Sahabat: Kehidupan yang diredhai.

Kehidupan yang diredhai itu hanya satu sahaja buat manusia di atas muka bumi ini, selain daripada para Nabi dan Rasul yang Allah utus khas kepada manusia. Hanya ada satu kelompok manusia ini sahaja yang Allah redha akan kehidupan mereka dunia dan akhirat dan mereka juga meredhai Allah pada kehidupan dunia dan akhirat.

Inilah kehidupan yang perlu dijadikan teladan. Kelompok manusia ini hidup mereka seperti orang lain juga. Ada yang makan, ada yang minum, ada yang berkeluarga, ada yang bekerja. Ada yang mengembara, ada yang menelaah ilmu, ada yang sentiasa menjadi siak di masjid. Ada juga yang bertani, ada juga yang berdagang.

Mereka hidup seperti mana orang lain. Mereka buat sesuatu perkara seperti mana orang lain.

Bezanya, mereka ini Allah redha pada kehidupan yang mereka lakukan di dunia dan akhirat. Malah, mereka juga redha pada Allah dunia dan akhirat.

Siapakah mereka?

Tidak. Mereka bukan salafus soleh. Mereka juga bukan para wali Allah. mereka bukan ahli hadith. Mereka bukan dari kelompok para Qari.

Mereka ini lebih daripada itu. Mereka ini dijamin sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w dan mereka ini dijamin oleh Allah dalam al-Quran.

Merekalah para sahabat Nabi s.a.w. Mereka ini sangat digeruni oleh para teman dan lawan. Ditakuti oleh para musuh yang ingin mengadakan tentangan.

Kehidupan para sahabat.

Ya, para sahabat r.anhum ini kehidupan mereka sepertimana orang biasa juga melakukan. Ada yang kaya dan miskin. Tua, muda, bujang, berkeluarga, bertani, berdagang, ahli hatih dan ahli Qura’.

Mereka ini tidak terhad pada satu bidang atau satu jurusan. Mereka ialah kelompok masyarakat di zaman Makkah dan Madinah tiada siapa puja dan puji, ambil tahu seperti mana hari ini.

Namun, terdapat perbezaan ketara akan kehidupan para sahabat r.anhum ini. Itulah nilai dan etika kehidupan, yang nyata jauh bagai langit dan bumi manusia hidup pada zaman ini.

Mereka ini hidup untuk Allah dan RasulNya. Kesediaan mereka bila-bila masa, sehingga golongan sahabat boleh dibezakan dengan puak munafik, yahudi dan musyrikin di tanah Makkah dan Madinah.

Apabila sahabat nabi mengembara, pasti orang akan kenal inilah sahabat Rasulullah. Apabila mereka berjuang di medan jihad, pasti orang gelar para sahabat yang berjuang di jalan Allah.

Tidak pada golongan selain daripada mereka. Tiada jolokan khusus seperti mana diberikan kepada mereka.

Selain itu, para sahabat juga mempunyai satu tujuan, satu matlamat, dan satu fikiran. Tujuan hidup mereka untuk menggembirakan Allah dan RasulNya. Apa sahaja perintah atau wahyu yang diterima, disambut dengan perasaan gembira dan bersedia. Matlamat mereka adalah di alam yang berbeza, iaitu akhirat. Pergi ke mana-mana atau sedang buat apa, perbuatan dan tingkah laku mereka hanya demi kebahagiaan di akhirat. Fikiran mereka hanyalah pada agama Allah. Fikir risau mereka hanyalah untuk agama Allah yang diredhaiNya.

Apabila datangnya saranan dan pesanan Rasulullah akan kelompok masyarakat yang perlu jumpa, dakwah dan bantu demi agama Allah, para sahabat menyediakan diri mereka, tidak kira lelaki dan wanita. Walaupun mereka miskin, lapar dan serba kekurangan, tetapi demi Allah dan RasulNya, kemiskinan, kelaparan dan kekurangan mereka disembunyikan. Kerana sikap mereka itu Allah sentiasa redha kepada mereka dan gembira menurunkan ayat atau wahyuNya semata-mata perbuatan mereka.

Berapa kali wahyu turun kerana kehidupan atau perbuatan para sahabat? 1 kali? 2 kali? Tidak, banyak kali!

Silakanlah rujuk pada asbabun nuzul. Betapa banyak ayat yang turun sempena perbuatan mereka?

Inilah petanda kasih sayang Allah pada para sahabat. Tambah kasih dan sayangNya kepada mereka, Allah sendiri menyampaikan berita gembira janji syurga kepada mereka, janji apa yang akan dimiliki oleh mereka di sana.

Suasana para sahabat r.anhum

Kesan tujuan, matlamat dan fikir risau mereka, dengan sendirinya Allah berkehendak mengubah suasana yang ada pada mereka. Dari kehidupan orang jahiliyyah kepada kehidupan yang diredhai Allah. Dari tak ada moral dan akhlak, menjadi orang yang hidup penuh etika, akhlak dan moral. Dari kehidupan tak ada pendidikan dan tamadun, terus menjadi orang yang paling bertamadun, berpendidikan (al-Quran dan as-Sunnah) dan paling bijaksana di dunia ini.

Dari orang dan seluruh makhluk darat dan air tak peduli, terus berubah menjadi orang yang paling dikenali oleh manusia, jin, makhluk darat dan air, hatta penduduk di langit sana.

Malaikat sentiasa bertemu dengan mereka. Jin dan syaitan lari dan tak mampu goda mereka. Air, tanah dan api tunduk dalam tangan mereka. Manusia gerun dan kecut mendengar nama mereka.

Inilah para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka bukan sekadar suatu nama dalam buku cerita, tetapi satu golongan manusia yang luar biasa.

Jelas, suasana kehidupan mereka berubah atas tujuan, matlamat dan fikir risau mereka. Suasana itu datang kepada kewujudan tiga perkara ini.

Tujuan kerana Allah dan RasulNya mereka hidup di dunia ini. Matlamat demi akhirat yang kekal abadi.Fikir dan risau demi agama Allah yang diredhai.

Tujuan, matlamat, fikir dan risau = suasana baru akan terbina.

Pengorbanan mengatasi kecintaan.

Inilah rahsia keredhaan Allah terhadap seseorang dunia dan akhirat. Sekiranya ingin menjadi hamba Allah yang diredhaiNya buat dunia dan akhirat, capailah tujuan, matlamat dan fikir risau seperti mereka.

Tidak mampu?

Tidak. Manusia hari ini tetap mampu melakukan. Ya, mampu! Tetapi, kena ada dua perkara pada hati dan tindakan mereka.

Pertama, doa Allah bagi mereka mampu. Doa macamana? Dah banyak kali doa ditekankan dalam laman ini. Maka, rujuk dan amalkan dulu, nescaya Allah bagi bagi ilmu yang tidak diketahui.

Kedua, pengorbanan.

Barang siapa yang bersedia korbankan sebahagian kegembiraan dan kesenangan mereka untuk dunia demi mencari keredhaanNya, nescaya Allah kurniakan jalan dan bimbingan untuk hidup dalam redhaNya seperti mana mereka.

Memang susah payah, penuh mujahadah. Tetapi, semuanya akan jadi mudah dan berjalan lancar apabila Allah mula menunjukkan kasih sayang kepada orang yang berusaha kepadaNya.

Tiada apa yang rugi. Malah, orang yang berusaha ke arah ini juga tidak rasa ada apa-apa yang rugi.

Hanya, satu perkara lagi. Paling penting. Iaitu jangan pandai-pandai buat hal ini dengan fikiran sendiri. Kena ada mesyuarat dan satu kerja dalam ijtima’i (bersama-sama). Hari ini bukan zaman para sufi, tetapi zaman permulaan kehidupan kembali ijtima’i. Jika ada yang nak usahakan sendiri, anda akan ‘mati’.

Pengorbanan inilah maqam tertinggi.

Melebihi teori cinta para wali.

Kerana itu mereka diredhai.

Dikurniakan kejayaan dunia dan akhirat Ilahi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: