Merasai kasih sayang Allah

Kadang-kadang sering kali terlupa. Kerana dek kelalaian dan kecenderungan mengejar keinginan nafsu dan keprihatinan daripada manusia.

Tetapi, setelah segalanya pergi sama ada ingin atau tidak, rela atau paksa, ramai yang kembali mencari dan mengharap kepadaNya. Mengharapkan kekuatan di sebalik musibah dan dugaan.

Ketika itu, ramai yang mengharap kasih sayang Allah. Kasih sayang yang tidak pernah bertepi dan sentiasa diberi kepada hamba-hambaNya yang bernafas di muka bumi.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA…

Ketika semua manusia tidak berupaya untuk menjaga diri ketika tidur, Allah yang sentiasa memerhati dan menggerakkan fungsi tubuh supaya tidak berhenti sebelum tiba masanya. Dia memelihara dari sebarang gangguan mengikut pada kehendak-Nya.

Ketika manusia berusaha mencari rezeki, Dia yang memerhatikan usaha hambaNya dan memberikan kepada mereka akan usaha yang dilakukan. Walau orang itu tidak mahu berusaha, Dia tetap memberi rezeki melalui kesihatan, ketenangan, dan nikmat anggota badan.

Ketika makhluknya berbuat kejahatan, Dia tidak sesekali menghukum dan terus meluncurkan ke dalam ruang kebinasaan. Dia menantikan hambaNya bertaubat selagi pintunya terbuka. Dia melihat hambaNya datang kembali bersujud setelah diadakan ujian sebagai peringatan dariNya. Dia menciptakan sang hamba supaya mengenaliNya, bukan berpaling daripadaNYa.

Ketika hambaNya melakukan kebaikan, Dialah yang paling gembira. Lebih gembira dari seorang ibu berita kejayaan anak-anaknya. Lebih gembira dari seorang kekasih diberikan hadiah dari kekasih hatinya. Dia tambahkan lagi nikmat kepada hambaNya bila si hamba bersyukur, Dia janjikan nikmat yang tiada kesudahan ketika hambaNya yang banyak melakukan kebaikan.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA…

Betapa baiknya Allah! Walau tidak pernah meminta, Dia tetap memberi. Ditumbuhkan tumbuhan yang menjalar dan melata, supaya hambaNya di dunia ini menikmati makanan yang segar dan bersih dari bumi. Dihidupkan dan ciptakan beribu-ribu haiwan sebagai makanan dan ternakan kepada hambaNya di sini.

Betapa mulianya Allah! Dia menciptakan terik mentari supaya tersingkap cahaya memudahkan hambaNya melaksanakan tugas dan bekerja di muka bumi. Dimendungkan awan dan malam supaya hambaNya boleh berehat dan melepaskan penat lelah bekerja di siang hari. Diturunkan hujan supaya hambaNya tidak kekeringan dan kehausan kerana tiada RO atau water cooler di kediaman atau pondok usang perkampungan.

Betapa kasihnya Allah! Apabila hambaNya berduka cita, Dia hiburkan dengan keindahan alam, kecikan burung dan deruan air yang tiada sesiapa boleh melakukannya. Apabila hambaNya hilang punca, Dia menyampaikan melalui rakan taulan dan hubungan keluarga. Bila hambaNya tiada petunjuk, Dia menyampaikan melalui solah dan mukjizat al-Quran yang tiada sesiapa mampu mengubahnya sehingga ke hari ini.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA….

Dukacita melihat hambaNya jauh daripadaNya. Sering kali disampaikan peringatan dan teguran, tetapi masih leka dan tidak mahu kembali kepadaNya. Masih lagi suka berfoya-foya, membuang masa, melakukan maksiat dan mencela orang beriman kepadaNya. Dia menyeru mereka untuk berjumpa sang hamba kepada Allah tetapi masih berdegil dalam dunia yang binasa.

Kecewa dengan tingkah laku hambaNya. Dikatakan janganlah melakukan kerosakan, dia tetap lakukannya. Ditegah jangan menyampaikan fitnah, mengumbat, bersangka buruk, mencela, dan mengutuk, tetapi tetap juga tidak sedar diri dan ego untuk terus tidak memperbaiki diri. Dikatakan janganlah menzalimi orang lain dengan kedekut, riba, menindas, dan berdusta, dia tetap lakukan supaya dirasakan ada kekuasaan dan kesenangan hanya pada dirinya sahaja.

Marah dengan hambaNya yang tidak mahu bertaubat walaupun sudah lanjut usia. Kaki sudah tempang, uban sudah tumbuh, masih kekar lakukan kemungkaran dan berada di lembah-lembah neraka. Sudah sempit rumah dan tiada tanah berpijak, masih lagi mencuri dan melakukan kerusakan terhadap manusia lain. Tetap tegar dengan kesombongan dan keangkuhan.Sanggup berbuat onar kepada wanita, anak, dan orang tidak berupaya hanya nikmat sedikit yang diberikan olehNya!

ALLAH SUBHANU WA TAALA…

Tidak pernah memungkiri janjiNya. Selagi hambaNya melakukan ketaatan dan kebaikan, selagi itu janjiNya akan ganjaran kebaikan dan kenikmatan dalam pandangan hambaNya. Selagi itu hambaNya melakukan kejahatan dan kezaliman, selagi itulah jua lohong kepanasan dan azab dalam bayangan si hamba.

Tidak pernah menzalimi hambaNya. Nikmat yang dikurniakan setiap orang berbeza, menyatakan orang tersebut banyak hisab dan berat pertimbangan di neraca sana. Sedikit nikmat dan keperluannya, kurang hisab dan pertimbangan di sana. Usaha tetapi tidak mencapai, sungguh Allah mengetahui perkara yang lebih baik buat si hamba. Usaha tetapi mudah mencapai, sungguh banyakkanlah bersyukur dan mengabdikan diri kepadaNya.

Tidak pernah berputus asa. Selagi hambaNya kembali kepadaNya, pasti ada keampunan dariNya.

Tidak memerlukan sesiapa. Berbuatlah banyak manapun kebaikan, tiada Dia semakin bertambah kuasa dan keagunganNya. Berbuatlah banyak mana keburukan dan kemungkaran, tiada Dia berkurang dan binasa. Segala amalan baik atau buruk adalah untuk hambaNya. Amalan baik dibalas kebaikan, amalan buruk dibalas keburukan.

YANG MAHA KAYA

Dia tidak pernah memerlukan sang hamba, tetapi hambaNya sentiasa memerlukan Dia.

YANG MAHA MELIHAT

Walau di mana-mana hambaNya bersembunyi, Dia sentiasa memerhati dan menilik apa yang berada dalam hati hambaNya.

YANG MAHA MENDENGAR

Bersuaralah walau di dalam hati atau di penghujung dunia, Allah sentiasa mendengar bisikan suara hamba-Nya.

YANG MAHA MENGETAHUI

Hatta hambaNya hanya mengelus dan terlintas dalam hati, tiada Dia tidak mengetahui dan bersembunyi.

YANG MAHA PEMURAH

Diberikan segala curahan nikmat dan kasih sayang dari sifatnya kepada hamba yang taat atau tidak, untuk mereka merasai kesenangan dan toleransi sesama mereka.

YANG MAHA PENGASIHANI

Bukti kesayangan Allah pada hamba yang taat kepadaNya. Kelak, diberi ganjaran yang lebih baik dan sempurna, yang Dia sentiasa mengagung-agungkan nikmat buat hambaNya, di dalam kalamNya.


Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”  
(Al-Baqarah 2:143)

“Bukanlah Dia yang lemah, tetapi manusia itu yang sangat lemah kerana tidak mahu mengenaliNya.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: