Ketenangan dan Kebahagiaan

Assalamualaikum w.b.t

Kerahmatan dan kesejahteraan moga-moga Allah s.w.t kurniakan kepada seluruh penduduk alam semesta.

Penulisan yang ringkas ini adalah kesinambungan kepada post yang lepas. Tetapi, tidak sempat untuk diselesaikan ketika itu kerana ada peruntukan masa kepada aktiviti yang lain, di samping perlu menguruskan agenda sendiri.

Namun, semoga penulisan pendek ini beroleh banyak manfaat dalam mencari makna, prinsip kehidupan dan keperibadian mukmin yang diredhai Allah s.w.t.

Semoga sentiasa beroleh hati yang tenang dan menenangkan jiwa insan yang lain. Biiznillah

KETENANGAN DAN KEBAHAGIAAN

Di sebalik kewujudan nikmat dan musibah ciptaan Allah kepada setiap makhluk-makhlukNya, diciptakan pula ketenangan dan kebahagiaan sebagai kurniaan hanya daripada-Nya.

Pada kejadian manusia diciptakan 2 jenis ketenangan sama ada disedari atau tanpa disedari. Ketenangan pertama ialah ketenangan yang bersifat fitrah. Ketenangan fitrah bermaksud ketenangan yang diciptakan yang dikurniakan kepada semua hamba-hamba-Nya sama ada dia beriman atau tidak. Semua manusia yang normal, mempunyai hai dan perasaan akan merasai ketenangan yang lahir dari fitrah yang bertepatan dengan naluri dan keinginan manusia dalam kehidupan.

Maka, ketenangan lahiriah atau fitrah akan wujud dengan penerimaan nikmat atau memperoleh apa yang dihajatkan di dunia ini. Simbol kasih sayang, harta, pangkat, anak-anak, dan keluarga tercinta menjadi simbolik nilai ketenangan pada peringkat ini.

Sebagai misalan, ketenangan akan wujud apabila dikurniakan nikmat kasih sayang melalui hubungan sesama manusia seperti suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, harta benda yang sentiasa mewah dan mencukupi, pangkat dan sanjungan dari orang ramai, serta sebagainya akan memberikan suatu nilai kebahagiaan pada pemiliknya. Maka, nilai ketenangan yang dirasakan adalah selari dengan nikmat yang dikurniakan.

Namun, ketenangan pada peringkat fitrah adalah bersifat sementara. Ia hanya wujud di permulaan sebuah pertemuan dan ketika awal perjalanan meniti nikmat yang diberikan. Setelah agak lama dan menuju ke lembah pertengahan, ketenangan tersebut mula beransur-ansur hilang dari pandangan. Kegelisahan atau kebimbangan pula akan silih berganti setelah nikmat telah lama dikecapi, dan ketenangan yang diidamkan selama ini telah lama dirasai.

Manakala ketenangan bagi peringkat kedua ialah ketenangan yang bersifat hakiki.

Ketenangan hakiki hanya wujud dalam hidup orang-orang yang beriman, hidup dengan mengenali diri dan mengenali keEsaan Ilahi. Ketengan hakiki ialah anugerah istimewa dari Allah s.w.t kepada orang beriman kerana sentiasa menghadirkan hati, mentaati perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, dan sentiasa mengharap kepada-Nya dalam apa-apa ketika dan suasana. Tidak mengira sama ada nikmat yang diterima atau musibah yang menimpa, ketenangan hakiki sentiasa wujud dan mendiami hati orang-orang yang beriman atas anugerah yang tersendiri dari Tuhan.

Simbolik pada makna ketenangan hakiki ialah ketenangan jiwa. Jiwa yang sentiasa tenang tidak akan gelisah, bimbang ,takut, sabar dan redha apabila berdepan dengan musibah, dan jiwa yang tenang akan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih apabila menerima nikmat dan pemberian dari Allah s.w.t.

Ketenangan jiwa atau nafs mutmainnah ialah tingkatan kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Jiwa yang tenang akan lahir apabila seorang yang beriman kepada Allah s.w.t itu kekal melakukan kebaikan amal salih, dan menjauhkan diri dari melakukan atau mendekati perkara-perkara kemungkaran.

Menurut Imam al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai sehingga pada nafs mutmainnah hanya dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Menuntut ilmu untuk penyucikan diri dari guru-guru yang mursyid dan sentiasa mujahadah untuk beramal dengan ajaran yang diterima daripada gurunya menjadikan seseorang mempunyai usaha untuk mencapai peringkat nafs mutmainnah. Malah, proses penyucian jiwa merangkumi mengandungi dua keadaan iaitu membebaskan atau mengosongkan diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) dan sentiasa mengisi atau menghiasi  jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Sehubungan itu, tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, berteman atau bersendirian, bujang atau berumahtangga, dihormati atau disisihkan oleh manusia, jiwa yang tenang ini tetap hadir dari sumber yang satu, usaha yang bersungguh-sungguh membimbing diri taqarrub dengan Tuhan.

Jiwa yang tenang adalah anugerah dari Allah s..wt kepada hamba-hambaNya yang beriman, tidak terhasil dengan sendiri melalui hubungan manusia dengan manusia dalam kehidupan.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati menjadi tenteram.”  (Ar-Ra’d:28)

“Demi jiwa serta penyempurnaan(ciptaan)nya. Maka Dia ilhamkan (jalan) kejahatan dan ketakwaannya.Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sugguh rugi orang yang mengotorinya.”     (Asy-Syams: 7-10)

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.”  (Al-Fajr:27-30)

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: