Mulianya Umat Ini….

Segala aspek perlu ditimbang tara.

Segala persediaan dan kesedaran perlu dilakukan.

Mengenali hakikat diri dan kehidupan, bukanlah suatu cerita kosong dan omong- omongan. Tetapi, inilah usaha yang hak, dan telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul Allah untuk kembalikan manusia ke jalan kebenaran.

Kesesatan dan Kemungkaran.

Kemelut manusia yang tidak mengenali hakikat diri yang sentiasa lemah dan memerlukan kuasa yang lebih berkuasa, telah menjadikan ramai yang tersesat dari berada di landasan kebenaran.

Apabila dinilai sesuatu itu mempunyai kelebihan dan lebih berkuasa, mereka menganggap ia adalah sebagai tuhan dan layak dijadikan sebagai sembahan. Sedangkan makhluk-makhluk ini tidak pernah memerintahkan manusia untuk tunduk dan menyembah mereka. Hatta, mereka sendiri mengakui akan Allah s.w.t adalah segala-galanya.

Manusia sebenarnya telah disesatkan sendiri oleh hawa nafsu, Iblis, dan syaitan. Iblis yang sangat mengenali Tuhannya, yang pernah dikenali sebagai Azazil, iaitu ketua para malaikat dilaknat Allah kerana kufur dan sombong kepada-Nya. Janji Iblis, akan dibisikkan kesesatan kepada setiap anak Adam sehingga ke hari kiamat pada setiap masa dan ketika. Tidak akan sesekali leka dan alpa.

Maka, ramailah manusia yang terpedaya dengan tipu daya Iblis. Ia terus menghasut manusia ke arah kesesatan dan melakukan kemaksiatan. Sehingga berleluasalah kemungkaran terjadi.

Sungguhpun begitu, Allah s.w.t yang menciptakan sekalian hamba-hamba-Nya bukan ingin menyesat manusia iu terus sesat dan alpa. Diperintahkan para nabi dan Rasul-Nya untuk menyeru kembali ke arah jalan hidayah dan menyebarkan ad-din Allah s.w.t yang sebenar.

Hanya ada satu tuhan sahaja di dunia ini. Iaitu Allah yang Maha Esa. (al-Ahad)

Tidak Diterima.

Malangnya, usaha para nabi dan Rasul bukannya suatu usaha yang mudah dan senang. Ramai lagi yang terus ingkar dan menentang seruan para pesuruh Allah.

Bukanlah kerana ajaran mereka yang begitu sukar dan memudaratkan. Ia sungguh mudah untuk dilakukan. Setiap orang dikehendaki untuk melakukan kebaikan. Setiap kejahatan perlu dihindarkan.Itulah perintah Allah. Itulah larangan Allah.

Malangnya, ia jelas menentang kehendak hawa nafsu dan syahwat mereka!

Tidak boleh berzina.

Tidak boleh berjudi.

Tidak boleh meminum arak.

Tidak boleh memeras ugut orang lain. Tidak boleh menindas orang-orang lemah dan berlaku zalim. Tidak boleh melakukan riba dan mengurangkan sukatan.

Hendaklah berkasih sayang sesama manusia. Saling bersilaturrahim dan tolong menolong. Wanita dan orang yang lemah diberikan hak dan  keistimewaan. Setiap hidupan ada haknya, setiap kelakuan ada hisabnya.

Dan, sembahlah Tuhan yang Esa, yang menciptakan sekalian alam.

Melihat kedatangan para pesuruh Allah, maka Iblis dan syaitan runsing dan terus menjalankan tugas mereka, menyesatkan manusia daripada berimankan tuhan yang Esa. Iblis sangat mengetahui, sekiranya mereka beriman, nescaya manusia ada peluang ke syurga Allah, dan tidak menemani mereka di dalam neraka.

Dihasut setiap manusia menentang ajaran pesuruh Allah. Jangan yakin dan percaya akan kewujudan Allah. Ia bercanggah dengan anutan nenek moyang mereka. Malah, layakkah ia disembah? Sedangkan berhala yang beratus-ratus itu pun tidak dapat menyelesaikan masalah mereka.

Jangan terus melakukan kebaikan. Teruskan sahaja menjadi hamba nafsu dan teman syaitan. Jangan percayakan hari akhirat dan pembalasan. Teruskan sahaja ajaran dan anutan nenek moyang, yang nyata tiada satupun bukti kebenaran.

Agama yang Benar.

Namun, Allah s.w.t itu bersifat dengan sifat al-Hak (yang Maha Benar). Apa yang diperintah, itulah yang akan dilaksanakan. Sekiranya sekalian manusia tetap tidak mahu mentaati-Nya setelah Allah s.w.t menghantar utusan-Nya, maka nantilah azab di dunia yang bakal kunjung tiba.

Kaum Nabi Nuh a.s ditenggelamkan dalam banjir, sedangkan sebelum ini mereka hidup aman tanpa bencana dan tidak pernah ada peristiwa banjir pernah dilaporkan!

Kaum Nabi Lut a.s. diterbalikkan dari bumi dan dihina menjadi kaum yang hilang dalam lautan walaupun tidak pernah ada bencana atau malapetaka yang menjadi tanda mereka bakal dimusnahkan!

Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan oleh lautan yang tiba-tiba terbelah. Kenapa Nabi Musa boleh melalui tetapi tidak Firaun dan pengikutnya yang durhaka?

Jadi, siapakah yang menguasai dan menciptakan semua kejadian yang sebegitu dahsyat? Di tengah terik mentari tiba-tiba banjir besar. Di kala hening subuh, dihujani hujan batu dan diterbalikkan. Di tengah lautan yang terbentang luas, boleh terbelah tiba-tiba dan dilalui oleh manusia untuk menyeberanginya?

Kebetulan?

Jika kebetulan sudah lama Nabi Lut tidak meninggalkan kaumnya sebelum terbit fajar subuh, dan tak payah susah-susah Nabi Nuh bina kapal besar di atas gunung.

Sihir?

Jika sihir, Nabi Musa dah lama kalah dengan beribu-ribu ahli sihir Firaun yang lagi pengalaman, handal, dan terkenal zaman. Nabi Musa sendiri tidak pernah mengakui yang dilakukannya adalah sihir, tetapi pengikutnya yang mengandaikan ia adalah sihir.

Kebenaran?

Ya, itulah jawapannya! Para Nabi dan Rasul Allah tidak pernah mengajak manusia untuk menyembah dan mengagungkan mereka. Mereka tidak pernah menyeru untuk dihormati dan demi kepentingan peribadi. Berkorban pagi petang adalah untuk mentauhidkan Allah, walau diri mereka sentiasa dihina, dianggap musuh dan sampah.

Malah, walau berbeza masa dan zaman, semua utusan Allah menyampaikan perkara yang sama. Mentauhidkan Allah s.w.t, mengajak untuk melakukan kebaikan, mencegah diri dari kesesatan dan kemungkaran.

Ganjaran mereka tidak layak dibandingkan nilai dan letaknya harga dunia ini. Tetapi, untuk akhirat yang kekal abadi.

Beruntungnya umat Ini…

Sungguh, beruntungnya umat ini!

Al-Quran, kalam Allah yang mulia telah merencanakan segala-galanya. Al-Qur’an telah menceritakan segala peristiwa dan kisah umat yang terdahulu sebagai pengajaran kepada manusia.

Kisah dalam al-Qur’an bukanlah cerita dongeng dan mitos kartun. Tetapi, ia adalah perkara yang benar dan telah ditemui secara saintifik oleh para pengkaji sejarah dan arkeologi. Buktinya telah nyata. Hanya ingin mengakui atau tidak. Itu sahaja.

Semua kisah umat terdahulu dinyatakan bertepatan dengan al-Qur’an. Sedangkan al-Qur’an bukanlah buku atau kitab yang mula dicatat pada abad ke-21. Ia disampaikan sebagai wahyu kepada Rasul-Nya yang terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah. Baginda pula bukanlah seorang yang bijak pandai dan cendekiawan yang dipandang tinggi oleh penduduk Makkah. Baginda hanyalah orang biasa, yang tidak pandai tulis dan baca, tetapi mempunyai akhlak yang luar daripada biasa. Sehingga layak digelar al-Amin, kerana akhlaknya yang mulia.

Bagaimana lagi manusia ingin berdalih dengan kisah umat, kisah Nabi yang diutuskan, dan bala dan musibah yang menimpa mereka?

Hari ini…

Dan pada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah saw. bersabda, “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim”.

(H.R. Hakim)

Walaupun Islam telah tersebar ke serata dunia, manusia tetap melakukan perkara yang sama. Masih lagi terus leka dan alpa,tersesat dalam kebenaran, dan menurut hawa nafsu. Azab jua masih tetap berlaku. Musibah dan bencana tetap juga menimpa manusia. Di mana-mana sahaja, di negara apa-apa sahaja.

Diakui kini ada teknologi yang canggih, senjata yang hebat, sistem ekonomi dan kuasa yang besar, tetapi manusia masih tidak mampu melawan takdir dan musibah dari Allah. Taufan, ribut petir, kemarau berpanjangan, kering kontang, banjir besar, gemba bumi, lautan bergelora, kemusnahan alam, lapisan tipis ozon, hentaman metorit, ribut pasir dan bermacam-macam musibah lagi. Malah, untuk menurunkan hujan walau setitis pun manusia tidak pernah dapat lakukan sama sekali!

Itulah bukit kewujudan Allah s.w.t.Walau berbeza masa, umat, dan zaman tamadun manusia, Allah Azza wa Jalla tetap adalah sama. Dialah yang Maha Kekal (al-Baqa’), dan Dialah sahaja yang berhak disembah.Perintah-Nya ketika diutuskan para Nabi dan Rasul tetap tidak berubah sehingga ke hari kiamat. Tiada suatu pun bercanggah, tiada satu pun yang berbeza.

Tetapi, para rasul dan nabi Allah a.s tidak lagi diutuskan. Mukjizat dan wahyu menyelamatkan manusia dari kesesatan dan kemungkaran tidak lagi diturunkan.

Keyakinan akan kekuasaan dan kebesaran Allah makin lama makin hilang. Usaha dan pengorbanan sebenar para utusan Allah mekin hari makin dilupakan.

Kini, siapakah lagi yang boleh mengembalikan manusia ke jalan kebenaran? Siapakah lagi yang berupaya membawa manusia keluar dari lembah kejahilan dalam kemaksiatan?

Hanya mereka yang ikhlas menyampaikan kalimah Allah, mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya yang teru bangkit menyebarkan kebenaran Allah s.w.t dan menyedarkan manusia yang masih tidur lena. Sepertimana kaedah para  Rasul dan Nabi menyampaikan, begitulah jua mereka cuba sedaya upaya laksanakan. Mencari yakin bulat hanya kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa, hanya Dia yang mampu melakukan segala-galanya.

Mereka bukan lagi digelar sebagai nabi dan rasul, kerana Khatamun Nabiyyin telah sampai pada penghujungnya. Mereka ialah umat manusia di zaman ini, yang sifatnya lebih lemah dariapda umat terdahulu, dan dimuliakan kerana kerja kenabian sejak dari zaman dahulu.

Tiada yang terkecuali. Tiada yang dibezakan. Setiap orang perlu melakukan perkara yang sama. Mengajak manusia kembali ke jalan yang benar.

Mulianya umat akhir zaman ini bukanlah kerana teknologi, kepakaran, harta, duit, dan sebagainya. Tetapi kerana peranan mereka menyambung kalam kenabian dan rasul-Nya yang mulia.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku”. Kemudian Nabi SAW meneruskan sabdanya, “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku”. Rasulullah yang mulia meneruskannya, “Orang yang imannya paling menakjubkan adalah kaum yang datang sesudah kalian. Mereka beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihatku. Mereka benarkan aku tanpa pernah melihatku. Mereka temukan tulisan dan beriman kepadaku. Mereka amalkan apa yang ada dalam tulisan itu. Mereka bela aku seperti kalian membela aku. Alangkah inginnya aku berjumpa dengan saudaraku itu !”

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: