Tingginya Martabat Al-Qur’an.

Mengenali hakikat diri tidak sesempurna mana, daku cuba menghuraikan suatu persoalan agar sesiapa yang melihat mendapat kebaikan bersama.

Bunyi rentak bagai telah sempurna. Hakikatnya, pasti ada cacat cela dari arah mana-mana.

Sememangnya begitu. Kerana penciptaan manusia tiada yang serba sempurna, pasti ada kekurangannya. Kerana kekurangan tersebut, maka lahirlah sinar harapan. Harapan untuk menjadikan diri atau milikannya sempurna, dan beroleh kesempurnaan kehidupan.

Maka, ramailah orang mengharapkan pelbagai perkara. Kejayaan, kebahagian rumah tangga, kekuasaan dan harta benda, isteri, anak, dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, tentu sahaja dalam diri manusia ada beratus sehingga berjuta harapan yang terpendam dalam dirinya.

Malangnya, tidak semua harapan menjadi. Ada orang mengharapkan A, tetapi jadi pula B. Mengharapkan tumbuh padi, jadi pula lalang di sana-sini.

Kerana itu, apabila kita mengharapkan sesuatu untuk kehidupan ini (apa sahaja), jangan meletakkan sehingga tahap yang tertinggi. Cukup sekadar ada bunyi cita-cita, maka ada usaha ke arahnya. Jika tidak, pasti suatu hari kita akan kecewa dan berduka cita.

Nasihat orang-orang lama, jika harapan kita dimakbulkan dan menjadi lebih baik, maka bersyukurlah. Itu hadiah dari yang Maha Esa. Jika harapan itu bukan seperti berkehendak dan lebih buruk, maka bersabar dan redhalah. Ia ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Apa-apapun, untung atau rugi seseorang mukmin itu, ada sahaja pahala di sisi Allah s.w.t. Bukakah begitu Pemurah dan Penyayang-Nya Allah, tuhan kita?

*Soalan terakhir, hakikat harapan terletak di mana?*

Daku selalu membicarakan tentang al-Qur’an, kemuliaan kalamullah yang tiada bandingan.Hal ini kerana harga dan nilai al-Qur’an sebenarnya terlalu tinggi. Tidak layak untuk dinilai dengan harga seisi dunia ini.

Diturunkan dengan wahyu melalui jibril a.s seterusnya dilafazkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, disebarkan oleh para sahabat, dibukukan, diletakkan baris dan menjadi mushaf, disebarkan lagi, dan digunakan oleh segenap orang Islam kini di setiap penjuru alam. Semua orang telah mengenali hakikat ada kalam yang mulia, iaitu al-Qur’an walaupun tidak pernah membacanya. Begitu besarnya mukjizat al-Qur’an, jika dikumpulkan dari semua cetakan di setiap kedai, dan di setiap negara, pasti tiada yang bercanggah tulisannya, pasti tiada ayat yang tertinggal dan hilang dari kosa katanya. Sekiranya ada, pasti dan pasti akan senang dikenali dan dikecam, “ini bukan ayat al-Qur’an!”

Begitu hebatnya penguasa sekalian alam, tiada satu pun kekurangan yang akan berlaku jika Dia telah menjanjikan untuk memeliharanya sehingga ke hari kiamat.

Malah, betapa lagi hebatnya mukjizat al-Qur’an, sekiranya seseorang itu sayang dan cinta akan al-Qur’an, al-Qur’an juga akan cinta dan menyayangi akan orang tersebut. Ia akan memeliharanya, ia akan menghindarinya dari terjebak ke kancah dosa. Ketika di akhirat kelak, dia akan memberikan syafaat kepada pembacanya.

Dari Buraidah r.a. berkata, pada suatu hari Rasulullah s.a.w. duduk bersamaku, lalu baginda s.a.w. bersabda, “sesungguhnya pada hari kiamat al-Qur’an akan bertemu dengan orang yang membacanya dengan istiqamah, apabila terbelah kuburnya dan dia keluar darinya kelihatan warnanya berubah kerana keletihan, maka dia berkata kepada pembacanya, ‘adakah kamu mengenaliku?’ Jawabnya, ‘tidak! Aku tidak mengenalimu.’ Maka al-Qur’an itu bertanya sekali lagi, ‘adakah kamu mengenaliku?’ Jawabnya lagi, ‘aku tidak mengenalimu.’ Lantas al-Qur’an berkata, aku adalah sahabatmu, al-Qur’an yang menjadikan kamu kehausan di musim panas pada siang hari dan menjadikan kamu berjaga pada malam hari. Sesungguhnya setiap peniaga mahu meraih keuntungan di dalam perniagaannya, dan kamu sebenarnya pada hari ini meraih setiap perniagaanmu sendiri.’ Maka diberikan kerajaan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya diberikan hidup kekal di dalam syurga, serta diletakkan mahkota kemuliaan di atas kepalanya. Kedua orang tuanya akan dipakaikan dua pasang pakaian yang sangat bernilai yang tidak pernah dipakai oleh penduduk dunia ini. Dan kedua ibu bapanya akan berkata, ‘mengapakah kami dipakaikan dengan pakaian ini? Akan dikatakan kepada mereka, ‘kerana al-Qur’an yang dihafal oleh anak-anakmu.’ Kemudian dia diminta untuk membaca al-Qur’an dan dia terus naik tingkat demi tinggi sehingga sampat darjat paling tinggi di syurga. (HR. Ahmad)

SINAR SEMAKIN MALAP

Sungguhpun begitu, nur dan cahaya al-Qur’an kini makin malap dari jiwa setiap orang Islam.

Cahayanya tidak lagi bersinar seperti dahulu, ketika turunnya perintah dan larangan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Cahayanya tidak lagi bersinar hingga memecahkan bening kekosongan dada orang Islam. Nur al-Qur’an tidak lagi menggetarkan hati dan jiwa pembacanya.

Kini, ramai pula yang berani mempermain-mainkan ayat al-Qur’an. Digunakan untuk kepentingan peribadi, kepentingan perniagaan, persatuan, dan ingin mengaut keuntungan. Dilabelkan besar-besar ayat al-Qur’an yang digunakan, tetapi dalam jiwa penulis dan perencana iklan, satu pun tiada nilai untuk dibaca, apatah lagi untuk diamalkan.

Jauh… jauh….

Benarlah, ketika semakin hampirnya akhirnya zaman, nilai agama semakin hilang. Nur ilmu sedikit demi sedikit diangkat ke langit. Kini, bukan tiada laagi bijak pandai,para ustaz, dan para hafiz. Bukan pula tiada ulama’ yang dilahirkan. Malah lebih banyak dari zaman dahulu. Tetapi, tiada yang ingin benar-benar mendalami dan mempraktikkan. Sekiranya ada, mereka terlalu berbeza dan orang hari ini mengatakan mereka, “ ketinggalan zaman.” Yang lebih buruk, “tak payah ikut, buang masa. Zaman itu sudah ke belakang dan tak sesuai praktikan hari ini.” (timbul pertanyaan, sedarkah kita umat dan zaman yang paling lemah sekali berbanding zaman umat-umat terdahulu?)

Anak-anak pula tidak lagi diajar sejak kecil untuk mencintai agama, dan belajar al-Qur’an. Mereka lebih terdedah dengan sains dan teknologi, hiburan, dan simbol-simbol kelalaian. Jika dahulu anak-anak kecil ramai yang telah mengenal huruf dan hukum-hukam agama, kini ramai yang lebih mengenali lirik-lirik muzik dan teknologi dunia semasa.

Teringat suatu ketika ayahku berkata, “kini ramai orang yang menghantar anak mereka untuk membaca al-Qur’an. Tetapi, kenapa mereka tidak ikut sekali belajar bersama.” Bunyinya seperti membaca al-Qur’an untuk mengisi kelapangan anak-anak bermain, bukan untuk kepentingan agama dan pengamalan agama dalam kehidupan mereka.

Diteliti peredaran masa, ulama’ dan masyarakat terdahulu pertama sekali dididik dengan pelajaran al-Qur’an, kemudian baru diajari dengan ilmu yang lain. Hasilnya, perkembangan ilmu adalah sejajar kehendak Allah, dan tidak lari dari sunnatullah. Betapa al-Qur’an menyinar kehidupan dan ilmuan mereka, ramai yang lahir menjadi ahli sains, geografi, matematik, dan sebagsinya dalam satu masa. Sebaliknya kini, sistem pendidikan lebih mengajar manusia mengenal ilmu keduniaan, tidak berani dan menyentuh ilmu al-Qur’an, sehinggakan begitu ramai yang tidak tahu mengeja dan membaca al-Qur’an. Buktinya, ramai rakanku sendiri yang masih tidak tahu membaca al-Qur’an walau usia telah meningkat dan mampu berkahwin bila-bila masa.

ROMBAKAN MASA

Kini, daku menyedari, Allah itu Maha Adil. Dia menciptakan dunia, bukannya berbeza-beza keagungan-Nya. Ternyata, keagungan dan kemuliaan-Nya tetap sama, tidak berubah dan kekal selama-lamanya.

Yang berbezanya, KITA. Manusia pada zaman ini. Kita yang berubah. Kita yang semakin tidak mengenal Allah. (Allah pula sememangnya sentiasa mengenal kita.)

Kerana itu, daku sendiri sedang berusaha untuk menjadikan kehidupanku adalah dalam landasan al-Qur’an. Jika tidak mampu semua, tidak sesekali lemah meninggalkan semua. Jika ada kekuatan untuk menghafal atau ayat lazim bacaan harian, maka itu yang akan sentiasa istiqamah diamalkan.

Sekurang-kurangnya daku cuba untuk membaca 10 m/s sehari, tidak mampu lagi untuk menuruti pandangan ulama’ menyarankan 1 juz setiap hari. Sekiranya terus konsisten setiap hari, insya-Allah akan lebih baik di kemudian hari. Daku ingin terus meneliti al-Qur’an sehingga akan ada perasaan seperti ada yang terkurang atau tidak kena pada hari tersebut sekiranya tidak membaca al-Qur’an.

Pesananku, jika dalam sedih dan gembira, jangan sesekali melupakan al-Qur’an. Bawalah ia ke mana-mana, sama ada zahir atau dalam jiwa. Ketika lapang, berikan masa untuk membacanya.

Dair Abu Said r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w membacakan hadith Qudsi: Allah s.w.t. berfirman: barang siapa menyibukkan dirinya dengan al-Qur’an dari mengingatiKu (dan berdoa kepadaKu), Aku memberinya lebih baik dari apa yang diberikan kepada seseorang yang berdoa. Ketinggian perkataanKu ke atas perkataan yang lain adalah seperti ketinggian Allah( pencipta) ke atas semua ciptaanNya.  (HR. Tirmidzi)

Semoga diri dan yang lain sebati hidup dengan ruh al-Qur’an, terdidik dengan kesucian al-Qur’an dan terbentuk akhlak berlandaskan al-Qur’an.

Dari Muaz al-Juhani r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “sesiapa yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan apa-apa yang terkandung dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengannya (al-Qur’an)?   (HR. Ahmad dan Abu Daud.)

-sedang mengira… baru teringat hanya dua orang sekarang yang sedang sekolah rendah dan seorang menengah. Alhamdulillah, Tahniah Z—d dan H–na! Sekali lagi diucapkan, tahniah! Belajar baik-baik ya. Teruskan usaha di masa akan datang. Jangan lemah semangat dan rajinlah bertanya (Tak tahu ada yang sangat mengetahui di sana.) Dan sampaikanlah kepada rakan lain sekiranya kita ada kelebihan dan kemampuan lebih baik daripada mereka.

-kepada yang tiga orang lagi, good luck for your future. Main-main juga, bila belajar, belajarlah bersungguh-sungguh. Dan, ceriakan dan gembirakan diri sentiasa. Harumkanlah nama orang yang sentiasa mendidik, menjaga, dan memelihara. Biar dirinya sentiasa gembira dengan pencapaian dan teletah kalian.

-orang yang memerhati turut bergembira dengan pencapaian ini. Daku doakan kalian kelak menjadi anak yang soleh dan solehah. Hati yang mengasihi dan sentiasa membaca kalamullah, mentaati perintah Allah dan menuruti sunnah Nabi yang mulia, s.a.w. Membantu dan berkhidmat kembali kepada orang yang memelihara dan mendidik di sana. (walau mungkin ada kelam kabut dalam peliharaan, jangan cepat dan melatah dan meradang. Tarik nafas dan tenangkan jiwa, baru meluahkan perkataan. Kata orang, kata tuah, bawa tuah. Kata salah, bawa padah.)

-susah juga kalau jadi macam itu. Kena banyak bersabar akan kekurangan yang ada. Yang penting, jangan cepat rasa lemah semangat sebab ada ramai lagi yang serba kekurangan dan tidak bernasib baik. Mungkin 3 bulan rasa lemah, tetapi bukankah bulan yang lain rasa mudah?

– ……. serius ke boleh order? Rasa macam nak test satu. Boleh? Boleh? (kalau tak boleh pun tak apa, tiada masalah)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: