Hati Seorang Ibu

Menyelami hati seseorang. Yang digelar sebagai ibu (walaupun sekarang bukanlah musim atau hari Ibu). Walaupun diri ini seorang lelaki, tidak bermakna tidak pernah dilahirkan oleh seorang wanita yang cekal dan tabah, iaitu seorang ibuku sendiri.

Seorang yang sanggup berkorban nyawa dan jasad kerana ingin melahirkan seseorang untuk melihat dunia ini.Seorang yang sanggup berkorban masa dan tenaga semata-mata ingin melihat anaknya berjaya dan gembira suatu hari nanti.

Ibu yang cekal.

Kehidupan wanita ini tiada batasan. Sehingga kini, tiada pengorbanan manusia yang lebih tinggi berbanding seorang ibu yang mendidik dan membesarkan anak-anaknya.

Mereka tidak peduli akan kekurangan yang menimpa diri. Merekalah yang tidur paling lewat dan merekalah yang berjaga paling awal. Lebih dari syif seorang pekerja operator dan pak guard bank atau pusat keselamatan. Mereka tidak menghiraukan akan kesusahan yang akan menimpa.Sakit, runsing, demam, pening, dan semua kekurangan lain mereka hadapi dengan tabah dan sabar buat keluarga yang tercinta.

Sejak dari dalam kandungan, seorang ibu hanyamengharapkan sebuah keluarga yang aman dan bahagia. Anak yang dilahirkan permata dan penyejuk hati mereka. Ditatang penuh kasih bebanan yang makin bertambah. Tidak dirisaukan keselamatan diri demi anak yang dikasihi. Kelak, demimelihat kejayaan dan kebaikan pada anak-anak,masa dan tenaga yang makin dilauhkan bukanlah perkara penting untuk diambil kira.

Apabila usia menginjak tua, daya upaya tidak lagi seperti dahulu. Tidak terdaya lagi berkhidmat untuk keluarga seperti dulu. Tetapi, masih tetap diteruskan jua seupaya yang ada ditambah nilai yang manusia lain tidak dapat berikan, iaitu kasih sayang.

Sungguhpun telah lanjut usia, kasih sayang seorang ibu tidak pernah berkurangan. Walaupun anak-anaknya makin dewasa dan berjauhan, tetapi apabila bertemu di telefon atau berkunjung ke rumah sekali sekala, kehangatan kasih sayang ibu tetap sama dan berpanjangan.

Perasaan mereka buat si anak tidak berubah. Mereka berupaya mendidik anak walau bilangannya makin bertambah.

Benarlah kata-kata seseorang, “seorang ibu boleh mendidik anaknya yang ramai, tetapi ramai anak belum tentu dapat mendidik ibunya yang seorang.”

Inilah nilai yang tiada pada diri manusia biasa, iaitu pengorbanan dan kasih sayang.

Suatu hari, seorang kenalan pernah berkata, “saya tak tahulah macamana kehidupan saya sekarang kalau bukan banting keras isteri di rumah menjaga anak-anak dan menguruskan keluarga. Kalau saya nak jaga semua, entahla….”

Kemuliaan dari Nabi s.a.w

Rasulullah s.a.w begitu mengagungkan kewajaan hati para wanita. Terutama kepada ibu yang begitu gigih danprihatin membesarkan anak-anaknya. Apabila dilihat situasi ini, ketaatan yang wujud pada si anak bukanlah lagi menjadi pilihan tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan.

Perhatikanlah baik-baik akan pesanan Rasulullah s.a.w. ini. Betapa besarnya peranan seorang anak untuk mentaati ibunya di atas dunia ini.

Hazrat Abu Hurairah r.a.  berkata: Rasulullah s.a.w  bersabda: “Hinalah dan jauhlah dia, hinalah dan jauhlah dia, hina dan jauhlah dia!” Seseorang bertanya: “Siapakah dia itu  ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Dia ialah seorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia (anaknya) masuk ke dalam syurga (sebab tidak berkhidmat dan menggembirkan hati ibu bapanya.)”  (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya berbuat baik kepadanya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian ditanya lagi: “Kemudian siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian ditanya lagi: “Kemudian siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian ditanya lagi: “Kemudian siapa?” Rasulullah menjawab: “Kemudian bapa kamu.” (HR Bukhari)

Dari A’isyah r.ah berkata, aku berkata kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah, bagi seorang wanita, siapakah orang yang paling berhak ke atasnya? Baginda s.a.w menjawab: “Suaminya.” Aku bertanya lagi: “Seorang lelaki, siapakah yang paling berhak ke atasnya? Baginda menjawab: “Ibunya.”  (HR Mustadrak Hakim)

Hari ini….

Tidak semua menjadi realiti. Malah sulit membayangkan manusia yang makin hilang nilai fitrah dan agama dalam diri.

Serba serbi berita dan kisah tidak enak terpampang di media. Dari jiwa seorang wanita yang bakal bergelar ibu, atau telah bergelar ibu, sehingga kepada anaknya, semua berputar 180 darjah. Hilang dari pedoman dan pegangan.

Kehidupan makin merunsingkan. Dicanang statistik yang kritikal dan dahsyat dalam institusi kekeluargaan!

Nilai kasih sayang makin hilang dari asasnya. Ada, tetapi ramai yang letakkannya pada tempat yang tidak kena. Hasilnya, penuh celaru, caca merba, dan merosakkan maruah manusia.

Sehingga lebih keji dari binatang.

Ramai orang yang tidak kaji tentang permulaan kejadian ini. Tetapi, bagi daku yang telah memberi masa untuk berjalan dan mengembara (ketika itu….), hanya satu jawapan kepada masalah ini, iaitu

DUNIA.

Hasilnya, ibu modernisasi dan globalisasi. Sekiranya dulu ibu kasih kepada keluarga, kini dialah yang paling menonjol lebih dari anak-anaknya. Heboh dari aras satu sampai aras ke lima puluh, dialah yang paling hebat pada pandangan mata manusia.

Tugas pada anak-anak (yang menjadi keutamaan) tidak dipeduli. Monyet di hutan disusukan, anak –anak kelaparan di rumah dibiarkan. Dicerna baik-baik masa untuk manusia lain, habis kacau seisi rumah yang memerlukan perhatiannya.

Fikir kaya dan glamor boleh membahagiakan keluarga. Nyata, banyak yang buat urusan diri sendiri, hilang komunikasi dan silaturrahim walau ahli keluarga sendiri.Apatah lagi ingin saling mengingati dan membawa perintah Allah dan Rasul dalam keluarga.

Anak-anak tidak lagi diberikan didikan yang sempurna. Kekayaan dan kemegahan dibuai dalam kehidupan mereka. Emosi dan rohani tidak ditekankan. Hasilnya, ramai yang buat urusan sendiri tanpa perhatian, rakan menjadi teman, pergaulan bebas tanpa batasan, sehingga membawa maksiat dan kemungkaran. Tetapi, siapa dalam keluarga benar-benar peduli?

Malah, ketinggian martabat dunia di mata manusia hari ini telah membawa wanita untuk bekerja bersama-sama seperti lelaki. Keadaan ekonomi, wang saraan, makanan dan keperluan harian yang makin menghimpit dan memuncak tidak upaya sekiranya mengharap pada lelaki jika kurang pendapatan harian.  Hasrat ingin membantu keluarga adalah mulia. Biarpun bukan peranan sebenar buat mereka.

Walaupun masa berubah, kemuliaan martabat wanita tetap tugas dan peranan untuk seisi rumah. Biarpun ditakdirkan Allah perlukan masa untuk bekerja, tanggungjawab dan kebahagiaan sebuah keluarga tetap berada di pundak bahu mereka. Malah, ada suatu nilai seorang ibu tidak akan digantikan oleh seorang ayah dan orang gaji di rumah. Hanya mereka bergelar ibu layak menerimanya.

Itulah peranan emosi dan rohani pada tidak boleh dibeli di pasar raya dan pusat beli belah. Ia tetap tidak dapat dibayar dan ditukar dengan nilai wang manusia. Kerana hilangnya nilai ini dalam suatu keluarga, nescaya ada peluang besar untuk pecah belah.

Kerana itu, bagi ibu yang bekerja dan masih tetap berupaya memberikan masa sepenuhnya kepada ahli keluarga, itu adalah yang paling baik.

Tetapi, sekiranya lebih sibuk dengan pekerjaan dari berurusan hal ehwal keluarga, berfikirlah sejenak dan berbincanglah dengan tepat dan baik. Mungkin ada kerja dan peranan yang lebih sesuai untuk mereka. Sesuai dengan nilai yang Allah s.w.t ciptakan buat diri dan peranan sebagai seorang wanita. Malah, dunia hari ini bukanlah susah sangat fikir tentang ini semua.

Namun, yang paling penting, bantulah sedaya mungkin pada pekerjaan si suami. Sehebat manapun dia berdiri hari ini, pasti ada wanita yang hebat jua berdiri di belakangnya hari ini.

Jadi, usahakanlah apa yang termampu. Rezeki tetap terjamin oleh Allah buat hamba-hamba-Nya. Janganlah terlalu terdesak konon Allah s.w.t itu tidak tahu perihal hamba-Nya.

Ingatlah….

Dunia ini suatu hari pasti akan pergi. Dan setiap orang pasti akan mati. Dan, setiap tanggungjawab akan dipersoalkan Allah s.w.t . nanti.

Ahhh…. Terlalu ramai jiwa yang sakit. Terlalu ramai jiwa yang mati.

(…… Ya Allah, lindungi dan rahmatilah….)  

Ibuku….

Beliau seorang suri rumah sepenuh masa. Tugasnya seharian berada di rumah menguruskan keluarga dan anak-anak, dari mereka (dan tentunya daku sekali) kecil sehinggalah dewasa.

Waktu yang lain,  ibuku turut mengambil upah menjahit pakaian di rumah. Dari baju kurung ke baju melayu, semua ibu seorang yang menguruskan. Kadang-kadang tidur lewat dan tak cukup tidur untuk siapkan baju orang. Terutama ketika musim kenduri atau perayaan. Malah, baju melayu dan kurung keluarga semua ibu jua yang uruskan (itu yang banyak baju melayu) .

Namun, tidak sesekali dilewatkan waktu untuk urusan rumah tangga. Persis dan sentiasa disiapkan sebaik mungkin. Sekiranya daku nak nilai kerja dan tanggungjawabnya di rumah sehingga kini,mungkin sudah berjuta ringgit boleh diperoleh sehingga kini.

Sejak kecil sehingga sekarang, ibulah yang banyak mengambil berat perihal daku. Mungkin tidaklah terlalu mengetahui tentang hal peribadiku, tetapi dari segi makan dan minum, pakaian, urusan kerja dan belajar, rakan dan teman (sehinggalah bawa balik ke rumah) dan lain-lain lagi, ibulah orang pertama yang akan mengetahui terlebih dahulu.

Selalu bila daku telefon ke rumah, ibu akan bertanya,”nak balik rumah ke? Nanti boleh masak nasi lebih…” Hhhmmm… daku tersenyum sahaja mendengar telahan ibu. Setiap kali telefon ke rumah, perkataan itu tidak ketinggalan dalam sebutannya.

Iyalah, daku antara anaknya yang terdekat berada jauh dari rumah. Adik beradik lain tinggal lebih jauh sehingga ke Terengganu. Jadi, daku yang akan sentiasa pulang menjenguk ibu dan ayahku (walaupun hanya sebentar)  di rumah apabila kelapangan.

Sungguh, dalam jiwaku, baku bersyukur mempunyai ibu yang berhati mulia. Sering memberikan kelapangan untuk anaknya yang kerdil memilih jalan yang diimpikannya. Apabila melihat kasih sayang dan pengorbanan ibu yang tidak berbelah bagi, apalah daya daku untuk membalas jasa dan pengorbanannya. Untuk ketika ini, perjuangan ini insya-Allah daku teruskan sebaik mungkin. Hanya restu dan doa kalian yang daku pinta dihulurkan.

Terima kasih ibuku. Jazakillah khairan khathira di atas pengorbanan dan kasih sayangmu. Daku berharap sentiasa ingin menjadi anakmu yang taat dan soleh. Moga-moga setiap doa yang kuhulurkan, Allah s.w.t memakbulkan untuk menempatkan di sebaik-baik tempat buat ibu dan ayahku di syurga Allah s.w.t yang mulia.

Amin ya Allah… Amin….

🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: