Memiliki Jiwa yang Tenang

“Arrghh!! Kenapalah la aku jadi macam ini!”

“Sakit kepala aku Mairan. Semalam, aku baru selesai bayar hutang, hari ini mai lagi surat hutang. Macamana ni? Kepala sakit, hati lagi sakit…”

“Duit sudah banyak, harta pun dah bertimbun. Kereta BMW ada, rumah banglo ada, syarikat ada, isteri pun jelita, anak-anak pun dah berpelajaran. Tetapi, kenapa jiwa aku tak tenang?”

Dihentak kepala ke meja. Bukan sekali, tetapi dua tiga kali. Sekejap berjalan mundar mandir, sekejap melihat di jendela rumahnya.

Orangnya bukanlah miskin atau papa kedana, malah kaya raya. Bukan sikit hartanya, malah berlot-lot tanah dalam tangannya.

Orang lain melihat Dato’ Jasmon orang yang hebat dan bertuah. Sudahlah mempunyai keluarga yang sempurna, harta benda pula melimpah ruah. Bertambah hebat, ramai kenalan dan rakan niaganya dari kalangan korporat, wakil rakyat, sehingga mereka yang bergelar Dato’ dan Datuk Seri.

Itulah pandangan orang kebanyakan. Orang yang melihat dari siaran radio atau kaca mata televisyen yang ditayangkan.

Hakikatnya, masyarakat hanya melihat dari sudut luaran. Bukan tuan empunya badan.

Hatinya penuh kecelaruan. Fikirannya berserabut dengan 1001 urusan dan persoalan. Setiap malam fikiran kalut dan jenuh berfikir akan pelbagai urusan.

Tiada ketenangan.

Kesenangan yang sementara

“Di manakah ketenangan?” Getus hati Dato’ Jasmon suatu hari. Dahulu, dia membayangkan apabila harta sudah banyak, tanah sudah luas, isteri sudah jelita, dan anak-anak sudah berjaya, dialah yang orang paling bahagia. Puas dan tersenyum sentiasa.

Orang lain tentu sentiasa memuji, menghormati, berteman dan bersama-sama dengannya sentiasa.

Pada mulanya, memang itulah yang menjadi nyata. Apa-apa yang diharapkan benar-benar menjadi kenyataan. Selepas penat bekerja, tentulah ganjaran yang didapati. Setelah puas mencari, tentu dapat apa yang ingin dimiliki.

Tetapi, ternyata perkara yang menjadi kepuasannya itu tidak lama. Setelah sampai suatu tempoh, dia rasa seperti biasa kembali. Seperti masa tidak pernah dimiliki.

Kebahagiaan yang diharapkan hanyalah sementara. Setelah lama dalam genggaman, hilang sudah nikmat yang dicari.

Dia kembali berfikir, di manakah kepuasan dan kebahagiaan yang dicari? Mengapa tidak dirasainya kini?

Gelisah

Jiwanya gelisah. Kacau bilau.

Setiap masa terbayang rakan yang berani menipu dari belakang. Terbayang di kepala agenda pecah rumah dan rompakan. Terbayang keinginan anak isteri setelah dia menghadapi kematian.

Bukan mainan fikirannya sahaja, tetapi telah banyak kali terjadi dalam kehidupan Dato’ Jasmon. Ramai rakan dan temannya yang menghadapi perkara yang sama dan pelbagai masalah mula timbul setelah rakannya meninggal dunia. Tetapi dia tidak terlalu menghiraukan. Cerita orang, pandang sahaja sebelah mata.

Sejak kebelakangan ini, perkara buruk mula selalu terbayang di fikiran.Bertambah dengan setiap peristiwa yang berlaku di sana sini, semakin bertambah kebimbangan. Apabila terbayangkan pula kematian…

“Ahh tidak! Aku tak bersedia nak mati!”

Tertutup mata dalam kerungsingan. Mengharapkan wujud bayangan ketenangan dalam serabut kegelisahan.

 Di manakah ketenangan?

Bolehkah ketenangan diperoleh dengan harta? Jika benar, sudah lama bekas menteri Korea Selatan suatu ketika dahulu tidak bunuh diri.

Boleh ketenangan diperoleh dengan anak pinak? Jika benar, sudah ramai pakcik dan makcik tua tidak perlu menginap di rumah orang tua.

Bolehkah ketenangan diperoleh dengan suami berada atau isteri jelita? Jika benar, tiada istilah kahwin lari atua kes cerai yang melambung tinggi pada hari ini.

Ketenangan wujud atas kepentingan dunia? Jawapan itu hanyalah menurut hawa nafsu dan tertipu dengan keindahan duniawi. Apabila tidak didapati, itulah yang dicari, apabila telah digenggami, tiada lagi bernilai seperti dahulu lagi.

Jadi, di manakah sebenarnya makna ketenangan?

Ketenangan adalah anugerah Allah swt untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Apabila telah jiwa itu kembali kepada Allah, maka Allah menganugerahkan nilai ketenangan pada hamba-Nya.

“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath: 4)

Walau bagaimana status dan darjat mereka di dunia, mereka tidak terkesan dengan keadaan yang sementara. Bukan menilai suatu hari semua yang digenggami tentu akan pergi, tetapi hati mereka tidak terpaut untuk mengecapi.

Apabila hati sentiasa melihat adanya pencipta dan bukti kebesaran Allah, semua perkara adalah menjadi mudah. Terasa senang untuk dihadapi. Terasa tenteram walaupun begitu membebankan selama ini.

Tiada kegelisahan sekiranya orang lain lebih kaya daripada mereka. Tidak melarat sekiranya tidak makan dan serba kekurangan hari ini.Tidak sakit kerana cacian orang lain, tidak ter‘angkat’ kerana penghormatan dan pujian orang lain.

Carilah ketenangan dengan menghadap hati memuja dan memuji Allah. Hadirkanlah diri dalam majlis-majlis mengingati Allah dan rumah yang disukai-Nya. Bertemanlah dengan rakan-rakan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Lihatlah kalam Allah, pandanglah segala-galanya adalah dalam penciptaan-Nya. Kebesaran-Nya terbukti di mana-mana, dari seluas semesta alam, sehingga sekecil zarah dalam tubuh manusia.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d:28)

Tujuilah keinginan harta kepada mencari keredhaan Allah. Harta yang dibelanjakan kerana-Nya, terasa kelapangan jiwa menikmati pemberian-Nya. Bawalah anak-anak dan ahli keluarga kepada  ketaatan, berfikir dan membesarkan Allah s.w.t. Kehidupan yang berlandaskan kehendak-Nya, diberikan kekuatan jiwa yang tiada tolok bandingan segala jenis kesenangan dunia.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”  (Ar-Rum:21)

Hakikatnya, kemuncak ketenangan apabila terasa diri hanya mengharap redha Allah dan melihat wajah-Nya.

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau meredhai dan diredhai (di sisi Tuhanmu).”  (Al-Fajr:27-28)

Kerana, akhir dari perjalanan hidup ini (menuju Allah),

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau engkau meredhai dan diredhai (di sisi Tuhanmu) . Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku (yang berbahagia) . Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.”  (al-Fajr:28-30)

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: