Kenyang itu merosakkan!

Baru-baru ini daku pulang ke kampung halaman. Atas dasar bercuti dua tiga hari di samping menziarahi keluarga di sana, maka daku pulang jua.

Tak adalah selalu sangat, tetapi boleh dikatakan setiap bulan pasti pulang (insya-Allah). Tambahan pula sebagai abang pertama, telah menjadi tanggungjawab besar buat ibu dan ayah, serta adik beradik lain jua.

Selain daripada tanggungjawab menyebarkan dan memperingatkan tentang agama Allah SWT.

Sepanjang daku belajar di universiti,

Daku sentiasa berusaha untuk mengamalkan apa-apa yang daku pelajari. Terutama pada subjek atau topik yang mendalami kini.

Hal ini kerana, apalah manfaat ilmu jika tidak diamalkan, apa lagi manfaat ilmu jika kelak akan dipersoalkan.

Malah, subjekku kali ini merupakan pilihan Allah SWT untukku mengetahui dan mengamalkan ia. Terlalu banyak hikmah dan kelebihan, terlalu banyak kesan dan kekuatan.

 

Alkisahnya….

Apabila dalam keadaan sendirian di sini, daku mudah dan mempunyai kebebasan itu dan ini untuk mempraktikkan ilmu Allah ini. Tetapi, sukar pula apabila berada di kampung sana.

Kadang-kadang ada kenduri kendara, kadang-kadang ada masakan pelbagai rasa. Dari seorang yang serba sederhana dan ambil yang perlu sahaja, terpaksa menjadi pakar rasa untuk rasa masakan itu semua. Sama ada di rumah sendiri atau rumah orang lain.

Nasib baik dua tiga hari… kalau dua tiga minggu? Alahai…. lemah iman….

 

Dua tiga hari itu….

Ternyata, daku rasai sesuatu yang berbeza. Berbeza merasai kekuatan tawajuh kepada Dia.

Mungkin atas beberapa perkara yang berlaku. Pertama, kerana suasana yang berbeza. Kedua, kerana kesenangan dengan nikmat atau yang dikehendaki sentiasa berada di depan mata. Ketiga, kerana terlalu senang nak kenyang, sehingga lupa akan kelaparan!

Tentang perkara pertama, ya. Sangat diakui keadaan ini. Bila teringat suasana di kampung dengan di sini, maka daku rasai kebenaran hadith Rasulullah SAW ini.

 “Sesungguhnya di antara hamba-Ku, keimanan barulah menjadi baik jika Allah memberikan kekayaan padanya. Seandainya Allah membuat ia miskin, tentu ia akan kufur. Dan di antara hamba-Ku, keimanan barulah baik jika Allah memberikan kemiskinan padanya. Seandainya Allah membuat ia kaya, tentu ia akan kufur

Tentang perkara kedua, ya juga. Sebab apabila seseorang itu yang sentiasa diletakkan harapan dan permohonan, maka kepada dia sahaja akan nampak jalan penyelesaian.

Jadi, ketika di sini, daku sentiasa meminta dan tawajuh kepada Allah. Kerana di sini mudah daku praktikkan pengharapan kepada Dia. Dengan segala kekurangan  yang perlu daku sendiri berusaha, dan segala nikmat yang datang dalam keadaan ada atau tidak disangka-sangka, maka Allah sentiasa bermain di fikiran dan depan mata.

Apabila di kampung, semua boleh dikatakan ada. Nak apa, semua boleh dipinta dan pasti boleh dikatakan ada. Malah, ibu yang sentiasa menyayangi anak-anaknya sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan anak-anaknya. Nak tak nak, pasti mulut ini lebih mula menyahut perkataan, “Ibu…” atau “Mak….” atau “Mama….” dari perkataan “Allah….” atau “Ya Allah….”

Walaupun nampak remeh, sebenarnya bagi seseorang yang rasai dan kenal Allah nampak nyata perbezaan antara dua perkara ini. Apabila tawajuh (tumpuan) hati dan fikir telah lari, maka apalah lagi yang boleh meletakkan Dia benar-benar di hati hambaNya?

Ketiga, mengenai makanan. Ya…. makanan!

Perkara ini sekarang dalam usaha daku menganalisis pengaruhnya terhadap diriku sendiri (daripada sengaja tertulis di atas kertas itu ini). Daku nak lihat macamana keberkesannnya, dan benarkah kesan itu tercapai sepertimana kata-kata ulama’ terdahulu mengenai ia.

Ulama’ berkata, makanan itu permulaan pada syahwat. Sekiranya seseorang itu mampu menguasai tabiat dan habit makanannnya, maka dia mampu menguasai syahwatnya.

Perbanyakkan lapar, puasa, halal, dan tidak berlebihan. Amalkan sunnah dan sifat bersama-sama dalam makanan.

Ini antara simple idea berkenaan makanan yang sedang daku usahakan kini. Alhamdulillah… di sini mudah, tetapi di rumah terasa banyak pula payah.

Tambahan pula… perut ini sentiasa terisi makanan yang lazat-lazat pula.

 

Penyelesaiannya…

Hendak tidak hendak….

Daku tetap kena berusaha.

Kerana…

Suatu nilai yang daku telah rasai dan kenali ia.

 

Oleh itu,

Daku perlu lakukan suatu penilaian. Sekiranya daku mampu meletakkan kebersamaan keadaan ketika di kampung seperti keadaan di sini,

Pasti daku melepasi ujian ini. (Insya-Allah)

 

Perkara ini hanyalah untuk diriku. Kerana daku yang lalui semua ini dalam kehendakNya.

Di sini, adalah medan utama. Tujuannya, di mana-mana sahaja tidak lagi terkesan dengan sebarang perubahan manusia dan suasana.

Ketika itu,

Walau mewah, senang, dan penuh kemegahan, sedikit pun tidak menggugat keyakinan dan tawajuhku pada Allah. sedikit pun tidak memesongkan hatiku daripada sentiasa menghadap dan meningati kebesaran Allah.

Nikmat itu semua datang daripada Allah. ada hak yang perlu dibahagikan, ada yang perlu dipertanggungjawabkan.

 

Oleh itu, kini….

Ada beberapa perkara perlu daku usahakan.

 

Pertama…. tidak terkesan dengan kewujudan TV yang besar, surat khabar yang banyak cerita merapu dan keduniaan, internet yang merupakan dunia kedua manusia.

Nak guna? Sekadar perlu. Jika perlu, Allah akan bagi tahu, dan sampaikan ia kepadaku. Bila nampak macam tak perlu, tak perlu ambil tahu.

Mereka bukan datangkan manfaat kepadaku, atau mudarat kepadaku. Tidak bertambah ilmuku, atau manfaat untukku di alam sana.

Selama ini, banyak ilmu Allah yang bagi petunjuk dan bagi tahu. Tak perlu pun daku tonton dan lihat itu semua. Ada sahaja orang yang boleh sampaikan pesanan dan peringatan tentang ia.

 

Kedua…..

Sebelum meminta kepada orang yang telah biasa mulut mengatakan tentang mereka, daku kena kuat meletakkan Allah sebagai permulaan hati, fikir, dan kata. Maksudnya, sebelum keinginan di kepala diluahkan, maka luahkan dulu pada Allah. Usahakan sendiri untuk mencari. Jika tak temu… baru disampaikan kepada orang lain, yang mungkin asbab Allah nak temui.

Barulah ada nilai susah payah. Bila rasa susah dan ingati Allah, perasaan itu akan melekat dalam hati, dan Allah menusuk dalam jiwa ini. Baru tak hilang lagi. Insya-Allah.

 

Ketiga….

Bab kenyang dan berlebihan ini…. susah sikit. Kalau tak makan, nanti kena paksa jua.

Jadi, mungkin buat permulaan kena banyakkan doa. Kemudian… bagi usaha untuk bagi tahu perlahan-lahan. Insya-Allah, mereka akan faham.

Tambah cerita dengan apa yang berlaku kini, berdasarkan kajian yang dianalisis,pasti menambahkan lagi kekuatan hujahku ini.

Insya-Allah.. moga Allah memberikan daku kemudahan kelak.

 

Biarlah sedikit susah payah untuk keperluan di dunia..

Demi suatu keinginan yang tidak pernah pudar untuk bahagia di akhirat sana…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: