Nilai Ibadah Dalam Kehidupan

Menyelongkar sipi-sipi kisah kehidupan.

Melihat dan merenung kembali setiap penciptaan Tuhan. Keindahan, kecantikan, gunung-ganang yang berdiri utuh, awan-awan yang bergerak tanpa had atau batasan. Air yang sejuk menitis dari langit yang kelam, burung-burung yang berkicauan, tumbuhan dan buah-buahan yang berwarna warni, serta suara merdu unggas yang mewarnai alam ini, melahirkan rasa kerdilnya diri di hadapan sang Pencipta yang Maha Menciptakan setiap makhluk selain lautan manusia yang sentiasa sesak menjalani rentetan perjalanan kehidupan…

Memahami dan mendalami hakikat diri dan penciptaan diri…

Manusia tidak akan mampu mengenal pencipta-Nya, tanpa mengenal siapakah diri yang telah diciptakan oleh-Nya

Demi mengenali pencipta dan menyelongkar peribadi diri yang diciptakan, maka ibadah yang khusus antara Dia dan hamba disyariatkan kepada hamba-hamba-Nya di bumi ini untuk taat  melaksanakan-Nya.

Ibadah dilakukan setiap hari dan setiap waktu. Tanpa wujud erti kata rehat atau alpa, ia wajib atau fardhu, dan dihiasi dengan perkara sunat dalam melaksanakannya.

Ketika telah merasai dirinya adalah sebenarnya hamba Allah dan Tuhan itu ialah Allah,

Puncak tertinggi dalam peribadatan bukan lagi menjunjung dan mengharapkan bertambahnya pahala, dibalas syurga, atau berkurangnya dosa, dijauhkan dari api neraka,

Tetapi, kemuncak dalam ruang dan lingkup hamba beribadah saban hari, saban minggu, saban tahun ketika masih bernyawa di alam ini,

Ialah mengharap, mengharap dan mengharap

Dapat bertemu dan melihat zat dan ‘wajah’ Allah.

Kerana Dia,

Setiap manusia mencari agama. Setiap muslim melafazkan kalimah syahadah dan berdoa. Setiap mukmin menjalankan kerja, ibadah dan dakwah. Setiap muttaqin merasa sentiasa dalam perhatian dan wajib menjalankan kewajipan dan ketaatan. Setiap muqarrabin, merasai dan menyelurusi jiwa dan roh adalah milik Tuhan. Ruang kehidupan dirasakan semata-mata untuk Tuhan. Kewajipan hidup dan prinsip memberi adalah mencari dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

Menitis air mata si hamba mencari dan menghayati ‘roh’ dalam ibadah

Menutir bait-bait zikrullah memuji dan memuja nama dan kebesaran Allah.

Ketika itu, ibadah bukanlah lagi bernilai ritual, beza antara manusia yang kafir dengan manusia yang muslim. Sebaliknya, ia bernilai ‘roh’ atau nyawa kepada kehidupan. Tanpanya manusia lemah dan longlai meniti serta menyelusuri kehidupan ini.

Kerana Dia setiap makhluk dan hamba-Nya diciptakan. Ibadah pula yang kembali menghubungkan peribadi hamba dan Rabb-Nya.

Solah adalah tunggak utama dalam ruang peribadatan sang hamba.

PENGHUBUNG HAMBA DAN PENCIPTA

Doa, ketaatan, fizikal dan rohani,

Semua terangkup dalam suatu kalimah, SOLAH.

Tidak kira berada di mana-mana, serba serbi bagaimana keadaan si hamba, selagi masih dipinjamkan nyawa, solat ialah tiang kepada agama. Tanpa dibangunkan solat, agama dalam peribadi hamba bagai tidak wujud pada dirinya. Solat sahaja satu-satunya jalan si hamba menjalinkan hubungan yang akrab dengan sang Pencipta.

Maka, kemuncak peribadatannya dalam solat adalah kembali mengharapkan bertemu dan melihat ‘wajah’ Allah Azza wa Jalla. Dia, yang selama ini hanya diyakini sahaja akan sifat-sifat-Nya, akan perintah dan larangan-Nya, tanpa pernah bersua dan bertemu siapakah empunya tuan yang memerintah dan menciptakan segala kejadian.

Wujudlah istilah ‘roh’, khusyuk dan khudu’ dalam solat. Tersingkaplah makna dan rahsia di sebalik para mukminin, muttaqin, dan muqarrabin, sehingga ke Rasul al-Amin tidak pernah lengah dan alpa apabila bertanya dan menjalankan ibadah yang dipanggil SOLAH.

Dan,

Terungkai rahsia dan tujuan syaitan sering mengganggu manusia dan muslimin untuk sentiasa menunaikan solat.

KEPERIBADIAN KEHIDUPAN

DI sebalik kisah manusia yang menjalinkan hubungan dengan Tuhan

Terdapat segolongan yang melihat kehidupan lebih dari ruang kehidupan.

Kehidupan tidak semata-mata apa-apa yang dilihat, didengar, dan dirasai oleh deria dan pancaindera. Tetapi, terdapat kehidupan yang lebih maju, agung dan terus kekal selama-lamanya itu sentiasa diperingat dan diperkatakan.

Akhirat.

Kehidupan ukhrawi yang kekal selama-lamanya. Tiada batasan waktu dan hayat yang berbeza-beza. Semua adalah muda dan sentiasa muda. Semua adalah kekal dan bertamabh dalam kenikmatan atau sebaliknya.

Tanpa kepercayaan dan keyakinan kepada dunia yang tetap kekal selama-lamanya ini, tegar dan rosak akidah seseorang muslim tersebut. Semua agama yang wujud di dunia ini mempercayai terdapat ruang kehidupan selepas kematian,atau dipanggil life after death. Tiada agama yang tidak mempercayainya termasuk buddha, hindu, dan kristian. Mereka semua mempercayai dunia akhirat setelah lenyap kehidupan duniawi.

Hanya mereka yang tiada agama dan berpegang kepada tipikal falsafah sains dan teknologi sahaja terus mengagungkan dunia yang satu ini.

Mereka meyakini semua perkara di dunia ini boleh berubah dengan adanya sains dan teknologi. Mereka meyakini usia yang lanjut boleh kembali muda dan kekal dengan bantuan teknologi. Muka yang herot dan dimamah usia boleh kembali anjal. Tubuh yang lemah mungkin boleh kembali sihat, sebarang kerja mungkin mudah dengan adanya teknologi yang dibangga-banggakan.

Tetapi, tiada manusia yang dapat menolak dari tetap akan berada dan mengalaminya, MATI.

Tidak kira usia berapa, sihat atau sakit, lemah atau kuat,

Sekiranya dah dinamakan ajal, tiada teknologi dan falsafah yang boleh menolak si malaikat maut dari mendatanginya.

Bertaubat sebelum telambat. Kepada mereka yang ahli dan menolak kuasa yang sentiasa memerhati.

PUDARNYA HATI MELIHAT DUNIAWI

Kerana kehidupan ini adalah perhiasan dan sementara, maka lahir dalam peribadi hamba Allah yang mengenal dunia di sebalik kehidupan yang sementara. Mereka sedar akan semua yang dilaksanakan di dunia ini pasti akan pergi suatu hati nanti. Tiada peduli sama ada sedar atau tidak, mahu atau menolak, ia tetap akan pergi meninggalkan si kepingin dunia suatu hari nanti.

Mereka menilai pada suatu pepatah. Sekiranya anda mengharapkan kepada dunia, dia pasti akan pergi dan menjauhkan lagi dari anda. Sekiranya anda tidak memandang kepada dunia, dia pasti akan berpaling, mula memandang kepada anda. Sekiranya anda mengharapkan kepada akhirat yang kekal selama-lamanya, dia akan mula mendekati dan mengharapkan anda untuk mengekorinya.

Manusia yang berpegang dan melihat keagungan yang lebih agung dari dunia ini, mereka digelar zuhud pada dunia.

Siapakah yang digelar zuhud?

Bagaimanakah mereka menilai kehidupan dunia ini?

Mengapa mereka tidak memandang kehidupan duniawi?

Zuhud menurut pandangan Imam Al-Ghazali ialah membenci dunia demi mencintai akhirat semata-mata. Zuhud juga memberi maksud membenci selain Allah demi mencintai Allah.  (Al- Ihya’)

Zuhud menurut pandangan Ibnu Taimiyyah ialah  meninggalkan segala sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat di akhirat. Sementara meninggalkan sesuatu yang memudahkan manusia beribadah bukanlah zuhud yang disyariatkan. (Majmu’ Al-Fatawa)

Zuhud dalam erti kata lain bukan menolak dunia sehingga menjadi hina dan papa bagai pengemis jalanan kerana teoritikal yang sesat lagi menyimpang akan tafsirannya. Bukan juga tinggal bersendirian dan berpakaian usang tanpa satu pun extra pakaian buat salinan. Bukan juga pandangan ekstrim dengan sentiasa serba serbi kurang tidak menggunakan sebarang kemudahan reka cipta manusia di dunia ini.

Zuhud yang mudah diterima oleh akal ialah memandang kepada keperluan dan bukan atas kehendak atau keinginan. Sebagai contoh, sekiranya dia sudah memiliki satu kereta yang masih boleh dipakai, baik untuk setiap kelengkapan dan sebagainya, tiada suatu pun yang menghalang dari pemiliknya memandunya saban hari, maka dia tidak mempunyai keinginan dan harapan untuk membeli kereta yang satu lagi yang lebih canggih, cantik dan mewah untuk digantikan dengan kereta yang telah dimiliki.

Mereka yang memandang kepada keinginan setelah cukup segala keperluan yang ada itu orang yang meninggalkan dalam erti kata zuhud. Meletakkan hajat dan harapan yang panjang untuk dunia yang sementara sehingga leka dan lengah untuk mencari yang lebih perlu dan dituntut untuk dimanfaaatkan dalam agama.

Jika sekiranya seseorang itu miskin dan serba kekurangan, tetapi mengharap dan mendambakan untuk memiliki harta kekayaan dan sebagainya, mereka bukan zuhud walau hidup seperti mereka yang melihat keadaannya seperti makna tafsirannya.

Mereka tetap ada yang kaya, tetapi bukan kekayaan yang ingin digapainya

Mereka tetap ada yang mewah, tetapi bukan kemewahan yang diharapkannya

Mereka tetap berpenampilan indah dan mempunyai gaya, tetapi bukan keindahan yang ingin ditunjukkannya.

Semuanya digunakan kerana dalam ruang dan manfaat pada peribadatan. Tiada unsur berlebihan dan mengharapkan kesulitan. Malah, lebih menginginkan penampilan yang bersifat kesederhanaan dan sentiasa merasa cukup apa yang telah mereka ada (qana’ah)

Maka, zuhud yang hakiki ialah menanggalkan dunia dari wujud dalam ‘lubuk hati’, meskipun kemewahan yang dimiliki di dunia itu dalam genggamannya. Tetapi, harta dan kemewahan yang diberikan semata-mata dilihat dari aspek bantuan dalam menjalankan ibadah kepada Allah s.w.t.

“Jika kalian melihat seorang lelaki telah diberi sikap zuhud di dunia dan sedikit bicaranya, maka dekatilah dia, kerana ia akan memberikan hikmah.”  (HR. Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

“Berzuhudlah di dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Dan berzuhudlah dalam melihat apa yang dimiliki manusia, niscaya mereka akan mencintai kalian. (HR. Ibnu Majah)

Wallahua’alam.

2 responses

  1. I love this~ minta share ya pak..

  2. […] Hiduplah di dunia ini dengan senang dan memudahkan orang lain. Carilah rezeki secara halal dan berilah kepada orang yang memerlukan. Janganlah disusahkan diri dengan rasa ingin zuhud dunia tetapi tak faham prinsip dan tindakannya. Perkara zuhud daku telah jelaskan dalam artikel terdahulu di sini. […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: