Lain Padang, Lain Belalangnya…..

“Hadi, aku pelik lah. Tengok tabiat orang kaya zaman sekarang. Tiap-tiap tahun pergi haji dan umrah. Bukan diorang tak tahu, ramai lagi orang sekeliling yang lebih terasa tak dapat pergi haji, lambat dapat tawaran, tiada kemampuan, tiada itu, kurang ini. Tak terfikir ke orang-orang kaya ini kepada mereka? Haji wajib sekali sahaja. Yang nak pergi lebih itu buat apa? Hari itu pun ada ustaz yang kritik akan perkara ini. Lebih baik sedekah dan hadiahkan sahaja kat orang yang lebih memerlukan. Dapat pahala menolong dan untung-untung pahala haji sama seperti orang yang menolong.”

Hadi terdiam. Berfikir.

Ayahnya jua orang berada. Ada jua ayahnya mengungkit seperti mempersalahkan mereka sahaja akan perkara ini.Setelah beberapa ketika, Hadi pun bersuara,

“Benar kata kamu. Lebih baik memberi kepada orang yang lebih memerlukan daripada seronok pergi sendiri-sendiri. Mungkin ada sahaja seperti yang ibarat ‘melancong’ setiap tahun.Tetapi, ada beberapa perkara yang kamu agak terkurang jelas. Ini berkenaan nikmat dan kurniaan yang Allah beri kepada setiap orang.”

“Orang kaya bukanlah berfikiran dan berpengalaman seperti orang miskin dan orang yang kurang berupaya. Mereka yang tidak beroleh nikmat kekayaan bolehlah berkata sesedap hati kerana mereka tidak berada dalam kondisi ujian atau nikmat seperti orang berada.”

“Sebenarnya, kita kena rasa bersyukur kerana cukup baiklah orang yang kaya ini pergi haji dan umrah saban tahun. Kerana mereka telah sediakan harta dan diri untuk mengerjakan perkara kebaikan. Malah, kita sendiri pun tidak ketahui di mana lagi harta yang dibelanjakan selain pergi umrah dan haji.

“Hari ini, ramai orang kaya tidak berfikiran dan tahu untuk berbuat perkara seperti ini. Malah, banyak kali terdengar orang kaya yang buat itu, buat ini, maksiat sana, maksiat sini, dan ada juga yang lebih teruk dari ini.”

Hadi terdiam sebentar. Hakim hanya mendengar. Ingin dia bersuara kembali, tiba-tiba Hadi kembali menambah,

“Kemungkinan jua dengan asbab kebaikan yang mereka mampu ini menjadi titik tolak untuk menambah amal kebaikan yang lain. Mungkin kerana terkesan dengan suasana atau menerima hidayah Allah di sana, mereka lebih suka untuk berbuat kebajikan dengan menderma, membantu, dan sebagainya kepada orang lain.”

“Kita jua kena fikirkan. Mereka bukanlah berada dalam situasi kita. Mereka tidak berfikiran sama seperti kita. Kita pula tidak berada dan mengalami seperti mereka. Jadi, tentulah fikiran mereka adalah berbeza dengan kita. Hanya, orang yang menghadapi ujian sahaja mengetahui bagaimana sukar dan sulit untuk menurut sebiji-sebiji seperti orang yang tidak menghadapi ujian.”

“Dan, kata-kata kamu itu sebenarnya benar, cuma cara dan hujah itu kenalah berpada pada tempatnya. Kita kena berhikmah untuk menyampaikan akan perkara ini. Mula dengan first step dahulu, berterusan bertemu dan berbuat baik dengan mereka sehingga dia sedar dengan sendiri atau menjadi perantaraan kita kesedaran itu datang tentang perkara yang terjadi.”

Akhirnya, Hakim mengiyakan kata Hadi. Memang benar, dirinya hanyalah orang luar, bukan orang yang mengalami.

Kemudian dia menambah,

“Betul juga ya. Dalam method dakwah pun ada beberapa kaedah tertentu apabila berhadapan denga situasi atau orang yang tertentu. Bukan boleh semua sama, ikut ‘dan’ sahaja.”

Ya. Hadi mengangguk tanda setuju.

Teguran, hujah dan kritikan.

Perkara ini adalah biasa terjadi dalam rona-rona kehidupan. Kritikan, pandangan, dan hujah bukanlah suatu yang asing kedengaran.

Hanya, kebiasaannya manusia sentiasa mengkritik atau memberi pandangan akan perkara yang dia tidak gemari. Seperti ada yang tersilap dan terkurang akan seseorang atau kebendaan, mulalah menyampaikan hujah atau kritikan tertentu sebagai tanda bantahan atau ingin menyatakan kebenaran yang perlu dilakukan.

Namun, tidak semua hujah atau pandangan itu benar pada tempatnya. Contohnya, seperti dialog dalam petikan tadi.

Hujah benar, tetapi bukan pada tempatnya.

Sebagai misalan yang lain,

Ada orang kritik ‘pedas’ dan berdesing kepada orang yang bercouple atau dressing sampai sakit mata dan bergelora nafsu. Antaranya yang mengkritik ialah kaum lelaki yang ‘geram’ apabila memandang atau orang keagamaan yang jelas merasa tidak elok di pandangan.

Sebenarnya, adakah mereka (yang couple dan dressing) ini sahaja yang bersalah dan menerima dosa yang dilakukan? Adakah mereka sahaja yang perlu dipersalahkan?

Pada pandanganku,

Tidak. Bukan hanya mereka berhak dikatakan salah.

Hal ini kerana,

Mereka yang ter’kurang’ ini berada dalam dua keadaan.

1)      Orang yang jahil agama.

Mereka memang tidak pernah dididik dengan ilmu agama. Dari rumah, sekolah, pekerjaan, sehingga alam rumah tangga, satu pun tak pernah ditekankan akan peri pentingnya akhlak dan ajaran agama.

Memang namanya Islam, dan agama Islam. Tetapi, tiada dalam fikiran, kerana tidak pernah belajar atau tak peduli apa belajar ketika di sekolah tentang Islam.

Yang dia sering lakukan kerana, orang suruh itu ini, begitu begini. Ikut sahaja seperti orang lain tanpa tahu apa kepentingan, hukum hakam, dan manfaatnya.

Jadi, tiada langsung kenal dan sedar di mana batas agama.

2)      Orang yang tahu tetapi tiada kesedaran untuk perubahan.

Orang yang dalam kategori ini memang nyata mereka bersalah. Sudah tahu, tetapi buat macam tak tahu.

Jadi, dosa itu nyata ditanggung oleh mereka kerana menurut sahaja hawa nafsu dan godaan syaitan.

Kenapa telah mengenali tetapi tidak beringat dan sedar akan perkara iman?

Jadi, tanggung jawab untuk yang melihat dan yang berpengetahuan untuk menegur dan membetulkan keadaan mereka. Sampaikan dengan kadar iman yang mampu, bukan hanya menutup sebelah mata. Satu lagi, jangan terlalu berani sangat seorang, lebih baik berdua atau bertiga.

Dan, jangan terus tegur kesilapan mereka, tetapi kenalilah latar belakang serba sedikit dan bermesralah terlebih dahulu dengan mereka. Kemudian, selitkanlah cerita atau perkara kebaikan, kebesaran Allah atau pengorbanan orang-orang terdahulu. Biar hati dan sanubari mereka lembut untuk menghayati betapa indahnya hidup beragama yang diredhai oleh Allah Taala.

Kemudian, barulah menilai kekurangan mereka. Ketika ini, kesedaran akan kesalahan (tanpa menjegilkan mata atau menatap tajam-insya-Allah-) tiba, apabila hati telah mengakui betapa indah dan tinggi nilainya institusi agama (yang jarang orang berkata-sensitif….)

Kepada orang yang cuba bersuara,

Jaga mata, hati, dan kemaluan anda.

Tegur-tegur juga, jangan nanti jadi fitnah dan ternoda dosa jiwa di sisi Allah SWT.

-Belajar dan belajar lagi kerana Allah Subhanahu wa Taala.

(nak bagi contoh sahaja, terlebih pula…)

Kebiasaan atau Pengalaman.

Ini adalah perkara kedua.

Orang biasanya akan suka berkata apabila itulah yang biasa diperkatakan dan difikirkan (sendiri atau bersama teman). Maka, mereka ini berkata (atau menulis) mengikut kebiasaan.

Ada jua orang yang berkata mengikut pengalaman dalam kehidupan. Mereka mengalami dan menceritakan kembali melalui lisan atau penulisan. Jelas, mereka ini pula berkata mengikut pengalaman.

Namun,

Tidak semua yang berkata (sama ada biasa atau pengalaman) itu baik didengari. Ada jua duka duka yang tidak disedari.

Orang yang biasa berkata akan perkara yang sama, baginya tiada apa-apa. Tetapi, belum tentu orang yang melihat atau mendengarnya. Boleh jadi ada yang terasa pedih dan pahit di sebalik kata-kata yang kebiasaan bagi dirinya.

Dan, mungkin orang yang mengalami terasa biasa untuk bercerita pengalamannya. Namun, belum tentu pengalaman itu manis kepada orang lain yang mendengarnya. Mungkin ada yang terasa pahit dan kecewa.

Oleh itu,

Dalam keadaan seperti ini, kena jua perlu berpada dalam berkata-kata. Lihatlah pada orang yang melihat, atau pihak yang mendengar. Kemungkinan mereka bukanlah seperti anda yang telah menjadi kebiasaan atau berpengalaman akan sesuatu perkara.

Selidik dan perhatikanlah dahulu, agar tiada terasa terkurang atau ‘pahit’ di jiwa selain daripadanya akan suatu perkataan.

Justeru,

Lain padang, lain belalang.

Sekiranya terkurang atau tersalah dalam  suatu perkataan, bukanlah berniat dan harap dimaafkan.

Insya-Allah, belajar lagi dan lagi untuk sentiasa memperbaiki diri dan sebagainya lagi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: