Janganlah Biarkan Baginda s.a.w. Bersedih Hati…

Insya-Allah, dua hari lagi bermulalah hari raya Aidiladha baru tahun 1432Hijriah ini. Sambutan kedua umat Islam meraikan hari kebesaran dan keagungan Islam yang berlaku di segenap penjuru alam.

Hari yang meraikan dan mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kerana ingin mentaati perintah Allah s.w.t. Diperintahkan untuk menyembelih anaknya hatta kasih seorang bapa sentiasa menyelinap dalam sanubari baginda a.s. Namun, kerana inilah perintah Allah, buat Khalillullah, maka pasti akan dilaksanakan walau terpaksa mengorbankan jiwa dan perasaan.

Tetapi,

Ternyata hari kebesaran ini disambut suram oleh rakyat Malaysia (mungkin juga di negara lain). Entahlah… sejak zaman berzaman berlalu, tidak banyak lagi manusia begitu bersungguh-sungguh untuk merasa dan meraikan sesuatu upacara terutama yang membawa mesej Islam.

Lebih ramai yang suka tinggal di rumah dari saling menziarahi. Duduk di depan televisyen atau mengadap komputer buka laman facebook. Sibuk dengan aktiviti sendiri dari melibatkan diri dengan saudara mara dan jiran tetangga yang lain. Semangat persaudaraan dan kejiranan nampak makin kurang terserlah. Sedangkan di musim perayaan inilah sepatutnya lebih melibatkan diri. Kanak-kanak yang memeriahkan suasana dengan teloceh dan ragam mereka turut makin kurang berkunjung ke laman rumah.

Mungkin berada di taman atau bandar besar sahaja merasakan sebegitu. Mungkin tidak apabila berada di kawasan kampung dan desa yang permai dan lebih ramah dan mesra orangnya.

Apa-apapun, bersyukur kerana masih diberi kesempatan menyambut raya korban pada tahun ini. Moga boleh berkorban lagi di tahun yang menanti.

Insya-Allah.

Bagaimana sekiranya….

Rasulullah S.A.W masih wujud dan kembali pada zaman ini?

Hhhmmm…..

Terfikir seketika akan suatu keadaan yang sekiranya berlaku di zaman ini. Apakah situasi dan perasaan kekasih Allah apabila melihat suasana dan kehidupan umat Islam hari ini?

Yang jauh dari amalan agamanya….

Jauh dari mentaati perintah Allah s.w.t….

Jauh lagi dari mengamalkan sunnah baginda s.a.w….

Bagaimana pula perasaan Rasul Allah apabila melihat kelibat manusia yang berbangga dengan harga diri mereka…

Harta dan dunia mereka…

Perbuatan angkuh dan fasad mereka…

Boyfriend dan girlfriend mereka….

Amalan maksiat dan mendatangkan murka Allah s.w.t….

Dan berbangga dengan bilangan sahaja yang ramai, tetapi saling berbalah sesama sendiri (kerana kepentingan peribadi) , berbalah untuk menegakkan hujah (bukan menegakkan kalimah Allah), berbalah untuk memajukan negara (bukan memajukan agama yang diredhai-Nya).

Hhmmm….. Entahlah….

Terasa seperti terdengar sayup tangisan dan sebak baginda Nabi s.a.w. tercinta…. menitis air mata dari wajahnya yang mulia….

Pilu dan sedih….

Kecewa dan Marah….

Terasa seperti mencuka wajah baginda melihat aksi dan ragam umat akhir zaman….

Pengorbananmu ya Rasulullah

Mengimbau tragisnya tragedi kemanusiaan kini. Makin hari makin membimbangkan. Makin hari makin menghampiri dan menyerupai kesilapan dan kedurhakaan umat-umat kebelakangan. Umat-umat yang bukan dongengan dan mitos manusia. Tetapi terbukti kewujudannya, dan telah dikhabari dalam al-Qur’an sebagai pengajaran buat manusia.

Mereka semua telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana sering melakukan maksiat dan kemungkaran. Melampaui batas dan ingkar dengan perintah Nabi dan Tuhan.

Rasulullah sedar akan perkara ini. Baginda sangat risau dan bimbang akan berlaku pada umat ini. Baginda amat menyedari dan mengetahui kesan setiap amalan. Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengunjungi syurga dan melihat akan keindahan dan betapa nikmatnya syurga  Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Baginda s.a.w. juga pernah mengunjungi neraka dan melihat sendiri betapa azab dan pedihnya seksaan Allah s.w.t. kepada mereka yang mendurhakai-Nya.

Disampaikan peringatan demi peringatan ke setiap pelusuk Makkah dan Madinah. Tiada yang terkecuali. Tiada jejak dan rumah yang tertinggal untuk diziarahi dan diajarkan mengucap kalimah syahadah.

Biarpun berpenat lelah, berkeringat peluh, dan dibasahi darah…

Biarpun dimaki hina, dibaling najis unta, dan dikotori debu-debu kota…

Biarpun terpaksa pergi berjihad dan berperang dengan si kuffar bila tiada lagi jalan perdamaian dan penyampaian dakwah.

Semua usaha baginda untuk ad-din Islam dan Ilahinya yang tercinta.

Kecelaruan akuan kalimah Rasulullah s.a.w

Terlintas di fikiran. Jika benarlah Rasulullah s.a.w merindui umat akhir zaman, maka siapakah sebenarnya umat yang begitu dirindui baginda? Sebagaimana jika seorang kekasih merindui kekasihnya, siapakah yang layak menjadi kekasihnya?

Adakah mereka  yang hanya menunggu depan televisyen atau pergi panggung wayang melayan cerita english dan hindustan? Atau yang sentiasa membuang masa melayan facebook dan buat perkara yang bukan-bukan? Atau spesis manusia yang suka melakukan kejahatan, merompak, membuat jenayah, berzina, menjadi penegak benang yang basah, pengkhianat, dan perosak ummah?

Tentu sekali tidak. Tiada orang yang waras akalnya mengharapkan manusia berperangai buruk sebagai pendamping hidupnya. Tentu sahaja yang layak menjadi kekasihnya ialah yang semuanya indah, sempurna  dan menuruti kehendaknya.

Sebagaimana pengakuan Allah s.w.t akan rayuan iblis laknat untuk menyesatkan semua spesis manusia aka hamba-hamba-Nya di dunia ini. Allah berfirman semua boleh terpedaya dengan hasutan dan bisikan Iblis laknatullah. Tetapi tidak bagi hamba yang diklasifikasi khusus oleh Allah s.w.t. Jadi, siapa pula hamba Allah yang benar-benar menjadi hamba-Nya?

Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah).” (Surah As-Sad: 82-83)

Begitulah jua dengan gelaran ‘umat’ yang dirindui oleh baginda s.a.w. Walaupun semua manusia itu adalah umat baginda nabi s.a.w., tetapi bukan semuanya layak menjadi umat yang diakui dan diklafikasikan sendiri oleh baginda s.a.w. malah dianggap sebagai saudara.

Itulah umat yang terpilih dari kalangan umatnya. Yang akan diberikan syafaat kerana pengorbanan dan cara hidup mereka. Mereka ialah yang sentiasa terpaut hati dalam mengikuti dan meneladani cara kehidupan atau sunnah baginda s.a.w. Sentiasa berfikir dan risau seperti risau Rasulullah s.a.w. Gambaran dan perjalanan kehidupan baginda dijadikan sebagai ikutan dan pedoman. Suruhannya ditaati, larangannya dijauhi.

Apakah pesanan baginda?

Kini, kerosakan umat Islam semakin menjadi-jadi. Seperti tiada lagi pedoman, tiada lagi jalan penyelesaian ke atas setiap kerosakan. Ia terlalu berleluasa. Di mana-mana.

Lelaki,

Tidak lagi ramai diseru dan berganjak kaki ke rumah Allah dan menjadi penyampai kalimah Allah.

Wanita,

Tidak lagi ramai menutup aurat dengan sempurna dan menghormati yang perlu ditaatinya.

Anak-anak,

Tidak lagi ramai mentaati kedua ibu bapa dan menunjukkan akhlak yang sempurna sehingga zaman remaja.

Kehidupan kini telah menghadapi krisis yang lebih besar daripada krisis moral dan kemanusiaan. Iaitu krisis iman. Jauh mengenal Tuhan, apatah lagi mengenal pengorbanan dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Untuk menyelamatkan keadaan, tidak dapat tidak, manusia perlu  kembali beriman kepada Allah s.w.t dan pengorbanan Rasulullah s.a.w. Beriman dengan sebenar-benarnya, dengan mengetahui betapa bernilai dan keutamaan untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya yang mulia.

Teringat daku akan pesanan terakhir baginda pada penghujung khutbahnya dalam Haji Wida’:

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Kerana kefahaman dan ketaatannya para sahabat r.anhum akan perintah dan seruan nabi, bertebaranlah mereka ke seluruh pelusuk alam untuk menyampaikan ad-din Islam yang suci. KeIslaman segenap masyakarakat dunia adalah kerana diasbabkan perjuangan dan pengorbanan mereka. Mungkin tidak Islam hari ini sekiranya tidak diasbabkan dengan pengorbanan, dan tanpa jerih perih untuk penyampaikan seruan syahadah oleh para sahabat baginda yang diredhai Allah s.w.t.

Oleh itu, sampaikanlah. Berilah peringatan kepada manusia yang semakin alpa dan lalai. Hanya cara ini mengingatkan manusia akan jalan kebenaran. Mengembalikan mereka yang semakin jauh hanyut dalam dunia dan permainan syaitan.

Serulah seluruh  manusia untuk mentauhidkan Allah dan mengamalkan sunnah baginda s.a.w. Berdakwahlah ke segenap penjuru alam. Serulah kembali berjalan di atas jalan kebenaran.

Ya Allah , bagaimanakah perasaan Nabimu sekiranya melihat keadaan umat ini?

Pasti baginda tersangat-sangat bersedih hati…

PENTING DAN MINTA PERHATIAN: sebenarnya daku ada sampaikan sedikit hadiah kepada diri hari ini. Tiada apa-apa pun. Cuma hati teringin memberikan sesuatu menjelang Aidiladha ini . Setelah terbit artikel ini, daku telah letakkan hadiah tersebut di surau wanita yang berhampiran pejabat diri sana. Dalam eco-beg warna biru, laci kabinet surau nombor 3. Sekiranya Allah izinkan, insya-Allah akan menemuinya. Jika tidak ditemui, wallahua’lam.

-mengenai penulisan daku di laman itu semalam, boleh cuba sampaikan kepada orang yang lain? Terutama ketika dalam kelas. Entahlah… kerosakan itu terlalu ketara. Sebelah pihak mudah nak memperdaya. Sebelah pihak lagi mudah betul diperdaya.

-Hanya peringatan yang boleh dihulurkan. Baik jua buat peringatan bersama..

-selamat menyambut Aidiladha 1432 H bersama yang lain. Semoga sentiasa sihat sejahtera dan dirahmati Allah s.w.t.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: