Cinta dan Cemburu Allah.

Dunia sekarang sudah berubah. Apa-apa sahaja dilakukan cuba mencari penyelesaian melalui perlaksanaan dan hukuman.

Simplistik.

Islam meletakkan pelbagai keadaan untuk mengatasi sesuatu permasalahan. Malah, untuk merungkai permasalahan seperti penceraian, ada pelbagai cara dan metodologi yang digunakan sebelum kes penceraian diputuskan.

Dalam surah an-Nisa’ ayat 34-35 menyatakan bahawasanya Islam telah menyatakan beberapa kaedah awal untuk merawat hubngan kekeluargaan sebelum lafaz cerai perlu diputuskan. Disarankan ada 4 cara untuk menyelesaikan masalah penceraian. Permulaannya dengan menasihati, pengasingan tempat tidur (~tidak bertegur sapa seperti biasa~), dan pukul yang tidak  menyakitkan. Sekiranya masih tidak tercapai kata sepakat, maka nasihat oleh orang yang lebih pengalaman diperlukan.

Semua langkah ini sebenarnya ada hikmah di sebalik kejadian. Bukanlah sengaja dilambatkan proses cerai dan sebagainya. Antara hikmahnya, untuk memulihkan institusi keluarga secara berkala. Ada kalanya pertelingkahan suami isteri terjadi kerana terganggu emosi atas perkara yang lain. Mungkin kerana timbul perasaan gundah gulana kerana urusan kerja, anak-anak, dan sebagainya.

Setelah selang masa yang ditetapkan, seseorang itu kebiasaannya akan tersedar dari kesilapan, kekurangannya, dan emosinya mungkin akan kembali stabil. Hubungan yang renggang dahulu akan kembali erat setelah selang masa diambil dalam proses pergolakan rumah tangga.

Namun, jika semua kaedah itu masih tidak mampu menghalang, barulah kes penceraian akan diputuskan.

Sekiranya diteliti langkah demi langkah yang disarankan oleh al-Qur’an dalam hal ehwal penceraian, manusia dapat lihat betapa Islam menitik beratkan langkah pendamaian dan kesatuan, bukann penindasan sebelah pihak dan menghina pihak yang lain. Kurniaan lelaki untuk memegang akta cerai adalah suatu tanggungjawab yang berat dan bukanlah suatu keistimewaan yang sewenang-wenangnya dijadikan ugutan. Semuanya adalah terkandung hikmah Allah menciptakan lelaki, dikurniakan kemampuan menguasai emosi dan akal untuk berfikir walau ketika dalam keadaan marah.

Kini, hari demi hari dunia semakin berubah. Gejala keruntuhan rumah tangga semakin bertambah. Ia bukanlah sedikit. Malah, statistik kini menunjukkan hampir 77 kes penceraian dilaporkan dalam masa sehari.

Apakah yang berlaku sebenarnya dengan institusi kekeluargaan kini?

Salah isteri? Suami? Anak-anak?

Sebenarnya banyak faktornya. Sekiranya diselidik di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pelbagai faktor diutarakan dan dijadikan kajian. Tetapi,di sini dibincangkan faktor yang paling utama dalam terbinanya institusi rumah tangga. Iaitu, individu itu sendiri.

Seorang suami, seorang isteri, dan beberapa orang anak.

Hal ini kerana individu yang beragama Islam kini telah jauh dari mengamalkan ajaran agamanya. Ia boleh dilihat dan berlaku di mana-mana sahaja. Sama ada di tempat kerja, pusat institusi tinggi, rumah, pejabat, dan sebagainya tiada lagi tanda-tanda yang setiap individu itu bersedia mengamalkan ajaran ad-din Islam dalam kehidupannya.

Mereka mungkin mewah dan hebat dengan pangkat dan hartanya. Tetapi miskin dan faqir untuk menilai kekuasaan Allah dan kemuliaan ad-din-Nya.

Sekiranya ingin diketahui kebenarannya akan pandangan ini, cuba jawab beberapa soalan ini: 1) Berapa ramaikah yang mengamalkan (bukan mengetahui) apa yang diperintahkan Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w dalam keluarga?

2)Berapa ramai ahli keluarga yang sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam di masjid dan di rumah?

3) Berapa ramai pula yang sama-sama memberi peringatan tentang Allah dan hari akhirat dalam keluarganya?

4)Berapa ramai lagi yang lebih suka meluangkan masa dan beriadah bersama ahli keluarga dari teman rapat dan orang yang tiada berkenaan dengan keluarga?

5) Dan, berapa ramai lagi yang masih risau dan bimbang ahli keluarganya nanti dipersoalkan, dihisab, dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah dan terselamat dari api neraka?

Kehidupan manusia telah jauh untuk kembali mengingati dan membesarkan Allah s.w.t. Ramai yang telah hilang pedoman untuk mengenali siapakah sebenarnya Rasulullah dan bagaimana pengorbanan baginda dalam mengEsakan Allah. Hilang panduan dan kekuatan untuk mengamalkan sunnah baginda dalam kehidupan seharian dan kekeluargaan.

Lenyap. Nur dan rahmat Allah tidak lagi wujud dalam diri setiap individu Islam itu sendiri. Bagaimana pula nur dan rahmat Allah ingin bersinar dalam institusi kekeluargaan?

Sesungguhnya, bukan hukuman dan kekerasan yang boleh menyelamatkan keadaan (kekeluargaan) sekarang ini, kerana ia hanya memburukkan nama dan keindahan Islam itu sendiri. Sebaliknya, kembalilah kepada jalan Ilahi. Kembalilah kepada sunnah Rasulullah s.a.w. Teliti dan pandulah kembali mengamalkan firman Ilahi dan hadith nabawi. Renungilah kisah para sahabat baginda yang diredhai Allah, dan hiasilah diri dengan akhlak mahmudah.

Sebenarnya, salahkanlah individu yang tidak pernah mengenal ingin nilai dan kepentingan ad-din, bukan keluarga yang sememangnya terbina tetapi tidak pernah diisi apa-apa tentang ad-din. (Ingin salahkan negara, tetapi yang merosakkan negara itu adalah rakyatnya.)

– tahu atau tidak, Islam itu bermula dengan mata pedang (kekerasan) itu ialah zaman kini. Bukan pada zaman nabi.

-petanda akhir zaman. Banyak kes penceraian berlaku di dunia ini.

Wallahualam.

********************

Cinta Allah itu adalah cinta yang indah. Ia bukanlah berlandaskan nafsu dan bukan pula kerana kekesalan manusia mendambakan cinta manusia.

Cinta Allah terlalu luas dan kompleks. Jarang manusia hari ini ingin menyebut mencintai Allah kecuali:

1) golongan muda mudi yang berpegang dengan persatuan dan pertubuhan islamik

2) orang yang kecewa bercinta dengan manusia.

3) orang yang ingin mengenali tuhannya.

Sebenarnya cinta Allah terlalu luas dan tidak bertepi. Pengalaman dan situasi seseorang mendambakan cinta Ilahi adalah berbeza-beza dan tersendiri. Malah, dalam laman ini juga wujud beberapa kisah tentang cinta hamba kepada Allah atas makna yang sebenarnya.

Apa-apapun, cinta Ilahi itu bukanlah cinta berlandaskan nafsu dan akal. Nafsu dan akal tidak mampu membezakan cinta Allah dan cinta hasil ciptaan-Nya.

Hakikat cinta Allah kepada hamba-Nya sebenarnya menyerupai (malah lebih lagi) cinta seorang ibu kepada anaknya. Cinta yang membawa erti redha dan sentiasa memberi. (Kerana itu redha Allah ada dalam redha ibu bapa.) Bukan seperti cinta seseorang kekasih kepada kekasih, yang sentiasa mengharapkan pemberian, dipenuhi kehendak dan perhatian yang hanya dari pasangan.

Namun, sekiranya cinta Allah terlalu tinggi dalam sanubari seseorang, maka cinta kepada Allah lebih tinggi nilainya dari cinta seorang kekasih kepada si kekasih hati.Kerana itu, lahirlah maqam cinta para ahli sufi, hilang keinginan pada kehidupan dan kesenangan duniawi.

Tetapi, ia bukan boleh difahami dan dinilai melalui teori akal semata-mata. Ia hanya boleh difahami melalui pengalaman rohani.Hal ini kerana cinta Ilahi (menurut sufi) adalah terlalu indah dan mempesonakan, yang tidak mampu diungkap melalui kata-kata dan dikaji oleh akal manusia.

Sebegitupun, apabila ada martabat cinta, maka ada kecemburuannya. Tidak dinamakan cinta sekiranya tiada iri hati kepada orang yang dicintai dan mencintainya.

Tetapi, kecemburuan Allah bukanlah seperti kecemburuan seorang ibu. Ia lebih kepada kecemburuan seorang kekasih.

Kerana Allah ialah Tuhan (atau tuan kepada hamba). Maka, tidak layak sama sekali baginya ada yang menduakan dan menyekutukan Dia.Bagaimana seorang tuan boleh terima hambanya mentaati dan sedia berkhidmat untuk orang lain sedangkan hamba itu adalah milik persendiriannya?

Oleh itu, untuk membuktikan seseorang itu mencintai Allah, maka kepentingan utama kehidupannya hanya pada-Nya. Apabila ada panggilan dan seruan dari-Nya, itu yang dipatuhi dan diutamakan. Bukan perniagaan, isteri, bapa, anak-anak, binatang ternakan dan hasil tanaman yang menjadi taruhan.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah:24)

-Panjang sikit menulis hari ini,ada dua tajuk yang berbeza. Lagipun, agak tidak seronok untuk menunggu hari kemudian. Kadang-kadang ilham untuk menulis datang pada hari yang lain.

– harap boleh difahami nukilan cinta Allah. Ia agak rumit dan abstrak sebenarnya untuk fikirkan. Mujahadah yang tinggi untuk mencapainya makna kata sebenarnya. Daku telah cuba ringkaskan sedapatnya. Jika ingin benar-benar difahami nilai cinta Ilahi, perlu sendiri amali dan dilalui. Misalnya, seorang murid hanya memahami kerja sekolahnya hanya apabila dia sendiri yang melakukannya. Bukan hanya melihat dan mendengar dari cakap gurunya sahaja.Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: