Antara YAKIN dan PERCAYA

Kadang-kadang suka bermain dengan istilah. Bagi daku, istilah dalam suatu perkataan memberikan suatu nilai yang tidak terkira. Sekiranya tersalah menghasilkan istilah yang tepat berdasarkan kondensi yang telah ditentukan, sebarang perbuatan ke arahnya tidak mendatangkan hasil yang bermakna.

Begitu juga apabila menghasilkan suatu nukilan atau tulisan. Tidak semua perkataan yang dibaitkan itu adalah sewajarnya diperhatikan pada nilai luaran. Kadang-kadang membawa makna yang berbeza, bergantung kepada perkara yang dibaitkan, dan apa yang ingin disampaikan.

Hanya, sekiranya penulisan itu adalah sebuah fakta, tidak dapat tidak hendaklah jelas dan tidak bersimpang siur dalam memahami isi yang telah dihasilkan. Fakta adalah muktamad. Tiada pertikaian melainkan ada dalil lain untuk kembali diperbincangkan.

Sekiranya penulisan itu berbentuk suatu pandangan, luahan atau coretan hati, maka terdapat beberapa istilah yang digunakan tidak menjelaskan keadaan. Istilah itu nampak simple dan biasa, sebaliknya ia cukup mendalam dan ada makna yang berbeza. Istilah yang dihasilkan mungkin tidak diketahui sesiapa, melainkan orang yang benar-benar hidup dengan cara menulis, atau mengetahui keadaan dan peristiwa yang berlaku kepada diri penulis.

Dari segi istilah, perkataan tahu apa yang ditulis dan mahu apa yang ditulis, atau ‘menulis’ dan ‘penulis’  sudah ada makna tersirat yang berbeza. Cuba cari maknanya jika bijak dan pandai.

Dahulu, pernah meletakkan suatu keadaan. Ada manusia yang menulis kerana begitu sifatnya. Pelbagai cita duka, sedih dan gembira, tidak terdengar suara atau tingkah laku yang menonjolkan keadaannya, sebaliknya penulisan dan coretan menceritakan segala-galanya. Ada pula manusia yang mati kutu sekiranya menulis suatu keadaan yang dialaminya, sebaliknya lebih mahir atau tahu meluahkan yang terpendam dalam diri kepada manusia yang berada di sekelilingnya.

Sekiranya keadaan ini diperkembangkan, orang yang menulis pula bernukar posisi dengan si berkata-kata, maka penyampaian yang berlaku adalah tidak sama. Dua-dua kaku, dua-dua buntu. Kadang-kadang ketawa, walaupun bercerita kisah yang duka. Kadang-kadang melalut, walaupun cerita asalnya hanyalah senada. Begitu jua situasi menulis tapi tidak mahir dalam seni menulis. Maka, pelbagai peristiwa yang tidak senang di kepala, habis sebiji-sebiji keluar dalam bait kalamnya. Maki hina puji melangit mungkin berlaku sekiranya itu bukan dunia dia.

Menulis sebenarnya memerlukan seni. Kerana seni yang sebegitulah, daku terus menulis dan menulis, moga-moga sentiasa mempelajari dan memperbetulkan kesilapan diri.

Masih tak pernah berguru, dan banyak lagi tak tahu.

Moga terus ada sumber dorongan dan inspirasi untuk daku terus membaitkan kalam, dikurniakan ilham yang tulus dari Ilahi dan sentiasa mendoakan dan didoakan oleh orang yang mengetahui🙂.

******************************

“Aku yakin aku akan berjaya!”

“Kalau pakcik dapat beli kereta mewah itu, pakcik percaya tentu ramai orang kagum dengan pakcik.”

“Abang percaya Johari boleh melakukannya. Berusaha, jangan cepat putus asa.”

“Hari ini pasukan Kedah lawan Perak. Aku rasa tentu Kedah akan menang 2-0 dengan Perak.”

Bunyinya seperti membawa makna yang sama. Tetapi kondisi makna seperti berbeza.

Yakin boleh diertikan sebagai percaya 100%. Sekiranya perkara tersebut akan terjadi, maka pasti akan terjadi. Seperti ungkapan “yakin boleh!” daripada moto iklan Milo syarikat Nestle Sendirian Berhad. Mereka menggunakan istilah “yakin boleh” yang memberikan suatu impak positif dan memberangsangkan kepada pengguna mahupun yang berniaga akan prestasi dan kualiti produk keluaran mereka.

Yakin boleh memberikan kesan yang positif kepada sumber inspirasi dan motivasi. Hanya dengan perkataan yakin yang wujud dalam diri, terbentuk dalam peribadi untuk meneruskan usaha gigih yang telah dilakukan selama ini. Contohnya, seorang penoreh getah yang meletakkan istilah yakin akan menjadi kaya suatu hari nanti, walaupun hanya dengan pekerjaan menoreh getah. Dengan usaha yang berterusan sehingga kini, orang tersebut menjaya meraih pendapatan sehingga lima angka hasil dari istilah yakin di samping harga getah kini yang melambung tinggi.

Percaya pula boleh didefinasikan sebagai kepercayaan 50%. Kewujudan kepada suatu keinginan akan matlamat yang telah ditetapkan tidak mampu mencatat suatu kebarangkalian yang munasabah akan beroleh hasil yang terbaik. Dia hanya berusaha sebaik mungkin, tetapi masih terdapat perasaan ragu dan ketidak pastian pada usaha yang telah dilakukan. Begitu juga pada khabar beritaa yang disampaikan. Sekiranya hanya mencapai tahap percaya, khabar yang diterima olehnya tiada titk kepastian akan mempunyai kebenaran sekiranya berlaku di kemudian hari.

Yakin telah diseliputi oleh keseluruhan kepercayaan. Tetapi, percaya tidak mampu mencapai tahap beroleh keyakinan.

Persoalan; orang kampung yakin Yuna boleh memanjat pokok, tetapi mereka hanya percaya Yuna hanya boleh sampai pangkalnya sahaja. Mengapa orang kampung  yakin Yuna boleh memanjat pokok, tetapi tidak yakin dan percaya dia tidak mampu memetik buahnya? Sekadar sampai pada pangkalnya sahaja?

Jika ingin mengetahui, turuti artikel pada hari kemudian.🙂

KEKUATAN TENTERA ISLAM VERSUS KUFFAR

Tentera Islam kini seperti suatu gerombolan orang Islam yang hidup dan bernyawa di sebalik bongkah-bongkah batu besar milik orang kuffar laknatullah. Mereka hidup kerana adanya bongkah batu ciptaan kuffar tersebut. Tanpa pertolongan dan bantuan si kuffar, orang Islam kempunan sendirian dan langsung percaya tiada sumber meraih kehidupan di dunia ini.

Ia berkaitan dengan permainan minda, psikologi dan spiritual manusia. Selama ini semua orang telah mengetahui cerita, kisah, maklumat dan wacana yang menonjolkan bahawasanya tentera kuffar adalah perkasa, mempunyai kelebihan dan teknologi, kekuatan dan pelbagai lagi. Tokok tambah oleh media massa menjadi pengantara meletakkan kuffar adalah raja, tiada siapa mampu menentangnya. Hatta, sekiranya semua tentera Islam bergabung, belum tentu tentera musuh boleh ditumbangkan.

Keyakinan telah lama hilang dalam diri para tentera muslimin. Semua cerita dan maklumat telah menapak kukuh dan menyatakan mereka bukan tandingan dengan tentera kufffar. Sekiranya berlaku peperangan, mereka percaya hanya mampu menang jika cemerlang percaturan strategi di samping spritual yang berterusan tak belah bagi.

Keyakinan diletakkan kepada sumber dan kualiti yang telah ada. Jika ini yang dibandingkan, memang tentera Islam sudah ketinggalan lama. Semua teknologi baru memang tidak dinafikan banyak didominasi oleh tentera kuffar. Tetapi yakinlah, kekuatan dan keyakinan sebenar adalah milik Allah. Dia yang menciptkan manusia, dia juga yang akan mematikannya. Lihat sahaja pelbagai kisah kemenangan Islam di zaman kebangkitan dan permulaan Islam, para pejuang yang berjihad dan memenangi peperangan tersebut bukanlah disebabkan kekuatan dan kelebihan yang ada, sebaliknya keyakinan yang teguh dan takwa yang utuh kepada Tuhan yang Maha Esa.

Amir atau pemerintah perlu ditaati, perintahnya wajib dilaksanakan. Kerjasama antara rakyat dan tentera adalah sumber terjalinnya hubungan dan kesepaduan.

Kini, segala-galanya lenyap dan lemah. Bergantung harap kepada si kuffar, dan berpijak atas tanah pun kerana adanya jasa mereka.

Malah, mana tidaknya, di kalangan umat Islam sendiri hanya tahu untuk berpecah belah dan hidup cara assabiyah?

YAKIN AKAN KETENTUAN TUHAN

Keyakinan akan benar-benar teruji apabila meyakini pada suatu perkara yang tidak nampak atau ghaib  dan meyakini akan perkara-perkara yang akan berlaku.

Syaitan, jin, malaikat, dan macam-macam lagi tidak dapat dikesan oleh pancaindera. Tetapi, manusia perlu yakin akan keberadaan makluk lain di alam ini selain dari manusia.

Hari kiamat pasti akan berlaku. Ketika tiba masanya kelak, tiada siapa pun akan terkecuali dari merasai dan mengalami akan perkara yang memang benar-benar berlaku.

Pensabitan keadaan yang memerlukan keyakinan tetapi serba serbi bukan memihak kepada kebolehan dan keupayaan manusia boleh disama ertikan keadaannya melalui perumpamaan ini. Akal itu ada tetapi ia tiada. Nafsu itu ada tapi ia tiada. Mata hati itu ada tetapi ia tiada. (Pening?)

Ia wujud tetapi tiada gambaran dan jasad yang benar-benar sahih membuktikan kewujudannya. Namun, kewujudannya terbukti dengan tanda-tanda dan hasil daripadanya. Akal membuktikan keupayaan manusia berfikir dan menghasilkan sesuatu perkara sehingga kini. Jika manusia diciptakan dalam dirinya tiada akal, samalah seperti haiwan dan binatang, tak pernah ada kemajuan dan perkembangan dari zaman ke zaman. Jika makluk lain selain manusia jua dikurniakan akal, haiwan tentu sudah pandai pakai baju dan seluar, buat bangunan besar-besar dan berpesta ria seperti manusia. (seperti yang biasa dilihat dalam animasi dan kartun dalam televisyen.)

Sebab itulah al-Qur’an mencela manusia yang tak pandai guna akal. Lebih dahsyat dan buruk sifatnya daripada binatang.

Perkara kedua pula meyakini akan ketetapan yang Allah telah tentukan akan berlaku pada masa akan datang. Perkara boleh diumpamakan seperti makhluk yang pasti berhadapan dengan kematian.

Walau sehebat dan semulia mana seseorang itu pada pandangan manusia dan seluruh alam sarwajagat, tiada makhluk Allah di dunia ini yang akan hidup kekal abadi. Semua pasti akan mati.

Seperti sebuah kereta mewah yang dijamin kualiti dan kehebatannya. Tiada satu pun kekurangannya, kata si pengeluar kereta. Percaya atau tidak, sehebat mana pun si kereta, secanggih mana enjin dan kualitinya, suatu hari akan rosak dan dimakan usia. Dibiar atau dipakai, sama sahaja. Rosak jua akhirnya. Paling tidak tukar kereta baru, habis cerita.

Begitulah jua akan kisah makhluk penciptaan-Nya. Bumi yang indah ini pun ada hayatnya. Lautan dan tumbuhan ada tempoh masanya. Manusia dan haiwan ada jangka usianya.

Kembali kepada cerita asal, perkara kiamat yang pasti akan berlaku. Ia janji Allah sejak zaman berzaman. Sejak dari zaman Rasulullah s.a.w masih hidup lagi. Bukan cerita rekaan sains dan teknologi atau tafsiran tertentu oleh kaum-kaum kuno.

Tanda-tandanya pun sehingga kini telah terjadi dan memang banyak telah dikenal pasti.

Orang bukan Islam pun turut percaya akan perkara ini. Sekiranya ditanya sami buddha, atau orang cina kristian dan si India Mutusami, tiada satu agama yang tidak meyakini akan berlakunya kiamat dan kehidupan akhirat.

Tetapi yang terkurangnya, ramai yang tidak meyakini akan terjadinya perkara ini. Orang Islam pun ramai yang hanya setakat percaya, tidak meyakininya.

Sekiranya yakin akan perkara tersebut, sudah tentu ramai yang telah bersiap sedia dengan pelbagai amalan dan persediaan akan peristiwa tersebut. Malangnya, ramai lagi yang tiada persiapan, seronok dan leka dengan segala nikmat keduniaan dan kehidupan yang sementara.

Itulah antara tanda dan akibat penyakit wahan.

Jadi siapa pula yang akan meyakininya?

Hanya mereka yang beriman dan bertakwa.

“Ketahuilah, setiap janjinya adalah pasti. Allah tidak akan sesekali memungkiri janji-janji-Nya. Walau sejauh mana Dia telah menciptakan manusia, dan keberadaan mereka, apabila telah sampai masanya, janji-Nya menjadi pasti dan terpampang luas di depan mata.”

“Orang yang percaya seperti hanya mengetahui, bukan menyedari. Tetapi, orang yang meyakini ialah mereka tahu, sedar, dan mempersiapkan diri. Bukan hanya bergoyang kaki mengatakan semua sudah cukup dan penuh untuk bekalan di kemudian hari.”

-Esok hari lahir… jadi sementara ada kesempatan di sini, ingin mengucapkan, SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN, ____D. Semoga menjadi anak yang soleh dan taat perintah Allah dan Rasul-Nya. Rajin belajar, taat dan hormati ibu bapa.

-sabar mendidik banyak ganjarannya di sisi Allah 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: