JAUHI 20 Perkara Untuk Mencari Keredhaan Allah (Bahagian 2)

Keenam : Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita akn dikongsi syaitan.

Dari ‘Amr bin Abu Salamah radhiallahu ‘anhuma, katanya:

“Rasulullah SAW  bersabda kepadaku:  “Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya:

“Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu.’ Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: “Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i)

 

Ketujuh : Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik.

Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah.

“Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah”

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)

Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.

 

Kelapan : Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah sahaja.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Jika engkau memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan.  Jika engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)

 

Kesembilan : Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman maksudnya :

” Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.”( Surah An-Nur ayat 30-31 )

 

Kesepuluh : Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.

Rasulul­lah SAW  bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesung­guhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

 

Kesebelas : Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :

“Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, (dengan) memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah).”

Justeru itu bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah diperbaharui dari semasa ke semasa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, sama ada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

 

Kedua belas : Jangan ego (sombong)  untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta maaf dan merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat terbaik terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga sifat orang mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang dirasakan bersalah .

Di dalam surah al-Isra’, firman Allah yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uf”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

“Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”(Hadis Riwayat Bukhari)

 

JAUHI 20 perkara untuk mencari keREDHAan Allah (Bahagian 3)

 

Ketiga belas : Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan dan hilang bahagia.

Dari Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah  bersabda yang bermaksud,

” Tahukah kamu apakah ghibah? Jawab sahabat, “Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. ” Maka Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , “Ghibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah.” Lalu Rasulullah SAW ditanya,” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “Jawab Rasulullah SAW ” Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

 

Keempat belas : Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Thalaq ayat 3).

Kelima belas : Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT dan kematian yang buruk.

Rasulullah SAW bersabda:

“Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Hadis Riwayat Al Khatib)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :

“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda :

“Apabila mati anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”(Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi SAW bersabda maksudnya :

“ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Keenam belas : Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

Suatu ketika, Rasulullah SAW berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud:

“Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang bermaksud:

“Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita.”

Ketujuh belas : Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.wajhah. yang bermaksud :

“Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :

“Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

Kelapan belas : Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Allah SWT.

Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi difitnah sungguh mustajab di sisi Allah SWT.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :

“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah.”(Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara.”(Hadis riwayat Hakim – sanad sahih)

Kesembilan belas : Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Anggaplah kesukaran di dunia adalah bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 87).

Sabda Nabi SAW maksudnya;

“Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. “

 

Kedua puluh : Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”(Hadis Riwayat Abu Syeikh)

Marilah sama-sama kita tinggalkan dan jauhi 20 perkara keburukan semata-maat untuk mencari keredaan Allah SWT. Hidup di dunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Pertingkatkanlah amal-amal soleh kita dan jauhi kemugkaran, maksiat, perkara syubhat dan makruh supaya kita menjadi mukmin yang bertakwa dan dikasihi oleh Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: