Pengislahan Hati Demi Menuju Allah.

Kadang-kadang ,manusia tidak mengetahui apakah kaedah yang paling berkesan dalam penyampaian. Ada orang menilai dengan internet, artikel, atau facebook telah membuka mata banyak pihak untuk menerima apa-apa yang disampaikan. Hakikatnya, ia hanyalah usaha sampingan yang jika tiada pun tidak memberi kesan besar dalam kehidupan.

Kaedah paling berkesan dalam penyampaian ialah melalui ucapan atau kata-kata. Tidak sekadar itu, perlu jua dengan berjumpa sentiasa, saling berkenalan, dan saling menziarahi.

Islam tidak terbina melalui tembok besi dan teknologi tinggi.

Islam terbina dengan kasih sayang dan saling berkomunikasi.

Kini komunikasi itu buntu. Tiada lagi usaha ke arahnya.

Inikan pula usaha menyucikan jiwa apabila bersama masyarakat yang pelbagai jenis kerenah, budaya, agama, dan bangsa. Itu belum tentu tutup aurat dengan sempurna, akhlak terpuji atau tercela, dan hanya mengambil dan mengamalkan Islam hanya sambil lewa.

Kerana hal ini, perlu ditekankan istilah ISLAH. Memperbaiki diri dengan penyucian hati di suasana yang berbeza, yang saling membesarkan Allah s.w.t.

Ia suatu perkara yang besar, di akhir zaman ini yang manusia rata-rata tidak peduli dan ambil tahu tentang  Tuhan, yang saling mengejar erti hidup keduniaan.

Pengislahan diri

Alhamdulillah… bersyukur kepada Tuhan yang menciptakan daku menunjukkan jalan ini. Jalan yang menghampirkan diri pada Ilahi, jalan yang menyucikan hati ini kerana dikotori najis-najis maksiat dan keji di sana sini.

Jalan seperti ini tidak pernah daku temui mana-mana aktiviti dan organisasi. Malah, sekiranya ada organisasi dan aktiviti yang mendekatkan pada Ilahi, hanya bersifat sementara, tidak mampu mengubah terus hati mereka kepada-Nya dan menjadikan habit dalam aktiviti harian mereka. Mungkin hanya mampu memakan masa 3-4 hari, kemudian kembali kepada keadaan asal sebelum ini.

Dengan melalui jalan ini, daku benar-benar menemui kaedah berterusan menyucikan hati di kala penuh kerosakan ini. Menghilangkan selaput dan debu-debu kemungkaran yang tidak pernah hingin sesekali pun menyentuhnya, tetapi tetap menyerang dari sana sini. Kembali berfikir dan menilai betapa berharganya agama dalam kehidupan, betapa bernilainya akhirat yang bukan khayalan, tetapi JANJI ALLAH dan bukti keadilan Dia.

Cukup indah. Dan ternyata mempersonakan. Merasai betapa alunan zikir menyentuh hati dan jari jemari terus menyentap biji-biji tasbih menari-nari.

Subhanallah… Alhamdulillah… Allahuakbar… berkumandang di mulut mengelus indah ke dalam hati…

Berbeza rasanya apabila sendiri melalui dengan menceritakan pengalaman di sini.

Pengislahan berterusan.

Namun, ulama’ tidak pernah menyarankan pengislahan diri sepanjang masa tanpa perlu berkomunikasi dengan manusia. Tidak dapat tidak, setelah kembali pada reaksi perubahan masa yang hanya kepada-Nya, perlu kembali menemui manusia kerana urusan sesama mereka. Kini, masa pengislahan hanya begitu ringkas tetapi tetap membawa natijah yang besar pada kehidupan.

Sehingga merasai betapa pentingnya agama  dalam kehidupan, yang perlu orang lain turut mengetahui dan memahaminya. Mereka  juga perlu sama-sama membawa hati untuk  menyedari keEsaan Allah s.w.t. dan turut sama menghayati dan merasainya.

Maka penyampaian perlu dilakukan kepada sesama manusia. Moga-moga saling mengambil manfaat, semoga Allah s.w.t menyinari hidayah kepada manusia seluruh alam.

Manakala bagi daku, untuk berterusan dalam hati menuju Allah s.w.t, tidak dapat tidak setelah waktu pengislahan beberapa kaedah perlu sentiasa diterapkan sehingga menjadi habit dan sebati dalam kehidupan. Sekiranya ia ditinggalkan, maka akan terasa ada yang tidak kena sehingga perlu diusahakan bila tiba masanya.

Amalan zikir pagi dan petang. Bacaan tilawah al-Quran. Solat di awal waktu dan tempat diazankan. Amalkan tahajud, taubat, dan lain-lain solat sunat. Membaca kitab hadis nabawi, mengenal sirah Nabawi dan kisah para sahabat r.anhum. Saling menasihati dan memberi peringatan. Menziarahi sesama insan. Menjadikan masjid rumah kedua perlu sentiasa dikunjungi dan diimarahkan. Sentiasa melakukan kebaikan dan hindarkan diri dari melakukan perkara yang sia-sia serta kerosakan.

Yang paling penting, sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. Dengan berdoa manusia berkata langsung dengan Allah. Dengan doa manusia akan menemui jalan mengharap dan memohon kepada Allah s.w.t.

Manusia tidak akan merasai kewujudan Allah s.w.t. sekiranya tidak berkata terus kepada-Nya. Kerana itu, solat sahaja tidak mencukupi dan cukup sempurna sekiranya tidak ditutupi dengan tangan dan mulut yang berdoa kepada-Nya.

Betapa penting dan besar peranan doa tetapi manusia lupa dan alpa akannya. Peranan doa adalah sama dengan berkata-kata sesama manusia. Jika manusia ingin menyampaikan hajat pun kena ada sorang lagi yang mendengar, inikan pula hubungan hamba dengan Allah s.w.t. Tidak sedar dan tahu dirinya wujud Tuhannya sekiranya tidak pernah berkata-kata dan memohon (melalui berdoa) kepada-Nya.

Kerisauan diri

Risau dengan kerosakan umat zaman ini. Bukan sedikit tetapi menjadi-jadi. Terfikir bagaimana pula dengan anak isteri bila sudah ada nanti…

Penyakit umat kini sebenarnya sudah menjadi begitu parah dan barah pada peringkat kritikal. Manusia boleh melakukan maksiat dan mungkar dengan sambil lewa tanpa ada yang menegahnya.

Risau akan janji Allah mendatangkan azabnya di dunia kepada mereka yang telah banyak melakukan kerosakan di dunia. Bukan hanya kepada mereka, tetapi semua orang akan merasai bersama.

Libya telah diazab Allah. Iraq telah diazab Allah. Thailand telah dibersihkan Allah. Indonesia ditimpa musibah Allah. Satu persatu negara dunia musnah dan ditimpa musibah dengan asbab alami atau kedatangan musuh-musuh Allah. Tetapi manusia terus leka dan alpa dengan permainan dunia dan taktik canggih Yahudi dan Nasrani menawan dunia.

Zaman ini tidak lagi membawa manusia kembali mengenal dan membesarkan Allah. Walaupun betapa banyak kaedah dan rencana dilakukan, tetap tidak mampu mengubah hati kepada-Nya.

Wahai  manusia yang terus tidur atas buaian dunia, bilakah lagi akan maju dan menempuh jalan yang benar di sisi-Nya?

Bawalah hati menuju kepada-Nya, dan kalian akan menyedari ada kekuasaan yang membantu apa sahaja urusan dalam kehidupan, serta mengetahui ada kekuasaan yang dalam kekuasaan.

Insya-Allah…

2 responses

  1. Alhamdulillah. ibu suka baca coretan anak di atas. Perjuangan mencari cinta Ilahi memang tidak akan tamat sehingga ke hujung nyawa. Mencari dan terus mencari kerana ingin kembali kepadaNya dalam redha dan kasihnya. Semuga Allah akan terus membantu kita semua untuk mencari redhaNya. Amin.

    1. Terima kasih. Begitulah. Mencari kasih dan keredhaan Allah tidak pernah berakhir. Perlu berterusan dan merasakn kesusahan di dunia ini demi kepentingan akhirat nanti.

      Hanya Allah yang boleh berikan kekautan dan bimbingan untuk ehwal ini. Tak mampu untuk manusia berusaha semata-mata untuk mencari redha-Nya ini.

Tinggalkan Jawapan kepada kaimislam Batal balasan