Persiapan Menghadapi Kemungkinan.

Ruang masa kadang-kadang penuh teka – teki dan persoalan. Persoalan ini kadang-kadang tiada jawapan. Yang pasti, esok ada VIVA yang perlu diselesaikan.

******************

Siapakah yang suka akan suasana peperangan?

Siapakah yang gemar dengan kesempitan dalam kehidupan?

Siapa yang suka akan kejadian kerosakan alam?

Siapa yang suka akan kejahatan?

Siapa yang suka akan kematian?

Jawapannya: (bagi orang yang berakal dan rasional menilai kehidupan.) Tiada yang sesiapa yang menyukainya.

Jadi, mengapa pula sering menilai kehidupan selepas kematian?

Mengapa pula sering disampaikan kisah kesempitan dan kemusnahan alam?

Mengapa pula sering mengingatkan peristiwa kemusnahan sehingga kejadian kiamat?

Sementara menuju hakiki

Dalam menilai setiap apa yang berlaku di dunia ini, manusia sering kali ingin menongkah ke langit yang tinggi. Azamnya penuh kekuatan. Citanya setinggi gunung di atas dataran. Keteguhan utuh dalam beku. Impiannya jitu melawan apa jua rintangan yang mendatang.

Bak kata, manusia sering rencana untuk masa hadapan. Bermain dalam fikiran, apakah yang akan dilakukan esok hari? Bagaimana persiapan menyambut ulang tahun kelahiran seminggu nanti? Bagaimana pula apabila telah berkeluarga nanti?

Kereta besar mana….

Gaji berapa ribu….

Rumah, anak dan isteri…

Semua perancangan ini adalah antara perkara mudah yang dialami oleh semua manusia. Tiada siapa yang terkecuali selagi dia mempunyai akal untuk berfikir. Sekiranya tidak berlaku kini, suatu hari nanti pasti akan terbitnya fikiran membentangkan perkara ini.

Namun, sebalik keazaman dan cita yang ditatap dalam jiwa manusia, sekian kalinya di akhir zaman ini ramainya manusia lebih menilai dan melihat  azam untuk rencana kehidupan, bukan selepas kematian.

Kebenarannya, kehidupan yang hakiki adalah setelah kematian kunjung tiba. Ketika itu, segala amalan yang dilaksanakan di dunia akan dibentangkan. Segala kelakuan, perbuatan, dan percakapan semuanya tertera di depan mata dan semua orang yang memerhatikan amalannya.

Tiada lagi terselindung. Tiada lagi tipu daya untuk menyalahkan Allah s.w.t.

Sekiranya amal keburukan yang banyak dilakukan, pelbagai kedahsyatan azab Allah yang telah dijanjikan pasti akan diterima oleh tuan punya badan. Sekiranya amal kebaikan dan kebajikan yang banyak dilakukan, dengan izin-Nya, pelbagai nikmat yang tertangguh dan dijanjikan akan tertera di depan mata, disediakan kehidupan yang penuh barakah dan rahmat di syurga sana.

Tiada lagi keluh kesah dan dukacita buat ahli Jannah

Merana dan meratap penuh seksa buat ahli Narr.

Kehidupan yang sementara

“Ahmad, sudah-sudahlah kamu enjoy dengan awek kamu. Bukan boleh bawak ke mana pun. Setakat di universiti saja. Esok lusa sah-sah putus, nak juga cari lain.”

“Ramlah, sampai bila kamu nak ikut nafsu ni. Orang lain dah ikut jalan lurus, kamu saja lagi yang masih terpesong. Aku hanya mampu nasihatkan kamu saja. Kamu sendiri yang tentukan mana baik buruknya nanti.”

“Jais, buat apa kamu agungkan sangat dengan kemewahan harta kamu tu? Bukan boleh selamat dan ikut masuk kubur pun.”

Hakikatnya, manusia menilai dengan apa yang dia nampak. Harta, wanita, pangkat, dan segalanya ada nilai apabila manusia sedar akan kewujudannya. Sekiranya terlalu tipis untuk dicapai, itulah yang paling berharga. Sekiranya sudah terlalu banyak, perkara itu menjadi tiada nilai pula dipandang mata..

Kesementaraan kehidupan dunia hanya bermakna apabila wujudnya nafsu dan keinginan pada masa hadapan. Jika ingin memiliki rumah, mesti yang mewah. Jika inginkan kerjaya, perlu yang mantap dan bergaji tinggi. Jika ingin memiliki teman hidup, mesti yang cantik manis, atau segak bergaya.

Kerasionalan ini menandaikan manusia untuk terus berusaha untuk mencapai apa yang dikehendakinya. Namun, ramai pula yang hanyut dengan godaan nafsu sehingga sanggup mengadai nilai terbesar hidupnyasebagai hamba Allah, bukan hamba dunia. Sememangnya nafsu dan keinginan hanya bermaharajalela pada kehendak kehendak keduniaan.

Maka, tuntutan nafsu dan keinginan yang berlebihan merosakkan nilai yang mulia di sisi Allah s.w.t. Keinginan nafsu amarah yang berputar 180 darjah dari paksi sebenar kehendak Allah taala,  menjadikan manusia itu semakin lalai dan leka. Hanyutnya manusia dengan kesenangan dalam kelalaian membuatkan manusia lupa akan peristiwa yang sukar sehingga menuju kematian.

Percayalah, semua  perkara yang indah pada nafsu suatu hari akan pergi. Berebut dengan orang lain demi kepentingan duniawi hanya meletakkan permusuhan yang pasti adalah rugi. Mengharapkan pada makhluk, suatu hari tetap akan meninggalkan diri sendiri.

Persiapan Menuju Kemusnahan.

Setiap yang diciptakan pasti ada titik noktahnya. Setiap yang hidup pasti akan meninggalkan kehidupan dunianya. Setiap mengejar wajah-wajah dunia pasti akan rugi apabila menghadap Allah s.w.t.

Kemusnahanm yang terjadi adalah jarum peringatan daripada Tuhan. Peringatan yang terlalu berkesan untuk manusia menilai setiap apa yang dilakukan. Ia mengajar manusia agar takut dan bersedia menghadapi segala kemungkinan yang serba serbi tiada keseronokannya, tetapi tetap akan tiba keadaannya suatu hari nanti.

Namun, kemusnahan bukanlah harapan yang membawa kepada perasaan dukacita sehingga putus asa merancang kehidupan. Sebaliknya, ia adalah peringatan yang ampuh dan berkesan agar manusia menilai sesuatu berdasarkan pada tapak kaki sendiri.

Tiada yang terlebih sehingga merosakkan kebajikan dan peribadatan. Tiada yang terkurang sehingga menjadi kesukaran meneruskan kehidupan.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, “merancanglah kamu seperti kamu akan hidup 100 tahun lagi. Tetapi, beribadahlah kepada Tuhanmu seperti kamu akan mati keesokan hari.”

Kerana itulah terselit kebenaran dari sabdaan Nabi s.a.w; orang yang paling cerdik ialah orang yang mengingati mati. Mereka yang sentiasa mengingati mati adalah orang yang menilai amalana dan kebenaran pada kehidupan yang hakiki. Mereka tidak leka dan alpa dalam setiap amalannya dan godaan di dunia.  Tabah dan sabar menghadapi setiap ujian yang diterima. Redha dan tawakal akan setiap musibah dan menimpa.

Segala perintah Allah dilaksanakan sebaiknya mengikut kemampuan yang dia ada. Segala larangannya dijauhi dan ditegah dari mendekati diri.

Dari Abdullah r.a meriwayatkan ketika baginda Rasulullah s.a.w membuat garisan berbentuk segi empat. Kemudian baginda melukiskan satu garisan sehingga keluar dari rajah empat segi tersebut. Baginda juga melukiskan garisan-garisan kecil di dalam rajah di antara garisan tengah.

Kemudian baginda bersabda: garisan tengah ini ialah manusia, dan garisan empat segi ialah ajal mautnya yang mana manusia tidak boleh lari darinya. Garisan yang terkeluar ini ialah angan-angannya yang lebih panjang dari kehidupannya. Garis kecil di dalam rajah ialah kejadian dan ranjau-ranjau kehidupannya. Jika dia terlepas dari satu kejadian, kejadian lain pula memerangkapnya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: