Cinta Itu Adalah Fitrah.

Nukilan ini amat jarang diperkatakan dalam ruangan blog ini. Tidak gemar juga sebenarnya untuk menulis kalam seperti ini.Tetapi, memandangkan hari yang khusus dan istimewa ini, daku cuba untuk menghuraikan dan membuat satu penilaian tentang perkara ini.

Bagi menulis suatu kalam mengenai cinta, penulisan artikel yang serba pendek ini mungkin tidak cukup baik untuk menghuraikannya. Jika dilihat pada orang yang pernah menulis tentang cinta, untuk puisi cinta sahaja sudah sampai berbelas-belas muka surat. Ada orang menulis hanya huraian mengenai masalah dan persoalan cinta pula boleh sampai berjilid-jilid bukunya. Belum masuk lagi bab novel picisan cinta yang sudah tentu berlambak di pasaran. Inikan pula nak dibandingkan dengan artikel pendek untuk menghuraikan kebenaran di sebalik kalimah cinta. Tak memadai rasanya untuk dibuat penilaian dengan karya-karya yang lain tu.

Fi kulli hal, perkara ini tetap berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa. Yang semakin rasa tidak gemar ialah semakin hari daku lihat manusia semakin hilang pedoman meraih matlamat hidup, dan mencari makna sebenar kehidupan sebenar yang diciptakan oleh-Nya.

Terutama pada persoalan yang paling banyak didengari; CINTA.

Cinta adalah suatu yang sangat indah. Semua orang tahu akannya. Cinta sangat manis untuk dikenangkan, tetap cukup pahit untuk dilenyapkan. Cinta bagai tenaga dalam kehidupan. Kerana cinta, manusia beroleh sumber kekuatan dan dorongan.

Tetapi, cinta begitu sulit untuk dilenyapkan. Kehilangannya bagai hilang jalan dan pedoman. Kekuatan yang pernah terbina runtuh dengan tiba-tiba. Kemanisan sewaktu bersama binasa segala-galanya.

Pelbagai tafsiran dan konsep pernah diutarakan untuk merungkai istilah cinta. Istilah ini sangat berkait rapat dengan suatu perasaan yang  mendalam setelah mengenal erti kasih sayang. Perasaan yang sukar untuk diucapkan, sulit untuk dibicarakan. Ia bukanlah suatu undangan. Ia datang secara bersendirian. Tidak disedari dari arah mana, dan kenapa ia mendiami diri si empunya.

Hiasan cinta sangat  unik dan indah. Keindahan yang digambarkan seperti bunga-bunga yang berwarna warni, harum semerbak dan mekar sentiasa di taman. Hening subuh, ia membuka kelopaknya, malam yang sinari cahaya bulan, menambah seri warna dan keindahannya.

Sekiranya cinta itu seperti tinta dakwat, tiada alat yang mampu memberhentikan dan memadamnya. Ia sentiasa menukil di atas sekeping kertas sehingga kepada kertas yang terakhir yang diterima olehnya.

Malangnya, keindahan cinta bagai ada batasan kerana sifat-sifat nafsu dan keduniaan. Manusia hari ini terlalu bergantung kepada makhluk, sehingga sanggup berbunuhan dan menimbulkan kerosakan hanya semata-mata tidak beroleh apa yang diharapkan. Makhluk bagaikan segala-galanya. Harta, pangkat, manusia, dan entah apa-apa lagi, semua itu mesti dimiliki, dan siapa yang tidak peduli, dia akan rugi. Yang paling teruk, sekiranya tidak dihargai, sanggup bermusuhan sehingga membunuh diri.

Penonjolan sikap sebegini, telah menjadikan aspek cinta telah menjadi sudut yang sangat kecil dan sempit. (Daku ingin mengatakan manusia sekarang adalah JUMUD untuk menilai cinta). Kejumudan manusia menilai hakikat cinta yang telah diciptakan menjadikan ramai yang sekiranya gagal atau ingin memperoleh ‘cinta’ (nafsu) mereka, sanggup melalui lorong hitam,telunjuk nafsu amarah dan syaitan laknatullah.

Kebenaran utnuk merungkai kejumudan manusia mengenal cinta lihat sahaja kepada bicara mereka. Cinta itu ialah love. Love ialah cinta. Romantik picisan dan lemah menilai istilah ini. Ramai yang mengatakan cinta bentuknya bujur dan berwarna merah, seperti ini:

Kebenarannya, siapakah yang telah mengatakan cinta berbentuk dan berwarna sebegitu? Siapa pula yang mengiktiraf warna dan ‘wajah’ cinta sebegitu? Cinta itu sebenarnya hadir dari suatu perasaan. Perasaan itu adalah sifatnya terlalu subjektif, abstrak dan tidak jisimnya yang tersendiri. Ia antara penciptaan Allah yang ghaib yang tidak boleh digambarkan dan dilihat sama sekali oleh pancaindera manusia.

Kerana itulah cinta hadirnya melalui hati nurani, bukan hati jasmani.

HAL  CINTA

Cinta ada martabatnya sendiri. Bagi ilmu tasawuf, para ilmuan tasawuf merungkai istilah cinta dengan begitu mendalam, terperinci, dan pelbagai pembahagian yang tidak pernah terbayang dan dapat digambarkan oleh manusia biasa.

Imam al-Ghazali mendefinasikan hal cinta itu dengan kecenderungan hati kepada sesuatu yang menyenangkan. Al- Muhasibi menerangkan cinta itu diertikan sebagai kecenderungan hati keseluruhan kepada sesuatu; perhatian terhadapnya melebihi kepentingannya sendiri, jiwa dan hartanya; sikap diri dalam menerima apa yang diperintahkan atau dilarangnya.

Al-Junaid pula menjelaskan cinta itu sebagai kecenderungan hati kepada sesuatu, kerana mengharapkan keredhaannya tanpa merasa diri dibebani,  dan mentaati dalam segala hal yang diperintahkan dan dilarangnya, dan rela menerima apa yang telah ditetapkan dan ditakdirkan olehnya. Pengkhususan al-Junaid pada cinta kepada Allah. Penjelasan al-Junaid ini mempunyai banyak persamaan dengan keterangan oleh Ibnu Taimiyah rah.

Penjelasan yang pelbagai itu boleh dilahirkan dalam satu pernyataan yang sama iaitu kecenderungan hati pada sesuatu yang disukai, kemudian mencurahkan segenap kekuatan dan upaya untuk menjalankan perintahnya dan menjauhi segala larangannya.

Perkara ini juga menunjukkan cinta itu tiada bentuk asalnya, tiada jisim khusus buatnya. Sekiranya dia mempunyai jisim seperti sebutir mutiara, maka gambaran yang lengkap akan sifat, bentuk, dan segala-galanya akan mudah sahaja manusia menggambarkannya. Tafsiran cinta itu akan menjadi rigid, kerana semua orang bersetuju akan sebegitu keadaannya, dan tiada lagi pelbagai huraian akan dilakukan oleh para ulama’ tasawuf walau hanya untuk menghurai satu istilah, cinta.

MARTABAT CINTA

Manusia sememangnya lahir dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Hadirnya dari dalam rahim ibu, kelahiran dan sehingga kehilangannya dipenuhi dengan ingatan, belas kasihan dan kasih sayang.

Hadirnya cinta hakikatnya tiada sesiapa menyatakan undangan atau beroleh pengetahuan. Tetapi, adakalanya cinta itu hadir kerana keinginan dan kehendak seseorang. Bergantung kepada martabat cinta yang wujud dalam diri, dan bergantung juga kepada penilaian dan tujuannya untuk dimiliki.

Cinta syaitan ialah cinta yang ingin dan berhajat kepada kebinasaan dan kerosakan. Tiada satu kebaikan sekiranya cinta peringkat ini wujud dalam peribadi pencinta syaitan. Hatinya kotor dan penuh dengan sifat kecelakaan. Cinta mereka dipenuhi nafsu yang buas dan amarah yang menggila. Sekiranya datang cinta ini dalam naluri manusia, maka binasalah sesiapa yang berada dan terpengaruh akannya. Mereka sanggup mencari jalan kemungkaran semata-mata cinta syaitan yang menjadi milikan.

Cinta haiwan tercipta atas nama nafsu dan keinginan. Keinginan yang tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu dan syahwat dalam diri. Ia tidak lebih dari itu. Kejadian haiwan tidak memerlukan cinta sebagai perlindungan dan sebagainya. Cukup sekadar apabila telah sampai tempoh mengawan dan kedatangan rangsangan, mereka hadir kepada pasangan untuk melepaskan segala keinginan. Sekiranya manusia meraih martabat cinta dengan hanya panggilan nafsu, pastinya mereka lebih buruk fitrahnya daripada haiwan.

Cinta manusia pula hadir kerana fitrah kejadian dan keperluan setiap manusia. Mereka menghurai cinta bagaikan hubungan antara garam dalam masakan atau perhiasan dalam berpakaian. Ia melengkapi suatu sumber kehidupan. Tanpanya, terasa kekosongan setelah semua keperluan terisi. Sifat kasih sayang tidak dapat tidak menjadikan kehidupan seseorang insan tambah berseri.

Martabat cinta ini menjelaskan manusia tidak boleh menjadi dan berkeinginan akan cinta malaikat. Kecintaan malaikat hanya mengenal erti taat kepada Allah s.w.t. Segala perintah dituruti, dan tiada larangan dari-Nya dalam penciptaan malaikat. Hal ini kerana malaikat tidak dikurniakan nafsu untuk memudaratkan ketaatan dan peribadatannya kepada Tuhan. Mereka hanya menjalankan tugas dan hanya mengerti erti taat akan segala perintah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Martabat tertinggi dalam penilaian cinta ialah cinta Allah. Cinta Ilahi terbentuk atas nilainya yang tersendiri. Rangkuman cinta Ilahi tidak bertepi atau dibatasi.

Cinta Allah wujud dalam diri mukminin dan solehin, walau tidak semuanya mampu memiliki sifat cinta ini. Namun, para auliya’ dan nabi Allah menjadi kemestian untuk wujud atas nama cinta yang hakiki ini, Cinta Ilahi.

CINTA ALLAH

Pelbagai ragam dan kisah yang menjadi sebutan untuk martabat cinta ini. Manusia kini mudah menyebut cinta kepada Allah setelah hilang tempat untuk meraikan kasih sayang dan kehilangan dambaan cinta daripada manusia. Mereka berdalih atas nama cinta ini di atas kegagalan dan putus asa dalam perhubungan antara manusia.

Diselusuri sahaja perkataan manusia yang kembali semula kepada Allah, terbukti segala kelemahan yang wujud dalam dirinya. Manusia kembali mengingati Allah kerana kehilangan dan kekurangan menimpa mereka. Malangnya, setelah kembali diberikan segala nikmat, Dia dahulu yang sering dipuja makin dilupakan dan hilang dalam khayalan.

Ketika kesulitan dan kesukaran, ramai yang berani palingkan cintanya hanya milik Allah. Tetapi, apabila diberi kesenangan dan kemewahan, ramai yang berani melanggar larangan dan perintah Allah.

Hakikatnya, cinta Allah bukanlah sekadar ungkapan zahir di mulut, bukan ikhlas dari hati. Cinta Allah ialah cinta pilihan khusus dari-Nya. Sifatnya adalah tersendiri. Jika dibandingkan akan kenikmatan dunia dengan keindahan cinta milik-Nya bagaikan langit dan bumi. Jauh bezanya. Tiada bandingan antara kedua-duanya.  Malah, sekiranya seluruh harta dan harga ditawarkan untuk merebut cinta Ilahi, tiada nilainya untuk meraih martabat cinta ini.

Kebenaran cinta Allah tidak boleh disama ertikan cinta antara makhluk dengan makhluk ciptaan-Nya. Segala perbuatan, tingkah laku, pergaulan, pandangan dan pendengaran dirasai dan dilakukan semata-mata atas nama dan mencari keredhaan-Nya. Perintah-Nya ditaati, larangan-Nya dijauhi.

Hadirnya bukan sekadar keinginan manusia, tidak sekadar bertafakur dan cukup sekadar melihat kebesaran Allah s.w.t. Cinta kepada Allah adalah suatu perjalanan yang panjang. Pelbagai ujian, dugaan, dan sebagainya yang menguji keimanan akan sentiasa mendatang.

Mencari cinta Allah, perlulah mengenal siapakah diri dan siapakah Allah. Sentiasa meniti harapan yang tidak berbelah bagi hanya kepada Allah. Hanya Dia tempat untuk bergantung harapan, memohon perlindungan, dan pertolongan di saat hamba-Nya memerlukan. Sunnah kekasih-Nya dijadikan renungan dan pedoman. Ruh perjuangan dan kehidupan Baginda s.a.w bersama para sahabat-sahabatnya dijadikan sebagai contoh teladan.

Ia lahir dari jiwa yang tulus dan mengakui akan betapa agungnya kebesaran Allah. Ia merangkumi sifat ikhlas, tawajjuh, harapan yang berpanjangan sehingga pada hari pembuktian. Jalan meraih cinta Allah penuh dengan kesungguhan atau mujahadah. Segala keinginan dan kehendak yang mengalpakan dan menjauhkan diri dari petunjuk Ilahi sentiasa dijauhi dari ingatan.

Apabila diperoleh kenikmatan dan kesenangan, kesenangan itu membuatkannya kembali bersyukur dan mengingati akan Allah. Ia menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang masih ada ketika hayatnya di dunia. Hati dan jiwanya tidak terpaut akan harta dan kemewahan dunia. Ia dipenuhi untuk keperluan, bukan menjadi pilihan dan serba serbi perlu ditaburi dengan perhiasan. Kelengkapan atas keperluan perlu ditepati, agar tidak tersinggung hati untuk terus mengabdikan diri pada Ilahi.

Bertambahnya cinta kepada Allah, bertambah lagi ketaatan dan perasaan takut akan kekuasaan dan keperkasaan Allah. Dia berhak melakukan apa sahaja buat hamba dan ciptaan-Nya. Hanya dengan kalimah, “Kun!”, maka jadilah ia dengan serta merta.  Tetapi, apabila manusia diberikan kelebihan cintanya kepada Allah, kasih sayang yang wujud atas nama cinta Ilahi tidak akan berkurangan, sentiasa berterusan, dan serba berlebihan.

Setinggi-tinggi darjat pencinta Ilahi ialah sanggup berkorban apa sahaja demi yang dicintai, Allah s.w.t. Sekiranya pengorbanan itu menuju pada kehilangan jiwa di dunia, ia bukanlah penamat pada nilai kehidupan miliknya. Sebaliknya, ia adalah hakikat yang tertinggi dalam pembuktian kecintaan dan bukan lagi angan-angan kosng tanda ikhlas cinta kepada-Nya. Jiwa dan jasadnya hidup dan  bersatu menuju kemuncak cinta-Nya yang abadi.

“Katakanlah; wahai orang-orang yahudi! Jika kamu mengira kamulah kekasih Allah, bukan orang-orang yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu orang yang benar.” (Al-Jumu’ah:6)

CINTA ITU ADALAH FITRAH

Apakah itu fitrah?

Fitrah boleh diertikan sebagai sifat semula jadi pada setiap makhluk-Nya, yang inignkan kebaikan dan menghindari segala kemudaratan ketika dilahirkan di dunia. Fitrah merangkumi seluruh aspek kehidupan, bermula dari diri sendiri, kepada masyarakat, kepada makhluk yang lain sehinggalah kepada hubungan manusia kepada Tuhan.

Fitrah bagaikan sehelai kain putih. Kelahirannya dalam keadaan suci dan bersih. Fitrah manusia yang paling bersih apabila dia pertama kali dilahirkan, manakala fitrah manusia yang paling suci apabila dia mengenal hubungannya dengan Tuhan.

Ia selari dengan kehendak Allah, menepati kewujudan sunnahtullah dan syariatullah. Perangkuman fitrah menuruti jalan kebenaran dan kemuliaan tuhan. Sebagaimana istilah cinta itu diciptakan.

Kehendak cinta antara manusia sehingga cinta kepada Allah, adalah perkara yang wujud sebahagian daripada fitrah manusia. Manusia meraih kalimah cinta untuk melindungi, memelihara, melengkapi dan menyayangi sebagai keperluan untuk meneruskan kelangsungan dalam kehidupan.

Namun, kewujudan cinta atas landasan fitrah hilang apabila ia datang kerana nafsu dan rakus menjadi syaitan. Ketika nafsu dan syaitan merajai segala tindakan manusia, tiada lagi pengertian fitrah dalam perbuatannya. Apabila kesesatan itu terjadi, manusia menjadi antara makhluk yang memiliki sifat tercela dan mengundang kemurkaan Azza wa Jalla.

Pengembalian cinta kepada fitrah adalah salah satu jalan kebenaran. Kini, makin ramai manusia hilang pedoman dan menjauhi dari fitrah makhluk ciptaan Tuhan. Kesesatan  yang semakin jauh dalam menilai erti cinta, semakin lama semakin hampir dengan bala Allah kepada para makhluk-Nya yang berakal, tetapi kufur dan durhaka kepada-Nya.

Kepada para mukminin, carilah erti fitrah cinta yang teragung, cinta Allah s.w.t. Ia tidak berpenghujung, ia sentiasa dipelihara dan dilindungi oleh-Nya. Ungkapkanlah kalimah cinta yang teragung sehingga ke akhir hayat ini, agar mencapai keindahan cinta yang abadi.

LAILAHAILLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Tiada ucapan yang lebih berharga daripada kalimah ini. Tiada lagi sempadan cinta apabila hanya mengharapkan semata- mata ‘wajah’ Allah dan keredhaan-Nya.Keindahan kalimah ini hanya dikenali apabila mengetahui perbezaan ‘yakin’ dan ‘percaya’, doa dan pengharapan serta disedari segala kekuasaan hanya milik Allah s.w.t semata-mata. Dia akan buktikan segala-galanya apabila telah sampai masanya.

Nikmat yang dikurniakan di sana (syurga) adalah abadi. Sentiasa berterusan, berpanjangan, berlebih-lebihan dan tiada perbatasan.

Jangan putus asa wahai hamba-hamba Allah! Bersemangatlah! Raihlah fitrah cinta atas sebenar-benarnya cinta, CINTA ALLAH!

– Banyakkan beristighfar, menyebut dan berzikir dengan nama-nama Allah. Moga-moga Dia akan sentiasa memelihara diri dan apa yang wujud dalam diri dari sebarang gangguan syaitan. Amalkan ayat surah al-mukminun (97-98 ) sebagai pelindung dari gangguan syaitan biasa atau luar biasa.Tiada yang berkuasa melainkan Allah yang Maha Berkuasa.

– Selamat menyambut ulang tahun kelahiran.Happy Birthday. Mendoakan sentiasa dalam kemudahan, kesejahteraan, dan kebaikan yang berpanjangan. Semoga beroleh perlindungan dan kerahmatan yang berterusan daripada Ilahi.

– Website: khas untuk  ‘kebaikan’, click ‘al-ghuraba🙂

May Allah always bless u🙂


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: