Berleluasanya kerusakan ini…

Kadang-kadang terdetik dalam setiap diri, “adakah perbuatan ini kerana kesalahanku?”

Sedang melihat akhbar dan media, melihat berita kerosakan dan moral masyarakat. Terdetik, “apakah kesalahan mereka? Adakah kerana kesalahanku?”

Berlaku maksiat dan kemungkaran merata-rata, lelaki dan wanita jauh daripada Allah dan taat kepada ad-din. Tertanya-tanya, “Mengapa perkara ini berlaku? Mengapa tiada orang peduli akan berat hisab akan semua kemungkaran yang berlaku di dunia ini.”

Ke manakah setiap orang amalan ini akan pergi selepas mati? Adakah di sini penamat segalanya dan tiada lagi jalan untuk kembali (kepada kebenaran)?

Hidup orang moden….

Keadaan begini sebenarnya terlalu berat. Berat kerana kekurangannya membawa kepada orang lain.

Ia sebenarnya bagai suatu virus, terus bertambah dari semasa ke semasa, dan membawa ke natijah yang lebih besar pada masa hadapan.

Virus ini tidak hanya berlaku pada diri, tetapi merebak dalam keadaan yang tidak sedar telah berlaku kepada orang lain.

Ia berjangkit sikit-sikit. Ikut sikit, lama-lama jadi lebih.

Sebagai contoh, hari ini hanya anak Mak Siti pakai ketat dan seksi. Anak Pak Berahim pula pakai singlet dan seluar pendek masuk kampung.

Orang melihat sahaja kelibat mereka, mengumpat sahaja dari belakang, dan berkata, “itulah gelagat orang bandar.”

Orang tua-tua hanya berani berkata itu ini di kedai kopi, mengata dari mulut ke mulut perihal manusia hari ini. Tetapi, bagaimana gelagat orang muda?

“Uishh… cantik juga Zaleha ini. Dulu, nampak nerd dan kolot ja. Jatuh cinta dah aku dengan dia ni…” Bisik hati Samad.

“Kau tengok, bukan main cantik lagi Leha sekarang. Mana dia buat? Mana dia beli baju macam tu?”

Orang muda melihat dari selera, keinginan, dan potensi yang mereka ada. Orang tua sentiasa ingin mempertahankan tradisi mereka tanpa mahu mengubah apa-apa.

Saling berfikir atas kehendak sendiri. Lama-lama virus dari seorang mula tersebar di segenap penduduk kampung.

Jika dulu hanya orang muda berubah dari baju kurung ke baju ‘mengurung’ diri, kini makcik dan golongan tua turut sekali.

Tahun 2000-an.

Awal tahun 2000, daku sentiasa berada di pasar minggu kampung sana kerana urusan berniaga. Menolong sikit-sikit rakan dan jiran tetangga meniaga ketika sedang bercuti.

Setiap minggu, rakai orang akan berkunjung ke situ. Dari anak kecil sehingga ke nenek, masing-masing berkunjung di lokasi sama. Biasalah, hujung minggu dan sekali sahaja setiap minggu, maka ramailah yang datang.

Waktu itu, daku masih kecil. Melihat makcik dan anak muda berbaju kurung dan bertudung bawal. Itu adalah suasana biasa apabila orang masuk ke pasar.

Suatu ketika, ada satu, dua atau kelompok kecil manusia yang berpakaian ‘pelik’mula masuk pasar. Mereka ini berbeza. Orang pakai baju macam lain, diorang ini berani berpakaian lain. Tayang sana sini, ketat pula tu..

Ketika itu, telah terdetik dalam minda. Perubahan semakin datang di sini… suatu hari nanti…

Tahun ini…

Ya, segalanya telah berubah. Dari berbaju kurung dan sopan pandangan mata, kini semua asyik memakai baju t-shirt lengan pendek, seluar jeans ketat,  blaus jarang, tudung singkat, dan berambut pelbagai warna.

Jika dilihat dari pandangan atas, dulu terlihat ayu manusia berjalan dengan tudung putih dan lain warna di kepala. Kini, sesak dada ramai yang berjalan menonjolkan benda yang tidak sepatutnya.

Ingat sudah masuk hollywood.. rupanya masih di kampung kayu (villagewood). Berubah kerana akhbar dan media.

(Bila semakin dewasa, dah jadi konfius… apa bezanya permata berharga dalam keluarga, sekiranya sudah tersebar permatanya kepada orang bukan ahli keluarga?)

Virus yang menular…

Ia semakin merebak. Jika dahulu hanya orang yang melihat,kini anak yang kecil pun sudah tahu. Jika dulu hanya orang bandar, kini orang kampung pun dah ‘maju.’

Maju atas perkara yang jauh dari agama. Maju untuk bagaimana hari ini praktis untuk melanggar perintah dan larangan Allah SWT.

Virus ini bagai tiada orang yang tahu bagaimana ingin membendungnya. Bagaimana ingin menjauhkan ia dan mengawal ini semua.

Semua orang melihat kepada kapitalis modenisasi. Malah, tiada dalam ajaran Ilahi atau sunnah Nabi.

Yang nyata, semua ini bermula dari orang yang tidak kenal dengan Islam. Dan protokol pembuatan dari mereka yang bermusuh dengan Islam.

Hari ini, semua ini seperti tiada apa-apa. Biasa sahaja. Tidak kira apa-apa agama atau bangsa, tetap memakai dan praktis akan perkara yang sama. Nauzubilahi minzalik.

Dulu, orang risau fikiran liberal yang merosakkan akidah. Kini, patut dirisau amalan liberal yang lagi membahayakan akidah.

Teringat akan wasiat Baginda dalam haji wida’:

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka, berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.”

Berhati-hatilah. Mungkin nampak perkara ini kecil, tetapi perkara kecil inilah yang menyesatkan lelaki dan wanita hari ini.

Yang nyata, semua ini bermula akan suatu perkara,

Apabila manusia telah terkesan dengan keindahan pada dunia, maka akhirat/agama tiada nilai di sisinya. Apabila manusia meninggalkan peranan mengajak yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, maka kemungkaran semakin berleluasa dan ma’ruf menjadi segan di depan mata. Apabila manusia tidak mengamalkan peranan agama, makin lama makin hanyut dengan kehidupan dunia sehingga lupa kematian seniasa berada di depan mata.

Terfikir…

Bagaimanakah lagi keadaan masa depan nanti?

Di zaman yang berbeza. Semua berubah…

Bukan berubah dari dekat dengan agama. Tetapi, berubah bagaimana ingin memajukan dunia dan nampak cantik hanya di depan mata.

Ya, hanya di depan mata. (Jika buta, ada peduli ini semua?)

Hanya kerana satu nikmat kurniaan Allah untuk melihat kebesarannya, tetapi hari ini di salah guna untuk tidak mentaati-Nya.

Astaghfirullahal a’zim…

Terfikir lagi…

Bagaimana pula keadaan setelah bertambah bilangan ahli keluarga? Ada isteri, saudara mara, dan anak-anak?

Adakah mereka akan terselamat dari semua ini? Bagaimana ingin menghindar pengaruh dan penyakit ini?

….. Entahlah. Semakin fikir semakin risau akan kerusakan yang bukan perintah Ilahi atau seruan Nabi. Hanya yang mampu dilakukan, beramal soleh dahulu, berbuat yang ma’ruf,menghindari yang munkar, sentiasa memohon perlindungan Allah dari semua jenis kemaksiatan dan kerosakan.

Kerana, hanya Dialah yang Maha Melindungi, hanya Dialah yang Maha Memelihara.

Ya Allah, selamatkanlah…

-teringat pesanan ulama’ akhirat.Untuk menghindarkan kerosakan dan kemungkaran umat, sentiasa dengar hadith Nabawi dan firman Allah tentang kelebihan amalan bersama seisi rumah. Ambillah masa dari 20 minit sehingga 30 minit setiap hari. Istiqamah diamalkan, insya-Allah rumah akan gemilang nur rahmat Allah dan terhindar dari 40 jenis majlis lalai pada seisi rumah.

-hujung minggu tiada di sini. Mengislahkan jiwa dan hati menuju jalan Ilahi. Terlalu banyak bintik-bintik hitam di sana sini, terlalu banyak kebarangkalian menambah bintik hitam dalam hati. Islah, moga-moga bertaut kembali hati kepada Ilahi dan bersihkan jiwa dari kerosakan ini.

Mendoakan jua semoga segalanya sihat, ceria, dan dirahmati Allah sentiasa.

Insya-Allah.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: