Doa: bukan sekadar perkara yang sama!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah… sinar masih memancarkan pada hari ini. Bukan sekadar sinar cahaya mentari, tetapi sinar kehidupan ini, serta sinar untuk cahaya imani.

Ada hikmah di sebalik keadaan tiga sinar ini. Jika sekadar sinar mentari, maka orang hanya nampak cahaya di pelupuk matanya sahaja. Hidup bersebab mata. Jika mampu melihat sinar kehidupan, maka telah mengenali akal untuk fikir dan merancang hari yang masih ada. Hidup golongan ini bersebab akal (lebih baik daripada mata). Jika mampu melihat sinar imani, maka telah mengenali hakikat kehidupan, ketuhanan seterusnya mengenal erti dan makna hidup, dunia dan akhirat. Hidup golongan ini bersebab hati (lebih baik daripada akal dan mata).

Sekadar tazkirah ringkas, pemula kata-kata. Ingin ditebak lebih jauh, mungkin bukan masanya di sini. Hal ini kerana beberapa urusan perlu diselesaikan dan diuruskan.

——————

 

Hari ini, daku ingin bercerita lagi tentang perkara doa. Sungguh, doa ini terlalu besar nilainya! Sehingga doa boleh menjadi penentu nilai seseorang yang tawaduk (rendah diri) atau takbur (sombong dan bangga diri).

Tak logik seseorang itu menjadi orang yang tawaduk jika hidupnya tidak pernah berlandaskan doa (dalam pelbagai keadaan dan masa). Tidak logik juga dikatakan seseorang itu bongkak jika tangannya tidak putus-putus memohon dan berharap pada Allah s.w.t.

 

Lebih besar lagi, doa menjadi neraca kedudukan seseorang hamba di sisi Allah s.w.t. Semakin banyak seseorang itu menadah tangan meminta dan terus memohon, selagi itulah lagi besar kasih sayang dan kedudukan hamba itu di sisiNya.

 

Meminta pada Allah, suatu cabaran

Mengapa doa boleh menjadi neraca kedudukan hamba, kerendahan jiwa dan sifat keimanan pada diri seseorang?

Doa boleh menjadi neraca pada keadaan manusia kerana beberapa sebab. Pertama, seorang yang berdoa memerlukan keyakinan pada doanya. Maksudnya, tiada manusia yang angkat tangan berdoa terus dapat (macam dia minta daripada manusia). Seorang yang berdoa kena lagi dan lagi terus berdoa sehingga apa yang dihajatkan akan dapat. Tempoh masa pula tidak diketahui bila akan dapat.

Jadi, semua perkara ini memerlukan keyakinan yang Allah akan memakbulkan doanya suatu ketika nanti. Allah sentiasa mendengar hajat dan permohonannnya. Allah tidak pernah alpa akan permintaan hambaNya.

Selain itu, apabila dia meminta perlu pula jaga adab dan ada kaedahnya. Kerana dia meminta kepada sang raja dan penciptaNya, nak tak nak kena beradab dan beretika seperti meminta seorang rakyat biasa kepada raja. Nak digesa tidak boleh dan nak terus meminta adalah mustahil. Ada prosedur dan syarat yang kena patuhi. Perlu bersabar dan terus meminta hajatnya itu agar ditunaikan.

 

Kedua, doa yang dipohon pula kepada yang ghaib. Bukan seperti meminta kepada manusia (yang nampak). Meminta kepada yang ghaib memang perlu banyak sabar dan yakin yang tinggi, bahawa permohonannya diterima dan sedang diproses.

Jadi, nak sabar meminta pada yang ghaib ini memang payah. Lebih baik meminta pada yang nampak, iaitu manusia. Senang. Nak cerita pun mudah sebab dah nampak dan kenal.

 

Ketiga, berdoa pada Allah atau meminta pada Allah ini tiada jawapan. Ada ke orang yang meminta pada Allah ada jawapan, macam jawapan Allah kepada Musa a.s?

Tiada. Bagai meminta seorang-seorang, tiada orang dengar apa yang dipintanya.

jadi, jika tidak sabar dan yakin yang Allah s.w.t itu Maha Mendengar dan akan memakbulkan permintaan hambaNya, sudah tentu senang nak putus asa. Lebih baik minta pada manusia, dia jawab permintaan yang diajukan kepadanya.

 

Ini antara sebab kenapa doa kepada Allah itu bernilai tinggi sehingga menentukan kedudukan seseorang dan sifat yang wujud pada dirinya. Jadi, untuk betul iman dan sifat baik pada Allah, mesti kena banyak berdoa dan berhajat kepadanya.

 

Memang nampak mudah. Hakikatnya doa itu memang penuh dengan cabaran.

 

Meminta perkara yang sama?

Daku ingin huraikan perkara doa ini dengan lebih dalam, iaitu apakah perkara yang didoakan.

 

Ada tiga keadaan. Keadaan pertama ialah orang yang berdoa pada perkara yang sama. Keadaan kedua ialah orang yang berdoa pada perkara yang berbeza. Ketiga ialah keadaan orang yang berdoa seperti bercerita.

 

Bagi keadaan pertama, orang ini masih tidak tahu apakah yang ingin didoakan. Jadi, dia doa seperti lirik atas sebuah kertas sahaja. Ikut saja tanpa soal. Malah, tahap yakin pada doa orang ini masih kurang.

Bagi keadaan kedua, orang ini telah wujud yakin kerana ilmu yang dia ada tentang doa dan Allah s.w.t. Namun, perbezaan itu tetap bergantung apakah pula yang dihajatkan. Jika meminta hajat dirinya lebih daripada hajat Allah dan tujuan di akhirat, maka dia masih tidak kenal Allah, dan hanya kenal dirinya sahaja yang sentiasa berhajat.

 

Bagi keadaan ketiga, iaitu orang yang bercerita, mereka ini telah kenal Allah dan dirinya. Dia bercerita kerana dia tahu Allah sedang mendengar ceritanya. Ceritanya bukan sekadar permintaan, tetapi luahan apa yang terpendam. Mungkin cerita tentang manusia, mungkin cerita tentang hubungan antara dia dan Allah s.w.t.

Orang ini ada darjat di sisi Allah. Jarang pendek doanya, suka dia berdoa dan doanya juga tidak sama. Ibarat seorang yang bercerita pada teman, jarang cerita yang diajukan adalah sama, mesti wujud macam-macam kisah dan berita.

 

 

Hikmah Doa: menjadi tanda pengenalan

Jadi, doa itu tanda hajat. Khusus konteks doa (doa pada istilah) ialah hajat kepada Allah yang diajukan. Konteks umum bagi doa ialah mengajukan hajat kepada sesiapa juga.

 

Apabila dilihat kepada konteks umum dan khusus ini, seseorang boleh menilai akan keakraban atau tanda mengenali siapa yang disampaikan hajat dan apakah yang dihajatkan.

Bagi orang yang telah mengenal Allah, mustahil baginya hanya menyatakan hajat dirinya sahaja sehingga tidak kenal hajat Allah ke atas dirinya. Maka, dia akan lebih akur dan terima yang Allah berhajat untuknya melakukan, di samping dia menyampaikan cerita kehidupannya kepada Allah kerana Allah ialah teman dia suk dan duka.

Manakala bagi orang yang tidak kenal Allah, dia hanya tahu menyampaikan hajat dirinya sahaja atau tidak pernah menyampaikan hajat kepada Allah s.w.t. Pendek kata, apakah hajat Allah ke atas dirinya dia tidak sedar dan ambil peduli.

 

Itu untuk konteks Allah dan hambaNya. Bagi konteks hubungan sesama manusia, perkara ini boleh juga dijadikan contoh.

Iaitu, jika seseorang telah mengenali seseorang yang lain, pasti dia lebih berhajat kepada apakah yang orang tersebut ingini, daripada dia yang menyampaikan hajat (keinginan) kepada orang tersebut. Kedua, dia sentiasa ingin bercerita kepada orang tersebut tentang pelbagai perkara, bukan sekadar bercerita perkara yang sama.

Tetapi, seseorang itu masih tidak mengenali akan orang lain jika dia hanya tahu menyampaikan hajat kepada orang tersebut daripada tahu hajat orang tersebut terhadap dirinya. Kedua, dia tidak ingin berkongsi cerita dengan orang tersebut, dan lebih suka kongsi cerita yang pelbagai itu dengan orang yang lain.

 

Wallahua’lam.

 

Hajat, bukan semua terluah di lisan, banyak lagi yang terkandung dalam hati.

Luahkanlah

Walau dalam hati

atau dalam doa munajat Ilahi

Doa dan hati

Kedua-dua tidak bersembunyi

Allah s.w.t amat mengetahui

Bercerita dalam doa dan hati

Tanda berkenalan

Hanya hajat dan tujuan dalam doa dan hati

Masih tidak mengenali

 -sudah dibentangkan tarikh viva. 9 April 2015, insyaAllah, pukul 11 pagi. Doakan pada Allah untukku dilancarkan percakapan, dikurniakan ilham dan kefahaman, dipermudahkan urusan serta dikurniakan kejayaan dalam ujian dan urusan ini.

Amin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: