Hidayah itu Milik Allah

Dalam menilai erti dan maksud rakan seperjuangan, sukar sebenarnya untuk dijelaskan. Hal ini kerana ramai orang yang bersedia memberikan kata, kerjasama dan sokongan apabila sesama sendiri berada dalam kesenangan. Tetapi, apabila ingin berkongsi rasa dan kesusahan, tidak ramai yang bersedia untuk mendengar dan duduk sekali berkongsi rasa sekaligus menyelesaikan masalah bersama.

Daku juga tidak menafikan, dalam kehidupanku sendiri rakan seperjuangan amatlah penting. Rata-ratanya daku akan bersemangat untuk berusaha apabila rakan seperjuangan bersama walaupun dalam bidang yang bukan sama. Tetapi, apabila telah berpisah dari satu tempat ke satu tempat, dari satu kawasan ke satu kawasan, suasana juga menjadi berbeza, dan orang yang ditemui juga berbeza. Perkara ini menyebabkan rakan yang ditemui juga tidak sama. Tidak semua boleh serasi bersama, walau berbincang pada topik yang sama.

Malah, apabila telah meninggalkan alam universiti, daku baru mula bergigih kaki atas usaha sendiri. Usaha untuk meneruskan pengajian, menghidupkan dan mengusahakan sesuatu tentang tanah di kampung halaman, di samping cuba berfikir dan berusaha untuk memperbaiki diri, ini semua perlu dilakukan. Kini, masih terawang-awang mencari rakan seperjuangan. Supaya dapat berbincang dan berusaha bersama.

Kerana itu, kadang-kadang rasa susah. Kadang-kadang rasa payah. Tetapi, insya-Allah, semoga Allah menguatkan semangatku untuk teruskan apa yang direncana pada ketika ini.

Yang penting, fikir, bersunggung-sungguh, dan laksanakan. Insya-Allah, Allah akan membuka jalan dan mengurniakan jalan dari yang perkara yang tidak disangka-sangkakan.

Semua orang mengharapkan petunjuk. Siapakah yang suka hidup tanpa dikurniakan petunjuk?

Tetapi, ternyata petunjuk itu milik Allah. Allah s.w.t sahaja yang mampu memberikan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah s.w.t menghendaki seseorang itu mendapat petunjuk-Nya, tiada sesiapa mampu menghalang walau dikumpulkan segala kekuatan dari langit dan bumi. Sebaliknya, jika Allah menghendaki seseorang itu disesatkan-Nya, maka tiada upaya sekalian makhluk walau semua berkumpul untuk membantunya dari berada dalam kesesatan yang nyata.

Namun, petunjuk atau hidayah itu tidak kekal selama-lamanya tanpa kehendak-Nya. Ia bagaikan suatu sinar. Sinar yang terang dan jelas menerangi jalan. Sinar itu akan menyinari penghuninya sehingga sampai waktunya. Jika tidak seseorang itu berusaha mempertahankan sinar tersebut, suatu ketika sinar itu pasti akan hilang dan orang tersebut tinggal dalam kegelapan.

Misalnya, matahari yang menyinari sekalian alam. Sinar matahari membantu meneruskan kelangsungan hidup seharian. Tetapi, apabila malam tiba, cahaya matahari akan pudar dan hilang dari pandangan. Ketika itu, semua kehidupan mula hilang arah tujuan dan dalam kegelapan. Maka, Allah menyinari kehidupan di waktu malam dengan cahaya bulan.

Begitu juga dalam cahaya dalam sebuah rumah. Rumah hanya akan terang apabila ada cahaya di dalamnya. Apabila telah tiba waktu malam, kegelapan akan muncul tiba. Maka, cahaya lampu membantu menyinari kehidupan seisi rumah tangga.

Justeru, setiap manusia perlu berusaha untuk membawa kehidupan mereka agar sentiasa disinari hidayah Allah s.w.t. Hidayah Allah akan bersinar terang apabila pertama kali seseorang itu menerimanya. Malangnya, sekiranya orang tersebut tidak berusaha mempertahankan sinar hidayah tersebut, maka tentu ia akan hilang begitu sahaja.

Pelbagai usaha untuk mempertahankan hidayah Allah dalam diri setiap insan. Antaranya doa munajat memohon kepada Allah s.w.t. Hal ini kerana kelangsungan hidayah diberikan tanpa pengantara, dan ianya wujud atas kehendak Allah semata-mata. Jika tidak kembali pengharapan orang tersebut kepada Allah, maka tidak sempurna usahanya mempertahankan hidayah yang telah diberikan.

Kemudian, banyakkanlah melakukan kebaikan dan menghindari dari melakukan kejahatan. Kebaikan yang dilakukan dari hati yang ikhlas akan membuahkan hasil yang indah dan kesempurnaan. Ikhlas kerana Allah s.w.t akan melahirkan sifat kasih sayang dan rendah hati akan usaha yang telah dilakukan. Selain itu, istiqamah turut perlu wujud dalam diri. Walau sedikit usaha, sekiranya berterusan adalah lebih baik dari pelbagai usaha tetapi tidak meneruskannya apabila tiba jangka masa yang lama.

Begitu juga menghindari kejahatan bukan sahaja melalui perbuatan, tetapi turut melalui hati orang yang melakukan. Kerana, semua perkara bermula dari hati. Apabila hati mula menyatakan niat, maka usaha untuk melakukan akan timbul oleh pelakunya. Hindarilah keinginan tersebut dengan istighfar, solat taubat sebanyak-banyaknya, dan membawa sentiasa taawwuz daripada bisikan Iblis dan syaitan.

Sampaikanlah dan berpesan-pesan kepada orang yang lain. Peringatan dan pesanan yang sentiasa dihulurkan oleh mulut sendiri akan menjadikan apa yang dikatakan itu berbuah dalam hati. Semakin banyak perkara yang sama dikatakan, semakin sebati dalam jasad apa yang diperkatakan. Peringatan  juga menguatkan ingatan tentang apa yang disampaikan. Dengan ini, sebarang perkara yang bukan selayaknya dilakukan yang menjauhkan diri dari hidayah Allah akan sentiasa berwaspada dari berhadapan dengannya.

Hidayah Allah ibarat kunci yang hadir daripada-Nya. Kunci kepada sebuah pintu kebaikan. Pintu tersebut hanya akan terbuka apabila orang tersebut berusaha untuk membukanya. Sekiranya tidak, maka pintu tersebut akan tertutup selama-lamanya -melainkan apa yang dikehendaki-Nya- walau kunci pernah berada di tangannya.

Janganlah mengharapkan sesuatu tanpa usaha. Berusahalah sebaik-baiknya, kemudian biar Allah yang menentukan perjalanannya.

-motivasi diri sendiri-

­-semoga sentiasa sihat dan dirahmati Allah s.w.t. Mulakan hari dengan memuji dan mensyukuri Allah kerana tiada kita di dunia ini untuk beramal jika tidak kerana kehendak-Nya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: