Bukti Kecintaan kepada Allah (2)

(sambungan dari artikel yang lalu)

KECINTAAN MANUSIA VS KECINTAAN ALLAH

Hakikatnya, kecintaan manusia bersifat lemah dan sementara. Lemah kerana memerlukan manusia lain untuk menyatakan cinta. Sementara kerana nafsu yang wujud dalam diri yang menyatakan keinginan kepadanya.

Tetapi, cinta Allah adalah keajaiban dan penuh ketakjuban. Cinta Allah bukan memerlukan pancaindera normal manusia untuk menilai hadirnya cinta. Cinta Allah itu Maha Luas dan tiada langusng sempadan baginya.

Mencintai tanpa mengetahui siapa zat yang dicintai. Namun, wujud bukti Dia yang dicintai. Keagungan-Nya terserlah. Kebesaran ternyata wujud di depan mata.

Langit terbentang luas.

Angin yang bertiup dari daratan ke lautan.

Gunung ganang yang tersergam gagah.

Matahari yang terik memancarkan sinar.

Hujan yang menyirami seluruh pelusuk alam.

Jelas. Ada pencipta yang menciptakan segala yang berlaku di dunia ini. Ia bukan berlaku dengan sendiri. Ia tidak timbul dan tenggelam dengan sendiri.

Sekiranya dinyatakan berlaku dengan sendiri, mengapa hujan tidak menimpa bumi pada ramalan atau menimpa sebelum dalam ramalannya? Mengapa awan boleh bergerak dan angin boleh bertiup dalam keadaan tiada makhluk yang dilihat untuk mengerakkannya? Bagaimana matahari tetap memancarkan sinar tepat pada waktunya, dan bulan terbit apabila malam tiba? Bagaimana jika bulan dan matahari tidak muncul-muncul, atau kedua-duanya muncul serentak?

Itulah kuasa yang Maha Kuasa. Pasrit ada sesuatu yang menggerakkan dan melaksanakan ketetapan buat semesta alam. Kuasa yang tiada tandingan. Kuasa yang Maha Menciptakan.

Hatta diri ini sekalipun. Membayangkan, siapa yang membentuk diri ini ketika masih dalam kandungan? Siapa pula memelihara dan melindungi diri ini ketika dalam keadaan lemah dan tiada kekuatan, hanya wujud dalam sebesar tapak tangan?

Itulah Allah Azza wa Jalla. Keagungan dan kebesaran ternyata telah ditonjolkan sendiri oleh-Nya yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.

Tiada tolok bandingnya. Tiada makhluk yang mampu menandingi kekuasaan-Nya.

Dengan keizinan-Nya, cinta Allah adalah manifestasi cinta yang kekal dan tersirat 1001 kemuliaan cinta dan kerinduan. Penuh keasyikan. Indah menjadi kenangan dan sebutan.

CINTA HAMBA KEPADA TUHANNYA.

Apabila telah dikenali akan betapa besarnya penciptanya selama ini, akan hadir nilai cinta dan keagungan kepada penciptanya.

Baru disedari, ibu dan bapa yang melahirkannya, bukanlah yang  menciptanya. Mereka adalah asbab semata-mata untuk menyempurnakan kejadiannya. Dia tetap akan lahir walau tiada mereka berdua. Bayi tetap akan wujud sekiranya itulah ketetapan-Nya.

Hanya kesedaran dan iman yang menyatakan keagungan dan kebesaran kepada sang Pencipta. Setelah segala rasa agung dan takjubnya akan kekuasaan ada kekuatan Allah Azza wa Jalla, maka terbitlah rasa takjub dan kerdilnya diri yang telah diciptakan oleh-Nya. Timbul pula rasa kagum dan hina akan diri yang serba daif dan penuh kelemahan. Akhirnya, timbul erti ketaatan dan tidak belah bahagi kepada Dia, Tuhan yang Maha Esa.

Rahsianya, dalam ketaatan itu mula lahir kalimah cinta. Semakin mentaati dan melaksanakan peribadatan, semakin tinggi rasa bahagia dan cinta bersama Allah! Semakin merasai betapa bersyukurnya dapat sentiasa beribadah, semakin rapat dan taat untuk menyembah Allah! Semakin tinggi rasa rindu dan cinta untuk bertemu dengan Allah!

Sungguh ganjil sekali! Semakin rapat dan mengenali, semakin rasa mencintai. Semakin mentaati dan mentaabudi, semakin  rasa rindu dan asyik untuk melakukannya lagi.

Tiada erti lelah dan lemah. Tiada penghujung dan batasan untuk mencintai-Nya!

Mengapakah begini? Jauh sekali dari cinta Allah dari sifat nafsu. Bukankah nafsu akan semakin berkehendak apabila berjauhan, tetapi lunyai dan sepi apabila telah lama dalam genggaman? Nafsu hanya indah apabila dijadikan tatapan, setelah dimiliki, tiada lagi pedoman dan kepingin kepadanya.

Ahh….Benarlah. Cinta Allah  adalah cinta yang begitu murni dan sejati. Nilainya bukan bandingan dunia yang hina dan manusia yang sementara. Cinta Allah adalah tersendiri dan penuh rahsia.

Sulit untuk diceritakan sekiranya tidak  pernah mengalami.

Taat dan tawajuh dalam ketaatan pada beribadah baru akan sendiri menyedari.

BUKTI KECINTAAN

Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah:

“Barangsiapa yang mengenal Allah, pasti dia akan dapat menyaksikan-Nya di dalam segala sesuatu. Dan barangsiapa yang fana’ dengan-Nya, nescaya ghaiblah ia daripada segala sesuatu. Dan barangsiapa yang cinta kepada Allah, maka tidak akan memberi bekas sesuatu itu ke atasnya.”

Seseorang yang telah mengaku cinta kepada Allah, maka hendaklah dia membuktikan cinta tersebut dengan menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Jua, mengatakan apa sahaja yang wujud di alam semesta ini wujud sebagai manifestasi dan bukti bahawa Allah sebagai pencipta-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil beridir atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lantas mereka berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksaan api neraka.”

Sebagai renungan, perhatikanlah tamsilan ini:

Ada seekor ayam, dan ada sebiji telur. Seorang lelaki yang menemui telur dan ayam itu berfikir, sudah pasti ramai orang tidak akan setuju sekiranya mengatakan telur wujud terlebih dahulu sebelum ayam. Kerana, jika  telur yang lahir terlebih dahulu, siapakah yang mengeluarkannya jika tidak dari seekor ayam? Namun, ramai juga yang tentu tidak setuju sekiranya dikatakan bahawa ayam yang wujud terlebih dahulu kemudian baru telurnya. Kerana, jika ayam itu dahulu, dari manakah dia keluar jika tidak daripada telurnya?

Pasti ada yang mewujudkan telur tanpa kelahiran ayam, atau ayam tanpa menetas daripada telur. Itulah bukti kewujudan pencipta, Allah s.w.t. Dia menciptakan dengan hanya dengan kalimah “kun”, terciptalah makhluk itu.

Ini hanya tamsilah kecil yang wujud antara spesis ayam dan telurnya. Bagaimana pula dengan penciptaan alam semesta, yang nyata lebih luas dan besar, dan manusia hidup di dalamnya?

Pengaturannya begitu sistematik dan strategik. Matahari dan bulan terbit dan muncul tepat pada ketikanyaa. Bumi berputar tanpa ada yang menggerakkan pada paksinya. Bintang, galaksi dan planet-planet yang lain wujud tanpa manusia yang serba kerdil mampu melihat dan meneliti satu persatu bukti kebesaran Allah s.w.t.

“Sesungguhny penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”   (surah al-Mukmin:57)

Maka, sungguh aneh sekali jika ada antara manusia yang masih sanggup menyombongkan diri terhadap orang lain, apatah lagi menyombongkan diri terhadap Allah yang Maha  Khalik, sedangkan dia wujud hanyalah bagai sang kerdil.

“ Kegagahan dan kemuliaan adalah pakaian-Ku, keagungan dan kebesaran adalah selendang-Ku. Maka, barangsiapa yang menyamai Aku (pada pakaian dan selendang) walaupun sedikit, nescaya akan Aku seksa dia.”  (HR. Muslim dan at-Tabrani).

“Maka masuklah kamu ke dalam ke dalam pintu-pintu jahannam dan kekallah kamu di dalamnya. Itulah tempat yang paling buruk bagi orang yang menyombongkan diri.”   (surah an-Nahl: 29)

Maka, apabila seseorang yang mencintai Allah tidak akan pernah menyombongkan diri atau berbangga terhadap apa yang ada padanya.Bahkan segala sesuatu yang dimilikinya akan menambahkan lagi rasa syukur dan pengabdiaannya kepada Allah Taala.

“Sesungguhnya Aku bukan pengabul ucapan dan kata-kata ahli hikmah, tetapi Aku mengabulkan kehendak serta nafsu yang mendorong kepada perbuatan yang Aku cintai dan Aku redhai. Aku jadikan hikmah dan ketenangan jiwanya sebagai pujian kepada-Ku meskipun dia tidak mengucapkan sepatah kata apapun.”    (HR. Ibnu Najjar dari Muhajir bin Hubieb r.a.)

-selamat berpuasa semua. Puasa tidakmengajar erti letih dan malas, puasa mengajar erti kuat dan menahan nafs amarah.

-banyakkan ibadah dan taqarrub kepada Allah. Baca al-Qura’an, tarawikh, dan sebagainya. Sabar dan takwa sentiasa

– maaf sekiranya sebarang reaksi diri tiada tercacit di sini. Tiada kesempatan yang baik untuk menulis dan online untuk jangaka masa yang lama. (kalau ingin, daku balas melalui mata hati… boleh lihat tak?)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: