Rezeki itu Milik Siapa?

Alhamdulillah…

Akhirnya semua kertas peperiksaan telah habis. Dua hari lepas adalah tunggak kertas yang terakhir, untuk kumpulan peperiksaan yang berjumlah kecil.

Setelah segala usaha telah berakhir, doa mesti sentiasa terus dipanjatkan. Kerana usaha hanyalah tangga kepada kejayaan, sebaliknya hak penentu kejayaan bukanlah terletak apa yang usaha yang telah dicurahkan.

Ternyata, segala ketentuan hadir dari-Nya. Jadi kepada-Nya tempat daku berharap, tempat daku memohon pertolongan.

Kini, masih ada satu lagi peperiksaan yang tinggal. Iaitu VIVA atau ujian lisan bagi projek tahun akhir. Insya-Allah, minggu hadapan akan diadakan. Sementara masih ada masa, pesent slide dan persediaan diri dengan segala hasil setelah setahun menjalankan operasi, perlu dilengkapkan sepenuhnya.

Walau apa-apapun, daku, dirinya, mahupun sesiapa sahaja hanyalah layak untuk berusaha, dan berdoa. Ternyata, Engkaulah tempat harapan dan permohonan hamba-hamba-Nya.

Izinkanlah diriku meneruskan perjuangan ini, ya Allah. Di kala diriku serba kekurangan dan kesukaran, Engkaulah-Mu tempat aku berharap, kepada-Mu tempat aku sentiasa memohon pertolongan…

Tidak lupa, kepada yang sentiasa memerhati,

Terima kasih atas doa dan keprihatinan. Semoga Allah membalas segalanya dan dikurniakan rahmat dari-Nya.

Amin🙂

Suatu ketika daku menghadiri suatu kuliyyah agama dalam universiti. Isinya berbentuk tazkirah, tidak panjang seperti ceramah, tidak pendek seperti nasihat.

Tazkirah ringkas sebelum masuknya waktu solat Jumaat. Dihadiri ramai orang termasuk kaum muslimat yang mungkin rata-rata dari Indonesia kerana lebih mengenali si penceramah, iaitu Aagym atau KH. Agymnastiar.

Walaupun serba ringkas dan santai disampaikan, daku merasai kata-katanya bukan kuliyyah, melainkan penuh hikmah dan indahnya penilaian pada hati (bukan hati fizikal, tetapi hati rohani). Beliau menyampaikan dalam keadaan supaya semua orang boleh memahami, tetapi sesiapa yang menilai ucapan melalui hati, ia bagaikan  bentuk tarbiyah jiwa melalui kata-kata.

Daku sebenarnya ingin sampaikan beberapa nasihat buah dari tazkirahnya, tetapi cukup satu dahulu sebagai perkongsian kali ini. Semoga bermanfaat. Insya-Allah.

******************************

                                                                          Rezeki itu milik Allah,  kenapa diresahkan bagaimana hadirnya?

PENILAIAN

Sebelum lahirnya manusia di muka bumi ini, Allah s.w.t telah menetapkan beberapa perkara di lauh mahfuz untuknya pada perkara yang akan dilaksanakan di dunia. Antara perkara yang telah ditetapkan ialah  ajal, kelahiran, perkara baik, perkara buruk, dan rezekinya tuan empunya badan. Semua ketetapan ia kemudiaannya dipanggil sebagai takdir.

Takdir bukanlah suatu ilmu pengetahuan. Ia perkara yang tiada sesiapa mengetahui akan kewujudannya. Ia adalah rahsia yang tersimpan dalam pengetahuan Allah. Apabila sesuatu telah ditetapkan, tiada sesiapa yang dapat menghalang, walau bersembunyi di sebalik batu dan pintu gerigi besi sekalipun.

Dalam penilaian rezeki yang sememangnya di bawah ketentuan takdir, maka kedatangan rezeki setiap manusia itu telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Nyatanya, urusan rezeki itu tetap akan diterima oleh makhluk-Nya walau mereka tidak pernah berusaha mendapatkannya. Malangnya, manusia hanya tahu menilai rezeki itu dengan apa yang diperoleh dengan makna kesenangan seperti kemewahan, keturunan, harta, dan sebagainya, atau lebih kepada konsep materialistik. Sedangkan konsep utama rezeki itu adalah luas, dan hanya akan tamat rezeki seseorang itu apabila telah datangnya kematian.

Oleh itu, seseorang itu tidak akan meninggalkan dunia ini melainkan sumber rezekinya telah selesai disampaikan di dunia ini.

KONSEP REZEKI

Rata-rata ramai orang mempercayai rezeki ini ditafsirkan dengan titik peluh dan jerih perih yang dikeluarkan saban hari. Rezeki itu hadir dalam lingkungan usaha yang dilaksanakan dan hilang apabila tidak diusahakan. Bak kata, sekiranya hanya  duduk atau berdiri, pasti tidak akan datang ia kepada sesiapa.

Malah, ramai orang percaya dengan rezeki ialah apa yang dicari, bukan apa yang dimiliki. Maksudnya, jika keluar bekerja, menanam jagung, membajak sawah, dan melakukan lain-lain pekerjaan itu adalah usaha kepada rezeki. Setelah tiba waktunya, maka hasil pekerjaan tersebut akan diterima. Hasil yang dicari itulah ditafsirkan sebagai rezeki.

Ada juga yang menilai rezeki dengan kemewahan harta benda. Ada yang menilai rezeki mereka dengan nilai wang ringgit. Yang lebih memilih, ada yang menilai rezeki dengan pangkat dan darjat mereka di mata masyarakat sekitar.

Sekiranya ini yang disangka sebagai rezeki, maka pendekatan dan tafsiran ini terlalu kecil dan sempit. Orang yang serba miskin dan kurang keupayaan akan terus ditindas dan dihina. Orang yang berdarjat dan kaya raya terus mendongak  ke atas menindas mereka yang lemah.

Kapitalis.

Allah tidak menciptakan manusia dengan keupayaan dan kekuasaan-Nya yang begitu lemah dan rendah. Konsep rezeki yang diciptakan oleh Allah sebenarnya adalah luas dan penuh kesempurnaan. Sekiranya diketahui akan kebenaran apakah yang dinamakan sebagai rezeki, manusia akan sedar betapa Allah itu  sifat-Nya Maha Adil, dan dia tidak pernah menzalimi sesiapa. Mereka juga akan menyedari betapa Maha Luasnya kasih sayang Allah sehingga seseorang itu taat atau ingkar akan perintahnya, masih Dia memberikan sumber rezeki buat semua makhluk ciptaan-Nya.

Hakikatnya, rezeki boleh ditafsirkan dengan apa yang diterima dan apa sahaja yang dimiliki. Malah, rezeki seseorang itu tidak akan sama dengan seseorang yang lain.

Maka, makanan dan minuman setiap hari itulah juga namanya rezeki. Tidur dan boleh melaksanakan aktiviti itulah rezeki. Mata, telinga, kaki dan segala jenis anggota badan itulah jua sumber rezeki.

Segala jenis kemewahan dan kesenangan yang dikecapi itu hanyalah sebahagian kecil dalam konteks keluasan konsep rezeki. Dan, tidak semua orang akan dapat memperolehnya, kerana telah dinyatakan rezeki setiap orang adalah tersendiri dan tidak akan sama.

Kemuncak kepada makna rezeki sebenarnya terletak pada kesihatan. Tidak kira  seseorang itu kaya, miskin, dewasa atau kanak-kanak kecil, semuanya berharap mereka sentiasa sihat setiap hari. Bayangkanlah, apabila telah ditarik nikmat kesihatan dengan ditimpa kesakitan, ketika itu masa, tenaga, kepercayaan, kewangan, dan segala-galanya  tidak akan ada nilainya lagi. Sanggup berkorban segala-galanya agar kesihatan dapat kembali.

SUNNATULLAH ATAU SYARIATULLAH?

Berusaha untuk mencari rezeki ialah cause atau penyebab. Manakala hasil kepada rezeki ialah effect atau kesan kepada penyebab. Bagi fitrah sunnatullah, what you do, that’s what you get atau apa yang anda buat, itulah yang akan anda dapat.

Manusia diciptakan menepati sunnatullah dunia ini diciptakan. Dunia ini diciptakan kelak pasti akan ada penghuninya. Setiap yang diciptakan pula ialah semuanya di kalangan makhluknya. Sifat makhluk pula adalah sementara. Setiap yang sementara pasti ada akhirnya.

Maka, dunia ini ada akhirnya. Penghuninya pasti suatu hari akan meninggalkannya. Manusia suatu hari akan menghampiri kematiannya. Itu adalah sunnatullah kehidupan. Ia tidak akan lari sekiranya dinamakan hasil penciptaan.

Maknanya, sekiranya anda berusaha lebih, ternyata sunnatullah menetapkan rezeki anda, insya Allah, anda diperoleh lebih. Sekiranya anda berusaha sedang-sedang atau kurang, insya-Allah rezeki yang anda diterima akan berkurangan.

Kepercayaan kepada konsep rezeki hadir melalui sunnatullah ini ada banyak kebenarannya, tetapi masih ada juga kesilapannya. Kebenarannya ialah kerana ia bertepatan kepada usaha yang menjadi penentu nikmat yang diterima oleh manusia. Tetapi, kesalahannya kerana tidak mengaitkan ia dengan konsep syariatullah, yang kekuasaan sesuatu hanya milik Allah s.w.t.

Penilaian syaritullah menetapkan tiada suatu pun mahkluk yang diciptakan terlepas dari kekuasaan-Nya. Hatta ulat di sebalik batu sekalipun, sentiasa diperhatikan oleh-Nya.

Allah tetap mengurniakan rezeki kepada mereka. Cicak yang hanya boleh menjelirkan lidah berupaya menangkap nyamuk dan serangga kecil yang boleh terbang sebagai makanan. Cicak tetap beroleh rezeki buat makanan harian walaupun tidak boleh kejar dan terbang seperti nyamuk dan serangga lain. Ternyata, cicak yang serba kurang jua  beroleh rezeki walau dia sebenarnya pemangsa yang serba kekurangan.

Kerana itulah jangan dilupa rezeki bukan hadir kerana anda yang telah semata-mataberusaha, melainkan ia hadir atas ketetapan dari-Nya.  Rezeki tetapboleh hadir tanpa cause atau penyebab, ia  boleh terus terjadi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Namun, sebagai manusia, Allah menilai dengan amal dan menghisab atas segala jenis perbuatan.Justeru pada amnya, jika seseorang itu tidak berusaha untuk mengubah kehidupannya, maka Allah tidak akan pula yang akan mengubah kehidupannya. Pemberian rezeki berubah mengikut usahanya.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”  (ar-Rad:11)

Yang pasti, rezeki tetap agung milik pemberinya.

REZEKI ITU KURNIAAN ALLAH

Sesungguhnya, rezeki itu hadir kerana kurniaan Allah. Tiada mampu manusia untuk menjadi penentu rezeki dalam hidup mereka.

Kerana itu, janganlah dilalaikan masa yang ada dengan hanya tahu mengharap dan memerih keringat kononnya bekerja keras untuk mencari rezeki. Masa yang sia-sia dengan hanya melakukan aktiviti keduniaan itu pasti suatu hari akan dipersoalkan kembali.  Di manakah diletakkan masa untuk melaksanakan ibadah kepada-Nya? Di manakah dilaksanakan peranan ketika pelbagai kewajipan terpampang di depan mata?

Yang diketahui, hanya berkerja, bekerja, dan bekerja tidak tentu masa dan ketika. Sehingga berani meninggalkan segala jenis perintah utama Dia menjadikan manusia, dan menjauhi segala jenis larangan-Nya.

Oleh itu, dalam memahami erti mencari rezeki dalam hidup ini, beberapa perkara perlu diketahui.

Pertama, jangan dinilai rezeki yang diterima dengan rezeki yang diperoleh orang lain. Ia adalah mungkar kerana setiap manusia ada ketetapan rezekinya yang tersendiri.  Sekiranya lebih senang melihat apa yang orang lain peroleh, kelak tidak tahu makna hendak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang telah dimilki dan diperoleh.  Lebih malang, hanya wujud tidak kepuasan hati dan hanya mengerti perkataan, “rugi, rugi…”

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyatakan, “sesungguhnyajika kamu bersyukur, nescaya akan Aku menambah (nikmat) kepadamu. Tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amatlah pedih.”    (Ibrahim:7)

Kedua, jangan melihat kepada nafsu, sekiranya tidak, hati pasti akan mati. Antara musuh kepada hati (rohani) ialah nafsu. Sekiranya tuntutan nafsu sentiasa ingin dipenuhi, sedikit demi sedikit hati itu akan pergi. Ketika itu, anda mula memandang mengejar kemewahan wang dan harta benda sebagai tujuan untuk seumur hidup anda

Ketiga, bersederhana dan sentiasa merasa cukup apa yang ada. Jangan menyimpan tamak dan haloba hendak akan harta dan segala kesenangan yang nafsu suka. Kelak, anda akan hilang rasa ingin memberi tidak kira sedekah, zakat, atau menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Yang lebih mendukacita, akan mula wujud berkeyakinan usaha anda yang menentukan berapakah nilai pada rezeki anda.

“Ini semua aku yang punya. Selama ini aku yang penat berusaha. Tentulah ini hasil yang aku terima!”

Hati-hati. Apabila telah sampai ke tahap ini keyakinan pada diri manusia, solat, ibadah, dan tuntutan agama yang lain akan semakin dilalaikan dan ditinggalkan.

Lebih parah, sedar atau tidak,mereka telah menyekutukan  Allah yang Maha Esa. Apabila hati rohani mati, anda merasakan tiada gunanya anda perlu sujud kepada Allah lagi.

Nauzubillahiminzalik…

Sekiranya telah sampai ke tahap ini ingin mencari rezeki semata-mata  kesenangan duniawi, maka renungilah kata-kata ini,

“Aku tak pernah berusaha untuk mati, tetapi kenapa pula ia mendatangi?”

KESIMPULAN

Setiap manusia ada ketetapan rezekinya sebagaimana setiap yang hidup pasti akan mati. Hanya sebagai amalan dan kelebihan akal yang Allah telah ciptakan, berusahalah mencari rezeki yang dikurniakan oleh-Nya. Kemudian bertawakallah, kerana Dia (bukan anda) yang akan memberikannya kepada anda.

Berwaspadalah sentiasa terhadap usaha dan masa yang dicurahkan. Bersyukurlah sentiasa dengan nikmat yang diperoleh dan dikurniakan. Jangan hanya tahu diturutkan nafsu, jika tidak hati akan mati dan anda akan menjadi zombie.

Jadi, kenapa terlalu dirisaukan dengan rezeki anda?

(Lebih baik risau dan SENTIASA RISAU  dengan apa yang akan dibawa apabila bertemu dengan Dia.)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: