaku hambaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan tidaklah (patut) bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah tersesat, sesat yang nyata. (Surat Al-Ahzab ayat 36 )

Allah SWT juga menegaskan di dalam ayat lain melalui firmanNya yang bermaksud :

Kemudian sesungguhnya pada hari itu kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (di dunia). ( at Takathur ayat 8 )

Kurniaan yang pelbagai dari Allah di dunia ini, harus disalur kepada usaha mengajak manusia agar mengabdikan diri kepadaNya. Biar pun hanya sekadar tudung dan pakaian yang menutup aurat menurut syari’at, mampu mengawasi pemakainya untuk lebih menjaga tingkahlaku dan akhlak selaras dengan pakaian yang dipakai. Kerana, pakaian itu melambangkan imej agama yang mulia, suatu tanggungjawab dan amanah bagi orang-orang yang insaf tentang dosa dan pahala.

Jangan nanti ketika di Mahsyar untuk diadili, pakaian indah biar pun menutup aurat di dunia hanya menjadi saksi kepada rasa angkuh, riak dan ujub dalam diri. Atau, menjadi bukti bahawa pemakainya pernah melakukan dosa ‘mengelirukan‘ manusia lain tentang kewajipan menutup aurat yang sebenarnya, nauuzu billahi min zaalik. Bukan ‘fesyen islami’ atau ‘busana muslimah‘ yang akan membantu di sana, akan tetapi amalan jasad dan rohani yang selari dengan maksud ‘menutup aurat’ yang dituntut Ilahi.

Rasulullah SAW mengingatkan tentang ramainya wanita menghuni neraka. Sekian banyak sabda Baginda, sematkan semuanya di dalam jiwa. Bayangkan sakitnya rambut disentap tangan si anak kecil, tentulah kesakitan ditarik rambut di dalam neraka hingga menggelegak isi kepala tidak terbayang rasanya. Bayangkan pula pedihnya jari terhiris pisau yang tajam bergerigi, tentu tidak terbanding pedihnya badan yang dipotong dengan gunting api neraka.

Di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda bersabda:

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)

ANTARA DUA CINTA

Antara dua cinta, hanya satu yang perlu kita pilih. Cinta dunia yang sering melalai dan meleka atau cinta akhirat yang kekal abadi. Rebutlah cinta kedua kerana pasti di sana adanya syurga, juga di sana bahagia menanti.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: