Kisah: Rumah,Pemuda, dan Tukang Kayu

Ini cerita dongeng. Dipetik dari sebuah buku cerita moral kanak-kanak sekolah rendah.

Mula-mula saja-saja membelek halaman muka surat buku itu. Lama-lama apabila melihat isi cerita, banyka pengajaran dan moral yang ingin ditonjolkan sebenarnya oleh penulis kepada pembaca.

Maka, isi cerita buku ini kembali dicetak dan diedit di laman ini. Semoga sama-sama mengambil pengajaran. InsyaAllah.

Dahulu, di sebuah kawasan perkampungan,ada sebuah rumah yang dibina oleh seorang tukang kayu. Rumah ini penuh dengan kesederhanaan, tetapi binaannya kukuh dan indah.

Pada suatu hari, tukang itu berkata kepada rumah. “Wahai rumah, tidak lama lagi ada seorang pemuda akan tinggal dalam dirimu. Maka, perhiasailah sekelilingmu dengan pelbagai pesona dan sebagainya.”

Maka, rumah itu pun bertungkus lumus mempersiapkan apa yang diminta oleh tukang kayu. Dia membersihkan sekirar halamannya. Dihiasi binaan dalamannya dengan pelbagai perhiasan dan sebagainya. Walaupun besar dan luasnya hanya sederhana, apabila dihiasi sedemian rupa, rumah tiu menjadi tiada tandingannya dengan binaan rumah yang lain.

Akhirnya, sampailah pemuda yang dimaksudkan. Orangnya biasa-biasa sahaja. Tidak nampak apa-apa yang istimewa. Tetapi, kali ini tukang kayu ternyata seperti ingin lebih perhatian kepada pemuda ini untuk menginap dalam dirinya berbanding orang yang lain.

Tanpa ingin menimbulkan rasa sangsi dan syak wasangka, rumah itu menerima si pemuda seadanya. Diberikan segala persiapan dan makanan  yang ada dalam dirinya untuk diberikan kepda pemuda. Dihiburkan pemuda dengan kepelbagaian bunyi-bunyian dan suara yang ada dalam dirinya. Setiap hari dibersihkan sekeliling kawasan sekitarnya, ada pemuda itu senang dan tenang ketika berada dalam rumah itu.

Namun, pemuda itu tiada langsung reaksi menunjukkan dia berminat dan berterima kasih untuk semua pengorbanan dan persediaan yang diberikan oleh rumah tersebut. Dia hanya tinggal dan diam dengan suasana yang agak lama apabila berada dalam rumah itu.

Banyak masa pemuda itu dihabiskan di luar kawasan rumah itu. Kdang-kadang berminggu-berminggu pemuda itu tidak menjenguk mahupun  pulang ke rumah itu. Suasana akan lebih meenjadi sepi sepanjang pemuda itu meninggalkan rumah tersebut.

Apabila keadaan sebegitu, kadang-kadang terdetik dalam hati rumah itu. “Mengapalah aku persiapkan semua kelengkapan dan perhiasan ini kepada pemuda itu. Dia tidak pernah menyahut atau memandang kepada semua yang telah aku sediakan. Aku kadang-kadang rasa sia-sia untuk menyediakan dan berkelakuan sebegini.”

Tukang kayu yang melihat keadaan begitu yang telah berlaku pada rumah tersebut, timbul rasa kasihan dan simpati akan nasib si rumah. Masakan tidak. Dia yang telah membuat dan membina segala pembinaan dan perangkaan pada rumah, maka dia lebih mengetahui segala kekurangan yang wujud pada rumah itu.

“Bersabarlah. Sungguh, aku lebih mengetahui apa yang telah berlaku pada dirimu. Dan, aku lebih mengetetahui bagaimana keadaan dan sifat pemuda yang menginap dalam diri kamu.”

Tukang kayu itu sentiasa datang menjenguk rumah. Kadnag-kadang dia datang dengan membawa pelbagai peralatan untuk menampal atau mengubah suai keadaan rumah. Rumah itu terhibur dengan sikap tukang kayu. Tukang kayu sentiasa datang dan bersama dengannya apabila dia bersendirian.

Suatu ketika. Pemuda itu pulang ke rumah tersebut. Betapa gembiranya hati rumah itu. Akhirnya pulang jua pemuda yang menginap di dalam dirinya. Dipersiapkan segala perhiasan dan haruman supaya pemuda itu terhibur dan senang untuk tingal di dalamnya. Walaupun selama ini dia sentiasa melakukan perkara yang sama, tetapi apabila melihat kepulangan pemuda tersebut, bertambah gembira dan suka citanya untuk menyambut kepulangannya.

Tetapi, kepulangan pemuda tersebut bukan seperti harapannya. Dia pulang dengan keadaan yang berlainan sama sekali. Wajahnya marah. Masam mencuka.

Sekali sekala, dicaci makinya apa sahaja yang keluar dari mulutnya. Lantang suaranya, sehingga rumah sebelah boleh mendengar suaranya. Tetapi pemuda itu tidak peduli. Terus sahaja disumpah seranah dan sebagainya semata- mata ingin memuaskan nafsu amarahnya.

Walaupun rumah itu cuba menghiburkan si pemuda, segala perbuatannya menjadi sia-sia. Bertambah belangnya lagi, habis barang dan perhiasan yang disediakan oleh rumah tersebut di koyak dan dibuangnya sama sekali. Berterabur dan bersepah dibuatnya oleh si pemuda pada rumah tersebut. Setelah beberapa berbuat onar dalam rumah yang didiaminya itu, pemuda itu keluar lagi.

Rumah itu berasa sangat sedih. Duka citanya di hatinya. Selama ini dia cuba menghiburkan dan memberikan segala yang baik buat pemuda, begini pula dibalas olehnya. Teresak-esak rumah itu menangisi akan nasib pada dirinya.

Ketika itu jua, tukang kayu itu tiba di rumah tersebut. Dia menyedari sesuatu yang tidak kena yang berlaku dala rumah yang telah dibina olehnya.

“Wahai rumah, mengapa aku lihat dirimu berduka cita?”

Rumah itu berdiam kata. Dia hanya memalingkan wajahnya.

“wahai rumah, aku tahu apa yang berlaku pada dirimu. Tentu ini angkara pemuda itu bukan?”

Rumah itu diam lagi. Dia hanya menundukkan pandangannya.

“Wahai rumah. Bersabarlah. Aku yang membina kamu. Aku lebih mengetahui siapa yang mendiami atau menjadi penghunimu.”

Kemudian, rumah itu bersuara,

“Wahai tukang kayu, mengapa engkau memberikan aku pemuda itu sebagai penghuniku? Mengapa tiada orang lain? Engkau boleh sahaja meletakkan penghuni yang lain dalam diriku. Engkau dahulu yang akan menilai siapa yang layak untuk mendiami dalam rumah ini.”

Tukang kayu itu hanya tersenyum. Dalam hatinya, dia tahu apa yang dirasakan oleh rumah binaannya tersebut.

Tukang kayu berkata, “wahai rumah,  dengarlah. Kamu itu masih baru lagi menjadi bahan binaanku. Ruang tamu, atap, dan halamanmu masih baru dan serba terjaga. Pokok dan tumbuhan renek yang hidup di sekeliling persekitaranmu jua masih segar bugar, dan rendah lagi. Semua yang wujud di sekelilingmu, sama ada dalam atau luarannya masih lagi mentah dan ternyata indah, berbanding binaan rumahku yang lain.”

“Kerana itu, bersabarlah. Pemuda itu mungkin datang membawa pelbagai rasa kesal dalam hati kamu. Tetapi, belajarlah dari kekurangan itu. Ia amat berguna untuk dirimu suatu ketika nanti. Malah, ia akan menampakkan kematangan dan keteguhan lagi pada rekaanku ini.”

“ Sungguh, aku melihat kesungguhanmu ketika awal pemuda itu menginap di rumah ini. Penuh keceriaan dan kecantikan. Kamu sangat menghargainya dan berbuat sesuatu yang amat baik apabila menerima kedatangannya. Aku suka melihat dan penerimaan yang engkau lakukan.”

“Malah, mengenai pemuda itu, aku lebih mengenalinya daripada diri kamu, walaupun dia menjadi penghunimu. Aku mengenali lelaki itu lebih lama, sejak sebelum aku menciptakan kamu lagi. Sifat dan keperibadiannya lebih aku fahami dan aku ketahui kerana aku mengenalinya sejak dia baru dilahirkan. Ayahnya  adalah sahabat baikku. Kami sering bersama. Ketika itu jua, pemuda itu sering dibawa bersama, tidak kira masa dan ketika.”

“Jadi, aku lebih mengetahui akan buruk dan baiknya dia sebagai penghuni dirimu. Aku tahu, dia jarang mendiami kamu, malah selalu tidak menjengukmu, walaupun kamu sentiasa membersihkan laman luar dan dalammu, agar kepulangan pemuda itu akan memberikan kebaikan kepadanya.”

“Dan, yang lebih penting, bukankah aku sentiasa menemani dan memperbaiki kekurangan yang wujud dalam ruang dalam dan luar kamu, wahai rumah? Bukankah kita menjadi semakin rapat sejak pemuda itu mendiami engkau? Bukankah keadaan ini lebih baik sebelum pemuda itu menghuni diri kamu?”

Terdiam rumah tersebut apabila mendengar luahan tukang kayu tersebut. Dia sendiri tidak mengetehui yang tukang kayu lebih mengenali pemuda itu dari dirinya. Dia ingat tukang kayu sengaja meletakkan siapa sahaja yang dia suka untuk menjadi penghuni dalam dirinya.

Malah, rumah itu tidak boleh menafikan sama sekali apa yang diperkatakan oleh tukang kayu. Benar, dia semakin rapat dan baik hubungannya dengan tukang kayu semenjak pemuda itu mendiami dirinya. Sering kali tukang kayu datang, membaik pulih mana yang rosak, menambah yang yang perlu dan menghibur hatinya dengan pelbagai suara kecikan burung dan hembusan angin hasil usaha tukang kayu itu kepada si rumah. Ternyata benar, ketika pemuda itu merosakkan atau menghilang diri, tukang rumah jua yang menjadi tempat dia bergurau senda dan berkongsi cerita.

“Oleh itu, janganlah sentiasa bersedih. Ceriakan dirimu.  Bukankah kamu tidak bersendirian? Aku sentiasa menemani dan memperbaik pulih mana-mana yang rosak pada diri kamu.”

“Bersabarlah akan kerenah dan kelakuan pemuda itu. Aku lebih mengenali siapa dirinya daripada kamu. Pelajarilah kisah kehidupan yang baru sepanjang kenalan kamu dengan pemuda itu. Aku pasti, bukan semua perkara duka yang wujud sepanjang kamu mengenali dan dia menhuni dirimu.”

Tenang rumah itu mendengar kata-kata si tukang kayu. Dia kembali ceria dan bersemangat untuk terus menghiasi halaman luar dan dalam dirinya seperti saranan oleh tukang kayu. Rumah mengetahui, walaupun pemuda itu tidak pernah menunjukkan keprihatinannya kepadanya, tentu dia ada rasa terhibur dan senang hati apabila dia mendiami dirinya. Dia sentiasa berharap pemuda itu akan menjadi lebih baik dan sentiasa gembira menjadi penghuninya suatu ketiak nanti.

Malah, yang lebih indah dan baik, hubungannya dengan tukang kayu semakin rapat dan akrab semenjak dia ditemukan dengan pemuda itu. Moga-moga hubungan mereka sentiasa berkekalan, tidak kira bagaimana keadaan dan suasana di masa hadapan.

-kisah ini membuatkan suatu kesan yang mendalam pada diriku. Ia mengajar daku mengenal siapa diri, dan siapa Tuhanku.

-Daku baitkan di sini moga-moga diri beroleh pengajaran dan memahami akan peranan kita sebagai hamba ALlah. 

-moga daku, diri, si kecil, dan yang lain sentiasa dalam kerahmatan dan pemeliharaan Allah sentiasa.

-Fi kulli hal, SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR BATIN. (sikit masa lagi di sini…Insya-ALlah)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: