Selamat Hari Raya Haji!

 

Hari ini pun agak sama macam semalam, iaitu cuaca yang mendung.

Namun, alhamdulillah, sebab Allah s.w.t masih kurniakan kerahmatan di atas tanah bumi Malaysia. Kehidupan yang aman dan damai ini tidak patut hanya seronok dan bergembira, sehingga lupa kepada Dia yang memberikan segala-galanya. Jika tidak kerana Dia memberikan dan memelihara, nescaya ketika ini telah berbeza keadaan negara ini, apatah lagi ketika menyambut kedatangan hari kedua kebesaran Islam ini.

 

Kenyataannya, inilah kehidupan. Ada ketika berada di atas, ada ketika berada di bawah. Ada ketika bergembira, ada ketika berduka cita. Tiada yang statik, dan tiada yang sentiasa dinamik. Hanya, perlu sentiasa melakukan perancangan agar hidup ini sentiasa ada  tujuan.

 

Pengorbanan seorang teman rapat Allah.

Rasanya, alangkah baik di hari ini kembali mengingati akan kebesaran sebuah kisah sejarah silam yang unggul dalam Islam, sehingga menobatkan nilai tertinggi di hari raya korban. Sering kali kisah ini didengari, dan sering kali kisah ini dimainkan.

Agar anak bangsa, muda mudi, kanak-kanak dan dewasa mengenal erti pengorbanan yang dikatakan, dan tidak lupa pengorbanan tersebut adalah kehendak Allah ke atas hambaNYa, bukan sekadar majlis adat tahunan tiada perbezaan.

 

Sejarah mencatatkan,

Nabi Ibrahim a.s. ialah seorang Nabi yang banyak menjalani ujian di sisi Allah s.w.t. Allah menguji beliau dengan anak, isteri, kaum, suasana, tempat, masa dan lain-lain, semata-mata kerana untuk ummat yang akan datang mendapat manfaat di sebalik pengorbanan kini yang Nabi Ibrahim a.s lakukan.

Allah sentiasa suka menguji Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ibrahim a.s sentiasa meredhai akan ujian yang Allah s.w.t kenakan kepadanya. Baginda redha dengan ketentuan Allah s.w.t, kerana di sebalik ujian yang menimpa, pelbagai hikmah diperoleh dan sememangnya itulah tanggungan yang wajib diterima apabila diberi ‘title’ sebagai nabi.

Ujian Allah,

Tidak pernah terfikir oleh lubuk hati dan dijangkau oleh pemikiran manusia. bukan sekadar itu, ujian itu penuh dengan rintangan dan kepayahan, semata-mata untuk mendidik hati cekal dan tabah menghadapi setiap pengorbanan.

Nabi Ibrahim a.s pernah dipulau oleh kaumnya, pernah diperangi oleh raja yang zalim dan kufur, pernah diuji dengan kerenah isteri, pernah diuji dengan kelahiran anak, pernah diuji dengan seorang malaikat yang mendatangi dan pelbagai ujian lagi. Namun, setiap ujian yang menimpa pasti Ibrahim menghubungkannya dengan kebesaran dan kekuasaan Allah, sehingga al-Quran mencatatkan bahawa Ibrahim ini

“Suka kembali kepada Allah.”

 

Suatu ketika, Allah ingin meneruskan ujian kepada teman rapatnya atau Khalilullah ini. Dia ingin melihat di manakah ketabahannya kini dan apakah kesediaannya kali ini menghadapi ujian baru yang dibina.

Ibrahim a.s bermimpi. Dalam mimpinya, dia dikatakan menyembelih anak kesayangannya, Ismail a.s.

 

Nabi Ibrahim tidak buta hari dan perut terus percaya kepada mimpi. Sebagai seorang Nabi, pasti ada perintah atau wahyu Allah melalui mimpi. Dan perlu sentiasa diperhatikan musuh yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan dan memutuskan hubungan, iaitu syaitan terlaknat.

Maka, Ibrahim a.s pun befikir dan meneliti. Apakah di sebalik mimpi yang dinyatakan.

 

Setelah terdapat kepastian akan mimpi tersebut daripada Allah, maka terus baginda a.s membawa anaknya ke suatu lembah yang pernah dulu didatangi, iaitu Makkah al-Mukarramah.

Dulu, lembah yang gersang didatangi juga kerana perintah Allah ke atasnya, untuk meninggalkan isteri dan anaknya yang baru dilahirkan. Kini, sekali lagi didatangi untuk menjalankan perintah menyembelih anak yang dulu ditinggalkan di sini.

Tidak lupa si musuh yang sentiasa menghalang, Iblis si bapa dan ketua kepada syaitan jin dan manusia. Dia sentias menggoda dan menghasut agar perintah itu tidak dilaksanakan. Namun, tiada sesiap mampu menghalang, malah dibaling dengan batu merejam si Iblis terkutuk kerana perbuatan kotor yang dilakukan.

 

Perintah telah hampir dilakukan. Dalam jiwa Ibrahim, sebagai seorang bapa yang kasih kepada anaknya, pasti rasa sukar dan payah wujud untuk melakukan.

Tetapi, perintah Allah tetap perintah Allah. Dia pun wujud disebabkan Allah, anaknya wujud kerana Allah, dan perbuatan kali ini pun wujud atas perintah Allah.

Ketabahan dan kecekalan dikumpulan. Pisau yang tajam telah diletakkan tepat pada leher menandakan tekad untuk melaksanakan perintah yang dimaksudkan.

Ibrahim a.s berpaling. Tidak sanggup melihat perbuatan tersebut.

 

Pisau digerakkan. Namun, perkara pelik berlaku. Pisau itu dengan izin Allah tidak ‘lut’ pada leher Ismail!

Baginda musykil. Apakah yang terjadi?

 

Ada riwayat mengatakan, jika pisau tajam itu ditetak ke batu, batu pun pecah. Tetapi tidak pada leher Ismail!

 

Maka, Ismail, si anak yang taat dan sabar sifatnya, berkata:

“Wahai ayahandaku, mungkin ayahanda tidak melihat anakanda ketika melaksanakan perintah Allah ini. Lihatlah kepadaku (ketika melakukan), pasti akan didapati aku ini seorang yang penyabar.”

 

Nabi Ibrahim a.s berpaling. Bersedia buat kali kedua untuk melaksanakan perintah tersebut dengan keadaan melihat sendiri kepada anaknya.

Ketika kesediaan dan ketekadan tersebutlah Jibril .a.s diutuskan oleh Allah bertemu mereka berdua. Jirbil datang sebagai tanda penerimaan Allah pada pengorbanan mereka berdua, dan ditukarkan kibasy sebagai ganti sebenar pengorbanan yang perlu dilakukan.

Sekali lagi, Ibrahim a.s seorang Khalilullah berjaya dengan ujian yang getir. Baginda bersyukur kerana Allah meredhai perbuatannya, dan impaknya kini pengorbanan mereka berdua kekal diberitakan di atas muka bumi, walau beribu-ribu tahun mereka berdua telah meninggalkan dunia ini.

 

Inilah serba ringkas rentetan kisah yang menterai nilai pengorbanan untuk menyembelih para kambing, unta dan lembu hari ini. Bukanlah sengaja diperintah untuk menyembelih, tetapi kerana dalam penyembelihan tersebut tersirat 1001peristiwa yang mengejutkan dan di luar jangkaan akal fikiran. Juga, menandakan ketabahan, kesabaran dan keredhaan seorang lelaki menerima ujian ke atasnya sehingga layak digelar Khalilullah, Nabi Allah dan utusan Allah di atas muka bumi.

 

Semoga pengorbanan kita hari ini Allah s.w.t suka dan meredhai. Mungkin tak pernah lagi buat sehingga darjat para Nabi dan solehin, paling kurang menyumbang untuk infakkan bahagian dalam korban atau tolong orang buat sesuatu pada haiwan yang dikorbankan untuk diagihkan.

 

Salam pengorbanan, wahai hamba Allah yang sentiasa menjalani ujian.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: