Jangan biasakan makan di luar!

Semalam petang, daku pergi ke pusat bandar. Biasanya memang setiap petang Khamis akan pergi ke sana bersama teman yang lain untuk iktikaf di masjid sana sampai pagi subuh.

Tiada apa-apa yang istimewa pada zahiriahnya. Orang yang datang tetap sama, mereka yang bagi tazkirah/ penyampaian topiknya hampir-hampir sama, dan aktiviti yang diadakan dari petang lepas asar sehingga lewat subuh pun tetap sama.

Jadi, tiada apa-apa yang berbeza pada setiap minggu. Cuma, ada satu benda yang terlalu istimewa. Sehingga tanpa dipaksa pun, daku akan pergi juga ke sana pada setiap minggu (selain daripada kehendak ulama’ pun para pekerja Allah).

Iaitu, suasana yang mendatangkan kepada IMAN. Suasana ini tidak wujud di mana-mana, melainkan di sesuatu tempat yang wujud manusia sentiasa menghadiri masjid untuk niat memakmurkan masjid. Tiada niat untuk lain.

Disebabkan niat yang sama, keinginan datang ke sana juga sama, maka ketenangan dalam majlis itu amat-amat dirasai. Tambahan lagi, setelah semua orang sibuk dan penat bekerja saban hari, di waktu itulah amat dirasai dan dikecapi nikmat ini. Sangat berbeza berbanding orang yang tidak pernah menikmati suasana mendatangkan IMAN. Mereka tidak akan mampu membezakan apakah kepentingan IMAN ini diusahakan, dan apakah pula nilai IMAN untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Semua ini taufik daripada Allah, tempat memohon segala upaya dan kekuatan.

Menemani teman makan di kedai

Pada hari tersebut, daku  ada mengajak seorang teman yang belajar di sini untuk ke sana. Ya, setelah ramai yang diajak untuk bersama, akhirnya Allah telah memilih dia untuk bersama denganku ke sana.

Namun, dia terpaksa pulang awal kerana ada mesyuarat persatuannya yang tidak dapat dielakkan.

Tidak mengapa. Tiada paksaan dan boleh sahaja untuk pulang. Moga Allah berikannya lagi kesempatan dan kekuatan untuk hadir pada ketika yang lain.

Jadi, bagi menghargai usaha yang dia lakukan, daku menawarkan diri untuk menemaninya makan di restoran yang berdekatan. Makan biasa-biasa sahaja, sekadar makan malam.

Setelah selesai semua dan hantarnya pulang, badan ini terasa amat lemah. Agak penat. Rasa bagai ingin terbaring sahaja.

Tetapi, program malam tersebut masih belum berakhir. Setibanya kembali ke sana, mereka masih belum habis program dan menanti untuk solat Isyak. Selepas Isyak, baru semua akan selesai dan makan bersama-sama di belakang. Disebabkan dah makan tadi, tak teringin nak makan lagi. Cuma, badan ini terasa amat penat.

Tengah duduk bersandar lihat-lihat orang berkumpul nak makan, tiba-tiba kawan di sana ajak makan sekali. Lagipun mereka dua orang sahaja, biasa makan empat orang sekali. Tak apalah, lagipun perut boleh diisi lagi. Tak banyak, sikit pun boleh.

Tengah makan bersama-sama itu, daku terasa lain pula. Rasa macam bertenaga. Minda menjadi cerdas, badan tidak lagi lemah dan tumpuan pada ibadah menjadi meningkat. Terlalu berbeza berbanding setelah makan kat luar tadi.

Rasa pelik dan ingin tahu. Kenapa menjadi begini? Apakah kemungkinan yang telah berlaku?

Jadi, daku bertanya, “Tuan, ini nasi masak sendiri ke?”

Terus dia menjawab, “Ya lah… habis siapa lagi nak masak?”

Pada ketika ini, pada waktu ini, daku mula bertambah yakin akan nilai makanan yang dimasak dan tempat makanan yang dimakan.

Mungkin orang tidak peduli dan ambil tahu akan hal ini, kerana mereka tidak pernah merasai apa-apa perbezaan. Tetapi bagiku, yang sentiasa menitik beratkan soal makanan dan mengkaji pula kesan makanan kepada peribadi insan, tidak dapat tidak daku sendiri akan amalkan dan menjaganya.

Apabila sentiasa menjaga makan, maka akan nampak kesan jika ada yang tidak kena pada makanan. Seperti orang kena penyakit diabetis. Dia tak boleh makan benda manis-manis. Nanti jadi pening dan lain-lain.

Kelebihan masakan daripada rumah

Oleh hal demikian, dapat di sini membuat dua kesimpulan. Pertama, penekanan ulama’ untuk ketika menghadiri majlis mingguan yang diadakan (di masjid tersebut), setiap orang perlu menyediakan dua jenis bekalan bersama dengannya. Pertama ialah alas tidur untuk iktikaf di masjid dan kedua ialah bekalan makanan daripada rumah yang dimasak oleh orang rumah (isteri, ibu dan lain-lain, bukan dibeli dari rumah).

Apabila dimasak daripada orang rumah, maka niat mereka memasak sudah tentu untuk suami atau anaknya itu makan masakan mereka. Setiap orang yang memasak dan berkhidmat untuk seseorang datang kepada agama Allah dan beribadah, terlalu besar ganjarannya. Disebabkan makanan tersebut mereka beroleh asbab kuat menjaga iman dan ibadah, maka pahala berterusan diperoleh kepada orang yang memasaknya. Malah, mereka yang berkhidmat atau masak tersebut dinilai membantu agama Allah (kerana membantu kaum lelaki terus melaksanakan tanggungjawab ibadah dan menyebarkan agama Allah). Ada lagi kelebihan lain, tetapi hanya kata-kata orang, maka daku tak dapat tulis di sini.

Orang rumah yang memasak tentu sekali masak dengan penuh perasaan dan kasih sayang. Sedap dan lebih menjaga daripada segi bahan-bahan masakan yang dimasukkan. Kemudian, apabila orang yang memasak itu sudah ada tarbiyah fikir dan risau akan nilai umat dan agama Allah, perkara zikir dalam masakan tentu tidak dilupakan. Ternyata, buah zikir yang dialunkan ketika mengacau gulai dan lain-lain tersebut amat memberi kesan kepada orang yang makan. Hal ini jelas kerana daku sendiri mengamalkan zikir ketika memasak atau menyediakan makanan, dan kesannya daku tidak lalai dalam ibadah kepada Allah.

Antaranya zikir ‘Laisa laha min dunillahi ka syifa’’, tasbih fatimah, bacaan ayat suci Quran, ayat Qursi dan lain-lain.

Tiga perkara ini tentu sekali tiada di kedai-kedai makan hari ini. Biasanya, dari segi niat orang masak di kedai ialah untuk perniagaan. Cara penyediaan asalkan sedap tetapi entah bila dan bagaimana makanan itu dimasak, berapa banyak bahan yang dimasukkan, sumber daripada mana dan lain-lain yang tidak diketahui. Amalan zikir? Sudah tentu jauh sekali.

Oleh itu, kalau betul-betul nak jaga hati dan tumpuan kepada Allah,

Pentingkan penjagaan makanan, dan jangan biasakan makan makanan di kedai luar!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: