Hari terus berlalu dan berlalu
Masa terus bergerak dan pergi
Matahari dan bulan telah sekian lama menjalankan tugas dan putaran.
Kini,
Begitu juga pada setiap manusia yang digelar insan.

Hari yang terus berlalu,
Membuatkan penulis ini bertanya sendirian,
“adalah mereka telah mengenal siapakah itu, ‘Tuhan’?


Manusia…

Al-Insan.
Merekalah manusia.
Tergesa-gesa, lemah, dan mudah lupa.
Lupa asal usul kejadian, tergesa-gesa terhadap keinginan dan fikiran.

Manusia ini lupa.
Asalnya hanyalah tiada apa-apa satu pun tiada yang menyokong atau mengatakan, “Kamulah (katakan ‘Z’) yang akan lahir di dunia ini!”
Tiada orang yang mengakuinya. Dan,
Setiap orang menunggu-nunggu, apakah yang akan keluar dari perut si ibunda.
Lelaki? Perempuan? Apa nama? Tak terfikir?
Tiada sesiapa pun tahu. Dan tiada sesiapa yang boleh menentukan ia.

Yang benar-benar tahu, dan memang Dialah yang Maha Mengetahui dan Menentukan siapakah yang bakal dilahirkan, ialah
Allah.
Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk khususnya manusia.

Allah tahu, manusia itu diciptakan dengan sifat lemah. Tak terdaya setiap orang melihat Dia yang Mencipta dan Menentukan segala-galanya. Tak mampu ‘melihat terus’ ke hadrat Allah akan Dia yang Menjadi dan Menciptakan sekalian manusia.
Maka, di sinilah dia menciptakan asbab. Supaya boleh akalnya berfikir dan menerima, dan akui yang lahir itu manusia.
Tetapi, asbab cukup aneh. Lahir dari tempat yang hina, dan tidak ada kena mengena dengan manusia yang kecil atau dewasa.
Benihnya ialah sperma. Dari sperma itu tumbuh kaki, tangan, mulut, mata, dan lain-lain lagi tanpa sebarang kekurangan.
Tempat keluarnya pula bukan dari kepala, mulut, atau tangan, tetapi dari lubang najis, iaitu kemaluan.
Dari tempat pembuangan perkumuhan, itu lahir benih anak Adam (kecuali Adam as.).
Ini penciptaan Allah bagi setiap manusia itu berfikir. Benarkah mereka itu terlalu istimewa? Benarkah mereka itu patut berbangga dengan kehadiran mereka ke muka bumi ini?

Sekiranya difikir dan diteliti akan asal usul dan tempat kembalinya nanti,
Tiada apa yang dikatakan bangga dan istimewanya manusia.

Tetapi,
Allah yang Maha Menciptakan menyatakan,
Manusia itu sememangnya istimewa.

Syaratnya.

Apabila, manusia itu mematuhi syarat yang diajukan ia.
Itulah TAKWA.

“Inna akramakum ‘indallaahi atqaakum”.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. (QS. Al Hujurat 49:13)


Takwa menukar kedudukan asal manusia
Dari lemah rohani dan jasmani, sentiasa mengharapkan bantuan dan pertolongan, tergesa-gesa, dan pelupa
Kepada kuat rohani (walau ditakdirkan kurang jasmani), benar pengharapan hanya kepada Dia yang Maha Menciptakan, berhati-hati, dan sentiasa mengingati tujuan dan hakikat yang perlu dilakukan.

Inilah resepi Allah untuk memuliakan manusia.
Tetapi, memang tidak mudah-mudah nak dapat resepi dari tuan guru. Ada ujian yang perlu dilalui dan halangan yang perlu dilepasi.
Apabila berjaya melepasinya, sama ada senang atau susah,
Barulah takwa itu lahir dan sebati dalam diri.

Hasil dari resepi takwa,
Lihatlah sendiri dalam kalam Tuhan yang menciptakanmu. Dia tidak pernah melakukan sesuatu itu sia-sia. Dia tidak pernah memungkiri janjiNya. Ada nilai akan manusia yang mematuhi dan berada pada darjat takwa.

1.Taqwa sebagai asbab (penyebab) untuk masuk syurga.
“Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami” (al-Maryam: 63).

2.Taqwa sebagai sebab untuk dimudahkan setiap urusan.
“…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”. (al-Tallaq: 4).

3.Taqwa sebagai sebab kemurahan rezeki.
“sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah s.w.. telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.(al-Tallaq:2-3)

4.Taqwa sebagai penyebab untuk mengingkari keburukan dan keampunan daripada dosa-dosa.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar”.( al-Anfaal: 29)

5.Taqwa sebagai penyebab teguh hati di dunia.
“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”.(Yusuf : 56-57).

6.Taqwa sebagai sebab untuk ditambahkan kebaikan, rezeki dan keberkatan.
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.( al-A’raaf : 96)

Bergerak kaki menuju takwa, baru manusia itu sedar akan kemuliaan ia.
” Wattaqullah wayu’allimukumullah, wallahu bikulli syai in ‘alim “
“Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Baqarah: 282)


Persoalannya,

Jadi, di manakah rata-rata kedudukan manusia sekarang?
Adakah di posisi mulia atau masih pada asal kejadian, hina?
Dan,
Bagaimanakah posisi kita?

Jika inginkan hidayah Allah dan taufik untuk membina takwa,
Binalah dari hati yang berkeinginan dan doa (ibadah) sebagai bukti sentiasa meletakkan harapan kepadaNya.

Tiadalah Allah itu pula bersifat seperti manusia.
Tidak tergesa-gesa, tidaklah pelupa, dan tidaklah lemah tak terdaya.

Wahai setiap manusia yang memerhati pada nukilanku ini,
Betapa ruginya keadaan kalian,
Kerana masih sama memerhati dan terus memerhati, tidak lagi mencana cara berusaha untuk mencari suatu perubahan. Yang akan menjadi manusia yang beruntung langit dan bumi, mulia oleh sekalian penduduk langit dan bumi,
Dan dekat di sisi Ilahi.

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w.telah berkhutbah kepada kami pada hari Tasyrik khutbah al-Widaa’ (perpisahan). Maka baginda telah bersabda: “Wahai sekelian manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhan-mu adalah Esa, sesungguhnya bapamu adalah satu, ketahuilah tidak ada kelebihan untuk orang arab ke atas orang ‘Ajam (bukan arab) , dan tidak juga orang ‘ajam ke atas orang arab, dan tidak ada perbezaan ke atas yang berkulit hitam dengan yang berkulit merah dan tidak juga yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, kecuali dengan Taqwa (( Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang paling bertaqwa)) tidakkah kamu menerimanya”? Maka mereka berkata : “Benar ya Rasulullah s.a.w.” . Lalu rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: