Anak yang Cerdik

Sinar mentari masih lagi memancarkan sinarnya.

Tiada yang terkurang, malah sentiasa menerangi semesta alam.

Tugas mentari bagai tidak pernah ada perkataan henti. Bermula detik fajar menyinsing, sehingga gelap malam menandakan kedatangan purnama bulan, mentari tidak pernah leka dan alpa untuk memancarkan sinarnya dan menerangi kehiduopan buat semesta alam.

Kadang-kadang terlintas di fikiran, bagaimana keadaan dunia ini apabila matahari berkata, “hari ni aku ingin bercuti. Berehat, dan tidak melakukan tugasku seperti setiap hari. Biar bulan sahaja yang bersinar dan terus menerus memancarkan pantulan cahayanya buat penduduk di semesta alam.”

Tentu sahaja kehidupan para tumbuhan, haiwan malah manusia akan menjadi kucar kacir. Kerja mereka setiap hari akan bertambah kelam kabut, yang sememangnya haru biru sebelum itu. Ada yang meratap menangis melihat matahari tidak muncul-muncul timbul, ada yang mula buat prasangka bukan-bukan, ada pula yang menambah baik peribadatannya kerana risau akan fenomena yang tidak pernah sesekali terjadi di dunia, dan mungkin ada pula yang buat-buat tidak tahu sahaja.

Melihat akan tugas setiap penciptaan Allah di sekali alam ini, daku merasa kagum dan betapa kerdilnya kewujudanku di dunia ini. Rupanya, masih ada perkara lain yang Allah ciptakan selain daripada manusia yang tidak pernah keluh kesah dan penat lelah menjalankan tugas hariannya. Mereka ini sentiasa taat kepada pencipta mereka, dan tidak pernah sesekali melanggar larangannya.

Ah… lemahnya dan hinanya aku di hadapan-Mu, ya Allah. Daku diberikan akal untuk berfikir akan kewujudan-Mu. Daku diberikan hati untuk sentiasa mengingati dan membesarkan-Mu. Rupanya daku hanyalah sekelumit kecil golongan manusia yang diciptakan oleh-Mu. Malah, kalau Engkau yang Maha Agung ingin mengambil dan mencabut nyawa setiap hamba-hamba-Mu, tiada satu kuasa pun akan mampu menghalang tindakan-Mu.

Ah…. daku takut akan sifat dan hatiku yang tidak pernah melihat dan mengagungkan Engkau. Ketika daku lemah dan kacau bilau, daku mencari makhluk yang jua hasil dari penciptaan-Mu. Ketika daku gembira, daku masih jua mencari makhluk-Mu menyatakan kegembiraan dan girangnya hatiku mendapat nikmat kurniaan-Mu. Ampunkanlah kelemahan dan kekuranganku ya Allah. Bimbinglah tangan, diri, dan hatiku untuk sentiasa mengadu, bersyukur dan mengharap semata-mata hanya kepada-Mu.

Wahai Tuhanku,

Janganlah tergolongkan hamba-Mu yang lemah ini di kalangan hamba yang ingkar dan sombong dari menghadap dan mentaati perintah-Mu. Sungguh, apalah gunanya daku bersikap begitu, sedangkan daku hanyalah sekelumit kecil dari hasil penciptaan-Mu.

Hari ini ingin bercerita suatu kisah yang berlaku di suatu zaman. Ini benar-benar terjadi. Ia bukan cerita dogengan rakyat yang sentiasa dibaca oleh orang-orang zaman kini.

Mereka bukan hidup di zaman ini. Zaman yang masih gah Islam di mata dunia. Apabila melihat dua zaman yang berbeza, daku masih ingat lagi sabdaan junjungan mulia, Rasulullah s.a.w akan sabdaan pada zaman yang sebaik-baik zaman. Ia bukanlah zaman ini, yang nyatanya adalah zaman kerosakan umatnya. Tetapi sebaik-baik zaman adalah ketika permulaannya Islam berkembang dan sehingga kehidupan para tabi’ tabiin.

Kisah ini tentang seorang budak kecil. Masih belum akil baligh lagi dan usianya bagai tidak jelas untuk menunjukkan dia sudah bijak membaca mahupun mengira. Yang mungkin pandangan mata dan akal kanak-kanak kecil seusianya, hanyalah permainan, perlindungan, dan suka ria.

Tiada kelam kabut memikirkan masalah diri dan kehidupan.

Tiada rasa akan risiko setiap perbuatan yang dilaksanakan.

Tiada kepingin untuk bekerja dan mengubah paradigma kehidupan.

Apabila merenung kisah ini, hati kecilku kadang-kadang bertanya dan jua mengharap, masih adakah kanak-kanak dan budak-budak kecil yang mengenal Tuhan dan Rasul-Nya? Kanak-kanak yang terdidik dengan kekuatan rohaniah bukan keutamaan semata-mata pada jasad dan material manusia? Budak yang apabila ditanya mereka yakin akan kuasa yang Maha Berkuasa? Dan, bukan apabila diitanya ruangan facebook atau handset yang terkini, semua orang dan si budak kecil kini telah bijak dan pandai memicit butang dan aksaranya di sana sini…

Ah, terlalu jauh pemikiranku. Namun, daku yakin masih ada selumit keyakinan manusia yang lahir di dunia ini ada yang mengenal Tuhan yang Maha Mulia. Daku berdoa anak kecil yang lahir itu akan membesar dan mempunyai hati yang jitu, tabah, cerdas, berbudi pekerti, membangun menjadi seorang lelaki yang mengenal Allah, dan pejuang ad-din Allah lebih baik dari diriku yang kerdil ini.

******************************

Pada suatu hari Bahlul rah. sedang berjalan-jalan di kota Basrah dan terserempak dengan sekumpulan budak-budak sedang asyik bermain-main. Di antara sekian ramai budak itu hanya ada seorang sahaja yang tidak ikut ambil bahagian untuk bermain. Dia hanya melihat sahaja kepada teman-temannya sambil menangis. Bahlul yang melihat gelagatnya, teringat si anak yang satu ini menangis kerana kesedihan tidak mempunyai barang permainan seperti temannya yang lain. Kerana setelah dipastikannya, memang dia tidak memegang sebarang jenis permainan. Lalu Bahlul mendekati budak itu untuk memujuknya agar jangan lagi menangis.

“Wahai anakku, mengapa engkau menangis?” tanya Bahlul. “Tidak baiklah menangis macam ini. Biarlah pakcik belikan mainan seperti itu, nanti engkau boleh bermain bersama mereka.” Budak itu berhenti menangis sebentar kemudian memandang kepada wajah Bahlul dan berkata, “wahai pakcik yang tersalah faham. Apakah kita ini diciptakan oleh Allah untuk bermain-main?”

“Mengapa engkau berkata begitu? Apakah engkau tahu untuk apa kita diciptakan?” tanya Bahlul yang agak terpana dengan jawapan yang diberikan oleh seorang budak kecil.

“Ya, saya tahu. Kita diciptakan untuk menuntut ilmu dan beribadah kepada Allah.” Kata budak itu.

Terkejut besar Bahlul mendengar jawapan itu! Dia sendiri tidak menyangka budak sekecil itu yang mungkin hanya linkungan usia 6-10 tahun boleh mempunyai pengetahuan dan wawasan yang jitu.

“Semoga Allah memberkatimu. Dari manakah engkau tahu akan hal ini?”

Maka budak itu menerangkan bahawa dia mengetahui perkara itu dari firman Allah s.w.t di dalam al-Qur’an yang berbunyi:

Ertinya: apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main? Dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”  (Al-Mu’minun: 115)

“Wah… kalau begitu dirimu ini bagai seorang hukama’. Silalah berikan nasihat kepada saya!” Kata Bahlul setelah mengetahui akan kecerdasan fikiran si budak ini.

Budak kecil itu lantas bersyair yang berisikan nasihat tentang perkara dunia dan kerugian orang menjadikannya sebagai matlamat hidup. Selepas itu, dia memekik kuat seperrti ketakutannya yang amat sangat sehingga rebah ke bumi dan terus sahaja pengsan. Bahlul segera mengangkat kepalanya dan diletakkannya di atas ribaannya. Debu-debu yang terdapat di kepala budak itu segera disapu sehingga bersih. Sebentar kemudiaan dia sedar dari pengsannya.

“Wahai anakku, mengapa engkau menjadi sebegini rupa. Dirimu masih kecil dan belum mempunyai sebarang dosa.”

Mendengar jawapan itu, lantas terus disangkal pandangan Bahlul. “ Pergilah engkau dari sini wahai Bahlul. Suatu ketika, aku telah melihat ibuku menyalakan api di dapur untuk memasak dengan memakai kayu api yang besar-besar. Akan tetapi api itu tidak mahu membakarnya sehingga diumpan dengan kayu-kayu kecil terlebih dahulu. Dari pengalaman dan pemerhatianku itu, aku merasa sangat takut, kalau aku akan dijadikan seperti kayu-kayu kecil untuk neraka Jahannam.”

Hairan dan terpinga-pinga Bahlul mendengar jawapan dari kepandaian seorang budak kecil. Semua kata-kata dan hujahnya bernas dan masuk akal. Kerana nasihat yang diberikannya itu, hati Bahlul merasa sangat tergugat, takut dan risau akan kehidupannya di dunia ini. Rasa takutnya kepada Allah memuncak dan pengsan tiba-tiba di situ jua.  Setelah beliau sedar dari pengsannya, dia segera memerhati sekeliling melihat kelibat budak tersebut, tetapi sudah tiada.

Segera dia bertemu dengan sekumpulan budak-budak yang masih lagi bermain di kawasan tersebut. Bahlul bertanya, “siapakah gerangan budak yang saya berbual tadi?”

“Apakah pakcik tidak kenal dia?”

“Tidak, memang saya tidak kenal siapakah dia.”

Jawab mereka, “dia itu adalah anak dari keturunan Hussin bin Ali bin Abi Talib r.a.”

Terkejut Bahlul mendengar jawapan mereka. Masakan tidak, kelahiran hanya seorang budak kecil yang ditemui adalah dari keturunan yang sangat mulia! Benihnya lahir dari pokok yang baik, maka tumbuh dan berbuah si benih dalam keadaan yang baik pula,” monolog Bahlul sendirian.

– wahh… ada lagi lelaki bertambah. Gembiralah abang dapat support lepas ini 🙂

-semoga segera sihat. Buat si kecil, tangisan dan tawamu moga-moga menyinarkan hatinya dan diriku untuk terus melahirkan jiwa berkata juang….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: