Kembara Mencari dan Mengenali Tuhan.

Hari demi hari telah berlalu. Kini setelah 4 tahun menuntut ilmu sebagai sarjana muda di sebuah universiti akhirnya berakhir jua.

Langkauan masa yang penuh dengan kisah dan cerita sentiasa akan dikenangi dalam diri ini. Suka duka, pahit manis, ceria dan gembira, sedih dan kecewa, semuanya wujud sepanjang daku berada dan menuntut ilmu pengetahuan ketika ini.

Itulah dinamakan kehidupan. Ia tidak pernah bersifat statik dan sentiasa pegun dalam kedudukan. Kehidupan ibarat roda. Ada kalanya berada di atas, ada  kalanya berada di bawah.

Daku akui, sememangnya telah banyak daku pelajari di sini. Bukan sahaja pada pelajaran dan ilmu pengetahuan, tetapi jua akan hikmah dan mengenali diri sebagai hamba Tuhan.

Sebegitupun rencana yang telah tercoret dalam kalam-Nya, akan kuteruskan jua perjuangan ini. Kerana para diriku, perjuangan menaikkan kalimah ilmu dalam martabat Allah terlalu besar pengorbanannya.

Daku berdoa moga perjuangan ini lahir dari rahmat dan keberkatan-Mu, ya Allah. Di kala manusia mengejar ilmu semata-mata untuk urusan keduniaan dan inginkan nilai harta dan gelaran.

Kepada-Mu aku berlindung.

Kepada-Mu aku memohon pertolongan.

………………………………..

KISAH IBRAHIM, ISMAIL, DAN HAJAR.

“Adakah ini perintah dari Tuhanmu?”

Tiada jawapan. Sepi.

Desiran angin sahara perlahan-perlahan menghampiri dan meniup.

Kedengaran butir-butir pasir bergerak searus gerakan angin padang pasir.

Lidah Nabi Ibrahim a.s. terkelu. Tiada lintasan suara yang kedengaran dari mulutnya. Anggota tubuh Ibrahim terasa serba lemah dan longlai. Sukar sekali ingin diluahkan kebenaran.

“Ya, wahai isteriku. Ini perintah dari Tuhanku.”

Hajar menatap kasih wajah anaknya, Ismail a.s. Wajahnya yang bersih, damai dan tenang mententeramkan jiwanya. Ismail masih lagi kecil, tidak dapat mengenali apa yang berada dan berlaku di sekelilingnya.

Perlahan-lahan Hajar mengenggam erat tangan kekasih hatinya. Sejuk dan lembut. Dicium tangan dan wajah si anak dengan penuh kasih sayang. Debu-debu yang berterbangan dielus lembut dan ditepis dari menghampiri Ismail a.s. Sekian baru dilahirkan, telah menerima sebegini berat ujian oleh Tuhan.

Menitis jatuh air mata Hajar. Setitis demi setitis menitip di atas selendang yang menyelimuti Ismail a.s. Segera dikesatnya air mata itu dari wajahnya, dijatuhkan pandangan ke sekitar padang pasir yang luas dan tandus agar hilang pilu dan duka cita dari hati Hajar.

Matahari masih memancarkan sinarnya. Sesekali deruan angin sahara menghampiri Hajar, Ismail, dan Ibrahim a.s.

Pelukan Hajar buat anaknya Ismail a.s. semakin erat. Pelbagai persoalan mula timbul di fikirannya. Bagaimanakah keadaan mereka berdua di padang pasir yang serba tandus ini? Siapa yang akan memberikan perlindungan kepada mereka? Di manakah punca rezeki dan segalanya untuk diri dan anaknya meneruskan kelangsungan kehidupan?

Sunyi.

Tiada ungkapan.

Hanya deruan angin sahara lagi yang kedengaran.

“Sekiranya inilah ketetapan dari Tuhanmu, aku redha.”

Lemah Hajar melafazkan kalam itu. Luluh hatinya. Betapa berat ujian-Mu Tuhan! Betapa sukarnya dirinya merasai ketetapan Tuhan buat dirinya dan anaknya yang masih bayi dan tidak pernah mengenali kehidupan di sekelilingnya.

Menitis air mata Ibrahim a.s. membasahi janggutnya. Hatinya begitu berat dan dukacita menerima kenyataan ini. Masakan tidak! Anaknya, Ismail a.s. baru sahaja dilahirkan. Belum sempat lagi dibelai kasih mesra dan mendengar patah suara dari lidah anaknya, Allah telah melaksanakan ketetapan-Nya.

Malah, itulah anak pertama Ibrahim a.s. Tidak mungkin seorang lelaki yang pertama kali digelar ayah sanggup meninggalkan anak yang baru ditatap wajah, sanggup ditinggalkan tidak semena-mena di tengah kawasan yang jauh dari pandangan manusia.

Isteri pertama, Sarah pula semakin mendesak. Cemburu seorang isteri tidak dapat dielakkan. Diminta Ibrahim agar menjauhkan Hajar dari dirinya kerana melihat kelebihan seorang isteri melahirkan zuriat buat si suami. Dia sedar dirinya telah semakin renta, tiada kemungkinan bagi dirinya agar boleh melahirkan zuriat lagi bagi keluarga. Namun, sebagai isteri kepada seorang lelaki, cemburu tetap tidak dapat dielakkan walau isteri seorang Nabi Allah.

Wahyu diturunkan. Ibrahim perlu berkorban antara kasih sayang dengan ketetapan Allah s.w.t.

Terbayang ketabahan dan kesabaran di wajah isterinya tercinta, Hajar. Tertanam rasa kagum akan kekuatan redha dan taat seorang hamba menerima ketentuan Tuhannya. Hajar tidak mengeluh akan ketentuan yang berlaku pada dirinya. Dia tidak meratap dan beremosi menentang ketetapan yang sememangnya begitu menyesakkan jiwanya.

Sungguh, demi Allah yang menciptakan setiap kejadian, Ibrahim dan Hajar pasrah dengan ketetapan yang Maha Agung. Tentu ada hikmah. Tentu ada pengajaran dari yang Maha Esa. Mereka redha dan bertawakal hanya kepada Allah. Dikorbankan kepentingan jiwa dan raga demi Allah Azza wa Jalla.

Ibrahim as. berpaling sekeliling. Benar, tiada apa-apa sumber kehidupan buat kedua-dua orang kekasih hatinya. Sayu Ibrahim menerima ketentuan ini. Lantas, digagah tangan ke langit dan berdoa,

“Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian  keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman di dekat rumah Engkau (baitullah) yang dihormati; ya Tuhan (yang demmikian itu), agar mereka tetap melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

“ Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami nampakkan; dan tidak ada sesuatu apa pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di langit dan di bumi.”  (Ibrahim: 37-38)

Dengan langkah yang sukar dan payah, Ibrahim meneruskan perjalanan pulang dari Makkah kembali ke Mesir. Setiap langkahnya yang dilalui, tidak lupa sama sekali mendoakan buat kedua-dua ahli keluarganya agar sentiasa terpaut hati mentaati perintah Allah, dan melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

(Kisah ini sengaja ditambah atau ditokok tambah dengan pelbagai suasana namun tidak sesekali menjauhkan dari kebenaran peristiwa yang telah berlaku.)

___________________________

Daku berhentikan kisah buat Khalilullah, isteri serta anaknya, Ismail a.s. di sini. Ternyata rentetan setelah kisah ini menyatakan perjuangan Hajar meneruskan kelangsungan hidup di padang pasir tanpa bekalan yang mencukupi dan sebagainya bersama Ismail a.s. Pelbagai pengorbanan dilakukan sehingga sanggup berlari dari Bukit Safa ke Marwah, berlakunya kejadian luar biasa keluarnya air dari hentakan kaki Ismail a.s., sehingga penempatan kabilah badwi dari suku Jurhum telah tercatit luas dalam sejarah.

Hakikatnya, daku menulis kerana cuba mengambil ibrah perkara yang akan dilaksanakan sepanjang musim cuti ini- dengan pertolongan dan izin dari-Nya. Sungguh, memang berat daku ingin meluahkan di sini, namun inilah pengorbanan yang dilalui demi mencari, mentaati, beroleh ilmu dan pengalaman dari sebuah perjalanan serta pengembaraan.

Dan yang paling nyata, untuk meraih erti hakikat cinta dan rindu hanya milik Allah s.w.t.

Sukar dan sulit.

Perit dan pahit.

Sabar dan tabah.

LUAHAN HATI

Demi mencari sebuah erti redha dan cinta Allah yang sebenarnya, Dia telah membuka jalan dan laluan buatku. Allah s.w.t telah menyeru hamab-Nya ini untuk menyeru nama-Nya dalam suasana rohani dan secara berdisiplin diri. Jauh dari hiruk pikuk manusia. Jauh dari cerita cerita membanggakan makhluk-makhluk-Nya. Hilang dari resah penglihatan maksiat dan menghindari kemungkaran.

Ini adalah misi kembara. Kembara masa dan tenaga mengharapkan keredhaan-Nya. Perjalanan demi mengenali dan menghayati suasana manusia yang taat dan mengenali Allah s.w.t. Semua orang taat dan membesarkan Allah. Mengerjakan solat secara berjemaah, mengadakan majlis ilmu dan zikir. Hidup ibarat saudara, dan sentiasa ziarah menziarahi sesama saudara seagama.

Namun, bagi diriku, pengembaraan dan perjalanan ini adalah sebuah ekspedisi hamba mengenali Tuhannya. Betapa besarnya kehidupan dengan erti bersama Allah, betapa bahagianya kehidupan demi mencari redha Allah. Maka, masa yang masih ada daku digunakan sebaik-baiknya untuk keinginanku selama ini selain menyeru manusia kembali mengEsakan Allah yang Maha Esa, menjadikan sunnah baginda sebagai sebahagian dari cara kehidupan.

Malah, ketika pengembaraan ini, daku tidak dapat lagi untuk terus aktif mencatit dan membaitkan penulisan di sini. Perjalanan ini pasti memerlukan pergorbanan akan penglibatanku seharian yang senang menulis di sini. Namun, daku tetap menyebarkan pandangan dan kisah buat laman ini walau tidak dapat sekerap dahulu lagi.

Coretan hanyalah reaksi pandangan dan sebagainya, yang kelak terhasil dari nukilan di atas sekeping kertas dan input yang pernah diperoleh sebelum melakukan pengembaraan. Seterusnya diletakkan di laman ini seupaya yang ada apabila berkesempatan. (Jika ada….)

Oleh yang demikian, daku korbankan jiwa yang menyampaikan kepada diri sama ada di laman ini mahupun website sana, sebagai mujahadah mengharapkan redha Allah ketika perjalananku dan buat kemudian hari.

PESANAN HATI

                Pertama

Daku mula menyedari Allah telah menetapkan suatu keadaan yang perlu daku tempuhi berbeza berbanding manusia yang lain. Jalannya penuh mujahadah, menjauhi segala macam kebiasaan menjadi kerenah dan sukar untuk menjadi kisah.

Nyatanya, hakikat jiwa dan jasad itu adalah ilham dari-Nya. Hayati dan fahamilah ia secara hati rohani dan cahaya Ilahi yang dikurniakan. Terselit keinginan dan harapanku pada kehidupan dan menjauhi kerosakan. Peganglah kalimah dan kebenaran yang telah kusampaikan, semoga segalanya berada pada keredhaan Allah s.w.t.

Kedua

Daku tidak berani kata ya atau tidak. Mungkin diri lebih mengetahui.

Perkara itu adalah hati. Hati rohani yang wujud dalam diri. Ia mungkin terlalu kecil dan nilainya hanya sekelumit, tetapi benar-benar kukuh dan solid berpadu buat taat, takut dan harap kepada Allah. Hati itu yang sentiasa meletakkan segala harapan, pujian, membesarkan, dan mendoakan, yang sentiasa didengari dan dilihat oleh Dia yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui isi hati hamba-hamba-Nya.

Sekiranya disedari, peliharalah ia. Ia terlalu bernilai hatta diletakkan seluruh harga dunia serta seisinya.Ia tidak lagi senang ditemui ketika ini. Semakin sangat jarang dan janggal dilihat di akhir zaman ini.

Kenapa dikhabarkan? Wallua’lam. Tetapi, apa yang pasti padaku ia sungguh bernilai dan ia punca penghubung kepada Allah s.w.t.

Walaupun mungkin kewujudannya hanya sebesar zarah,  genggamlah ia dengan seutuhnya. Jangan dijinakkan dengan harga murah dunia, disongsangkan oleh keinginan, kepuasan, mahupun pujuk rayu nafsu dan manusia.

Ketiga

Ujian kepada orang yang teguh iman dan soleh dalam amalan antara ujian yang paling berat pernah Allah s.w.t timpakan kepada manusia. Namun, seberat manapun ujian khusus dari-Nya, tidak melangkau sama sekali keupayaan dan kekuatan yang hamba-Nya ada.

Percayalah, ujian dari-Nya yang amat sulit adalah ujian kesenangan. Dia akan membuka pintu ujian kesenangan dengan membuat pelbagai pilihan.

Sekiranya ujian kesenangan yang menimpa, serulah hati rohani mengharap dan takut kepada Ilahi.

Kemudian, kuncilah hati itu benar-benar kepada Allah. Kuncilah ia dengan nama-nama Allah. Harapkanlah pertolongan dan bantuan yang Maha Memberi Pertolongan.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”   (al-Anbiya’:35)

Keempat

BELAJARLAH DARI HATI. Ilmu boleh disimpan, dihafal, dan diketahui melalui bahan ilmiah dan tersemat dalam kepala. Tetapi, pelajaran yang diterima daripada hati adalah tarbiyah dan bimbingan khusus dari Allah s.w.t. Ia hadir dan jalan penghubung kepada kehidupan abadi milik Allah s.w.t.

Hinakanlah sifat-sifat yang tercela yang wujud dalam diri manusia. Ketahuilah, sekiranya sentiasa berbangga dengan keadaan suka menghina dan mencela, bukan itu yang mengajar manusia untuk tunduk patuh kepada Allah Azza wa Jalla. Sekiranya ada hati yang wujud ego tidak bertempat dan sombong, ketahuilah tiada manusia yang akan terlepas dari seksaan-Nya yang maha azab dan pedih di akhirat kelak.

Sekiranya teguh dan petunjuk Allah, putarkanlah hati dari melihat keagungan dan keunggulan dunia. Biar sahaja cantik di depan mata, tetapi tiada langsung sekelumit wajah dalam jiwa.

Benarkanlah hati rohani untuk berkata-kata. Jangan diseru nafsu dan emosi yang membawa kecelakaan sahaja. Kerana hati rohani tidak akan dekat dengan jiwa yang gersang untuk kecelakaan nafsu dan kebanggan buat manusia .Ungkaplah kalimah sabar dan tabah yang sebenar-benarnya. Hadirkan hati rasa takut walau untuk melakukan satu dosa yang rata-rata manusia pandang kecil untuk melakukannya.

HARAPAN HATI

Taatlah kepada Allah

Takutlah kepada Allah

Haraplah kepada Allah

Cari hakikat cinta dan rindu hanya milik Allah s.w.t.

Doakan hamba-Nya ini. Sungguh, daku percaya ada doa yang disampaikan, dan memberikan kekuatan untukku mengharungi kehidupan.

Bimbinglah anak-anak dan keluarga selayaknya. Utamakanlah bimbingan kalimah dan kebesaran Allah . Ajarkanlah kalimah tauhid yang menjadi pelindung sekalian orang yang mencari erti keimanan di kala dunia serba songsang di akhir zaman. Pimpinlah tangan mereka mengerti erti kehidupan dan manusia. Sementara jiwa masih bersih dari contengan arang dunia, bentuklah diri mereka atas kalimah iman dan takwa, walau di mana, dan apa jua keadaannya.

Semoga ia menjadi pelindung dan pembimbing ketika membesar kelak, dan dijauhkan dari nista serta fitnah musuh nyata atau tidak.

Banyakkan membaca al-Qur’an, memahami dan menjiwainya

Berzikirlah. Semoga mencapai ketenangan ketika dalam kesulitan.

Sampaikanlah peringatan. Sungguh, ia amat berguna buat orang yang beriman.

Semoga semuanya sentiasa dirahmati, dipelihara dan dikasihi Allah.

Jangan mudah berputus asa.

Jangan bersedih hati.

Tabahkan jiwa.

Bersabarlah.

TIDAK AKAN BERLAKU SESUATU TANPA DIKETAHUI ALLAH. TIDAK AKAN MENIMPA KECELAKAAN JIKA SENTIASA JIWA DAN JASAD DILINDUNGI ALLAH.

“Ya Allah, peliharalah dan lindungilah mereka.Kurniakanlah kekuatan menjauhi dan melindungi diri dari fitnah, celaan, dan godaan duniawi-Mu. Kukuhkanlah iman, kurniakanlah ketaatan dalam melaksanakan solat, dan jadikanlah mereka anak yang mentaati perintah ibu bapa. Janganlah Engkau memesongkan hati yang sentiasa terpaut pada-Mu, ya Allah.”

Maaf zahir dan batin.

Assalamualaikum w.b.t

-sudah mencuba apa yang terbaik. Tetapi, itu sahaja rezeki termampu, di samping tak berapa nak bijak akan bidang itu.

-tidak tahu bagaimana ingin bersuara. Akan cuba walau serba kekangan yang ada.InsyaAllah

Advertisements

One response

  1. istiqamah lah wahai sahabat…..itulah tali menuju matlamat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: