Pengharapan itu Hanya KepadaNya.

“Hazim, aku idamlah nak beli kereta baru tu. Cantik lah aku tengok.”

“Jarih, jom aku belanja kau makan kat Restoran Busju sana. Hari ini ada special offer. Rugi tau kalau tak pergi!”

“Amin, belajar baik-baik ya. Nanti bila besar boleh kerja bagus, dan kehidupan yang baik.”

“Niah, tolong belikan aku nasi bungkus satu, ayam lebih ya!”

Setiap hari ada sahaja terdengar ungkapan harapan dari setiap insan. Mengharapkan agar dipenuhi keinginan yang tersimpan agar mencapai kehidupan yang lebih baik dan beroleh ketenangan.

Bukan sahaja manusia yang mengharapkan sesuatu, tumbuhan dan haiwan turut mengharapkan sepertimana manusia. Bezanya, mereka tak boleh berkata-kata untuk menyampaikan hajat. Jika tidak, habis terkejut dan beristighfar sahaja manusia melihat kehebatan Tuhan.

Ini kerana ia melanggar sunnatullah, yang menetapkan tiada kedengaran suara dari makhluk lain selain bunyi sahaja.

Dan ini petanda kemuliaan manusia. Memang mulia, malangnya menjadi lebih hina daripada mereka (makhluk lain).

Mulia menjadi hina? Apasal pula?

Kerana,

Makhluk lain mereka sentiasa bertasbih dahulu kepada Allah. Mereka sentiasa berzikir dan mengEsakan Allah. Apabila terbit sesuatu permintaan atau keinginan, dalam ungkapan tasbih itu kedengaran harapan mereka (yang tentu manusia tak mendengarnya).

Tetapi manusia,

Minta juga. Tetapi siapakah yang meminta itu didahului dengan tasbih/mengingati Allah? Siapakah yang apabila meminta sesuatu dapat melihat hajatnya diketahui oleh Allah?

Lebih ramai yang meminta, tetapi makhlukNya. Akhirnya, tiada pandangan kepada Allah, jauh lagi nak sentiasa ibadah khusus kepadaNya.

Sehingga solat pun nampak mengharap pada manusia (padahal sedang berdiri melihat dan berdepan dengan sang MahaRaja).

Susah nak bina yakin sepertimana makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan. Kerana, makhluk lain tiada akal fikiran. Jadi, mereka menerima dan taat apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Manusia pula diberikan kelebihan ini, iaitu akal fikiran. Peliknya, akal guna untuk fikir dan zikir lebih baik makhluk lain, jadi terbalik pula. Akal itu pula guna untuk penuhi keinginan nafsu yang menjadikannya lebih keji, buruk, dan hina daripada tumbuhan dan haiwan.

Nauzubillah….

(Ya Allah, lindungilah daripada jauh dari mengenal dan berada landasanMu, peliharalah untuk sentiasa dalam bimbingan dan didikan khusus dariMu. Amin.)

 

Harapan Jiwa.

Apabila melihat kepada harapan dalam jiwa, ia tidak boleh dinilai dengan pancaindera. Sulit, dan sukar dinilai daripada luaran.

Jiwa itu batin. Berada dalam diri manusia.

Mungkin luarnya nampak selekeh dan serba kurang, tetapi jiwanya belum tentu lagi.

Mungkin luarnya serba mewah dan penuh kebesaran, tetapi jiwanya jua belum tentu lagi.

Kedudukan jiwa itu,

Tidak bergantung kepada kedudukan jasad. Tetapi, kedudukan jasadiah itu bergantung kepada kedudukan jiwanya.

Jiwa yang baik, jasad juga baik.

Jiwa yang buruk, jasad juga membawa kesan yang buruk.

Dari perspektifku,

Jiwa itu adalah bersifat ruh. Maksudnya, ruh itu adalah dalam diri manusia. Ruh itu akan dibangkitkan menuju Allah ketika jasad telah meninggal dunia.

Jika jiwa itu baik, maka ruhnya baik. Sebaliknya, jiwa yang buruk akan membawa ruh yang buruk dan tercela di sisi Allah SWT.

Pada pandangan Imam al-Ghazali,

Ruh itu ada tiga bahagian.

Iaitu, hati, akal, dan nafsu. Setiap bahagian ada fungsi yang berbeza dan saling berkaitan. (Bab ini adalah dari sudut yang berbeza. Insya-Allah, next time akan cuba tulis akan perkara ini. Panjang dan padat lagi huraiannya.)

Jadi, jiwa itu adalah ruh.

 

Harapan sesama manusia

Mengapa setiap orang berharap? Ada apa dengan harapan?

Harapan itu adalah buah daripada keinginan. Baik. Cuba bayangkan, seseorang yang dah kenyang dan tidur, ada dia mengharapkan, “Mat, bagi aku buah satu!” Tak pun, “Ani, jom pi tengok wayang!”

Apabila orang ada keinginan, barulah dia berkata suatu yang diharapkan. Jadi, pelbagai permintaan dapat kedengaran, pelbagai cetusan fikiran akan diluahkan.

Begitu juga cetusan perasaan. Walaupun perasaan itu  abstrak dan tiada kedudukan yang tetap, seseorang telah mengharapkan perasaannya sentiasa tenang, tenteram, tiada masalah, dan terasa mencukupi.

Selagi tak cukup, selagi itulah ia meminta.

Tetapi,

Sudah tentu perkara yang diharapkan itu tidak berada di depan mata. Jika tidak, buat apa diluahkan kepada seseorang yang lain, bukan?

Misalnya, buah ada kat depan mata. Jadi, tak payah banyak cakap, hulur saja tangan sua ke mulut. Sudah.

Jadi, sebab tak nampaklah, manusia itu begitu mengharapkan kepada manusia yang lain, untuk memenuhi keperluan dan hajat mereka. Sama ada susah atau senang, cuba diluahkan. Moga-moga ada jalan dan boleh ditunaikan.

 

Ternyata,

Sememangnya sulit memenuhi setiap harapan manusia ini. Terutama, bila yang diharapkan itu terlalu jauh, susah dicapai, dan bukan dalam miliknya, kini.

Keadaan ini membuahkan pelbagai keinginan dalam diam. Diam itu disangka sepi, sebaliknya, diam itu tanda ada sesuatu di dalam hati.

Kerana keadaan ini,

Ada yang menanam cita-cita dan pelbagai keinginan dalam bayangan. Bayangan itu baik sekiranya bertepatan dengan syariat dan kedudukan, sebaliknya, bayangan itu buruk jika jauh daripada syariat dan hanyalah angan-angan syaitan.

“Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.” (An-Nisa’:120)

Bila keinginan itu jalannya benar dan baik, ia akan menanam keazaman dan cita-cita dalam diri untuk sentiasa berubah menjadi lebih baik. Bila keinginan itu jalannya salah dan tidak patut berangan-angan, hanyalah dosa dan maksiat (yang tercela di sisiNya).

 

Haraplah kepada Allah.

Jadi,

Apabila seseorang mengharap kepada sukar, jauh, dan bukan lagi menjadi miliknya,

Kembalilah ia kepada Allah.

Kerana,

Allah itu adalah pemilik sekalian makhluk dan hambaNya. Hatta, orang yang mengharap pun adalah milik Allah. Apatah lagi apa-apa yang diharapkan..

Kemudian, usahakanlah apa-apa yang termampu. Selepas usaha itu, letakkanlah tawakal benar kepada Dia.

 

Apabila seseorang itu sentiasa berharap kepada Allah,

Jiwanya tidak pernah terasa sunyi dan sepi. Ia akan terasa dipenuhi dan bercita-cita menjadi lebih baik.

Kerana,

Orang yang sentiasa mengharap kepada Allah,

Allah akan mentarbiyah, mendidik jiwanya acuan khusus dariNya.

Sebagai misalan. Tarbiyah daripada Allah itu ibarat pohon. Benihnya adalah kalimah toyyibah. Akarnya adalah sunnah Rasulullah. Batang pohon itu adalah iman dan takwa. Buahnya amalan yang baik. Daunnya, akhlak yang mulia. Rantingnya, syariat yang sentiasa dilaksana.

Bukan sahaja haiwan dan tumbuhan hidup di kiri kanan, malah manusia yang lain suka berteduh di pohon ini.

Tetapi, pohon ini tidak terkesan dengan sekalian makhluk yang sentiasa bertandang dan menunjukkan minat kepadanya. Baginya, cukuplah Allah yang sentiasa memerhatikan dan memeliharanya.

Kerana,

Pohon itu hanya tumbuh dengan cahaya mentari dan hujan yang menitis di bumi. Hujan dan mentari itu, adalah datangnya daripada Dia.

Tanpa Dia, pohon itu tidak dapat tumbuh. Apatah lagi untuk berdiri sampai hari ini.

 

Pendek kata,

Mengharapkan sesuatu, mintalah dan luahkanlah dulu kepada Allah. Allah itu Maha Mendengar, dan Dia akan memuhi keperluan dan menyelesaikan sekalian masalah makhlukNya.

Apalah sangat harapan sang manusia (walaupun sukar dan sulit) berbanding Dia,

Yang sentiasa sibuk menguruskan sekalian alam tanpa rehat, letih, dan lelah menguruskannya

dengan diriNya sendiri.

 

“Khairi, kita sentiasa letakkan pengharapan kepada Allah, ya. Nanti, bukan sahaja Allah selesaikan masalah kita, malah Allah bertambah sayang dan melindungi diri kita.”

 

Ah….

Betapa mulianya engkau wahai Allah. Betapa baik dan sayangNya Engkau kepada sekalian hambaMu…

-doakan agar segalanya mudah dan benar atas bimbinganNya .dan, berlapang dadalah akan perjalananku ini agar bimbingan Allah itu berjaya diterima dengan baik dan menjadi sebahagian daripada entiti diri (jika tak, susah daku nak beri tumpuan dan mujahadah di jalan-Nya).

 

“Alangkah lebih mulia dan disukaiNya apabila sentiasa berfikir dan mengingati Allah serta hari kemudian (akhirat), sehingga orang lain turut merasai kebesaran Allah, dan rasa dekat kepadaNya.”

 

 

Wahai diri,

Jagalah hati lebih baik daripada memenuhi kehendak hati.

Kerana,

Daku bimbang akan dipersalahkan oleh Allah yang sentiasa mengetahui…

Bersabarlah

Sentiasalah memohon kekuatan dan taufik dariNya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: