Dunia ini… tempat menyusahkan diri!

 

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Sesungguhnya kasih sayang dan kerahmatan Allah itu sangat luas dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran dan tindakan manusia. Dia sentiasa mengasihi hamba-hambaNya yang beriman atau tidak beriman kepadaNya. Dia sentiasa melihat, memerhati, memberi rezeki, memberi pakaian, minuman, harta benda, pangkat dan kedudukan, dan kesenangan buat mereka di kehidupan di dunia ini.

Dia sangat Pengasihani. Ketika sang hamba tersalah langkah, Dia sedia menegur dan mengampunkan kesalahannya. Ketika sang hamba berpaling dariNya, Dia masih setia untuk mengawasi dan menunjukkan jalan yang patut dilalui oleh sang hamba.

Beginilah Allah, yang Menguasai sekalian alam semesta. KerahmatanNya terlalu luas dan penuh dengan sifat kasih sayang, pemurah, dan kemaafan. Dia tidak peduli banyak mana kesalahan sang hamba, tetapi Dia sangat peduli bila hamba itu suka mengingati dan kembali kepada Dia.

Yang paling Allah benci,

Ialah kemaksiatan yang dilakukan.

Maksiat yang paling umum,

Apabila seseorang itu mencintai benda-benda duniawi, dan meninggalkan mencintai Dia atau keinginan kehidupan di akhirat nanti.

 

Allah s.w.t telah meletakkan manusia untuk menjadi khalifahNya, iaitu yang BERTANGGUNGJAWAB untuk mentadbir dan menguruskan kehidupan di muka bumi. Bukan BERSENANG-SENANG sehingga lupa akan ditanya kembali apa yang telah dilakukan terhadap tanggungjawab yang diberi.

Allah s.w.t telah memberikan segala kelengkapan untuk manusia berbuat sesuatu bagaimana untuk menjadi khalifahNya di muka bumi. Malangnya, ramai pula yang guna segala kelengkapan itu untuk kesenangan mereka, sehingga lupakan Dia yang Maha Memberi dan sedang menanti.

Oleh itu, dunia sebagai tempat ujian dan tempat lapangan manusia melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka,

Ramai yang terperosok leka dan terus hanyut dibuai angan-angan sehinggalah mereka meninggalkan dunia ini.

 

Bagaimana hidup di dunia ini?

Barang siapa yang memilih kehidupan dunia untuk kesenangannya, maka mereka dalam keadaan rugi dan tercela.

Kesenangan bagaimana? Tidak kira, sama ada dalam kesenangan agama atau kesenangan harta benda.

Ada orang senang dengan beroleh harta. Tetapi ada orang senang dengan hanya beribadah kepada Dia. Ada orang senang dengan kemewahan pangkat dan manusia, ada orang senang dengan berzikir dan bersuluk menuju ke hadrat Dia. Ada orang senang hidup dengan ada perhatian orang lain sama ada rakan, anak, dan isteri, sedangkan ada jua orang yang senang hidup bersendiri dan fikir urusan peribadi tanpa mengambil kisah orang lain.

Hakikatnya, mereka yang hanya fikir untuk kesenangan ketika hidup di dunia, mereka dalam keadaan tertipu dan menempuh hari yang penuh penyesalan yang tak terhingga.

 

Orang yang bijaksana akan menjadikan dunia ini tempat menyusahkan dirinya.

Kenapa?

Kerana, dunia ini adalah beban dan tanggungjawab yang akan disoal di sana.

Akal itu sebagai anggota yang sentiasa bergerak, dan nafsu itu menjadi alat untuk menggerakkan fikiran atau tindakan di akal.

Manakala hati terus menghadap dan menaungi kehendak Allah s.w.t.

 

Oleh itu,

Kehidupan dunia ini untuk hasil-hasil di sana. Barang siapa yang sudah merasa cukup dengan kesenangannya di dunia, maka kuranglah hasilnya kelak di sana.

Kesusahan itu nilainya tinggi!

Ya, memang kesusahan itu nilainya tinggi. Malangnya, ramai orang yang takut dan tak berani menghadapi ia. Kerana makan atau lukanya dalam, dihiris dan dihiris sudah nak ganti kembali.

Tetapi barang siapa yang mampu menghadapi ia, terus menerima hirisan demi hirisan, sehingga luka di dalam menjadi kematu dengan segala hirisan yang diterima, maka kekuatan dan kehebatan menerima kesusahan sukar ditandingi lagi.

 

Dengarlah….

Barangsiapa yang susah payah belajar semata-mata kerana agama Allah, untuk menyampaikan apa yang benar di sisi Allah untuk diamalkan dan disampaikan kepada orang lain, maka merekalah berjaya.

Barangsiapa yang susah payah berkahwin semata-mata kerana kehendak Allah, untuk mendidik diri supaya tabah dan sabar demi mengajar anak dan isteri taat kehendak Allah dan RasulNya, merekalah orang yang berjaya.

Barangsiapa yang bekerja demi tidak mengharap kepada orang lain, boleh memberi nafkah dan membantu kepada golongan yang memerlukan, semata-mata untuk jadikan kerjanya sebagai tasbih yang berantai mengingati Dia dan sentiasa menjaga syariatNya dalam pekerjaan, merekalah orang yang berjaya.

Barangsiapa yang sudah tua, lanjut usia, tidak mampu makan dan minum dengan tangan yang kuat dan gagah, tetapi sentiasa berusaha untuk memberi makan kepada orang miskin, lebih memerlukan, membantu jiran-jiran, bersalam dan berkasih sayang dengan mereka, seterusnya mengajak mereka mengingati Dia, merekalah orang yang berjaya.

Barang siapa yang kecil dan masih muda, belia dan remaja, hidup dengan suasana remaja atau kanak-kanak, tetapi bijak menghafal al-Quran, mengajak rakan dan taulan mengimarahkan masjid dan surau, sentiasa membantu ibu bapa dan orang yang lebih tua, merekalah golongan yang berjaya.

 

Pendek kata,

Jika ingin berjaya,

Jangan lupa perintah Allah dan RasulNya. Kerana, setiap perintah Allah dan Rasul, bukan untuk kesenangan sementara di dunia, sebaliknya menyusahkan nafsu anda berkehendak pada dunia, demi menjadikan hati anda kuat menginginkan sesautu yang paling bernilai di akhirat sana.

 

Sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: