Hikayat Khalifah Allah

Salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia!

Alhamdulillah, setelah beberapa hari berlalu, akhirnya kembali hamba ke laman ini. Mencoret, mengkritik, dan membuahkan pandangan. Moga-moga ada mata yang melihat terkesan dan kembali kepada fitrah mulia pembangunan insan.

Beberapa hari yang lepas, hamba Allah ini korbankan jiwa, harta, dan masa, untuk berdiri dan mengukuhkan kaki di jalan menuju Allah SWT. Mengislahkan jiwa dari kesibukan yang berpanjangan untuk sementara, moga Allah SWT yang menciptakan masa dan jiwa hamba ini mempermudahkan untuk laksanakan setiap usaha dan amalan pada hari seterusnya.

Selain mentazkiyah hati, jua untuk mentarbiah diri pada diri seorang manusia berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini. Bagaimana peranan kita sebagai manusia, apa yang sepatutnya setiap manusia lakukan untuk mentadbir masa dan dunia yang memang telah dipertanggungjawabkan untuk kita.

(Pertanyaan:

Adakah hanya daku seorang sahaja yang perlu lakukan? Penting ke? Macam isi masa lapang sahaja….

Sebenarnya… Penting! Bukan untuk mengisi masa lapang atau hanya untuk sendirian, tetapi semua manusia perlu berdiri di atas jalan yang sama, dan mengenali hakikat siapa diri ini sebenarnya.

Masalahnya… kefahaman bukanlah boleh daku berikan. Semuanya dalam genggaman Dia kepada hamba yang ingin diberikan. Jadi, mohonlah kepadaNya semoga Dia memberikan kepada anda. Wallahua’lam…)

Apakah itu khalifah?

Semua orang mengetahui Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah, tetapi tidak ramai yang memahami apakah sebenarnya peranan seorang khalifah menurut rencana dan ketetapan Allah.

Seorang berpandangan, khalifah perlu memegang tampuk pemerintahan.

Seorang lagi berpandangan, khalifah ialah orang yang kaya dengan ilmu dan berkembang minda dan memajukan negara dengan ilmu pengetahuan.

Seorang lagi berpandangan, khalifah untuk kembali kegemilangan Islam di zaman kegemilangannya, dan bersiap sedia menanti al-Mahdi, untuk berperang dengan kuffar.

Menurut merekalah. Hamba ini hanya menyampaikan sekadar sebahagian kisah manusia dalam kehidupan.

Perkara ini hanyalah perkara cabang dari makna khalifah. Hal ini kerana khalifah tarbiyah Allah bukanlah untuk memajukan dunia dan melupakan kebesaran Dia. Khalifah tarbiyah Allah ialah membawa semua manusia mentadbir dunia yang dipinjamkan buat sementara untuk beriman dan kembali mengagungkan Dia.

Kerana,

Bukankah Allah menciptakan kita-sebagai manusia- untuk beribadah kepadaNya? (Ibadah bagaimana? Panjang persoalan ini. Yang penting, konsep ibadah yang paling utama.)

Bukankah Allah menyeru manusia semenjak dari alam ruh akan Dia sebagai tuhan yang Maha Esa?

Bukankah Allah menyeru manusia untuk setiap berharap dan berhajat kepada nikmat syurga dan menghindarkan diri dari azab neraka?

Bukankah Allah  menyeru manusia supaya pada setiap perbuatan dan amalan kepadaNya?

Jadi, setiap persolan ini sebenarnya mengharapkan manusia diciptakan untuk berperanan membawa semua jenis makhluk, tak kita manusia, jin, tumbuhan, mahupun haiwan untuk mengEsakan Dia. Bertanggung jawab mentadbir alam ini berdasarkan usaha dan amalan mereka mengikut acuan yang begitu sempurna dari Allah yang Maha Bijaksana.

Cuba Fikirkan. Apakah kehendak Allah kepada manusia  –yang diseru sejak dari alam ruh bertuhan dan beriman kepada Dia- boleh berubah apabila ditugaskan menjadi khalifah Allah di muka bumi ini?

Kenapa pula dihantar khusus para anbiya’ dan rasul setiap zaman mengingati akan ketauhidan pada Tuhan yang Maha Esa, dan beriman dengan sepenuh yakin kepada-Nya?

Kenapa ketika akhir zaman ini tiada lagi nabi diutuskan?

Kenapa umat akhir zaman ini berpecah dan mempunyai pelbagai ikutan dan hilang arah dan panduan?

Setiap persoalan ini ada jawapannya. Jawapan yang pasti dan hanya diketahui apabila mengenali diri dan mengenali Dia.

Hakikatnya, hikayat khalifah Allah bukanlah terletak pada kuasa tampuk pemerintahan, bukanlah terletak pada ketinggian tamadun ilmu pengetahuan, bukanlah terletak pada kuasa pedang untuk menuju peperangan. Tetapi, terletak pada kesepaduan hati menuju Allah, saling memberi peringatan semuanya menuju Allah, dan mencegah jiwa dari takluk pada kemewahan yang bukan Dia yang menyerukan.

Sejarah telah melakarkan segala-galanya. Bagaimana tarbiyah insan pilihan mengembalikan manusia yang bersifat kasar dan batak, menjadi hamba Allah yang mulia serta dunia (apa-apa sahaja) berada di bawah tapak kaki mereka.

Apakah rahsia mereka?

Jeng… jeng… jeng…

Rahsia.

-masalahnya… manusia tidak mahu mengambil risiko menjadi hambaNya yang beriman dan bertakwa. Menyibukkan diri selain daripada Dia. Rumahnya yang mulia direndah-rendahkan dan diangkat label ‘masjid’ kerana harga pembuatan dan kos pembinaan, kerja- bukan mengingati Dia- didahulukan, agama diasingkan dari kehidupan, al-Quran hanya bacaan kanak-kanak bukanlah sebagai panduan dan rujukan. Muhammad SAW? Entahlah. Dengarnya selalu menyambut maulud, tetapi aktiviti harian tidak seperti adanya kecintaan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: