Antara Kasih Sayang, Kejayaan, dan Kemewahan

Suatu ketika, daku terjumpa suatu catitan salah seorang rakanku menulis kepada rakannya yang lain.

Tulisan itu mengandungi intipati tali persahabatan atas dasar keikhlasan. Keikhlasan seorang kenalan untuk merapatkan hubungan dengan rakannya yang seorang lagi terpisah kerana ada perselisihan.

Malangnya, bunyi perjalanan itu seperti tiada jawapan dari rakan yang seorang lagi.

Apabila melihat keadaan sebegini, dalam diriku –sebagai pemerhati- ada rasa sedikit terkilan akan keadaan yang berlaku.

Daku respek (atau kata orang melayu kagum) dengan keihklasan rakan yang seorang ini. Hatinya ikhlas untuk berbuat kebaikan dan ibarat prinsip orang ikhlas, iaitu tidak mengharapkan balasan. Jika dipuji tidak meninggi diri, jika dicela tidak patah harapan. Dia buat sesuatu atas keihlasan hati, dan mengharapkan kebaikan sesama insan.

Cuma, daku terkilan dengan sikap rakan yang seorang lagi. Bukan ingin membuka hati sedikit pun terhadap rakan ini. Sungguhpun tidak mahu lagi bersahabat, janganlah menjadi musuh kepada sahabat. Berbuat baiklah dan terimalah seadanya. Mungkin ada khilaf dan salah dalam persahabatan, tetapi janganlah khilaf yang sementara, seperti bermusuh sudah selama-lamanya.

Mungkin dirinya bukanlah seperti sifat rakanku seorang ini, tetapi sekurang-kurangnya janganlah berbuat sesuatu sehingga menyusahkan orang lain nanti.

Orang kata, sekali sekala jadilah tangan yang menerima, bukan sentiasa mengharap orang memberi kepadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda: tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.

-teringat suatu cerita melayu. Si anak punyalah taat kepada ibu kerana berpegang kepada kata, ‘syurga itu di bawah tapak kaki ibu’, sedangkan si ibu sentiasa berbuat onar dan kerosakan kepada orang baik yang dia tidak suka dalam keluarga anak tersebut. Bila anak itu tegur sikap ibunya, boleh dia kata, “nak jadi anak derhaka? Syurga kamu di bawah tapak kaki ibu.”

Persoalannya, memanglah syurga itu pada anak yang taat kepada ibu bapa, tetapi si ibu tidak mahu masuk syurga kah? Teringin menjadi ahli neraka? (hhmm… tak faham betul fikir manusia ini….)

-jika bijak, relate kisah ini dengan kisah sahabat ini-

 

Ikhlash ialah

Berbuat sesuatu (perintah) kerana Allah

Meninggalkan sesuatu (larangan) kerana Allah

 

Antara Kasih Sayang, Kejayaan, dan Kemewahan

(Kisah ini daku petik dan olah dari sebuah majalah, yang entah mana boleh masuk dalam rumah.)

Dalam sebuah keluarga, tinggallah seorang ibu, ayah, dan anak yang comel bernama Amira. Mereka hidup bahagia dan gembira sentiasa.

Suatu hari, si anak kecil ini bermain-main di halaman rumah. Tiba-tiba dia melihat tiga orang tua yang berpakaian serba putih dan berjanggut putih. Lalu Amira memanggil bapanya untuk melihat dan membantu ketiga-tiga orang tua tersebut.

Kerana sayangkan anaknya yang comel, ayahnya menurut permintaan anaknya. Mereka pergi bersama-sama ke arah orang tua yang berada di bawah pokok luar pagar rumah.

Amira bertanya, “pakcik ingin pergi ke mana?”

Salah seorang daripada mereka menjawab, “pakcik saja-saja duduk di sini.”

Melihat keadaan itu, ayah Amira menjemput ketiga-tiga orang tua berpakaian serba putih itu masuk ke rumah mereka sebagai tetamu.

Tetapi, pakcik tadi berkata, “ tidak boleh, hanya salah seorang dari kami sahaja yang boleh berada di dalam rumah ini Jadi, anak pilihlah salah seorang daripada kami. Saya bernama Kasih. Sahabat saya ini bernama Kejayaan, dan yang seorang lagi bernama Kemewahan.

Jawapan tadi menimbulkan persoalan kepada dua beranak tersebut. Oleh itu, Amira, ayah, dan ibunya berbincang siapakah di antara mereka yang akan menjadi tetamu di rumah tersebut.

Ibunya menyatakan cadangan, “ kita jemputlah kemewahan.Mungkin nanti ada Kemewahan dalam keluarga kita.” Tetapi ayahnya berkata, “apa kata kita jemput yang bernama Kejayaan. Kemungkinan kelak dilimpahi kejayaan untuk kita.”  Masing-masing memberi hujah dan pandangan mereka, tetapi masih tiada kata putus. Kerana masih tiada kata putus, mereka bertanya pula pandangan kepada anak kesayangan mereka.

Dengan tulus dan ringkas, Amira menjawab, “saya suka pakcik Kasih.”

Kerana rasa sayang yang memenuhi kedua ibu bapa Amira kepadanya, mereka bersetuju dan menerima pandanga anak mereka yang comel. Jadi, orang tua yang bernama Kasih pun dijemput menjadi tetamu di rumah mereka.

Tetapi, Hairan! Setelah orang tua bernama Kasih dijemput, orang tua bernama Kejayaan dan Kemewahan turut berada dan bersama dengannya!

“ Ehh… tadi kata salah seorang sahaja yang dijemput. Tetapi kenapa sekarang sampai bertiga?” tanya ayah Amira yang masih terpinga-pinga.

Dengan senyuman, orang tua Kasih menjawab, “ memang benar wahai anakku. Sekiranya kamu memilih kemewahan, nescaya kasih dan kejayaan akan pergi dari rumah kamu. Sekiranya kamu memilih kejayaan, nescaya kemewahan dan kasih tidak akan berada bersama di dalam rumah kamu. Tetapi, sekiranya kamu memilih kasih, nescaya kejayaan dan kemewahan akan hadir dan sentiasa bersama-sama dalam hidup kamu.”

 

Ulasan:

Kasih sayang itu adalah fitrah. Kejayaan itulah buah daripada fitrah. Kemewahan itu adalah keinginan (nafsu) dalam fitrah.

Tanpa kejayaan dan kemewahan, fitrah tetap lahir dalam setiap insan. Kerana kasih sayang, seorang isteri sanggup berbanting tulang dengan suami untuk membantu keluarga. Seorang ibu sanggup bangun di awal pagi untuk melihat anak dan ahli keluarganya dalam serba mencukupi sentiasa.

Tetapi kerana mengejar kemewahan dan kejayaan, manusia boleh hilang arah dan hilang daripada fitrah (kasih sayang). Kerana inginkan nama dan pangkat, mereka sanggup pergi dan tidak pulang-pulang kembali kepada ahli keluarga. Kerana mengejar angan-angan untuk mewah, manusia sanggup berbuat kerusakan dan menjual maruah demi angan-angan yang tiada kesudahan.

Yang nyata, kejayaan dan kemewahan itu akan datang tanpa disedari apabila kasih sayang sentiasa subur dan berbuah dalam diri.

Insya-Allah

Semoga Allah sentiasa mengasihi dan menyayangi kita semua.

Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: