Baik dan indah, tetapi…  

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah yang sentiasa memberikan kemudahan untuk melakukan segala kebaikan dan mencegah dari diri ini sentiasa menghampiri jalan kesesatan dan kejahatan.

Sesungguhnya, benarlah kata-kata (dan mungkin daripada sabdaan Rasulullah s.a.w dan firman Allah s.w.t –tak sempat cek) hikmah dalam agama, barangsiapa yang menghampiri cahaya, maka pasti kegelapan akan pergi daripadanya. Dan barang siapa yang menghampiri kegelapan, maka cahaya tidak akan datang kepadanya.

Sesungguhnya jua, cahaya itu perlu didatangi, dan terlalu sukar dan hampir mustahil cahaya itu akan datang sendiri.

Masakan tidak? Cahaya itu mempunyai sumbernya, manakala kegelapan tidak memerlukan sumber. Adakah suis yang dipetik untuk jadi gelap? Adakah fius yang direka cipta untuk bina keadaan gelap?

Sudah tentu tidak ada. Ya, 100% tidak ada! Mana ada fius atau suis untuk jadi gelap, bukan?

Mengapa? Kerana telah diletakkan dalam sunnatullah dan fitrah Allah s.w.t, kegelapan itu tidak memerlukan sebarang sumber atau punca, tetapi untuk cahaya memerlukan kepada sumber dan punca.

Nak jadikan rumah bercahaya, kena ada pelita, lampu dan elektrik. Kena bina fius dan suis lampu supaya wujud cahaya dalam rumah. Begitu juga pada keadaan yang lain. Cahaya pada hari kena ada matahari yang bersinar, cahaya pada malam, kena ada bulan yang mengambang, dan cahaya pada kehidupan memerlukan agama sebagai panduan.

Telah diciptakan, dunia ini hakikatnya ialah gelap gelita. Tetapi, dipenuhi pelbagai perhiasan dan keadaannya. Dunia ini tempat untuk orang yang tiada rumah di akhirat. Pengumpulan segala najis dan dosa, persinggahan sementara mengumpul bekalan bagi orang yang beriman dan bertakwa. Jadi, untuk berjalan atas tempat yang gelap gelita ini, cahayanya ialah agama yang diredhai penciptaNYa. Itulah Islam, yang sentiasa menjadi pegangan orang yang kenal nilai Iman dan sentiasa berusaha atas ketaqwaan.

*****************

Hari ini daku ingin menulis sedikit ulasan dan pandangan berkenaan satu isu yang ditimbulkan. Bagiku ada daya tarikan yang kuat sehingga tergerak tangan, fikir dan keinginan untuk menulis di sini. Anggaplah ia sebagai pandangan peribadi. Sekiranya baik, moga Allah berikan kemampuan untuk melakukan. Jika dirasakan kurang baik, anggap sahaja kelemahan diriku, yang memang lemah dan tiada kemampuan.

Atas perkara apa? Iaitu berkenaan kelas atau madrasah al-Quran yang diadakan.

Madrasah al-Quran? Ada apa?

Bertitik tolak atas perkara ini, mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa daku berkeinginan untuk menyentuh perkara ini. Ada yang terlalu menarik? Apa yang sangat istimewa?

Ya, seperti biasa, orang yang tidak mengusahakan akan sesuatu perkara (khusus dalam agama), sudah pasti mereka tidak tahu nilai dan kepentingan perkara yang tidak diusahakan. Bagi orang yang mengusahakan pula, tidak semua akan fahami dan berkeupayaan untuk menjadikan perkara yan diusahakan sebagai nilai kehidupan seterusnya menjadikan perkara tersebut berkekalan sebagai amalan.

Mengapakah terdapat halangan untuk semua orang sedar dan faham kepentingan perkara yang diusahakan?

Pertama, kerana niat dia melakukan. Kedua kerana pengorbanan yang dia lakukan. Ketiga, kerana kefahaman dalam perkara agama, Allah sahaja yang boleh berikan. Hal ini kerana Dialah pemilik yang mutlak, dan Dia akan berikan kepada hambaNya mengikut kehendakNya, berdasarkan pada keinginan dalam hati orang tersebut dan kesungguhan dia mengusahakan akan perkara tersebut.

Oleh itu, apa-apa yang daku sampaikan di sini berkenaan perkara ini (khusus pada topik: kelas dan madrasah al-Quran) ialah berdasarkan pengalaman yang panjang dan usaha yang daku lakukan untuk menyampaikan.

Sehingga kini.

Menjadi runner menyampaikan.

Di sini, Allah s.w.t telah memberikan daku taufik untuk menyampaikan al-Quran kepada masyarakat. Pendekatan daku ada sedikit perbezaan. Madrasahku bergerak dan sistem menyampaikan al-Quran pula secara sistem talaqqi. Pelajar diambil secara perseorangan bukan beramai-ramai. Modern hari ini orang panggil sistem ini sebagai mengajar tusyen rumah ke rumah atau home tuition.

Tidaklah terlalu lama daku mengusahakan akan perkara ini. Tetapi, telah beberapa tahun berlalu. Dari daku kosong bagaimana cara sepatutnya untuk mengusahakan, sehingga Allah s.w.t memberikan daku taufik, kini telah wujud groupku sendiri (ada tenaga pengajar yang bersama) yang kami sama-sama berusaha menyampaikan al-Quran kepada umat Nabi.

Pengorbanan sebagai ‘runner’ al-Quran

Di dalam nukilan ini, daku mengambil istilah ‘runner’ dalam menyampaikan al-Quran. Kenapa digunakan istilah ini?

Hal ini kerana, dalam metode menyampaikan al-Quran dari rumah ke rumah, kami yang mesti bergerak ke tempat tersebut. Kami mesti pergi ke rumah yang ditetapkan, berdasarkan masa yang dipersetujui dengan tuan rumah. Maka, jika ada banyak rumah yang perlu diajar, lagi banyak pergerakan yang perlu dilakukan.

Permulaan usaha yang dilakukan ini, memang amat terasa penat dan payah akan tugas yang perlu dilakukan (Balik ke bilik, terus terbaring. Kawan kata, “Kamu ni lagi sibuk dari Ustaz Azhar Idrus”). Masakan tidak? Dalam sistem rumah ke rumah, amat berbeza dari sistem beramai-ramai dan terus mengajar di madrasah.

Antara perbezaannya ialah di madrasah kita ialah pemerintah dan kita yang berkuasa. Hal ini kerana madrasah tersebut ialah kawasan jajahan dan taklukan kita. Syarat madrasah kita sendiri yang bina dan murid perlu patuhi ia. Jika tidak, kena akur sebarang denda atau hukuman yang dikenakan.

Tetapi, pada sistem rumah ke rumah, kami berada di jajahan atau taklukan orang lain. Maksudnya dimiliki oleh tuan rumah, dan tempat penguasaan ahli rumah yang diajarkan. Oleh itu, sekiranya tidak betul cara, memang tak sabar lagi nak terus mengajar. Boleh sahaja tak mahu pergi mengajar. Sekejap-sekejap yang diajar itu main itu ini dalam rumah, main dengan adik-adik atau pergi ke sana sini.

Bolehkah kita menegur atau berkeras? Boleh. Tetapi kesannya tidak memberansangkan. Jika mengajar di sekolah, kita berkeras, orang kena akur sebab sekolah ialah jajahan kita dan sistem kita. Tetapi di rumah, jika kita berkeras, orang yang belajar tak ada mood nak belajar (boleh duduk di bilik dan tidur). Waktu yang lain, apabila kita datang ke rumah tersebut, macam-macam ragam pelik-pelik akan dia nak lakukan.

Oleh itu, sistem talaqqi rumah ke rumah memang terlalu banyak pengorbanan dan kesabaran perlu dibina. Tambahan lagi, misi mengajar bukan hanya nak bagi pandai baca, tetapi bagaimana al-Quran masuk dalam pemikiran dan hati mereka seterusnya menjadi bacaan berterusan, amalan dan berakhlak dengan al-Quran.

Jadi, jika sekadar tahu melalui penulisan ini, tidak akan sama sekali dengan pelbagai pengalaman dan pengorbanan demi menyampaikan al-Quran demi mencapai matlamat ini.

Impaknya menjadi runner….

Impaknya, terlalu banyak. Tetapi semuanya bermula daripada satu perkara. Ya, dari satu perkara ini, maka wujudlah impak yang pelbagai.

Apakah perkara itu? Perkara itu ialah NIAT DAN TUJUAN PENYAMPAIAN.

DUA PERKARA INI SANGAT DAKU TEKANKAN KEPADA TENAGA PENGAJAR DI BAWAH GROUPKU YANG LAIN. JIKA TAK BETUL NIAT, TAK BOLEH BERADA DALAM GROUP INI, DAN TUJUAN TERSEBUT SAMA-SAMA KITA AKAN BERUSAHA MENYAMPAIKAN.

NIAT WAJIB IKHLASH. Ikhlash menyampaikan AL-Quran kerana Allah. Tujuan menyampaikan wahyu ini supaya umat Islam mampu belajar dan fahami, masuk dalam pemikiran dan hati seterusnya menjadi bacaan berterusan, amalan dan berakhlak dengan al-Quran. Bukan sekadar bacaan sampai khatam, tetapi sehingga berterusan dan pegangan sampai mati.

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlash untuk mengajar?

Maksudnya…. JANGAN LETAK SEBARANG YURAN ATAU PEMBAYARAN. JIKA PIHAK TUAN RUMAH NAK BAGI, ITU SUATU PENGHORMATAN UNTUK KAMI YANG MENGAJARKAN. KAMI ANGGAP SEBAGAI HADIAH. ITU SAHAJA.

Habis, duit minyak, pergi balik, itu ini, dan lain-lain, tak kan nak letak ikhlash sahaja?

Ya. Kami tak berkira akan perkara tersebut. Kami berniat menyampaikan kerana agama Allah, dan itu semua termasuk pengorbanan yang terpaksa kami lakukan untuk menyampaikan agamanya, melalui cara al-Quran.

Apa yang diperoleh dengan ikhlash macam ini?

Perkara inilah yang ditunggu-tungu nak bagitahu kat sini. Apakah impak orang ikhlash menyampaikan sesuatu kerana Allah dan RasulNya, kerana berusaha meninggikan martabat agamaNya.

(Lagipun, ramai orang telah menulis tentang perkara ikhlash ini. Tetapi, daku percaya mereka hanya tahu menulis tetapi tak berusaha mencapai darjat ini. Sebab benda yang disampaikan hanya sekitar perkara yang sama, impak yang sama. Pendek kata, terasa seperti banyak rugi sahaja jadi orang ikhlash. Padahal keuntungan jadi orang ikhlash lagi banyak sehingga tak pernah rasa rugi. Wallahua’lam.)

Pertama, orang yang mengajar akan lebih belajar daripada apa-apa yang dipelajari. Mereka sendiri akan terkesan dengan al-Quran yang disampaikan, dan mereka sendiri terkesan untuk beramal dengan al-Quran tersebut.

Mereka dapat berterusan mengadakan kelas tersebut. Allah sendiri akan berikan mereka pelajar dan tempat mengajar, kerana ikhlashnya mereka menyampaikan al-Quran keranaNya, supaya orang sedar nilai dan beramal dengan agamaNya.

Kedua, orang ikhlash tak pernah rugi. Dunia dan akhirat. Dunia ini dipermudahkan kepadanya dan akhirat akan terpampang niat dan keiginan di hatinya (Ada ke daku kata, apabila daku ikhlash menyampaikan, daku jadi miskin dan papa? Tidak pernah langsung. Demi Allah, sikit pun tak. Malah Dia sentiasa lebih memberi sehingga daku tak tahu berapa banyak pemberian yang  telah diberikan olehNya kepadaku kerana dengan niat IKHLASH ini.)

Ketiga, orang yang belajar akan terkesan dengan pengajaran yang dilakukan. Jika hari ini orang terkesan untuk belajar hanya apabila pergi ke sekolah atau ke tempat mengaji, balik rumah tak buka sampai sudah. Tetapi, dengan niat yang ikhlash ini, orang yang belajar akan terkesan dengan pengajaran yang diberikan seterusnya berusaha beramal dan membaca pada ketika bukan waktu kelas. Cuma ia makan masa untuk menerima dan berusaha ke atasnya. Itu sahaja.

Keempat, tuan rumah atau orang dalam rumah sendiri yang terkesan. Ya, kami tak mengajar kepada tuan rumah, kami mengajar/ membimbing anak-anak mereka sahaja. Tetapi, dengan niat dan tujuan ini, tuan rumah terkesan dengan apa yang kami lakukan, sehingga mereka menjadi segan dengan kelas yang diberikan. Mereka bersedia mendengar (dari dalam bilik) akan apa-apa yang kami sampaikan. Jika sebelum ini, kami buat kelas, ada yang membuka radio atau TV, ada yang duduk di halaman rumah tempat mengajar, kini TV dan radio tidak lagi berbunyi. Mereka lapangkan untuk kami sahaja yang belajar dan mengajar mengaji. Jika sebelum ini, ahli keluarga tak ada keinginan untuk membaca al-Quran, kini, dengan berkat niat ini, mereka berusaha untuk membaca walaupun tak adalah istiqamah seperti anak mereka yang belajar.

Sehingga ada yang sampai meminta untuk mengajar tuan rumah pula. Tetapi, minta maaf banyak-banyak. Kini kami masih tak bersedia.

Keempat, bab pembayaran Allah sendiri yang menguruskan. Maksudnya, kami tak meminta, dan tuan rumah itu sendiri –Allah peringatkan- untuk berikan. Kami bersyukur dan berterima kasih kepada tuan rumah atas hadiah yang diberikan.

Jika ada orang yang ‘hilang tangan’ atas perkara ini, maka Allah sendiri yang akan bebankan kami untuk datang kelas dan terpaksa kami hindarkan dari terus mengajar.

Bebanan ini macam-macam. Kadang-kadang jadual bertindih, tak tentu hala dan lain-lain lagi. Kami pun terasa berat nak terus mengajar dan pergi, sehingga terpaksa mohon diberhentikan kelas tersebut. Bila berhenti, waktu itu menjadi kosong. Bukan ada kelas lain pun sebagai ganti.

Tinggi peranan ikhlash ini!

Di sini, amatlah daku menitik beratkan akan peranan ikhlash dalam menyampai perkara yang benar-benar daripada agamaNYa, ialah al-Quran. Bukan apa…. terlalu banyak amaran dalam hadith menegaskan ikhlash dalam menyampaikan al-Quran ini. Sehingga peringkat menjadi ahli neraka kerana dulu merekalah seorang alim dalam agama dan Qari al-Quran al-Karim.

Jadi, penegasan untuk ikhlash itu bukanlah hanya daripadaku. Telah memang wujud akan penegasan ini daripada Allah dan Rasul. Daku hanyalah berusaha menyampaikan di sini, melalui taufik yang Allah beri.

Percayalah kepada kata-kataku. Allah tidak pernah biarkan hambaNya yang ikhlash. Dia akan sentiasa memberikan yang terbaik kerana hambaNya yang ikhlash menyampaikan agamaNya yang diredhaiNya.

Hanya, untuk mencapai ikhlash ini, bukan sekadar tulisan di sini. Bukan hanya hari ini. Ia makan masa yang sangat panjang, dan macam-macam pengorbanan (mujahadah) yang terpaksa dihadapi, terlebih dahulu.

Allah benar-benar menguji mereka yang berusaha nak mencapai darjat ini. Jika dia berjaya dalam setiap ujian yang Allah berikan, barulah dia sendiri akan faham nilai ikhlash ini dan memang dia rasa tidak pernah rugi. Semua ujian itu akan dirasakan demi kebaikannya kini.

Tetapi, jika dia tidak bersabar, maka dia akan sentiasa mengeluh, terasa macam-macam kerugian, tak sanggup nak teruskan ujian dan lain-lain lagi. Akhirnya, benda yang dia buat itu akan terhalang, tak dapat diteruskan lagi dan mati.

Jika di dunia ini dia telah rugi sebab terpaksa berhenti, di akhirat nanti lagi rugi. Dirasakan dulu dia buat demi kerana agamaNya, sebaliknya berlaku kerana Allah tidak menerima seterusnya dibalas dengan azabNya.

Nauzubillahi minzalik. Mohon Allah hindarkan.

Kesimpulan.

Hari ini, daku akui memang daku menulis agak panjang. Malah, masa yang digunakan untuk menulis ini pun lebih lama daripada biasa.

Tetapi, daku sanggup berikan masa, dan panjangnya tulisan ini. Hal ini kerana perkara yang disampaikan di sini betul-betul berkenaan agamaNya yang mulia. Tambahan lagi, daku sendiri yang mengusahakan perkara ini. Selain itu, perkara ini berkait pula dengan orang yang berkaitan denganku sehingga kini.

Pelbagai cabaran, ujian, halangan, kepedihan dan lain-lain yang daku alami demi menyampaikan Kalamullah ini, membuatkan daku rasa tidak senang duduk apabila melihat orang yang mempunyai perkaitan dengan perubahanku ini, terlibat sesuatu yang sealiran dengan perjuanganku, tetapi –mungkin wujud- niat yang tidak sama sehingga tujuan di akhir nanti sudah tentu akan jadi berbeza.

………….

Dari satu aspek, memang sebenarnya dalam jiwaku daku sangat bersyukur kerana suatu keinginanku yang dulu telah tercapai –sekurang-kurangnya telah wujud- untuk melihat ada peranan al-Quran dan aliran hafalan al-Quran ini dibina (khususnya dalam ahli keluarga). Sungguh, daku teruja, sangat gembira dan meraikan dengan penubuhan ini.

Tetapi, dari satu aspek lain, daku jadi sangat risau dan bimbang. Hal ini kerana al-Quran itu benar-benar wahyu Allah. Kalam Allah. Mukjizat. Bukan ciptaan manusia. Wajib dibaca setiap hari (walaupun tak memahami). Allah sendiri memelihara. Dia sendiri yang kekalkan untuk dijadikan panduan seluruh manusia sebelum kiamat.

Jika salah guna cara menyampaikan, lain kesan yang terjadi. Keburukan pula menimpa. Al-Quran ‘yang hidup ini’ akan melaknat pada orang yang membaca al-Quran, tetapi tak mahu belajar, beramal dan lain-lain lagi. Jika orang yang membaca pun dilaknat, agaknya apa akan  jadi kepada orang yang menyampaikan? Lagi teruk. Dalam ‘sahihaini’ menjelaskan mereka ini ahli neraka kerana sebab al-Quran.

Oleh itu, usaha menghindarkan diri dari terjerumus dalam aliran salah ini (rasa sendiri tetapi Allah kata salah), maka beberapa perkara boleh dilakukan.

Pertama: kena faham IKHLASH itu dinilai secara peribadi. Maksudnya, diri sendiri dulu kuat pegangan dan sentiasa berniat IKHLASH untuk melakukan. Kena sendiri yang mulakan, dan tak payah memaksa orang lain berniat seperti yang kita lakukan.

Hal ini kerana orang tidak akan faham darjat ikhlash ini apabila mereka tidak pernah berusaha melakukan. Jadi, sekadar beritahu boleh lah, tetapi nak dipaksa jangan. Malah, niat dan pegangan pada ikhlash tidak semudah dijangka dan mustahil bermula dalam satu hari.

Kedua: tiada sebarang tetapan pembayaran perlu dikenakan. Tetapi, perlu jelaskan yang mana pembayaran tersebut tiada kaitan dengan upah mengajar. Hal ini kerana ‘pantang larang’ orang nak berusaha ke arah ikhlash letakkan asbab untuk mengajar al-Quran. Bukan kerana upah, akan diajar al-Quran. Memang kita (umat Islam hari ini) tidak layak langsung mengajar Kalam yang Maha Menciptakan.

Tetapi, anggap ia sebagai hadiah, yang diambil sekadar mengisi keperluan yang kembali memberi maksud kepada agamaNya.

Oleh itu, bayaran yang dikenakan hanyalah untuk membeli atau memenuhi sebarang keperluan yang berkaitan untuk disediakan. Seperti nak sediakan hadiah, percetakan, beli kerusi, meja, premis, buku, kelengkapan dan lain-lain. Nyatakan jumlah tersebut kepada mereka. Niat untuk perkara tersebut sahaja, dan tiada kaitan untuk gaji/upah pengajaran.

Jangan sesekali sebut sebab upah kami mengajar. Anggap sebagai hadiah penghargaan sahaja.

Ketiga: orang ikhlash lebih suka menyumbang daripada menerima. Maksudnya, terhadap pembayaran yang diterima, bersedia untuk memberikan kepada pihak lain yang memerlukan. Belajar bermula sedikit-sedikit, moga Allah berikan taufik buat perkara yang lebih.

Keempat: sentiasa betul-betul berdoa Allah menerima amalan yang dilakukan dan betulkan sifat ikhlash pada niat untuk melakukan. Kemudian, bersabar pada ujian yang dikenakan. Yakinlah, setiap ujian itu ada penghujungnya. Allah menguji semata-mata demi kebaikan kita.

Akhir sekali di sini, sekiranya tulisan ini tidak ada kena mengena, daku mohon maaf. Anggap daku menulis kerana suatu kerisauan apabila betul-betul dikaitkan dengan agama Allah, dan rasa keprihatinanku melihat keadaan umat yang macam-macam dah buat berkaitan dengan agamaNya hari ini.

-Suka muhasabah dan bertanya pada diri sendiri akan apa-apa yang daku lakukan. Sebab itulah dalam penulisan ini banyak keluar soalan dan pertanyaan.

-ya… Semoga sentiasa sihat dan ceria. Jadi hafizah agama pada suatu ketika nanti. Amin!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: