Lumrah Hidup Dalam Kebimbangan.

Minggu ini cuaca agak panas terik. Mungkin sudah tiba masa di kawasan utara semenanjung berada dalam musim panas dan kering. Walaupun begitu, tidak boleh dibidik tepat tentang cuaca di muka bumi ini. Ada kala panas, ada kala mendung, dan ada kalanya hujan. Semuanya bukan atas ketentuan manusia atau putaran alam semesta yang merencanakan. Melainkan semuanya di bawah suatu kuasa yang Maha Agung yang menciptakan setiap kejadian dan memberi makna pada kehidupan.

Hujan yang turun dinihari pada ketika tertentu tidak mampu diteka atau tepat diramal oleh para meteorologi dunia. Mereka hanya mampu membuka sebuah jabatan kaji cuaca untuk memberikan info dan kenyataaan cuaca semasa dunia pada hari ini agar semua orang boleh membuat persiapan di kemudian hari.

Hakikatnya, hujan yang turun adalah salah satu dari rahsia Allah, sebagaimana anak yang diciptakan jantinanya dalam kandungan, dan ajal kelahiran seseorang insan. Manusia tidak akan mampu membasahi rumput rampai mahupun gunung ganang tanpa ada kuasa yang sentiasa menjaga dan menyiramnya agar terasa aman tenteram makhluk ciptaan-Nya.

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu dia menjadikannya bertompok-tompok, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia menurunkan (butiran-butiran) air dari langit, (yaitu)dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran air) itu kepada siapa yang dikehendaki dan dihindarkan kepada siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan.”    (An-Nur: 43)

Lumrah manusia jua, apabila diberi nikmat tidak pernah rasa ingin bersyukur, apabila diberi musibah mula mencari kayu pengukur. Ketika hujan membasahi bumi, ada yang merengek, “aku penat-penat basuh baju hari ini, hujan pula…”. Bila panas dan kering, “ bilalah nak hujan ni. Kesian kat pokok aku dah hampir mati.” Begitulah sifat dan peribadi manusia. Sememangnya diciptakan atas dasar kata an- Nasi ’, maka mudahlah dia untuk bersifat lupa.

*****

Ketika Adam diciptakan oleh Allah s.w.t melalui ‘tangan’-Nya yang didatangkan khusus daripada tanah, diberikan 1001 nikmat kepadanya ketika berada di syurga sana. Nikmat itu sentiasa cemerlang dan indah belaka  dan bukan bayangan untuk setitis pun harta dunia.

Namun, Nabi Adam a.s. merupakan makhluk Allah yang bernama manusia. Baginda diberikan hati dan perasaan, nafsu dan keinginan. Baginda bukan diciptakan dari kalangan malaikat yang setia, patuh, dan taat sepenuhnya hanya kepada Allah s.w.t. Ada ketikanya Adam a.s. merasai kesunyian dan memerlukan seseorang sebagai teman.

Maka, diciptakan Hawa untuk menemani dan menghiburkan Adam a.s. Gembira dan ceria kembali Adam setelah diciptakan Hawa buat dirinya.

Namun, kenikmatan yang diraih tidak lama. Kemaksiatan telah dilakukan dan menjadi asbab kemurkaan Tuhan. Adam dan Hawa dikeluarkan daripada syurga dan diturunkan ke bumi. Tanpa mengenakan apa-apa pakaian dari syurga, mereka hidup bersendirian sebagai manusia pertama yang diciptakan di dunia.

Adam a.s mengeluh. Adam a.s menangis. Adam a.s merayu. Merayu kepada Allah yang Maha Esa, Maha Kuasa agar mengampunkan dosanya, dan dosa keluarganya. Tunduk sujud dan berlutut Adam a.s, tidak diangkat-angkat kepalanya kerana begitu terasa besar dosa dan kesalahannya.Berlinangan air mata sehingga tubuh subur rumput dan pepohonan di sekelilingnya. Bagaikan tiada kemaafan buatnya, terus ditangisi kesilapannya yang lalu sehingga Allah menciptakan ayat khusus mengampunkan dosa dan kesilapan Adam a.s. bersama Hawa ketika di syurga…

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabbnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”   (Al-Baqarah:37)

Bimbang akan kemurkaan Allah yang Maha Perkasa

Bimbang akan dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah

Risau hidupnya di dunia tidak memberikan makna apa-apa

Perkara ini menjadi episod pertama kebimbangan seorang manusia yang diciptakan, Adam a.s. Kebimbangannya wujud kerana ada kesilapan yang telah dilakukan, dan kebimbangannya turut wujud kerana mengharapkan kebaikan dan keampunan dari pihak yang telah dilakukan kesalahan.

DOMINASI BIMBANG DAN RISAU

Maka, sudut kebimbangan hanya akan berlaku apabila wujudnya dua belah pihak. Pihak yang pertama ialah pihak yang melakukan kesalahan, dan pihak yang kedua ialah pihak yang dilakukan kesalahan. Pelaku kesalahan dan mangsa kesalahan. Hal ini wujud atas sebab musabab yang pasti bukan kerana sengaja dilakukan, tetapi lebih kepada kekurangan diri dan kesilapan yang bukan kerana atas dasar keinginan dan kehendak untuk melakukan.

Apabila wujud rasa bersalah, maka pihak yang melakukan kesalahan akan berasa keluh kesah, bimbang, dan tidak tentu arah. Bukan atas kehendak sebenar sesuatu itu ingin dilaksanakan. Tetapi berkemungkinan kerana tekanan emosi, perasaan, orang lain dan masyarakat sekeliling yang memaksa pelaku kesalahan melakukan tindakan yang tidak sepatutnya. Pada ketika itu, setelah terciptanya kesilapan atau kesalahan yang telah dilakukan, mula timbul perasaan bersalah, insaf dan menyesal akan tindakan yang telah dilaksanakan.

Ketika itu, pelbagai cara dan kaedah dicari untuk mengembalikan keadaan kepada titik asal atau permulaan. Titik yang mengembalikan kebaikan dan menjauhi jalan yang telah terpesong dari laluannya. Memperbaiki keadaan yang telah salah dilakukan.

Oleh itu, perasaan menyesal, insaf dan sedar dari kesalahan yang telah dilakukan itu yang menjadikan seseorang sentiasa ada perasaan bimbang. Bimbang merupakan peringkat ketiga dalam dominasi kesilapan manusia.

Yang pertama ialah kesilapan atas perbuatan. Yang kedua ialah insaf atau sedar akan tindakan yang telah dilakukan. Yang ketiga ialah bimbang dan risau akan tindakan yang telah dilakukan kepada orang atau mangsa kesalahan yang diciptakan.

Hubungan antara pesalah dengan mangsa kesalahan ini yang melahirkan rasa bimbang dan risau dalam peribadi manusia. Bimbang akan keburukan yang akan berlaku setelah kesilapan yang telah dilakukan kepada si mangsa. Bimbang akan sesuatu yang tidak direncanakan mungkin berlaku dek asbab kesilapan tersebut.

Maka, lahir peringkat keempat dominasi kesilapan manusia, iaitu mengakui dia telah tersalah langkah dan mencari jalan penyelesaian untuk mengembalikan keadaan seperti asal atau jalan yang membawa pada kebaikan. Pada peringkat ini akuan atas kesilapan akan dilakukan seperti permohonan maaf, menyatakan kesilapan diri dan bertaubat atas kesilapan yang lalu.

Jika diberi kebaikan, maka hasil kebaikan juga diperoleh. Sekiranya sebaliknya, sabar dan teruskan berusaha meraih jalan untuk bertemu kebaikan yang ingin diperoleh.

Usaha atas hubungan antara manusia. Doa atas hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t. Tawakal atas hubungan yang hanya milik Allah s.w.t semata-mata.

KASIH SAYANG MENJANA KEBIMBANGAN.

Selain itu, kebimbangan jua turut lahir atas perasaan kasih dan sayang akan sesuatu. Perkara yang dikasihi itu  bukan atas sebab kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya kerana atas nama perasaan dan naluri manusia yang telah Allah s.w.t ciptakan.

Perasaan kasih sayang yang membawa kepada rasa bimbang ini membawa ke arah kebaikan. Bimbang pada bahagian ini melahirkan perasaan dalam diri ingin melihat manusia yang dikasihi agar  beroleh kebaikan atau kehidupan yang lebih baik.

Manusia pada peringkat ini tidak lain dan tidak bukan adalah manusia yang saling mengenali dan bertautan kasih sayang antara satu sama lain. Mereka tidak perlu dikira dari segi jantina atau faktor usia. Ia berlaku tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya. Sekiranya saling mempunyai rasa kasih dan sayang, maka perasaan bimbang akan lahir kepada pihak yang dikasihi terutama ketika wujud sesuatu kekurangan atau keburukan yang tidak diketahui.

Lebih mudah mengenali bimbang pada bahagian ini ialah bimbang yang wujud dalam institusi kekeluargaan. Hubungan suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak. Kebimbangan ibu bapa melahirkan rasa ingin mencari jalan yang terbaik baik agar si anak terus menjalani kehidupan lebih baik. Jua, kebimbangan seorang suami membuatkan dia sentiasa mengambil berat hal ehwal isteri dan keluarga di sampingnya, agar sentiasa harmoni dan beroleh kedamaian.

BIMBANG MELAHIRKAN IMAN

Namun, dalam peringkat kebimbangan yang wujud dalam dunia ini, terdapat satu lagi bimbang yang menuju kepada pencipta-Nya, Allah s.w.t. Bimbang pada peringkat ini hanya wujud pada para nabi, mukminin dan solehin. Ia tidak menjadi pengaruh kepada manusia amnya yang melahirkan perasaan bimbang atas kesilapan yang telah dilakukan atau kasih kepada seseorang yang sentiasa menjadi perhatian. Mereka tidak terjerumus akan perasaan bimbang atau risau hanya semata-mata antara hubungan manusia atau duniawi. Mereka lebih melahirkan perasaan bimbang akan kekurangan yang meletakkan si empunya diri jauh dari rahmat dan pembelaan Allah di alam yang kedua dan kekal selama-lamanya nanti.

Bimbang pada peringkat ini bukan atas dasar hubungan antara manusia sahaja, malah hubungan antara manusia sebagai hamba dengan pencipta-Nya. Khususnya, bimbang pada peringkat ini adalah wujud atas nama Iman.

“Tidak sempurna iman seseorang itu, sehinggalah dia mengasihi saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai dan berkasih sayang adalah ibarat satu tubuh; apabila satu organnya merasa sakit, maka seluruh tubuh akan sulit tidur dan merasa demam.” (HR Muslim)

Wajar kebimbangan pada peringkat ini diselusuri dengan sirah Nabi Muhammad s.a.w sebagai renungan. Kebimbangan baginda akan ummatnya sehingga masih disebut ketika wafatnya, dan kebimbangan yang wujud ketika bersama para sahabatnya adalah ibrah yang paling berkesan dalam bimbang yang lahir atas dasar iman.

Sebagai misalan kepada bimbang yang lahir pada bahagian ini ialah kerisauan baginda Rasulullah ke atas bapa saudaranya, Abu Talib. Baginda amat menyayangi bapa saudaranya. Sejak dari kecil sehinggalah dewasa, Abu Talib tetap bersama-sama dengan baginda walau beliau ialah seorang yang kuffur kepada Allah. Kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w akan bapa saudaranya yang sentiasa membela dan melindungi Rasulullah dari ancaman quraisy dan musyrikin Makkah membuatkan Rasulullah sentiasa ingin melihat bapa saudaranya menganuti agama yang benar dan mulia.

Atas peranan sebagai utusan Allah di muka bumi ini, baginda nabi sentiasa menyampaikan peringatan dan dakwah kepada bapa saundaranya agar menyerah diri dan menyembah kepada Tuhan yang Maha Esa. Tanpa mengenal penat lelah dan  penderitaan yang perlu dihadapi, Rasulullah s.a.w. tetap juga mengajar dan mengajak bapa saudaranya agar kembali kepada ad-din Islam yang benar dan diredhai Allah.Tetapi, sehinggalah ke penghujung nyawanya, Abu Talib masih enggan menerima Islam sebagai agama tunggal dalam kehidupan dan peribadinya.

Benarlah, Allah adalah penentu segala-galanya. Dia yang Maha Menentukan di mana letaknya hamba-Nya di akhirat kelak dan siapa yang layak menerima hidayah-Nya.

Abu Talib tetap meninggalkan dunia ini dalam keadaan kuffur kepada Allah. Abu Talib tetap meninggalkan dunia ini dengan tidak menyembah Allah.

Tindakan, kesedihan dan kekecewaan Rasulullah s.a.w dirakam dalam kalimah-Nya yang teragung, iaitu al-Qur’anul Karim. Allah s.w.t jelas menerangkan kisah di sebalik wahyu yang diturunkan dan menjadi keterangan yang jelas akan segala usaha dan upaya manusia adalah di bawah ketentuan Tuhan.

BIMBANG ITU LUMRAH

Hakikatnya, manusia tidak boleh lari dari lahirnya rasa risau atau bimbang. Hal ini kerana bimbang itu adalah sebahagian dari kata perasaaan dan lumrah dalam peribadi manusia tentang kehidupan. Malah, ketiga-tiga peringkat  kebimbangan itu adalah wujud dalam peribadi manusia yang mengenali hakikat dirinya adalah hamba Allah, yang diciptakan oleh Allah, dan mempunyai pelbagai amanah dan kebertanggungjawaban.

Namun, pengaruh atas nama mukmin dan solehin mengatasi segala kebimbangan yang bersifat manusia biasa. Bagi mereka, kesilapan dan kasih sayang itu adalah lumrah yang pasti berlaku pada setiap manusia. Kerana dalam kehidupan ini, jangan sesekali berfikir dan ingin menjadi manusia yang sempurna. Ia adalah mustahil. Kerana kemaksuman sifat manusia hanya layak buat kekasih Allah s.w.t yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w.

Dek kerana kehidupan duniawi adalah pasti akan pergi suatu hari nanti, maka kebimbangan akannya adalah perkara yang biasa dan perlu diambil kira. Perkara ini adalah kerana tiada manusia yang boleh disifatkan seperti para malaikat dan tiada manusia yang kini sedang enak dan hidup indah bukan di atas alam keduniaan. Namun, ia tidak merosakkan tarbiyah iman dan takwa dalam menyatakan bimbang akan kehidupan yang seterusnya. Dengan lain makna, kelahiran jiwa yang bimbang pada kehidupan keduniaan tidak menjadi pengaruh yang besar dalam kehidupan sehingga menjadi tidak keruan jika berlaku sebarang kemungkinan buruk atas institusi kebimbangan yang telah dibicarakan.

Maka, dalam peribadi seorang mukmin, perasaan risau atau bimbang akan lebih wujud sama ada kehinaan atau kemuliaan seseorang pada pandangan Allah. Perkara itu yang menjadi keutamaan. Walaupun peribadi manusia ketika hidupnya dikelilingi pangkat, darjat, keturunan, dan harta, itu semua adalah wajah biasa hanya buat kehidupan di dunia. Tetapi, sekiranya tiada wujud pada wajahnya iman dan takwa,  kehidupan yang kekal abadi sudah tentu akan kekal dirundung hina ditimpa kecelakaan demi kecelakaan.

Walau sebegitu, sesungguhnya tiada manusia boleh mengubah peribadi manusia yang lain tanpa keizinan dan kehendak Allah s.w.t. Walau dia sentiasa memperingati dan menyampaikan nasihat, belum tentu mampu mengubah peribadi orang yang dibimbanginya. Hal ini kerana hidayah atau petunjuk itu milik Allah. Dan ia kekal atas kehendak Allah untuk memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

“Sungguh, engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”  (Al-Qasas: 56)*

Oleh hal demikian, jangan berputus asa dalam menyampaikan peringatan kepada mereka yang dikasihi agar sentiasa berada dalam rujukan kalimah-Nya yang teragung dan sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus. Usahakan yang terbaik dalam membentuk peribadi diri di bawah petunjuk sunnah baginda dan meneladani peribadi yang diajarkan oleh Allah s.w.t. Doa yang luhur dan tulus sentiasa menaungi jiwa dan melahirkan kebimbangan agar sentiasa jiwa itu berada dalam iman dan sentiasa jua dikasihi oleh-Mu wahai Rabbi, Allah s.w.t yang menjadi naungan cinta Ilahi.

Peduli dengan pandangan manusia dan dunia. Suatu hari pasti mereka akan meninggalkan kita.

Kepada-Mu ya Allah aku memohon. Kepada-Mu ya Allah aku melahirkan jiwa yang bimbang akan kehidupan di dunia dan akhirat-Mu yang kekal di sana, ya Allah.

*ayat ini bukan mengajar manusia mengenal erti putus asa. Adalah mustahil, kerana putus asa adalah sifat syaitan. Sebaliknya terus berusaha dan berusaha kerana tiada sesiapa pun tahu siapa yang Allah ciptakan hidayah buat hamba yang dikehendaki-Nya. Moga-moga usaha yang sentiasa dilakukan menjadi asbab pintu hidayah Allah terbuka buat hamba tersebut. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: