Imam Abu Hanifah

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama al- Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam. al-Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah al- Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama disekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Kata Al-Dahri: Masih adakah ulama kamu yang tinggal (belum berbahas denganku)?

Jawab orang ramai: Masih tinggal Hammad.

Kata al-Dahri: Bawalah dia datang, wahai Khalifah, supaya dia boleh berbicara denganku.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaimann Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya. Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad.

Kata Hammad: Berikan aku satu malam.

“Subhanallah…. Subhanallah …. Walauhaulawala quwwata illa billahi aliyyil azim….!” Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh al-Dahri yang biadab dan ateis itu.

Apabila waktu pagi telah tiba, muridnya iaitu Abu Hanifah yang masih budak-budak melihat gurunya dalam kegelisahan.

Maka Abu Hanifah bertanya kepada Hammad tentang perkara yang dirisaukannya.

Jawab Hammad: Bagaimana aku tidak gelisah sedangkan aku diperintahkan untuk berbahas dengan al-Dahri. Malangnya al-Dahri telah mengalahkan semua ulama’ dan aku sendiri telah bermimpi buruk.

Tanya Abu Hanifah: Apakah mimpi itu?

Jawab Hammad: Aku bermimpi akan sebuah negeri yang luas dengan pelbagai perhiasan di dalamnya. Di dalam negeri tersebut terdapat sebatang pokok yang berbuah dengan lebat. Tiba-tiba keluar dari tengah-tengah negeri tersebut seekor babi dan terus memakan buah, daun dan pokok tersebut sehingga tidak ada satu benda kecuali tinggallah batang pokok berkenaan. Dengan tidak semena-mena, keluar dari batang pokok itu seekor singa dan membunuh babi berkenaan.

Maka kata Abu Hanifah:Sesungguhnya Allah telah mengajar kepadaku tentang tadbir mimpi. Mimpi ini adalah kebaikan bagi kita, keburukan bagi musuh-musuh kita. Sekiranya tuan guru mengizinkan pasti akan aku menghuraikan tadbir mimpi berkenaan.

Kata Hammad: Tadbirkanlah, wahai Nukman.

Kata Abu Hanifah:Negeri yang luas dan ada pelbagai perhiasan itu ialah negeri Islam. Pokok yang berbuah itu ialah ulama’. Batang pokok yang masih tinggal itu ialah engkau (wahai guru). Babi itu ialah al-Dahri, manakala singa yang membinasakan babi itu ialah aku. Sambung lagi kata-kata Abu Hanifah: Aku hendak pergi bersamamu. Dengan berkat dan hadratmu aku dapat berdebat dengan al-Dahri serta dapat aku mengalahkannya. Lantaran mendengar penerangan dan keinginan anak muridnya itu, Hammad kembali berasa gembira.

Kemudian Hammad dan Abu Hanifah menuju ke masjid al-Jami’. Sejurus sampai di sana, sudah ramai manusia berkumpul di majlis Hammad, dalam masjid tersebut. Abu Hanifah berdiri dengan kasut berada di atas tempat duduknya sambil mengangkat sepatu beliau dan guru beliau. Maka tiba kelibat al-Dahri dan menaiki mimbar masjid tersebut.

Lantas berkata al-Dahri:Siapakah yang akan menjawab soalanku?

Jawab Abu Hanifah: Apakah perkataan itu, tanyalah. Siapa yang tahu tentu akan menjawab persoalanmu!

Kata al-Dahri: Siapakah kamu wahai budak? Berani sungguh menyahut cabaran aku. Engkau hendak berdebat denganku? Sedangkan sudah berapa ramai ulama’ yang berusia dan memakai serban besar, memakai pakaian yang hebat dan memakai lengan baju yang besar sebenarnya mereka lemah menjawab pertanyaanku. Oleh itu, bolehkah engkau berdebat denganku sedangkan usiamu yang terlalu muda dan diri yang masih hina?

Bidas Abu Hanifah: Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kepandaian bagi mereka yang berserban besar, berpakaian hebat dan berlengan baju besar, tetapi Allah meletakkan ketinggian ilmu dan kehebatan itu hanya kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa. Abu Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud: ” Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat.” ( Al-Mujadalah : 11 )

Terkejut al-Dahri akan kata-kata yang berbisa itu. Lantas al-Dahri bertanya kepada Abu Hanifah: Adakah engkau yang akan menjawab soalanku?

Jawab Abu Hanifah:Ya! Akulah yang akan menjawab soalanmu dengan taufik kurniaan Allah.

Kata al-Dahri: Adakah Allah itu wujud?

Jawab Abu Hanifah: Ya!

Kata al-Dahri: Dimanakah pula kewujudan-Nya?

Jawab Abu Hanifah: Tiada tempat bagi kewujudan-Nya.

Kata al-Dahri: Bagaimanakah wujud bagi-Nya tetapi tiada tempat kewujudan bagi-Nya?

Jawab Abu Hanifah: Buktinya ada pada badan engkau.

Kata al-Dahri: Apa dia?

Jawab Abu Hanifah: Adakah ruh ada pada jasad engkau?

Kata al-Dahri: Ada!

Jawab Abu Hanifah: Dimanakah ruh engkau berada? Di kepala atau di perut engkau atau di kaki engkau?

Terkejut al-Dahri dengan soalan balas Abu Hanifah. Kemudian Abu Hanifah meminta susu dan berkata: Adakah dalam susu ini ada lemak?

Jawab al-Dahri: Ada!

Tanya Abu Hanifah lagi: Di manakah lemaknya?  Di atas atau di bawahnya?

Selanjutnya Abu Hanifah berkata: Sepertimana tidak diketahui bagi ruh ada tempat di dalam badan dan tidak diketahui tempat lemak di dalam susu, begitulah jua tidak diketahui bagi Allah dalam alam ini akan tempat kewujudan-Nya.

Terpana al-Dahri akan kebijaksanaan Abu Hanifah. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

Kemudian al-Dahri bertanya lagi: Apakah sebelum dan sesudah Allah?

Jawab Abu Hanifah: Tiada sesuatu pun sebelum dan sesudah-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan Dialah yang Akhir!

Kata al-Dahri: Bagaimanakah engkau membayangkan kewujudan yang tiada apa-apa sebelum dan sesudah-Nya?

Jawab Abu Hanifah: Bukti ini apa pada badanmu juga!

Kata al-Dahri: Apa dia?

Jawab Abu Hanifah: Apakah sebelum ibu jarimu dan apakah selepas jari kelingkingmu?

Kata al-Dahri: Tiada sesuatu pun sebelum ibu jariku dan tiada sesuatu pun selepas jari kelingkingku.

Abu Hanifah menerangkan: Begitulah Allah yang tiada sesuatu sebelum dan selepas-Nya.

Sekali lagi tersentak al-Dahri dengan jawapan berbisa Abu Hanifah. Namun, dia masih tidak berputus asa dan mahu mengalah untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai.

Al-Dahri berkata: Masih ada satu soalan lagi.

Jawab Abu Hanifah: Aku akan menjawabnya, Insya-Allah.

Kata al-Dahri: Apakah pekerjaan Allah sekarang?

Kata Abu Hanifah: Sesungguhnya engkau telah menyalahi protokol perbahasan. Sepatutnya orang yang menjawab berada di atas mimbar manakala orang yang bertanya berada di bawah mimbar. Maka, bolehlah aku menjawab soalan engkau sekiranya engkau turun dari mimbar itu.

Lalu al-Dahri turun ke bawah mimbar dan Abu Hanifah pun naik ke atas mimbar. Apabila Abu Hanifah duduk di atas mimbar, al- Dahri mengemukakan soalan tadi lantas Abu Hanifah menjawab dengan berkata:

“Pekerjaan Allah sekarang ialah menggugurkan orang yang berada dalam kebatilan seperti engkau dari atas (mimbar) turun ke bawah (mimbar) dan menaikkan orang yang benar seperti aku dari bawah ke atas (mimbar). “

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi al- Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah al- Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali di serata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar’iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.

sedang mengira detik…manala website baru ni.. hhmm…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: